‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 14 November 2010

Majlis Konvokesyen Nasrun


November 13, 2010 (Sabtu) - Jam dua petang bermulalah majlis konvokesyen Tadika Ummi. Di tadika inilah Nasrun (6 tahun) menamatkan pengajiannya. Selepas ini beliau akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pula di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9.

Nasrun telah diberi anugerah khas di atas usahanya melewati puasa Ramadhan. Nasrun berjaya berpuasa 26 hari. Ini jugalah kali pertama anak tersebut berpuasa.


Kepada cikgu-cikgu Tadika Ummi, maza mengalungkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas didikan yang dicurahkan. Didikasi tuan-tuan hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalasnya.


Bagi ayah dan ibu, kami amat bersyukur kerana anakanda telah berjaya menamatkan pengajian. Dan di waktu-waktu akan datang moga-moga anakanda lebih cemerlang. Kami doakan yang terbaik untuk anakanda sekalian.

Harapan kami semoga anak-anak ayah menjadi anak-anak yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara walaupun tercampak ke mana pun jua berada.




Khamis, 11 November 2010

Kain Batik Lepas & Pontianak terbang.

Usai membasuh pinggan di malam itu setelah kenduri pertunangan anak Pak Teh di Tenggaroh 2, Kota Tinggi, tiba-tiba Mak Long mengajak pulang ke Kampung Seri Lukut. Walhal jam sudah menunjukkan 11.00 malam.

Jarak antara Tenggaroh 2 dengan Kampung Sri Lukut itu bukannya dekat. Sekurang-kurangnya memakan masa satu jam setengah. Ini bermakna hampir mencecah dua marhalah. Persekitaran di sepanjang perjalanan itu bukanlah seperti di jalan-jalan Kuala Lumpur ini. Atau seperti pusat bandar lain yang terang benderang dilimpahi sinar lampu jalan.

Di kiri-kanan di sepanjang jalan Tenggaroh dan Kampung Sri Lukut dikusami oleh kebuh-kebun dan hutan tebal! Jalannya pula umpama ular dipalu. Meliuk-lentuk, sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Sesiapa yang kurang daya tahan akan cepat mabuk; berasa pening dan muntah. Apatah lagi jalan yang bakal dilalui itu pula jalan Jamaluang ke Kluang. Salah hemat di tengah malam buta ini tiada seorang pun yang akan melaluinya. Terlalu sunyi dan amat sukar untuk mendapatkan bantuan sekiranya sebarang aral berlaku di tengah jalan.

Kampung-kampung di sepanjang jalan itu jauh-jauh. Dan untuk menambah keperitan, jalannya berbukit bukau. Beberapa sungai besar seperti Sungai Lenggor, Sungai Lenggeng, Sungai Deli perlu ditempuhi.

Walhal dua hari lepas sebelum pergi ke Felda Tenggaroh 2 ini emak sudah berpesan kepada Mak Long. Mereka akan bermalam di situ sahaja. Pada keesokan harinya akan Pak Teh hantar mereka berdua pulang.

Entah angin apa yang telah mengubah fikiran Mak Long sehingga pejap hatinya berubah. Dia terus mendesak untuk dihantar pulang ke rumah.

"Aku kena balik juga malam ni. Aku tak boleh tidur kat sini," muka Mak Long mula menzahirkan perubahan kurang senang.

Emak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Untuk tidak memanjangkan cerita, emak tidak betah melawan. Lalu emak akur dengan permintaan Mak Long dan menyuruh Pak Teh menghantar mereka pulang.

Dalam keletihan di majlis kenduri pertunangan anaknya itu, Pak Teh terpaksa menganggukkan kepala. Pada hemat Pak Teh, elok juga menghantar emak dan Mak Long pada malam itu juga. Lagipun esok pagi-pagi subuh dia tidak perlu bergegas menghantar anaknya Yati pulang ke Kluang untuk berkerja. Jarak Kampung Sri Lukut ke bandar Kluang tidaklah jauh sangat. Sekitar 45km sahaja. Sedang-sedang elok kalau dibandingkan jika dia perlu menghantar Yati dari Tenggaroh, mahu hampir dua jam juga berdiam diri di dalam kereta Proton Saga itu.

Jam 11.30 malam emak, Mak Long, Pak Teh, Yati dan Mak Teh sudah siap di dalam perut kereta Proton Saga bewarna biru. Selepas memastikan segalanya baik dan berpesan kepada anak-anaknya yang lain agar menjaga dan melangsaikan urusan mengemas rumah, mereka pun bertolak dari Tenggaroh 2 ke Kampung Sri Lukut.

Bulan terang benderang mengiringi perjalanan mereka. Bulat besar terlekat di dada langit. Cahaya samarnya melimpahi alam lalu menerangi sepanjang perjalanan itu. Ribuan bintang-bintang bertaburan di langit. Macam-macam formasi terbentuk; scopio, Orion, octagon, dragon dan entah apa-apa lagi. Hanya ahli astronomi dan nakhoda pelayaran yang mengerti itu semua. Tiada satu pun bintang dikenali oleh seisi perut kereta Proton Saga biru itu. Bintang kejora yang sibuk dinukilkan para sasterawan haram mereka tidak tahu, inikan pula buruj-buruj bintang yang lainnya!

Proton Saga biru Pak Teh terus meluncur laju. Simpang Jamaluang ditinggalkan di belakang sana. Sudah tiba masanya mereka akan menempuhi kebun-kebun yang luas. Kemudian mereka akan melalui pula hutan tebal di sepanjang jalan. Hutan Simpan Lenggong ini hutan dara. Di dalamnya ada pelbagai kisah binatang buas dengan kehidupan ganas mereka. Pernah ada orang menuduh di situ ialah tempat Bigfoot, mawas merah dan binatang pelik-pelik lalu lalang.

Dari selekoh ke selekoh Pak Teh lempias. Tiada satu pun lampu limpah jalan mengiringi mereka. Pemanduan Pak Teh hanya dibantu oleh lampu sorot depan kereta itu. Sesekali kereta berbunyi merekot dek selekoh yang tajam.

Untuk mengelakkan mengantuk, emak tak putus-putus mengajak Pak Teh berbual. Dari satu isu ke satu isu. Dari kisah kenduri siang tadi hinggalah kepada lawak jenaka adik-beradik.

Beberapa jambatan merintangi sungai besar dan kecil dilintasi. Kalau di siang hari, kita dapat lihat betapa jernihnya air mengalir di sungai itu. Dan sungai-sungai ini terlalu suci sebelum dicerobohi oleh manusia rakus. Ya, pembalakan yang tidak dirancang menghancurkan lubuk ikan segar di sini. Pencuri balak dan pembalakan haram telah mencemar kesucian sungai jernih. Dulunya air di sini begitu bersih, bersinar bak kristal. Tetapi sekarang ada di antara sungai-sungai itu telah berubah menjadi sekeruh air teh susu yang dibikin di restoran-restoran mamak.

Jalan yang ditempuhi tidak pula rata. Berlubang sana-sini. Tampalan di permukaan jalan pun tidak sesempurna mana. Tidak selicin bak buah pauh dilayangi pisau belati. Berbonggol-bonggol dan berbenjol-benjol di tepi dan tengah jalan di sana sini. Justeru perlu berhati-hati. Kena fokus dengan menacapkan anak mata membelah kelam malam.

Bukannya kerajaan tidak melakukan penyelenggaraan ke atas jalan itu. Tetapi apabila bah melanda atau hujan lebat mencurah-curah, ditambah pula keadaan permukaan tanah, batuan dan garis kuntur yang tidak menyebelahi kehebatan kejuteraan engineer-engineer tempatan menyebabkan batu-batu kerikil yang ditambak dan butamin yang dileparkan ke atasnya terumpil keluar. Terhakis dibawa air atau tenggelam dilenyek lori-lori balak yang besar gedabak. Itu belum lagi gajah-gajah liar yang beratnya bertan-tan melanyak-lanyak, melompat-lompat dan menginjak-injak jalan tersebut. Natijahnya tidak lama selepas jalan itu diselenggarakan, ia akan rosak kembali.

Manakala ada sesetengah tempat jalannya begitu sempit. Dan di sebelah jalan itu pula terdapat pokok balak yang besarnya lebih sepemeluk!

"Kau biasa ke memandu jauh malam macam ni Teh?" soal emak.

"Aku dah lama tak lalu jalan Jamaluang ni malam-malam kak. Tidak selewat seperti ini."

Mak Long, Mak Teh dan Yati yang duduk di belakang sudah lama terlelap. Tinggal emak dan Pak Teh berdua sahaja masih setia bersengkang mata. Semestinyalah Pak Teh perlu membeliakkan mata luas-luas. Menahan kantuk yang menyerbu atau mereka semua akan tidur di tepi jalan yang sunyi itu. Lebih malang lagi terjun ke gaung atau lena diperdu pokok dengan kereta terhimpit rapat di pangkal pokok balak lebih besar sepemeluk itu.

"Kata orang kat jalan ini, di waktu tengah malam seperti ini kalau bernasib baik kita boleh bertemu kancil, rusa, napuh dan landak. Tapi minta-minta dijauhkan gajah dan segala macam yang tak diingini," kata emak.

Tatkala ini di sebelah kiri letaknya Ladang Mardos. Manakala di sebelah kanan jalan itu pula ialah hutan tebal. Dari tadi satu kenderaan pun mereka tidak temui. Hanya kereta Proton Saga Pak Teh inilah satu-satunya yang bergolek tayarnya di jalan itu.

Setelah emak berkata demikian, mereka terus menumpukan mata ke jalan. Mereka tidak mahu terserempak dengan benda-benda yang bukan-bukan. Orang pernah berkata kawasan ini memang keras. Macam-macam orang pernah jumpa!

Ada tu berjumpa dengan gajah merintangi jalan. Berderet-deret kumpulan gajah itu beratur di sepanjang jalan. Jadinya mereka yang malang itu terpaksa menantikan gajah-gajah tersebut beredar. Kalau mereka rempuh kawanan gajah-gajah itu bukannya gajah-gajah itu yang kemik. Malahan mereka pula yang remuk menjadi mangsa pijakkan gajah liar tadi.

Dan pantang pula dibunyikan hon malam-malam sebegini. Takut-takut ada binatang akan terperanjat dan menghambur lari deras ke arah kereta. Lagi haru dibuatnya.

Baru sahaja melepasi selekoh di Ladang Mados itu, angin dingin merempuh masuk ke dalam kereta Proton Saga Pak Teh. Kebetulan pula penghawa dingin kereta itu rosak. Untuk tidak menjadi lemas, mereka membuka ke semua tingkap kereta itu separuh.

Serentak itu juga haruman begitu wangi menerjah masuk ke dalam kereta. Awalnya emak dan Pak Teh buat tidak tahu. Tidak menegur pun bauan itu. Emak yang duduk di sebelah pemandu terus-terusan mengajak Pak Teh berbual. Emak cuba membawa dirinya dan Pak Teh melupakan peristiwa sejenak tadi. Emak cuba mengalih dari satu topik ke satu topik perbualan. Termasuklah perihal menuai padi di sawah Kahang itu.

Haruman wangian semakin lama semakin kuat. Seolah-olah ada sesuatu semakin menghampiri mereka. Tiba-tiba Mak Teh dan Mak Long tersedar dari lenanya. Dalam mamai itu Mak Teh menegur, "Bau apa ni kak?"

"Mana ada bau apa-apa," balas emak sambil cuba mencuit kaki Mak Teh.

Beberapa saat kemudian haruman itu terus berubah berbau hanyir dan pahit. Lekat busuknya yang amat pekat. Menusuk-nusuk ke hidung. Bau seperti binatang yang sudah mati beberapa hari alu. Bukan, bukan, ia lebih busuk dari itu!

Mak Teh dan Mak Long di belakang menutup hidung. Yati masih lagi lena. Dia keletihan yang amat, lagipun esok malam giliran kerja malamnya tiba.

Pak Teh masih tekun memandu. Selekoh tajam di hadapan. Sebaik hendak membelok, tidak semena-mena seperti ada kain terbang melalui di hadapan kereta mereka. Emak terperanjat dan dengan suara sedikit terketar, tertahan-tahan, perlahan mak bersuara, "Kau nampak tu Teh?"

"Apa dia kak? Tak nampak apa-apa pun," sepontan Pak Teh menjawab dengan ikhlas.

Emak beristighfar. Mengucap panjang cuba menenangkan hatinya sendiri. Terkumat-kamit emak membaca beberapa potong ayat suci yang sempat diingatinya.

Baru sahaja selekoh tajam itu selesai diambil, tiba-tiba sehelai kain batik lepas memasuki ke dalam kereta melalui ruang tingkap yang terbuka itu. Ia melintasi di atas kepala Pak Teh dan Emak.

Kali ini benar-benar Pak Teh dan emak dapat melihatnya! Kaget. Ya, mereka kaget! Jantung bagaikan mahu pecah terburai; mengepam kencang.

Pak Teh dan emak terperanjat. Mereka tahu kegunaan batik lepas ini. Lain tidak bukan kebiasaanya di kampung-kampung kain batik lepas ini digunakan untuk menutup atau menyelimbungi mayat!

Segera emak memusingkan tombol tingkap di tepi pintunya untuk menutup tingkap yang separuh terbuka tadi. Begitu juga Pak Teh cuba memulas tombol tingkap di sebelah kanannya dengan segera. Tapi malangnya tombol itu payah pula mahu dipusing. Tingkap di sebelahnya tidak mahu ditutup. Pada hal siang tadi kemain senang tombol itu dikayuh!

Pak Teh memandang emak seketika. Kemudian menumpukan semula perhatian ke atas jalan. Pak Teh menelan liur sendiri. Mukanya sudah pucat lesi. Kalau ditoreh mukanya itu tentulah tidak berdarah lagi.

Pak Teh terus mencuba. Kali ini dikeraskan usahanya. Pak Teh terkial-kial mahu menutup tingkap sisinya itu. Setelah beberapa minit Pak Teh mencuba akhirnya dia berjaya. Itu pun setelah segala kuderat digunakan.

"Piah (Mak Teh) tutup tingkap. Mak Long tutup tingkap. Cepat!" kerah emak dalam cemas.

"Kenapa kak?" Mak Teh terpinga-pinga. Dia tidak mengerti. Mak Teh dan Mak Long sebenarnya tidak nampak peristiwa tadi.

"Tutup ajelah. Cepat!" gesa Pak Teh serious.

Mak Teh memandang Mak Long sambil mengangkat bahu dan mencebikkan bibirnya. Mak Teh dan Mak Long menurut kata dan menutup tingkap masing-masing.

Tidak perlu menunggu lama. Kali ini kain batik lepas tadi tiba-tiba kembali menjelmakan diri. Dari cermin pandang belakang Pak Teh perasan kain itu mengekori mereka. Dan ia semakin hampir. Semakin dekat.

Ia terbang melambai-lambai. Seolah-olah kain batik lepas itu bernyawa memohon Pak Teh menantinya.

Sekarang kain batik lepas itu betul-betul berada di sebelah Pak Teh. Terbang beriringan dengan kereta Proton Saga biru Pak Teh.

Serentak itu juga Pak Teh menekan pedal minyak lebih kuat lagi. Pak Teh mahu memecut. Pak Teh mahu keretanya meloncat laju meninggalkan kain batik lepas terbang itu.

Di tekannya pedal minyak dalam-dalam, tetapi kereta Proton Saga itu tidak mahu pergi. Tetap seperti itu. Speedo meter tetap menunjukkan 60 km/j. Pada hal sepuluh minit yang lalu Pak Teh memandu sekitar 70-80km/j. Peliknya sebelum ini kereta Proton Saga itu tidak punyai sebarang masalah. Bahkan dalam keadaan biasa ia dengan mudah mampu memecut 120km/j!

Tiba-tiba kain batik lepas itu menghilang. Lesap entah ke mana. Mata emak dan Pak Teh terus melilau. Memeriksa ke mana perginya kain batik lepas itu. Setelah mereka pasti ia benar-benar menghilang, mereka mulai rasa lega. Keadaan pulih tenang seketika.

Tetapi adegan itu tidak habis begitu sahaja. Kain batik lepas itu tidak menghilang rupanya. Sekarang ia berada di atas bumbung pula! Ya, di atas kepala mereka.

Bumbung kereta terasa berlekuk seperti ada benda berat sedang duduk. Atau benda yang berpuluh-puluh kilo menumpang di atas bumbung kereta itu.

"Ah! Apa pula dugaan kali ini?" bisik perlahan Pak Teh sambil mengerling matanya ke atas bumbung.


*** Bersambung

Jangan marah ya kengkawan. Cerita ini akan disambung semula ke bahagian dua ... hehehe. Untuk menenangkan hati kengkawan yang kurang puas hati itu, maza mengucapkan "Selamat Malam Jumaat" gitew.

Selasa, 9 November 2010

Pecut semahunya...

Al kisah sambungan perihal di Tasik Biru yang itu. maza telah membuat cover story tentang Tasik Biru tersebut di sini dan di sini. Buat kengkawan yang pertama kali menyinggah di sini, maza telah pergi ke Tasik Biru, Kuang, Selangor pada 31.0gos.2010.

Sebagaimana telah dijanjikan, di sini maza tepekan beberapa keping gambar-gambar kemeriahan Tasik Biru, Kudang, Kuang, Selangor ini - Sukan JETSKI!


Kebetulan ketika maza singgah di tasik ini, hari begitu baik sekali dengan limpahan cahaya matahari yang terang benderang. Cuaca juga panas terik.

Oleh itu, jika kengkawan mahu pergi ke sana pada siang hari terutama di tengahari yang cantik, silalah bawa bersama cermin mata gelap ya! Kalau tidak, mahu celik mata pun payah. Terkenyit-kenyit pula matanya. Salah hemat ada yang kena pelangkung dituduhnya gatal mengurat anak atau bini orang ... hahaha...


Kalau diperhatikan betul-betul gambar di atas, di seberang tasik sana terdapat beberapa orang sedang berkelah. Atau penonton bersila punggung di sepanjang tebing Tasik Biru.

Keadaan sekeliling tasik yang terpelihara dan tidaklah sebelukar mana, memberikan kemudahan yang sesuai untuk berkhemah dan berkelah. Terutama beristirehat di bawah pohon rendang sambil membiarkan angin menampar-nampar lembut ke tubuh yang sedang longlai.



Masa maza menonton aksi-aksi sukan tersebut, maza telah berteduh di bawah salah satu pondok di tepi jalan di Tasik Biru itu.

Seperti biasalah, tak kan duduk saja-saja di dalam pondok yang didirikan oleh peniaga di situ. Apa lagi, untuk memberikan senyuman riang kepada peniaga tersebut, maza pun memesan beberapa makanan ringan (ringan sangatlah tu, kan ... hehehe).

Kata blogger tegar Kujie, dia suka pekena ABC (air batu campur) di sini.


(Gambar: Berteduh di bawah wakaf sambil menyaksikan aksi sukan jetski)




Sungguh pun mereka menunggang jetski untuk beriadah, aspek keselamatan tidak mereka lupakan.

Mereka mengenakan jaket keselamatan dan sesetengahnya lengkap bertopi keledar. Pendek kata soal keselamatan diri dan pengunjung lain tiada kompromi. Perkara yang satu ini amatlah maza hargai, 'salute' dan 'respect'.

Lihat sahajalah gambar di bawah, seorang penunggang jetski lengkap mengenakan jaket keselamatannya.





Gambar-gambar di atas menunjukkan betapa mereka memecut jetski semaksima mungkin. Mereka tiada halangan untuk berbuat demikian.

Air tasik yang tenang dan beralun perlahan membolehkan jetski meluncur laju tanpa banyak rintangan. Di sini pemain diuji keberanian untuk menguasai skill dan menduga sejauh mana keberanian mereka.



Sekiranya anda perasan, gambar di atas berlatar belakangkan sebuah pangsapuri yang tinggi. Pangsapuri ini menyerlahkan lagi latar suasana moden dan alam semula jadi. Ia mengindahkan lagi pemandangan di tasik ini.

Tasik Biru ini merupakan bekas tinggalan lombong bijih timah semenjak zaman kolonial British yang lalu. Pernah dikatakan bahawa tasik besar ini merupakan salah satu kawasan pengeluaran utama bijih di Selangor.

Dalam keasyikan bermain, kadang-kadang kemalangan tidak dapat dielakkan. Kecoh seketika di tasik tersebut apabila salah seorang penunggang jetski terjatuh dari motornya. Mujur juga tidak ada yang melanggar beliau. Kalau tidak, tak pasal-pasal ada yang diusung ke hospital.


Beberapa peristiwa penunggang jetski tergelincir dan jatuh ke dalam tasik sempat dirakam lensa kamera maza seperti gambar di bawah. Mujur juga mereka memakai jaket keselamatan, jadinya mereka terselamat daripada lemas dan tenggelam ke dasar tasik.

Cuma maza risaukan kalau-kalau ada teman sepermainan jetski tidak sempat mengelak atau tidak perasan ada orang jatuh ke dalam tasik lalu melanggarinya, tentu air jernih tasik akan bertukar warna; bewarna merahlah pula ... * alahai ngerinya huhuhu.





Berikut ialah catatan tentang Tasik Biru di wikipedia (klik sini) :-

Tasik Biru Seri Kundang is a lake located at Seri Kundang, Rawang, Selangor. It is an ex-mining lake that used to be developed long time ago during the British period. During its olden days, the lake was used to be the biggest mining area in Rawang district, and one of the biggest in Selangor as well. It is about 25 km to the north from Kuala Lumpur.
After the colonial time, Tasik Biru is set to be a water sports and recreation centre for the local and foreign tourists. The area surrounding the lake, encompassing about 32 hectares (80 acres) would be upgraded with a recreation area and a jogging track around the lake.

History

Tasik Biru or literally means 'blue lake' is said to have the name due to its blueish colour that caused by the depth of the lake itself. Some said, the colour is greenish as well. The lake has an island at its centre, make it different as any other recreational area in Selangor. For the local folks, there is a story saying that the island is floating by itself. Most of the people believe it is just a mystic.

Activities

Tasik Biru is also a well-known recreational area among those who love water-skiing, canoeing and yachting. The lake is also famous with its status as a multipurpose area, from water activities until the film shooting site. One of the famous film that used Tasik Biru as its location was Bara, a film by Datuk Yusuf Haslam.

Isnin, 8 November 2010

maza Terbongkang meow, meow!

(Gambar: Kucing dompok yang hanya tahu buat 'grrr, grrr' aje sepanjang hari)

Sebenarnya maza baru pulang dari kampung setelah bercuti di hari Deepavali yang lalu (November 5, 2010, Jumaat).

Jadinya badan masih letih-letih setelah tiga hari di kampung. Macam-macam aktiviti dok ada. Seronok? Ahaks ... Tuhan sahaja yang tahu. Kalau sudah bertemu keluarga, begitulah kaedahnya... hahaha*ketawa

Jadi kengkawan, sementara maza mengelap segala keringat dan meminum beberapa cawan 'Power Root" (mahu kembali bertenaga dan bercahaya gitew), layanlah dulu kucing yang cute, gedempol (besar gedebeh), dan berusia ala-ala penghujung remaja ini di sini ya.


Sambil-sambil mengusap-usap si kucing Dompok itu, janganlah lupa sebutkan "meow, meow meowww" dalam nada melankolia (mendayu-dayu manja) sebanyak tiga kali.


PERINGATAN!!!


Barangsiapa yang sudah masuk blog ini dan membacanya, lalu mengengkari pesanan tersebut, awaslah! Nanti kucing itu mencakar tangan anda. Atau nanti malam anda tidur mendapat mimpi! huhuhu... ayuk!

Selasa, 2 November 2010

Di Tasik Biru itu...

Beberapa sahabat telah menghubungi maza dan bertanyakan perihal lanjut Tasik Biru, Kuang, Selangor itu. Teman-teman ini berasa kurang puas hati dengan laporan singkat maza tempoh hari.

Klik sini untuk lihat entry lalu. (Skodeng di Tasik Biru, Kuang, Selangor).


Tidaklah dapat maza menggambarkan betapa indahnya tasik tersebut. Takut juga kalau-kalau ada orang tuduh mata maza keror! huhuhu


Untuk itu maza pun tepeklah beberapa keping gambar yang sempat maza 'menembak' tempoh hari. Namun jika ada sesiapa yang tidak puas melihatnya dan inginkan kepastian lanjut, besarlah harapan maza agar pihak tuan badan itu pergi menyaksikan sendiri.

Jom ke Tasik Biru!

(Gambar: Darling sedang meneropong. Apalah yang dia teropong tu kan?)

Tasik Biru, Kuang, Selangor ini juga dikenali sebagai Tasik Biru Kundang, Kuang, Selangor. Lokasinya berhampiran Sungai Buloh dan Paya Jaras. Tasik ini cukup luas bak saujana mata memandang. Tasik Biru merupakan bekas lombong. Kedalamannya pula cukup untuk menenggelamkan tubuh badan anda huhuhu.


Terdapat beberapa pembangunan fizikal di sekitar kawasan tasik indah ini seperti apartmen, banglo dan kondo. Setakat hari ini pembangunan tersebut tidaklah lagi menjejaskan persekitaran tasik tersebut.


Kalau tak silap maza, di tempat maza berehat ini, di seberang jalan sana terdapat sebuah dewan atau kompleks atau balai raya (tak berapa pasti).

Maza telah memilih sebuah pondok untuk bersantai. Terdapat beberapa pondok khas dengan beratapkan rumbia, bersaiz kecil, molek, cantik dan kelihatan kemas dibina di tepian tasik. Di tengah-tengah pondok ini terdapat sebuah meja segi empat tepat. Jadinya anda akan bersila di atas tikar dengan mengadap meja itu.

(Gambar: Pandangan belakang salah sebuah pondok yang terdapat di situ)

Dari pondok ini juga kita boleh menikmati pemandangan indah di tasik tersebut. Tasik ini seolah-olah terjaga dan cukup bersih. Airnya jernih dan kehijau-hijauan. Kilauan cahaya matahari dari kocakkan air itu memberi refleksi menyilaukan mata. Tetapi ia cukup indah dan mendamaikan.

(Gambar: Kilauan pantuan sinar matahari dari kocakan air tasik)

Pondok kecil ini dihiasi dengan dua anak tangga. Manakala dindingnya pula diperbuat daripada belahan buluh. Kemudian pondok kecil ini diwarnakan dengan warna perang.

(Gambar: Anak tangga pondok tepian tasik)

Di entry yang lalu maza ada menyebut tentang gerai dan warung yang terdapat di persisiran Tasik Biru. Gerai dan warung ini sebenarnya berderetan memanjang dan terletak di sepanjang jalan utama.

(Gambar: Sebuah papan tanda besar kedabak memaparkan menu yang disediakan)

Kami menjamu selera di petang berbahagia itu dengan air kelapa muda bersama mee kari.

Dengan panorama yang asyik nan indah ini, betul-betul telah mmeukau dan membuka selera kami. Pesonanya sukar digambarkan.

Dengan tenang kami menghirup kuah mee kari. Perlahan-lahan meneguk air kelapa pula. Sekali-sekala kami menegangkan tengkok menjengah ke hujung sana melihat keindahan alam. Kemudian kembali menghirup kesegaran udara yang menghembus! Sesekali pul memandang telatah pengujung yang menghiburkan.


(Gambar: mee kari Tasik Biru)

Di tasik yang terbentang luas ini pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Antara aktiviti yang kebetulan maza saksikan ialah permainan jetski.

(Gambar dari atas pondok kecil: Jetski)

Di hujung seberang tasik terdapat kawasan yang belum berusik. Pokok-pokok dibiarkan tumbuh liar.

Menurut kata mereka di situ, kawasan di seberang sana ini biasanya dijadikan kawasan perkhemahan, berkelah dan memancing.


(Gambar: maza sedang mencari beberapa maklumat dari penduduk sekitar)

Kata mereka lagi, di kawasan lombong ini terdapat kawasan landai. Kawasan yang landai ini selamat dan dijadikan tempat bermandi-manda.

Sungguh pun begitu, pada pendapat maza, kawasan lombong seperti ini masih tetap berbahaya untuk dijadikan tempat bermandi-manda. Ini disebabkan kawasan lombong yang sudah dikorek dan hasil buminya telah diambil akan menyebabkan di sesetengah titik kawasan tersebut mempunyai tarikan graviti yang kuat.

(Gambar: Lampu yang terdapat di syiling pondok)

Jika tersalah hemat ditakuti tatkala asyik bermain dan berenang jauh ke tengah, boleh menyebabkan kita terperangkap ke dalam kawasan titik graviti tersebut. Lalu kita merasakan seolah-olah ditarik ke dasar lombong.

Lebih malang lagi jika kita gagal keluar dari kawasan tersebut, lalu lemas.


Antara aktiviti lain yang dijalankan di sini ialah berkayak atau bermain perahu layar.

Berhampiran Tasik Biru ini, terdapat sebuah kawasan pesta rakyat. Kalau kena harinya, kita dapat menyaksikan pelbagai pesta diadakan di sini.

Kawasan tasik menjadi begitu indah di waktu malam tatkala pesta rakyat berlangsung. Lampu-lampu neon menerangi alam dengan pelbagai acara dihidangkan.

(Gambar: kocakan air di Tasik Biru)

Kalau tidak ada pesta sekalipun, tasik ini tetap menawarkan pemandangan yang menawan. Bulan yang dipagari bintang yang kemudiannya limpahannya di permukaan air memberikan satu pengalaman yang cukup romantik dan cantik sekali.

(Gambar: Tanah airku indah)

Maza juga ada mendengar, di Tasik Biru ini ada menawarkan perkhidmatan homestay. Jadinya, kengkawan bolehlah menginap di sini disamping menghayati keindahan alam.

Sebenarnya negara kita ini cukup cantik dan jelita sekali. Kita harus bersyukur dan hargai setiap apa yang kita miliki.

Jadinya, jom kembara; Malaysia Tanah Airku!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails