‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 7 November 2009

TTS Zaman Filem Azura (1984) @ Shah Alam


November 6, 2009 (Jumaat)

"Dahulu kita pun ada geng. Geng motor. Macam-macam geng pun ada. Tapi tak macam sekarang. Perbezaan terlalu ketara. Zaman sekarang geng mengikut kategori. Motor besar, motor kecik, kapchai dan sebagainya." abang Najib membuka bicara.

Setelah seteguk dua air tembikai laici, dia menyambungnya lagi, "Kami dulu komuniti bermotor besar ini kecil. Jadinya kalau hendak berkonvoi atau makan angin kami akan join sekali. Tak kiralah sama dengan motor Vispa, moto kapcai dan sebagainya. Bak kata kami tak mengira kategori. Janji boleh ikut. Termasuklah masa tu glamour Vispa kepit"

"Motor besar dulu-dulu tu jenis yang macam mana bang?" maza mencelah.

"Yealah, zaman masa tu abang muda belia sangat. Dalam tahun 70-an, 80-an sampai akhir 90-an. Antara yang abang ingatlah motor Suzuki GX500, Yamaha RD400, MBX125, Norton, Triumph, Yamaha LC250 dan macam-macam lagi. Kalau kau nak tau lebih lanjut, motor-motor jenis yang dalam cerita Azuara lakonan Jamal Abdilah (tahun 194) itu lah!




Dulu zaman akhir 70-an dan 80-an, ala perang Vietnam tamat gitew, zaman kami muda dulu tu, geng-geng motor terkenal dengan jahatnya. Nakal yang tahap terejal punya.

Tetapi hari ini abang bersyukur. Kerana group motor Ninja250r ini tidak sama macam geng abang masa zaman dulu. Tak jahat, tak tentu arah, tak main ganja.

Cuma abang terkilan dengan geng-geng mat rempit sekarang ni. Mabuk, ganja, rokok tak usah nak cerita. Yang buat punah sakan ialah sebabnya perempuan. Kalau dah bawa tenggek perempuan ikut sama, ke hulu-hilir, mulalah melibatkan perasaan. Karang kawan tu tersinggunglah, terkenyit matalah, bergurau terlebihlah, dah bergaduh sakan. Bertumbuk sana-sini. Cemburu tak tentu pasal. Kemudian create pulak geng sana sini. Lepas tu berperang sama sendiri. Apa punya bodoh betullah!"

"Tulah yang pentingnya ada orang tua macam abang. Kurang-kurangnya boleh tunjukkan kami jalan yang baik dan berdisplin. Menjadi warga kota yang sihat. Paling tidak pun kegiatan ini terkawal dan berfaedah. Erk! Zaman abang tu teruknya macam mana bang?" Aji melontarkan hujahnya pula.

"Gini. Dulu ada tiga tempat yang paling top. Geng-geng ni ganas dan terejal. Jenis tak takut punya. Tak takut dengan polis dan tak makan saman. Antaranya ialah geng Jalan Sentul, Jalan Gurney dan Ampang. Abang lak masa tu baru nak naik. Abang ikut budak-budak Kampung Keramat.

Jadinya mat-mat motor tu, bab mabuk, arak dan ganja tu macam dah biasa. Mereka pun terlibat juga dengan berlumba 'haram', tapi tak adalah merempit meraban sana-sini macam budak sekarang ni.

Geng dulu-dulu racing dari Dataran Merdeka sampai ke panggung Cathay hujung sana, patah balik ikut depan Pertama Kompleks. Jahatnya mereka cuma racing tengah-tengah bandar. Apa lagi pernah kena perambat dengan radio car dan patrol car polis.

Port biasa kami ialah di medan Pertama Kompleks. Kalau ada roadblock. jawabnya kenalah tolak motor dari Dataran Merdeka hingga ke Balai Polis Bandar.

Ada pernah kami kena tolak dari Dataran ikut jalan Istana. Tak kiralah apa jenis motor sekalipun. Bayangkan motor 1000 cc kena tolak masa tu. Apa macam, mau tak sengal segala tulang sendi?! Berat wooo...

Bab bohsia ni sebenarnya dari dulu dah ada. Kami dulu cari budak perempuan kerja kilang. Kami panggil mereka minah karen. Sebab kerja di kilang elektronik. Termasuklah budak Motorola.

Hujung minggu sahaja cari minah karen dengan bermodalkan motor. Dapat aje minah karen, ajak dia orang makan angin. Ronda sana sini. Kemudian makan.

Dulu-dulu makan nasi goreng ayam dan air teh ais dah cukup. Tak ada banyak pilihan. Kalau ada banyak pilihan pun, belum tentu kami mampu.

Kemudian duit minyak motor dan makan tadi minah karen sponsor."

"Aik! Tak macholah bang. Ada ke patut dahlah bawa minah karen, si minah karen lak yang sponsor makan, siap dengan minyak sekali tu?" maza mencelah dalam riuh rendah di Bintang Walk, Sekysen 7, Shah Alam.

Kali ini TTS (Teh Tarik Session) diadakan di Shah Alam setelah menang undi pemilihan lokasi untuk TTS. Hampir 30 orang riders hadir. Dalam masa sama sempat juga kami meraikan majlis hari lahir Mat Duan dan Aji di situ. Apa lagi, tiup lilin atas keklah


(Gambar: duduk baju hitam Ajie & mat duan. Belakang berdiri berbaju hitam Axixi@Rebon, Along & bro ninjarian)

"Jangan dek... Dulu nak bayar motor besar RM170 sebulan. Harga motor 500cc cuma dalam RM5000-RM7,000. Deposit dalam Rm3,000. Lebihnya kena settle dalam masa dua tahun. Bayangkan dulu-dulu kalau gaji RM400, jalan mesti mengepak. Kalau orang bujang sudah mewah benar dah tu. Jadinya RM170 tu dah separuh lebih duit gaji habis. Kalau nak joli tiap-tiap minggu, boleh bengkok badan dek! Jadi kalau nak jimat dan joli, caranya ialah cari minah karen yang nak jadi sponsor.

Atau pun satu lagi kaedah ialah biasanya kami disponsor oleh kilang Motorola. Tiap-tiap minggu kalau nampak aje orang Motorola keluar kilang, terus ada sahaja yang akan sponsor. Duit minyak dan makan jangan risau. Dia orang pasti akan menaja segalanya. Janji pusing bandar!"

"Biasanya group-group abang ni melepak di mana?" Aji ingin kepastian.

"Tak tentulah. Kadang-kadang atau selalunya memang ke Port Dicksonlah. Bawa sekali minah karen.

Kalau dah ramai-ramai macam tu, macam-macam pula perangainya. Kalau dah ada kaki mabuk, kaki ganja adalah tu kaki perempuan.

Sebelum pergi ke Port Dickson, biasanya selepas makan malam di Benteng kat belakang Mahkamah, kami akan cerita seram. Biar minah karen tu rasa ngeri dan takut. Lepas tu apa lagi, bila mula bergerak ke Port Dickson maka minah karen akan peluk kuat-kuat si ridernya itu.

Ada jugalah yang ambil kesempatan dan ada jugalah minah karen jadi mangsa kena 'main'. Port biasa minah karen ini kena ialah di perhentian Nilai. Macam-macam teknik dia orang buat. Buat-buat motor rosaklah, tayar bocorlah, kurang anginlah, tak boleh startlah.

Lepas tu apa lagi minta itu ini. Kalau tak dibagi karang, kena tinggal kat situ. Ada berani ke tinggal seorang-seorang tengah malam buta jam 12-3.00 pagi!

Makanya minah tu dalam keadaan paksa-rela lah! Serahkan segala-galanya yang diminta si rider."

"Uiks! Dahsyat nya." maza mula gelisah. Mulai rasa kurang senang apatah lagi perkumpulan TTS kali ini turut didampingi wanita-wanita seksi. Terutama si gadis penjual rokok di kaki lima itu.

"Tapi zaman dahulu sungguhpun macam itu, mereka masih ada rasa tanggungjawab. Mana dah terkantol tu, cepat-cepat bertanggungjawab. Terus kahwin.

Tak pun minah karen yang dah termengandung akan memasang perangkap. Yang kena aniayanya ialah mereka yang baik-baik. Mereka yang innocent, yang jujur. Tak mustahil zaman sekarang hampir pupus lelaki yang jujur, disebabkan minah itu sapu kesemuanya lelaki baik!

Minah karen tu pun bijak. Dia tak mahu geng yang dah reput dan teruk itu jadi laki dia orang. Jadinya, minah karen akan buatlah macam-macam perangkap. Tertinggal IC-lah, duitlah, baranglah. Kemudian si rider innocent tadi diajak masuk rumah dulu sementara minah karen tengah cari IC. Selepas tu tiba-tiba minah karen keluar dari bilik dah siap berkembang. Dan-dan lampu pun dipadamkan.

Lepas tu apa lagi. Pintu diketuk dan mereka ditangkap basah. Jawabnya kahwin free!

Zaman tu juga, kami tak berani nak hantar anak dara orang malam-malam. Terutama di Kuala Langat. Masuk kampung hantar budak tu kita akan selamat. Balik dari hantar tu yang tak selamat. Budak-budak kampung akan tahan dan belasah. Dia bukan kira apa pun. Janji dah bawa balik perempuan kampung lewat malam. Terus dia pulun kat situ juga.

Jadinya kami tak berani nak hantar anak dara orang kalau dah kemalaman. Keesokan harilah setelah siang baru hantarkan. Sementara tu, mana yang lemah iman ke hotel-hotel murah. Mana yang baik-baik macam abang ni, kami tunggu dan tidur berdirilah kat bas station.

Pendek kata, zaman dahulu, kira macam zaman gengsterism dan kemucak menularnya dadah. Tak banyak sikit pun kita kena tahu perbuatan jahat. Sebabnya untuk melindungi diri dari terkena aniaya orang!"

"Begitu rupanya dia orang ni. Kalau macam ni, payah lah saya nak keluar lagi. Patutlah orang tua-tua, terutama mak saya pandang seorang, semacam aje. Cuma kebelakangan hari ini sahajalah dia orang baru terbuka minda" celah salah seorang Ninjarian yang ada di meja kami.

"Tapi korang jangan takut. Korang ni bagus-bagus. Benda-benda tak elok tu semua korang tak usik. Abang pun suka. Sebab tu lah abang selalu turun TTS dan join korang. Jangan sekali-kali korang amalkan segala tingkah laku tak elok ini. Ini pesan abang.

Sekarang ni abang dah umur 45 tahun. Abang tak mahu kesilapan generasi lepas berpanjangan. Dari rasa keinsafan itulah, abang kalau boleh nak memperbetulkan sikap-sikap tak elok group-group motor ini. Paling tidak pun bagi nasihat kat kalian, agar tak ulangi perkara yang tak elok itu sama.

Bayangkan, hari ini kau buat anak orang macam tu. Kau kembungkan anak dara orang. Esok-esok bila korang ada anak perempuan sendiri, kemudian orang buat perkara sama macam korang buat dahulu. Apa macam perasaan korang?!

Mujur juga abang tak ada anak perempuan. Abang pun risau dan rasa bersalah. Kalau-kalau perangai tak elok zaman dulu berjangkit kat anak perempuan. Tapi abang memang tak main budak-budak perempuan! Tidak... Tidak sama sekali!

Jadinya, jangan amalkan kaki perempuan. Sedapat-dapatnya jangan dimulakan dengan mabuk dan ganja! Kita mahu generasi kita bersih, berdisiplin dan ride with iman"

Maza dan teman-teman yang lain tersenyum puas mendengarkan nasihat yang cukup murni dan mulia dari abang Najib yang sudi menjadi mentor kami kali ini. Mudah-mudahan kami sekalian tidak tersasar bahkan menjadi riders yang soleh!





blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails