‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 18 Februari 2010

Harimau Kecil Mengaum dan Meronta-ronta Di Teluk Kemang!


Februari 14, 2010 (Ahad) - Harimau di kalender di rumah maza telah mengaum besar! Meronta-ronta menandakan hendak keluar dari rumah untuk bersiar-siar. Ini juga menandakan cuti Tahun Baru Cina cukup panjang. Cukup untuk bersiar sana sini merehatkan minda (tapi poket mungkin tidak.. huhuhu).

Rontaan harimau di kalender Cina cukup kuat kali ini. Apa tidaknya, semenjak orang rumah 'berpantang', sudah hampir dua bulan maza dan keluarga bertapa di rumah.

Petang Sabtu yang panas itu, sebelum waktu makan besar bermula, tiba-tiba otak maza miang-mengenyam! Meronta-ronta mengasak hati dan jiwa maza. Mengajak maza untuk berehat dan bersenang-lenang. Sedapatnya di pantai.

Namun mengenangkan anak masih baru merah lagi, maza pendamkan sahaja hati yang merusuh itu.

Entah bagaimana, tengahari Ahad di Tahun Baru yang meriah, tiba-tiba mulut gatal terpacul untuk berehat di tepi pantai. Laju sahaja ia berbunyi, P.D.

"Dah lama juga kita tak berkelah sekeluarga ya. Best juga kalau baring-baring dan berenang kat PD. Anak-anak pun dah lama hendak berenang!"

"Kalau macam tu, biar kita siapkan apa patut. Kita masak ayam pedas ya?", dorong isteri maza pula.

Tak sangka cadangan maza bersambut. Dengan mulut masih tercopong maza terus mengangguk-anggukan kepala.

Akhirnya jam 4.00 petang kami tiba. Anak-anak melompat-lompat keriangan bagaikan katak seminggu tak bertemu hujan.

Pantang bagi isyarat 'boleh', terus menerpa ke gigi air.

Sambil-sambil itu, isteri maza membuat persediaan bekalan kami.

Maza pula cuba merakamkan sebaik mungkin suasana indah tersebut.

Tatkala petang semakin menyingsing, kalau pekena air kelapa disulami oleh bayu pantai bertiup manja, boleh sahaja menaikan suasana tenang dan santai!

Kali ini ramai pula orang mengambil peluang bercuti. Pantai dipenuhi manusia.

Tempat kami berkelah bukanlah di Port Dickson sebenarnya. Tetapi di Teluk Kemang.

Teluk Kemang sebenarnya terletak di dalam Daerah Port Dickson. Dari pekan Port Dickson ia terletak kira-kira lima kilometer ke selatan.

Kalau nak mandi di pantai Port Dickson pun boleh. Tapi ia agak berlumpur dan tak banyak kemudahan yang disediakan. Port Dickson lebih sesuai untuk bersiar-siar di tepian pantai sambil menikmati panorama indah.

Tempat kami berkelah dan lebih tepat lagi ia berhampiran Hotel Kung Ming. Iaitu sebuah hotel budget yang betul-betul berhampiran pantai. Tidaklah kami menginap di situ. Tetapi sekadar meminjam pantainya sahaja (hehehhehe).

Puas bermandi-manda dan mencari duyung sana sini. Tiba-tiba maza teringat perihal buaya PD yang menyerang manusia beberapa bulan lalu.

Segera maza berdoa agar kami bukanlah makanan santapan buaya PD itu.

Sekejap itu juga maza mengarahkan diri maza dan anak-anak maza hanya bermain di tepi pantai. Tidak berenang jauh ke tengah laut sana. (erk! budak 5 & 4 tahun boleh berenang sampai ke tengah sempadan laut antarabangsa ke? hmm)

Lagipun, pilihan menu sang buaya PD cukup lumayan Di sini ramai orang yang lagi sedap untuk dijadikan santapan sang buaya. Kalau nak bandingkan kami anak beranak, tentu buaya itu rasa tak berbaloi! Sebabnya buaya itu akan merasa tulang yang banyak berbanding isi! huhuhuhu... Lagi pun buaya tak suka tulang, kan?! hehehehhe

Hampir matahari hendak menyorok di ufuk horizon barat, kami pun beredar dari pantai. Bersiap-siap mahu pulang ke Kuala Lumpur.

Puas maza berjalan. Tak cukup berjalan, berlari-lari anak pula. Lagaknya seperti Sa'i di Bukit Safwa dan Marwa. Mencari air untuk membilas badan. Kalau tidak bilas nanti badan akan melekit dan rimas serta cepat rasa letih.

Dari satu pos mandi awam ke pos mandi awam yang lain, semuanya tiada air. Bekalan air terputus! Aduhaiiiiiii....

Penyudahnya, maza dan anak-anak hanya mengelap badan dengan tuala sahaja.

Entah dari mana, isteri yang molek-molek itu mendapat idea. Lalu dia pergi ke kedai berdekatan dan membeli air mineral tiga botol. Jawabnya kami membilas badan dengan air mineral itu.

Perkara ini bukanlah baik untuk Teluk Kemang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Port Dickson. Sepatutnya masalah air ini sudah lama di atasi. Ketiadaan air seperti ini menjejaskan mood pelancong dan nama baik PD sebagai destinasi pelancongan yang masyhur.

Jam 8.00 malam kami beredar dari pantai Teluk Kemang itu. Dan sampai ke rumah jam 10.00 malam. Hari itu, kami semua masuk tidur awal.


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails