‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 31 Mac 2010

Terang Hati


Sadhaqallah hulazim. Esok maza boleh beralih ke surah lain pula, ya.” Atok Dara menamatkan sidang mengaji pada malam itu.

Dari riak lentuk lampu pelita yang samar, Atok Dara memulakan kembali bicara.

“Atok nak cerita sikit tentang junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi kita tidak pernah ketawa terbahak-bahak. Waema nampak sesuatu yang amat lucu sekali pun, baginda hanya sekadar tersenyum.

Pernah Nabi S.A.W melihat gelagat isterinya, Aishah, yang kelakar. Lalu baginda berasa geli hati yang amat sangat. Baginda hanya tersenyum lebar hingga menampakkan gigi putihnya.


Lagipun, kalau kita ketawa terbahak-bahak, akan menggelapkan hati. Orang yang gelap hatinya susah hendak mendapat hidayah.

Dan orang yang tidak mendapat hidayah, tidak akan dapat petunjuk. Maka dia akan sesat. Bila sesat akan banyak buat dosa.

Lepas banyak dosa, dia akan dimurkai oleh Allah S.W.T. Apabila Tuhan marah, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Faham?!”

Maza hanya sekadar mengangguk-anggukan kepala sambil memeluk muqqadam di dada.

“Dah. Sekarang ni pergi simpan muqqadam baik-baik.”

Selepas menjunjung dan mencium muqqadam, maza bangkit lalu meletakkan muqqadam bersama rehal di atas gerobok di ruang seri rumah.

Di luar rumah cengkerik sibuk mengeselkan kakinya. Lalu memancarkan bunyi nyaring memecahkan sunyi malam. Katak saling cabar mencabar, sambil memohon hujan agar turun. Angin malam menghembus layu membawa dingin bersamanya.

Selepas menepuk-nepuk bantal, maza cuba berbaring. Di atas tikar mengkuang, di dalam bilik tanpa berpintu itu, maza masih terkebil-kebil. Terkial-kial sendirian.

Fikiran menjadi ribut. Otak menerwang menerjah sana-sini. Mata terus-terusan tidak mahu lelap.

Tidak senang dengan itu, maza pergi mendapatkan lampu picit di balik bantal ayah. Lalu memasangkannya.

Lampu picit yang sudah menyala itu dihalakan ke dada. Kemudian diarak ke perut. Tidak cukup dengan itu, kembali ia mencerah di belakang tubuh leper ini. Kelihatan beberapa kerat tulang selangka tersusun bersimpang siur tetapi rapi.

“Eh! Kau buat apa tu?”, soal emak lembut sambil mendapatkan tempat tidurnya di sebelah maza.

“Abang nak ‘TERANGKAN HATI’. Siang tadi abang banyak main. Banyak ketawa. Ketawa kuat sangat sampai terbahak-bahak!”

“Uhuk! Uhuk! hehehehe...”, dari tiang seri, di ruang tengah rumah Atok Seman membetulkan suaranya. Atok Seman hampir tersedak mendengarkan keletah maza. Atok Seman mengurut dada yang pepes itu sambil melontarkan senyuman lebar. Gelaknya juga tertahan-tahan.

Atok Dara pula sempat menjeling Atok Seman. Sebenarnya Atok Dara juga mahu terbahak besar. Namun dia cuba bertahan. Suaranya terteran-teran menahan gelihati.

Atok Dara harus bertahan. Dia perlu menunjukkan bahawa pelajaran dan nasihat yang disampaikan tadi sememangnya perlu dipraktikan.

Kemudian Atok Seman bangun sambil melangkah ke pintu. Lalu dia menguak besar pintu itu sebelum menuruni tujuh anak tangga.

“Awak nak ke mana pulak tu?”, periksa Atok Dara kepada suaminya sambil menggobek sirih.

“Ke baruh sekejap. Ke kedai Jantan. Nak TERANGKAN HATI dengan api rokok. Rokok daun aku dah habis.”, Atok Seman berlalu dengan bersahaja sambil menggulum gusi tersenyum simpul.

"Perli aku lah tu!", kata Atok Dara pula kepada emak sambil menjuihkan bibirnya.


  1. model: Mohamad Nasrul Hakim. (junior maza)
  2. Jurugambar: maza



Sabtu, 27 Mac 2010

Pantai Lido, Tanjung Puteri


Kenangan indah ini terpacul pabila menyelusuri ke blog Daddy Aiman dan k.zue.

Inilah pengalaman maza di Pantai Lido, Tanjung Puteri.



(Untuk menambahkan mood membaca entry ini, anda digalakkan untuk memainkan lagu Tanjung Puteri seperti di Youtube di atas secara berterusan)

Sebetulnya, walaupun maza orang Johor jati, tetapi dalam bab mencari rezeki di situ tidaklah menjadi. Rasanya jodoh dan rezeki maza bukanlah di Johor.

Dari Kahang mengembara ke Kluang. Usai menuntut ilmu di Kluang, maza bertapa pula di Taman Tun Aminah, Johor Bahru. Di sana maza menjadi buruh di Kedai Ayam A1. Sekarang ini outlet tersebut sudah ditutup.

Masa maza bekerja di Ayam A1 itu ialah sekitar tahun 1994. Pengurus maza ketika itu En. Syukri, Penolong Pengurus pula En. Zul dan Supervisor ialah En. Rizal pendek.

Ini merupakan kali kedua maza menginjakkan kaki ke Johor (J.B ler). Sudah besar panjang, dah bermisai baru kenal bandar Johor ... hahahaha

Kali pertama maza sampai di Johor ialah selepas SPM (1992). Itu pun Abang Jalil yang bawa maza ke Skudai. Kami tinggal di Taman Universiti. Kononnya Abang Jalil akan carikan maza kerja iaitu sementara menunggu keputusan SPM keluar. Sambil-sambil carikan kerja tersebut, dapatlah maza juga membantunya berniaga di Taman Skudai.

Kenangan terhangat maza di Pantai Lido bermula apabila Ah Yong, gadis kedai sebelah, merenung tajam ke anak mata maza. (alahai Ah Yong!). Tatkala itu maza baru sahaja mendaftarkan diri untuk bertugas di Ayam A1.

Ah Yong bekerja di kedai Ayam Dinding. Ayam Dinding menjual chicken part juga pelbagai barangan harian lain.

Walaupun setelah beberapa lama berkerja di Taman Tun Aminah, maza hanya kenal bus stop Tun Aminah dan bus station di bandar. Selebihnya maza berkurung di dalam asrama yang letaknya di atas kedai Ayam A1 itu.

Tidak lama itu, maza berkenalan pula dengan Abang Halim. Abang Halim ialah abang angkat Ah Yong. Entah macam mana dia jadi abang angkat Ah Yong pun maza tak tahu. Tak terfikir nak tanya pula.

Abang Halim beritahu maza, Ah Yong mempunyai selera berbeza sedikit. Dia suka berkawan dan senang jatuh hati dengan pemuda Melayu. Rasanya keinginan Ah Yoing itu bukanlah suatu gangguan genetik hingga menyebabkan beliau menjadi begitu ... hehehe.

Ah Yong selalu menghantar Abang Halim atau Mas sebagai utusan ke kedai maza. Alasannya beli air minuman. Sambil-sambil itu Abang Halim dan Mas menjadi ejen penyiasat Ah Yong. Menyiasat latar belakang dan tentang maza. Kata orang ... alahai macam merisik gak ler. kuikuikui...

Kadang-kadang Ah Yong sendiri yang datang membeli air tin. Pernah sampai tiga atau empat kali dalam sehari masuk ke kedai maza itu. Konon tujuannya hendak beli jajan atau roti!... wink! wink! wink!.. hehehhehe

Hari gaji pun tiba. Gaji maza ketika itu tidaklah besar mana berbanding dengan mereka. Cukup sekadar keperluan makan-minum sahaja. Kalau ada duit overtime yang lebih itu, maza akan simpan buat belanja kalau-kalau dapat melanjutkan pelajaran ke IPT, ataupun ke pusat latihan seperti IKM (Institut Kemahiran Mara), Pusat Giat Mara mungkin ke Dusun Tua!

***Err.. ke Pusat Henry Gurney maza tak terhinggin lah pulak.. huhuhu...

Alahai kalau nak dibandingkan yang termampu disimpan ketika itu amatlah sedikit. Setelah hampir setahun maza berkerja di situ, maza hanya mampu mengumpul RM200.00 sahaja. Nasib baik jumlah itu telah ditolak dengan pemberian bulanan kepada ibu maza di kampung! hehehhe.. sebenarnya pemberian itu pun tak banyak. Jarang sangat mencecah RM100.

Lagi pun, dahulu maza bukanlah kaki joli. Segala-galanya serba sederhana. Tak pandai nak merayau sana-sini.

Dah besar panjang macam tu pun, kalau beli seluar dalam masih mengharapkan emak belikan. Kalau pergi seorang-seorang berbelanja di Pasaraya Nilai atau Supermarket Champion di Kluang itu, haram tak reti pun.. terkebil-kebil, tersipu-sipu sendirian... hehehehe

Pantai Lido, Tanjung Puteri

(Gambar: Pantai Lido. Kredit untuk digitelwerk)

Rupanya gerak-geri dan penakutnya maza keluar dari asrama telah dihidu oleh Ah Yong dan rakan-rakannya. Apatah lagi merayau di malam hari. Jangan haraplah maza lakukan sendirian.

Hujung bulan yang berbahagia itu, Ah Yong, Mas, Abang Halim dan beberapa orang lain telah 'memaksa' maza mengikuti mereka. Akhirnya maza mengaku kalah.

Malam itu merupakan kali pertama maza merayau-rayau di Pantai Lido. Dari sana, kami dapat lihat Tanjung Puteri dan Pulau Singapura. Lampunya melimpahi gelap malam. Cerah dan ada yang berbalam-balam. Lalu memuntahkan cahaya indah!

Di tengah Selat Tebrau kelihatan beberapa buah kapal sedang berlabuh. Mengerlip-ngerlip lampunya di tengah lautan sana. Memang cantik. Seolah penghias malam gelita.

Malam itu juga Ah Yong belanja maza makan di tepian Lido. Perkhhh.. macam-macam dia orang hidangkan. Ikan bakar, mee goreng, mee bandung. Kira sampai naik senak perut jugalah untuk menghabiskannya.

Selepas makan, maza dan Ah Yong mula menyelusuri Pantai Lido ditemani kengkawan lain.

Ketika itu bayu mula menghembuskan nafasnya. Lembut menyapa wajah bersih kami. Anginnya damai, sejuk dan nyaman sekali.

Di dalam gelap itu ada orang menjaring ikan. Ada juga yang menebarkan jala. Sekali sekala sunyi malam dipecahkan dari bunyi motorbot nelayan berlalu pergi.

Tatkala inilah Ah Yong menyatakan hasratnya untuk berkawan 'rapat' dengan maza.

Maza tergamam. Tidak menyangka Ah Yong memilih malam ini untuk menyatakan hasratnya itu.

Sebetulnya kawan-kawan Ayam Dinding sudah memberi pembayang. Ah Yong pernah dan mudah jatuh hati dengan pemuda Melayu. Aduhaiii....

Tiba-tiba maza terkenangkan pengalaman lama. Kenangan itu terusik kembali. Iaitu seorang gadis Cina mahu berkawan rapat dengan maza.

Namanya Sue Ling. Sue Ling teman sekelas adik maza, Bibiq. Tetapi kisah itu berlaku semasa maza tingkatan satu. Lama dulu. Kali ini kisah hampir sama berulang lagi. hehehehe

Hati menjadi gusar, tidak karuan. Ketika itu maza bercita-cita hendak menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Bab mahu bercouple atau bercinta jatuh nombor dua.

Maza takut bermain perasaan. Apatah lagi orang tua di kampung selalu berpesan, '"belajar dahulu, berendut (cinta) kemudian. Takut nanti mengganggu pelajaran."... "Bina kejayaan. Bagi bukak mata penduduk kampung ini. Barulah kau laku nak anak siapa pun!" (aduhai kanzzz... hazabbb gitew)

Malam itu juga maza terpaksa berterus-terang yang maza tidak dapat memberikan sebarang harapan kepada Ah Yong. Jauh sekali komitment. Tetapi maza bersetuju kalau ada rezeki dan jodoh, insyallah kita akan bertemu semula.

Dalam tak sedar rupanya kembang kepis juga hidung ini. Tak sangka. Ada juga Ah Moi nak kan maza.. hehehehhe... Masa tu nak harapkan gadis Melayu, hmm? Tak boleh nak harap pun.. huhuhuhu. Tak padang sebelah mata pun kat maza.... huhhu

Maza pernah mengendap Ah Yong dari asrama. Dia gadis yang baik dan sopan santun orangnya. Budi perkertinya mengalahkan perempuan Melayu yang pernah maza kenali. Hatinya bersih. Suaranya lembut.

Jika Ah Yong pulang dari shift malam, ayah Ah Yong akan menjemputnya. Ah Yong juga tidak segan-segan mencium tangan ayahnya.

Tiga bulan selepas peristiwa itu, Ah Yong seolah-olah dapat menghidu yang maza akan meninggalkannya. Meninggalkan kota Johor Bahru. Lambaian perpisahan di Pantai Lido makin nyata.

Pada petang yang hening, En. Zul berkata "Tak lama lagi keputusan STPM keluar. Nampaknya maza akan ke UM"

Walhal maza sendiri pun tak tahu apakah keputusan STPM itu benar-benar membawa maza ke UM. Tetapi apa yang didoakan oleh En. Zul memang menjadi kenyataan. Terima kasih En. Zul (orang muor tu.. hehehe)

Sejak petang itu, Ah Yong menampakkan perubahannya. Semakin hari, semakin dia cuba merenggangkan diri dari maza. Barangkali dia sedang cuba mengawal hati dan dirinya.

Tibalah masa maza berangkat pulang ke kampung untuk meneruskan perjuangan. Di pagi itu tatkala teksi mula mengangkat maza ke station bas, Ah Yong keluar dari persembunyiannya di balik pintu Ayam Dinding. Dia melambai lemah kepada maza yang kini di dalam perut teksi itu. Di tangannya terdapat sehelai tisu yang telah basah. Dan itulah kali terakhir maza melihatnya....


Khamis, 25 Mac 2010

Perkhidmatan Kerajaan Yang Paling Cemerlang?


(Gambar: Kad lawatan Hospital Putrajaya)

Dua hari lepas, darling terima SMS kaji selidik dari MAMPU. MAMPU ialah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan. Ia ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Soalan kaji selidik itu berbunyi lebih kurang begini: Pada pendapat anda, yang mana satukah perkhidmatan kerajaan yang paling cemerlang?

a. Lembaga Hasil Dalam Negeri
b. JPJ
b. MIDA
c. Hospital Putrajaya
d. Kastam
e. Immigresen

Sambil menggaru kepala, darling meminta pendapat bernas maza. Lagi pun memang jarang sangat-sangat darling berurusan dengan mana-mana jabatan di atas.

Kalau ada urusan dengan mereka, maza jugalah orang yang terpaksa mengadap pegawai-pegawai tersebut.

Lalu maza memberikan jawapan yang ringkas sahaja iaitu pilihan C. Hospital Putrajaya.

Maza memilih C disebabkan kesemua jabatan di atas ada sangkut paut dengan caj, saman, denda, dan lesen. Pendek kata semuanya ada kaitan dengan urusan RM! Jika kita sebagai pengguna atau pelanggan jabatan tersebut, jawabnya ada yang kena bayar RM yang kebanyakkanya berjumlah wang besar!

Sebaliknya Hospital Putrajaya ialah sebuah perkhidmatan kerajaan kepada rakyat yang tulen (pendapat seposen maza aje heheheh).

Sebabnya kalau kita sakit, kita pergi hospital untuk mendapatkan rawatan. Misi-misi (nurse) pun boleh tahan lawa dan sentiasa bersedia merawat pesakitnya. Kita akan dilayan dengan baik.

Senyuman para doktor pakar sudah mampu mengurangkan penderitaan yang dialami.

Berbeza jika senyuman manis itu datangnya daripada pegawai-pegawai dari jabatan lain seperti Immigresen, Kastam, LHDN. Senyuman mereka seolah-olah membawa 'makna besar berbaur hitam!' hehehehe... (tapi kalau mereka tak senyum, dikatakan tidak mesra rakyat! pula huhuhu)

Tambahan pula di Hospital Putrajaya, pesakit dikenakan bayaran perkhidmatan yang paling minima. Contohnya kalau berjumpa klinik pakar, untuk warga negara, dikenakan caj RM5.00 sahaja. Ubat-ubatan percuma.

Jika dibedah sekali pun, kosnya jauh lebih murah daripada hospital swasta!

Persekitaran yang baik, fasiliti yang canggih, senyuman mesra kakitangannya; dapat menyuburkan suasana kondusif kepada pelanggan! Lantaran itu maza memilih C. Hospital Purajaya.

Jadi, apa pula pilihan anda? Yang mana satu jabatan kerajaan telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat? hehehhehehe




Isnin, 22 Mac 2010

Hembuskan Nafasmu Sayang

Mac 20, 2010 (Ahad) - 6.00 petang. Suasana menjadi sepi seketika. Tiada unggas berkicauan, tiada cengkerik menggesekkan kaki. Jauh sekali belatuk menungkang di pohon ketapang.

Sunyi bagaikan malaikat empat puluh empat lalu. Lentingan jam di dinding berdetik. Tiada helai tawa suara anak-anak kami. Semuanya terhenti.

Sepasang enam mata saling berpandangan. Maza, darling dan Aqlan Sholehin.

"Oh! Sunyinya dunia ini tanpa helai tawa anak-anak kita. Kalau budak-budak tu ada, tentu meriah. Terutama melihatkan teletah dia orang. Tak lah sesepi ini..."

(Gambar: cahaya hati)

Penyudahnya maza, Aqlan Sholehin dan darling berangkat ke Kenny Rogers Roaster Chicken. Terhiburlah juga hati kami daripada mengadap 'kekosongan jiwa' di teratak sepi itu.

Ya! Hari ini juga hari bersejarah untuk isteri maza. Hari ulang tahunnya.

Tahun-tahun sudah anak-anak berkeliling meraikannya. Meriah mengalahkan ibunya yang menyambut hari lahir. Berebut kek. Bahkan pilihan kek pun ikut selera anak-anak. Bukan lagi selera ibu penentu jenis kek untuknya.

Tapi tatkala ini, tanpa kelibat anak-anak terasa benar sunyi. Rindu sudah berkampung di kalbu.

(Gambar: Yang mana satu pilihan kalbu)

Sebaik sampai di Kenny Rogers Roaster Chicken, kami pun mengambil tempat. Gadis pelayan datang membawa menu. Senyumnya lebar, menambahkan selera untuk meratah!

"Pilihlah darling apa-apa yang darling inginkan. Its all me!", senyum ceria dilempar.

"Ok! Abang jangan menyesal tau. Kita nak order macam-macam ni" jeling jahatnya menguji ketelusan hati. Maza menjuihkan sahaja muncung bibir.

Buku menu dibelek satu persatu. Ditekuni. Kemudian pesanan pun dibuat.


...jeda...

"Alamak, abang lupa nak beli kek lah!"

"Laa... Tak payah kek-keklah abang. Abang belanja Kenny Rogers Roaster Chicken ni pun dah cukup. Kita dah gembira dah."

"A' ah! Tak ada kek tak bermaksud kita tak boleh celebrate, kan? Tak bermakna parti kita ini tidak meriah. Betul tak?"

Sesaat kemudian.

"Eh! Abang buat apa tu?"

Muffin yang terhidang di atas meja dicucukkan garpu ke atasnya.

"Ha! Apa lagi, anggap ajelah bendalah garpu ini sebagai lilin. Tiup sampai padam apinya, ya!"

(Gambar: Hembuskan nafasmu sayang. Selamat hari lahir)

Sambil senyum tertahan-tahan isteri maza pun menghembuskan nafasnya pada "lilin" itu. Alahai, kata orang tak ada gading, tanduk pun berguna, kanzzz? hehehehe...

Seorang gadis cilik di hujung meja sana menjeling sambil tersipu-sipu mengintip kelakuan kami. Dia sedang menahan dari tersedak. Juga dari terhambur gelak yang galak.

(Gambar: menjeling-jeling. Buat-buat tak nampak. Tapi hati mau gelak!)

Puas membelek hidangan terkangkang di atas meja. Kini ayam pangang menjadi tumpuan untuk santapan.

(Gambar: Quater Chicken with three side dishes, drink, tiramitshu ice)

Kami nikmatinya seinci demi seinci.

Ayam pangang dihiris dengan pisau. Garpu dicucuk ke atasnya. Kemudian disuakan ke mulut. Segera lidah berasa!

Sekejap itu juga mata terpejam sendiri tanpa dipaksa. Rasa enak memeuhi ruang mulut.

Setelah puas mengisar di dalam mulut, ditelan pula perlahan-lahan. Setiap kali ia lalu ke dinding kerongkong, aduhai, sedapnya bukan kepalang. Perkhhhh!!!! Terangkat kening sehhhh.. hehehehe


Sabtu, 20 Mac 2010

Pertandingan Bowling Carlina 2010

Mac 14, 2010 (Ahad) - Jam dua petang, bermulalah hari bersejarah di Pin Jucntion, 3rd Floor, e@Curve, Mutiara Damansara. Kali ini maza menjadi Pengarah Projek ,Pertandingan Bowling Carlina 2010 itu.

Penganjurnya ialah Badan Pengurusan Bersama (JMB) Carlina. Perasmi projek pula YB Dr. Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara.

Pada tahun 2007, Pertandingan Bowling Carlina diadakan buat kali pertama. Setelah berlaku krisis kepimpinan dan perpindahan pemimpin-pemimpin yang lepas, menyebabkan projek kemasyarakatan ini terbengkalai.

Ketika itu pengarah projek yang sebenarnya ialah Azlan bin Mansoh. Tetapi entah macam mana, dalam diam-diam Azlan yang juga Bendahari Persatuan Penduduk telah menggunakan nama maza dalam urusan rasmi surat-menyurat. Akhirnya tak fasal-fasal maza menjadi pengarah yang lelap.

Walhal projek kali pertama itu buah idea si Azlan sendiri. Katanya dia mahu membuat projek hebat sebelum beliau berpindah ke Saujana.

(Gambar: Menanti giliran)

Sebetulnya, sejak mula maza memang tak berminat sukan bowling ini. Bahkan maza tidak tahu main. Tetapi hakikat sebenarnya mana-mana sukan yang memerlukan perbelanjaan besar, maza akan cuba elakkan diri. Kecuali sukan badminton!

Projek Pertandingan Bowling Carlina 2007 telah menjadi jerangkap samar untuk maza terjerumus. Semuanya gara-gara si Azlan Mansoh selalu mengajak maza bermain bowling di Cinelisure.

(Gambar: Pecah botol)

"Kau boleh main sebenarnya. Kita buat projek ini untuk perpaduan komuniti kita. Jomlah, kita bikin projek dan kau lead", Azlan menjalankan racunnya.

"Aku tak ada experience bab bowling ni. Kalau setakat bola sepak ke, hoki ke, aku taulah"

"Jangan risau. Kau jadi AJK AKUlah. Projek ni biar KITA sama-sama jalankan."

Mengenangkan kata-kata lunak dan dia adalah kawan baik maza, tidak dapat tidak maza tertunduk fikir panjang. Lalu Azlan mengambilnya sebagai kata setuju dari maza.

(Gambar: Cikgu Faizal)

Dalam pengarahan projek, projek Pertandingan Bowling Carlina 2010 bukanlah yang pertama di bawah arahan maza. Sebelum ini pun tatkala di IPT, di sekolah bahkan di kampung sendiri, maza sudah berpengalaman menjadi pengarah!

Akhirnya, syukur alhamdulillah, Pertandingan Bowling Carlina 2010 berjaya dijalankan dengan gilang-gemilang. Walaupun jumlah penyertaan dan tajaan agak kurang berbanding 2007 namun keceriaannya tidak terpadam.

Pada projek 2007, seramai empat puluh orang peserta telah terlibat. Pada tahun ini, seramai 24 orang peserta telah mengambil bahagian dan mereka dibahagikan kepada enam kumpulan dengan cabutan undi.

(Gambar: Johan, Kumpulan 6)

Pemenang kali ini jatuh kepada kumpulan favorite iaitu Kumpulan 6.
Naib Johan: Kumpulan 2
tempat ketiga: Kumpulan 1
tempat keempat: Kumpulan 3
tempat kelima: Kumpulan 5
tempat keenam: Kumpulan 4

Pemenang kategori individu pula ialah
Johan Lelaki: Cikgu Faizal
Naib Johan Lelaki: En. Hamzan

Johan Wanita: Pn. Mahanim
Naib Johan Wanita: Cik Aimi Ajlaa Bt. Hassan

Hadiah Kumpulan
Johan: RM300 & 4 buah Diari Islamiah 2010
Naib Johan: RM200
Tempat Ketiga: RM100
Tempat Keempat: RM60
Tempat Kelima: RM50
Tempat Keenam: RM40

Hadiah Individu
Johan lelaki/wanita: RM50 & Diari Islamiah 2010
Naib Johan lelaki/wanita: RM25

Penaja projek: ADUN Kota Damansara, Restoran Naina Muhammad Seksyen 5, Kota Damansara dan Che Mat Ghani bin Che Will, Pengerusi JMB Carlina.

Kepada para pemenang maza ucapkan tahniah. Jumpa lagi tahun depan (psst: kalau panjang umur dan kederat masih ada lorrr..huhuhu)


Selasa, 16 Mac 2010

Nenek Saya Sayang Saya...



(Gambar: Nenek saya sayang saya)

Semalam uwan dan abah kepada anak-anak maza telah datang. Apa lagi, mengendeng hendak membawa pulang anak-anak maza itu sempena cuti pertengahan semester sekolah.

Mereka meminta kebenaran kepada kami untuk membawa pulang Nasrun (6 tahun) dan Daniel (4 tahun). Kalau dibenarkan, ini merupakan kali ketiga anak-anak maza bercuti panjang di kampung tanpa kehadiran ayah dan ibu mereka.

Sebelum kata-kata meminta izin terpacul dari mulut emak, terlebih dahulu mereka telah menyarungkan sepasang pakaian kepada Daniel. Di baju tersebut jelas terpampang perkataan "Jom balik kampung. NENEK SAYA SAYANG SAYA".

(Gambar: Pewaris. Nasrun & Daniel)

Melihatkan itu, maza tersenyum. Memang, agak lama juga kami tidak pulang. Kalau tidak salah maza baru dua bulan lalu kami menjenguk mereka di kampung.

(Gambar: 'Landing baik punya. Lihatlah betapa manjanya si Daniel dengan atuknya)

Kata emak lagi, dia merasa sunyi tanpa riuh rendah suara cucu-cucu mereka. Lagipun cucu berdua itulah dulunya mereka pelihara hampir 3 tahun di Kuantan.

(Gambar: Sunyi. Tiada lagi riang tawa anak-anak)

Akhirnya maza mengalah dan membenarkan Nasrun dan Daniel pergi bersama abah dan emak.

Baru seharian mereka berpergian, dunia maza bagaikan kering-kontang. Sunyi. Sepi. huhuhuh

"I miss you, my sons" uwakkkk!!!!

(Gambar: Terasa kekosongan. Ditinggalkan pergi)



Jumaat, 12 Mac 2010

A Picture with A thousand sense of Emotions


A few friends of mine had asked me to photographs my baby. At first place, I totally no idea how to do it.

After a while, Ms. Nono introduced me some of baby photograph's blog. Then, only by the chance, I tried to photograph my baby moments. hehehehe

Any comment is welcome..

After edited those black & white pics, than I started realize. Every single picture have own story. A story about ourselves growth from mum womb. There a face that lies a moment of true love and hardship journey.

A: Happiness
B. Tranquil
C. Wonder & Hardship
D. Serenity in enlightenment
E. Surrender & Submit



Ahad, 7 Mac 2010

Warisan Di Tengah Sawah

Lokasi penggambaran:
Laman Warisan Budaya, Restoran Warisan,
Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
(Bersetentangan simpang ke Istana Seri Menanti).


Februari 27, 2010 - Sepasang kekasih menyelusuri batas-batas sawah selepas membasahkan tekak. Dari Restoran Warisan di tengah sawah itu, mereka menuruni anak tangga. Berjalan beriringan dengan senyuman paling bahagia.

(Gambar: Pintu masuk Laman Warisan Budaya (Restoran Warisan))
Payung adat ditempatkan di luar pintu masuk menandakan mengalu-alukan kedatangan penziarah.

(Gambar: Pemandangan dari dalam Restoran Warisan)

Mereka rancak berbual-bual di bawah pohon kedondong. Sambil memerhatikan 'orang-orang' (patung) berdiri setia di tengah bendang. Di hujung sana burung kedindit sedang sibuk mencari makan. Udara petang yang nyaman dihirup bersama.

Sawah di depan matanya luas saujana mata memandang. Padi yang baru bunting tertunduk malu. Mentari petang mengiringi mereka. Redup dalam hangat. Horizon sana menampakkan kebiruan. Seolah memayungi cinta mereka.

Mereka khayal memadu kasih yang disaksikan rumpunan padi dan kawanan burung bangau putih. Sesekali mereka bergelak ketawa. Sekali sekala mereka melontarkan batu kecil ke dalam petak sawah yang berair.

(Gambar: Congkak alat permainan tradisi. Mengambil tempat sebagai hiasan)

Taliair mengalir lesu. Lemah gemalai. Airnya sejuk dan menyegarkan. Angin sejuk lembut menyapu muka. Rambut lurus panjang yang jatuh di dahi terselak menampakan wajah yang ayu. Manis wajahnya. Segar bugar dan redup pula.

Dalam asyik berpegangan tangan di atas titi, sambil bermain air dengan menguis kaki, mereka terlihatkan kanak-kanak sedang leka bermain.

(Gambar: Titi yang dibina dari buluh. Tempat melintas taliair dari Restoran Warisan ke Sawah)

Kanak-kanak itu cukup riang. Gelak tawa memenuhi ruang alam. Berlari ke sana sini di atas batas. Mereka tidak takut terjebur ke dalam sawah. Bergelumbang dengan lumpur.

Mereka tidak runsing tentang lintah. Jauh sekali merungut miang benta dan padi.

Mereka tidak risau. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Mereka sungguh gembira.

Kemudian kanak-kanak itu membina istana. Istana tanah liat dibina dari lumpur sawah. Bersama selut dipupuk-pupuk membentuk binaan indah.

(Gambar: Reka bentuk Restoran Warisan. Menampilkan rekabentuk istana Melayu lama. Tapi rasanya kalaulah dibuatkan bumbung Minangkabau, barulah kena!)

Pasangan itu tersenyum. Membayangkan keindahan meniti hari-hari bahagia. Di atas pelamin nan indah. Perasan itu pasti mereka berkongsi bersama. Oh! Alangkah bahagianya...

Pada hari itu nanti disertakan hidangan istimewa buat mereka. Dilayan umpama raja. Sekelian pembesar, ibubapa, kaum kerabat dan rakyat jelata akan mengadap singgahsana idaman. Mereka dijunjung bagaikan raja sekelian alam. Dunia ini jadi milik mereka.

(Gambar: Menu makanan. Tempat kelihat ekslusif. Harga juga boleh tahan ekslusif. Rasanya boleh tahan hebat juga)

Tetamu yang hadir disusun bersaf-saf. Tok kadi, tok imam, tok siak, penghulu turut hadir menjadi saksi.

Bahkan pembesar negeri bergelar turut meraikan hari pernikahan mereka. Datuk, Datin, Tun, Tan Sri memberikan ucapan tahniah.

Kalau tiada tetamu hormat itu pun, yang datang hanya sekadar datuk-datuk dan nenek-nenek bongkok sabut itu lalu melabuhkan senyuman cengkung, sudah cukup bahagia buat mereka.

(Gambar: Tempat duduk yang dihiasi indah)

Mereka hanyut meneguk setiap detik kemanisan itu tanpa sebarang gangguan. Mereka menerawang khayal di puncak kayangan. Jauh di lubuk hati terasa amat bahagia. Bahagia dicita bakal akhirnya terbina.

(Gambar: Kedai cendermata. Hasil keluaran penduduk tempatan ada dipasarkan di sini)

Sedang asyik kanak-kanak itu bermain, tiba-tiba seekor kerbau balau menghampiri. Wajahnya bengis. Tanduknya lengkuk ke hadapan. Tajam lagi hitam.

Lalu kerbau balau menginjak-injak istana impian itu. Lagaknya tiada belas kasihan. Yang kedengaran dengusan amarah! Badannya penuh hitam berminyak, berpalit lumpur di sana-sini.

Istana bahagia punah, MUSNAH!

Hanya sekelip pandangan segalanya berubah. Istana gah menyembah bumi. Piung-piungnya tidak berbaki. Menjadi rata, leper di permukaan tanah. Ia kembali menjadi selut, lumpur yang kotor.

Kekasih itu berpandangan sesama sendiri. Merenung jauh ke dalam anak mata. Kaki yang terendam berhayun, terhenti kuisannya. Masing-masing meneguk liur sendiri. Menahan sebak merombak hati ceria.

Mereka mulai takut. Takut bila mana istana impian musnah diharung cabaran. Musnah dirobek-robek sang penaka! Rebah, bercerai kucai-lanang!

(Gambar: Hasil bahagia yang diperolehi dari perkongsian hidup)

Tersedar dari lamunan, tatkala itu juga mereka meneguh janji setia. Walaupun bencana datang menggila, istana bahagia tetap dipertahankan. Demi cinta mereka!

Perlahan mereka bangkit meninggalkan tepian sawah. Mereka mengorak langkah pulang ke rumah. Hari mendatang perlu ditempuhi. Dan hari ini akan berlalu lagi. Petang berlalu senja menyingsing. Tanda hari baru akan bermula lagi.


Isnin, 1 Mac 2010

Dunia Yang Semak.

Dengan sebiji bantal di kepala, Mandir baring di hadapan TV.

Dia sedang menonton Discovery Channel dari rakaian program TV berbayar, Astro. Mukanya jernih, tetapi hatinya berperang, resah. Mandir bimbang tentang masalah dunia. Bimbang bukan kepalang.

Emak pulang dari pasar Selesa di pekan Kahang. Emak masuk melalui pintu dapur yang terkangkang.

Sebeban sayur-sayuran dihepaskan di atas meja makan. Ikan yang berberapa kilo itu diletakkan di dalam peti sejuk. Sakit hatinya bertambah sebaik melihatkan anaknya si Mandir sedang bersilang kaki sambil terlentang di ruang tamu itu.

"Cuba kau contoh budak Zaid tu. Pagi-pagi lagi dah ke kebun. Kau tu dah lah tak pass SPM. Malas pulak nak ke sawah, ke kebun.

Tengok kebun si Ah Leong, bersih. Sehelai rumput pun tak ada. Senang nak memotong getah! Tu sawah si Semion, nak cari benta pun tak nampak tau.

Kau tengok pula sawah kita tu ha. Lalang pun dah nak sama tinggi dengan padi. Rumput dan resam kat kebun getah tu pun dah boleh cucuk bontot aku ni!", leter emak.

"Bukan saya malas mak. Cuma sejak akhir-akhir ini, Mandir rasa ada kesedaran tinggi. Bumi semakin tenat mak.

Cuba mak tengok kat dalam TV ni. Pasal pokok tak adalah, dengan musnahnya hutan belantara. Orang gunakan racun sesuka hati. Musnahkan tumbuh-tumbuhan. Bunuh parasit, tikus dan ular.

Akhirnya bumi kita menjadi panas. Apa kata orang tu, global warming.

Kita juga yang menjadi sensara. Bencana sana, bencana sini.

Sebab tulah Mandir rasa tak perlu nak bersihkan kebun tu sangat. Demi menghijaukan bumi kita. Dan memulihkan bumi yang semakin tenat ni mak.." mata Mandir masih memegun di peti TV itu. Lagaknya seperti orang yang tidak ambil kesah.

"Woo.. bagus betul anak mak niiii... tersangatlahhhh bijak dan termotivasi pulak orangnya. Lepas ni, kita pun tak payah pergi ke kebun, tak payah membajak sawah. Tak payah toreh getah.

Lepas tu kita pun makan aje rumput dan lalang tu. Buat sayur. Dan jangan makan nasi dan lauk sedap-sedap.

Ooo.. kau ingat kalau tak bersihkan kebun, tak toreh getah, tak bersawah tu, kau kan berduit dan boleh makan?" perli emak pula.


psst: Gambar dlm betuk RAW, tak beredit gitew.. hehehehe


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails