‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 16 Mei 2016

LENGIT KALAH MAIN KOMBAT


Bermain kombat dengan anak-anak dalam hujan

Antara permainan maza ketika kecil di kampung (Johor) ialah main kombat (combat) akibat terpengaruh cerita “Ba Ba Black Sheep”(drama siri televisyen tahun 80-an). Sambil berlenggeng berbekalkan pistol ranting dan senapang kayu kami bersembunyi di balik pokok. Kerja-kerja askar menyerang musuh pun bermula. Kami berkejaran sana-sini dan menyorok mencari tempat perlindungan. Bunyi senjata memecah kedamaian kampung.

Kombat tidak habis di situ. Medan perang bertukar di sawah dan ban (taliair). Selalunya perang lebih asyik di Sungai Temiggol yang airnya separas buku lali.

Batas, parit atau perdu pokok di tebing sungai dijadikan benteng pertahanan. Tanah liat dikumpul, dicekut, diseluk dan dikaut kemudian dikepal-kepal. Pecah perang apabila peluru-peluru tanah liat yang dikepal tadi melayang ke udara, bertukar-tukar menghentam dan menyerbu kubu lawan. Bom sana, berdesir sini, bertalu-talu membaham benteng perlindungan dan tubuh kerdil kami. Akibatnya air sungai menjadi keruh. Badan penuh dengan lumpur. Habis perang kami berkubang. Menyelam dan bermain ‘ram-ram reap’ air. Bahagia.

Tidak lama selepas itu Pak Andak atau Pak Ude (bapa saudara merangkap jiran sebelah rumah) menjengguk ban sambil menggaru kepala. Dari jauh kedengaran dia melaung, “Hoi, aku nak mandilah! Air keruh macam mana orang lain nak mandi! Siap korang, siap korang! Aku cakap kat mak bapa korang!”. 

Marah betul Pak Andak (kihkihkih, ketawa nakal)

Apa lagi, kami pun bangkit dari ban dan cabut lari. Setengah jam jugalah Pak Andak dan Pak Ude yang berada di hilir ban itu menanti air kembali jernih.

Tewas perang, ada yang balik awal sambil mengheret selipar pulang ke rumah dengan tanah liat bertepek di belakang badan dan kepala. Perlahan-lahan terdengar suara tangisan. (hahaha, sila ketawa orang jahat).

Ada masanya emak melarang kami bermain di luar rumah. Semangat jihad tidak dapat dihalang dengan tegahan itu. Bantal, tilam dan kusyen kerusi akan disusun begitu strategik. Pertahanan kubu  mesti kukuh. Sebentar lagi akan berlaku pertempuran dan mengempur musuh. Bunyi ‘machin gun’, senapang, pistol, bom, motar, kereta kebal mula kedengaran. Bingit dan sibuk sana-sini. Tidak cukup hebat lagi, kusyen itu pula melayang membadai kubu lawan. Berterbanganlah kusyen tersebut silih berganti. 

Kebingitan kombat itu hanya akan terhenti apabila salah seorang daripada kami atau kesemuanya kena jinjit cuping. Emak memiat telinga sambil berkata, “Biasa ni, biasa ni. Susun balik!”

Selain bermain kombat, kami juga bermain baling selipar, baling tin dengan bola, belon acah, polis sentary dan macam-macam lagi. Dalam permainan ini jika kalah akan diejek “lengit”. Perit telinga kena ejek. Siap ada lagu khas berpantun irama.

nget nget,
buku benang,
sape lengit,
nak bertunang,

nget nget,
perut gendut,
budak lengit,
kuat berendut...

Yang memedihkan telinga, seharian itu jugalah terpaksa menghadap lagu-lagu lengit ini. Tahan sabar sahajalah.

Selepas puas mengejek atau senja sudah menjelma, kami bersurai. Keesokan hari kami bersatu kembali untuk bermain.

~nostalgia anak-anak kampung generasi lalu~
ammak satu kali
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails