‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 23 Februari 2010

Potong Jambul Amalan Bidaah

Petang berbahagia yang dilimpahi sinar matahari redup. Di bawah atap rumbia di atas pangkin. Pak Anjang Ahmad, emak, Maza dan beberapa orang sanak saudara sedang menikmati kudapan petang.

"Bila kau nak buat majlis potong jambul?", tanya mak sambil menghulurkan seteko teh 'O'. Di dalam dulang kecil itu tersedia sepinggan jemput-jemput ikan bilis, ubi rebus, sambal tumis, ikan kapak masin, O'ya dan epok-epok.

"Esok, lepas solat Zohor."

"Elok juga tu. Lepas makan ni karang, mak nak jemput kumpulan marhaban perempuan. Kumpulan perempuan ni lebih aktif kat kampung ni. Lagipun dah lama tak buat kenduri. Elok jugalah tu."

"Di zaman Nabi SAW, mana ada majlis potong jambul!", celah Pak Anjang Ahmad selamba sambil menyuakan ubi rebus ke mulutnya. Sambil matanya terus memandang ke luar sana. Ke tanah sawah yang luas terbentang saujana mata memandang. Sekarang musim padi masak. Tak lama lagi musim menuai akan tiba.

(Gambar: Di pangkuan kasihnya ibu)

"Betul ke? Masa arwah laki aku ada, dan arwah abah dulu pun ada buat majlis potong jambul! Engkau pun arwah abah buatkan. Aku ingat lagi kenduri potong jambul tu. Dengan gazal, dengan marhaban dan macam-macam lagi," emak mencari kepastian.

Di lembah sana kelihatan bangau sedang mematuk-matuk ke tanah sawah. Barangkali sedang menjamu selera anak-anak ikan di situ. Sesekali bangau itu terbang berkawanan ke udara. Berlegar putih bersih di ruang angkasa.

"Semalam aku dengar kat radio. Ustaz tu cakap memang tak ada majlis potong jambul di zaman Rasulullah SAW. Ustaz siap bagi hadis dan riwayat sekali. Kalau bukan amalan Nabi SAW, maknanya majlis potong jambul adalah bidaah. Orang yang melakukan bidaah bukan dalam kalangan orang yang disukai Nabi. Boleh jatuh dosa besar tu!"

Melopong semua orang di situ. Maza merasa serba salah.

Ibu ayam bersama deretan anak-anaknya sedang mengais-mengais. Mengajar anak mencari cacing atau makanan yang terdampar di atas tanah. Rezeki ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rezeki manusia, kenalah cari!

(Gambar-credit to isteri : Aqlan tidur sebelum majlis bermula.)

"Memang betul apa yang Pak Anjang cakapkan tu mak.

Memang di zaman Nabi SAW tak ada majlis atau upacara potong jambul. Yang ada ialah majlis cukur rambut. Amalan tersebut sebenarnya telah dilakukan sebelum zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Amalan mencukur rambut bayi yang baru lahir ada kaitanya dengan taharah! Iaitu bersuci atau menjaga kebersihan.

Al maklumlah, rambut bayi yang tumbuh di dalam perut ibu, kemudian bayi tadi lahir. Sudah tentu rambut bayi itu hadir bersamanya kekotoran yang terperangkap keluar bersama kotoran nifas.

(Gambar: Antara tetamu yang hadir. Ramai sudah berumur. Yang muda-mudi di mana ya?)

Oleh kerana Nabi SAW membawa syiar Islam yang membawa bermaksud bersih. Nabi SAW mencontohkan kita untuk mencukurkan kepala bayi tersebut.

Riwayat ada mencatatkan bahawa Nabi SAW pernah mencukur rambut Ibrahim iaini putera akhir Baginda SAW. Kemudian rambut tersebut ditimbang setara dengan emas. Kemudian emas tadi disedekahkan pula kepada fakir miskin.

Ini menunjukkan bahawa selain kebersihan jasmani yang dicontohkan melalui cukur rambut, Nabi SAW juga menekankan aspek kebersihan rohaniah iaitu sedekah!

Cuma, hari ini berlaku sedikit kekhilafan fahaman. Iaitu, cara kita lakukan majlis.

Sepatutnya kita adakan majlis cukur rambut bukan potong jambul.

(Gambar: sedang membaca surah Yassin)

Kalau tidak silap saya, pernah ada riwayat yang merakamkan bahawa Rasullullah SAW pernah membuat tahnik (masukan sedikit kurma atau madu ke lelanggit bayi) kemudian memotong sedikit rambut bayi tersebut. Dalam masa sama, Rasulullah SAW telah mendoakan yang baik-baik ke atas bayi dan keluarganya. Setelah itu, bayi tadi dicukurkan rambutnya.

Mengambil contoh demikian, maka hari ini kita lihat orang melakukan perkara hampir sama. Dengan meminta manusia soleh di kampung itu untuk melakukan tahnik dan memotong rambut serta mendoakan bayi tersebut.

Sambil menantikan majlis itu, dan menantikan juadah serta sedekah siap dihidangkan. Alangkah elok dibuat bacaan marhaban, tahlil atau zikir. Yang demikian mudah-mudahan majlis bertambah berkat. Hadirin juga boleh mengambil bahagian dalam mendoakan yang baik-baik ke atas 'kehadiran orang baru'.

Jadi, sebagai kesimpulan, lain kali kita kena panggil majlis cukur rambut agar mengelakkan kekeliruan bagi mereka yang kurang pasti. Sedapatnya kita elakkan daripada menyebut majlis potong jambul.

Atau mungkin kita boleh betulkan masyarakat kita dengan memberikan kefahaman yang jelas.

(Gambar: Potong jambul)

Apa-apa hal pun, saya berterima kasih dengan persoalan yang diajukan oleh Pak Anjang", jelas maza.

Masing-masing mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Maza masih lagi tersengeh-sengeh. Bukan bangga, tapi takut tersilap. (Kalau ada salah, tolong betulkan ya kengkawan!)

Jadinya, Februari 20, 2010 (Sabtu) selepas Zohor majlis doa selamat, tahlil, marhaban, bacaan yasin dan cukur rambut dilangsungkan serentak.

(Gambar: Aqlan setelah dicukur)

Alhamdulillah, walaupun jarang-jarang maza menjenguk kampung tercinta, seramai lebih empat puluh orang tetamu hadir.

Majlis terasa begitu meriah sekali. Syukur juga maza panjatkan kepada Ilahi kerana ini bermakna sudah sebulan Aqlan Sholehin dilahirkan dalam keadaan sihat walafiat.

(Gambar: wajah Aqlan Sholehin yang berseri-seri)

Mudah-mudahan perkara yang baik-baik ini sentiasa berpanjangan. Dan besar harapan maza sebagai ayah untuk Aqlan dan anak-anak ayah yang lain menjadi insan yang soleh, bukan insan yang salah!



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails