‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 18 Februari 2016

MOGA SELAMANYA BAHAGIA


Bermain hujan di kampung
Ayuh, mari pukulkan rebana,
rebana ubi buatan ayah
Usahlah hati gundah gulana
Hidup ini bukan untuk payah

Detik-detik sebegini, hujan rintik menjadikan hati redup.
Redup mengenangkan saat kita masih kecil
Masih anak-anak
Saat paling gembira
Di samping orang tersayang
Di bawah hangatnya naungan kasih ibu dan ayah...
 
Di belakang tengkuk ayah

Apa khabar orang kampung?
Apa khabar ibu?
Apa khabar ayam?
Apa khabar itik?

Moga semuanya bahagia
Bergembiralah, cubalah bergembira
Senyumlah, ukirlah senyummu di balik ulas bibir mungel itu.
 
Puisi entahapahapaentah oleh:
 
 
 

Khamis, 11 Februari 2016

SAINS vs SASTERA: Konflik Aliran

Arkitektur: Bagunan KTMB, Kuala Lumpur


Sastera itu sebetulnya pembina siasah diri.

Kalau sains itu kenderaan, pengendali kenderaan itu sastera.

Tanpa jiwa murni yang disuburkan melalui sastera dan ilmu sosiologi, sains akan hanya membawa punah kerna salurannya di cerombong wenang-wenangan.

Mahu membina tamadun bangsa perlukan sastera yang penuh dengan pemerhatian sejarah. Ya, satera itu perakam sejarah. Apa sahaja metode perakam sejarah itu sastera. Jadi, sains juga aliran sastera kerna sains membutuhkan perakam sejarah untuk merekod kejadian fenomena ujiannya serta menayangkan kemajuan penemuan yang dibanggakan demi pembinaan tamadun dunia.

Makanya, metode sasteralah yang mengalirkan perakam sastera ini bisa mengampuh dan menjulang nama sainstis di kemudian hari, kerna tanpa seni jiwa manusia itu mati.

Indah itu sastera, bukan? Fitrah manusia itu berkehendakan keindahan dan kesenian. Dalam sains pun memerlukan keindahan. Tanpa keindahan hidup ini 'dal' (dull).

Dalam sastera ada rumus kira-kira juga, ada rumus pengurusan ada rumus pembinaan kekayaan; kaya diri, masyarakat dan negara. Apakah mereka lupa, pembinaan kekayaan ekonomi negara dan diri ini adalah lahir daripada mentelaah cabang ilmu sastera?

Ya, ekonomi dan perakaunan itu sastera dan seni; setidaknya seni pengurusan itu juga sastera.

Barangkali mereka lupa, angka nol dan bilangan sa, puluh, ratus hingga 2.6 bilion itu asal terbitnya adalah cabang ilmu kesusateraan yang penuh dengan falsafah dan santunan seni yang berfakta.

Mengenal solat daripada al-Quran dan Nabi SAW


Mereka juga lupa, untuk berada di jalan yang lurus, orang itu juga perlu mendalami sastera. Itu, al-Quran itu adalah satu maha karya agung kesusasteraan yang bukan datangnya dari tangan manusia. Membawa manusia kepada nur kebahagiaan tanpa adanya pembrok-brokan dan pembataian sesama makhluk dan alam. Apakah dengan wacana sains sahaja mampu memahami dan menukilkan isi alam dalam siratalmustaqim?


Nukilan lantun-lantun

Khamis, 4 Februari 2016

PONDOK SEWA KECIL BERTIANG KAYU

Maza tidak yakin ramai yang mampu menge'cam' wajah maza dalam gambar di bawah ini.

Gambar separa klasik itu dirakamkan seputar tahun 1993/4 (STPM).

Kelihatan dalam gambar: Halim bin Awang Johari, Cikgu Faizal bin Ramlan,
Abdul Rahman, Zailani Bohari, Kak Nor (Normah Lasman),  Abang Din
Baby Syahrul, Idris Saleh dan Maza

Lokasi di Jalan Orked 3, Kampung Melayu Kluang di hadapan rumah sewa kepunyaan Pakcik Naim (Ita N Zol). Sewa ketika itu cuma RM60 sebulan. Jumlah penghuni berbeza mengikut penggal atau semesta pengajian tetapi minima lima orang dalam satu-satu masa.

Rumah ini menjadi saksi perjuangan dalam menuntut ilmu di bandar ini. Kembara hijrah maza bermula di sini dengan meninggalkan kampung halaman dan keluarga. Sekolah Sultan Abdul Jalil adalah tempat kami bersatu di bawah satu bumbung yang jaraknya 3 batu dari istana (pondok) kami. Biasanya kami mengayuh basikal lumba (racing bike) ke sekolah atau ke bandar Kluang. Jangan tidak percaya, kerap juga kami mengayuh untuk pulang ke kampung masing-masing. Jarak antara bandar Kluang dengan kampung masing-masing tidak kurang daripada 25km. Kampung maza sendiri sejauh 45km. Jadi, bayangkan sahajalah susuk tubuh dan kaki kami ketika itu (sadolah sangat kanzzz..hahaha).

Penghuni 'istana kristal' ini terdiri daripada pelbagai latar belakang sekolah. Antaranya ialah daripada sekolah swasta seperti Pusat Tuisyen Afdal dan Sekolah Swasta Semai iaitu Shamsi, Rozmanor, Norhaizam Gaman dan Fauzi Lakidin, Sekolah awam pula seperti Sekolah Felda Kahang Timur dan Sekolah Felda Kahang Barat seperti Rohaizan Tukiman, Mat jiran Idris Salleh dan lain-lain. Seorang pekerja Mardi iaitu abang Marsom.

Saiz istana ini kurang dariapada 600 kaki persegi dengan sebuah bilik tidur, bilik mandi dan jamban.

Jasa penduduk kampung itu tidak dapat kami lupakan. Pengalaman bersama mereka telah menjadi sebahagian tinta catatan kedewasaan kami. 

Bergambar kenangan di hadapan rumah (pondok) sewa kecil bertiang kayu.
Kelihatan: Zailani Bohari, Maza, Faizal Ramlan, Halim Awang Johari
Idris Salleh dan Abdul Rahman

Mak Idah (Hamidah Sahar) dan arwah abang Miskam besar jasanya kepada kami. Kata Noraizam Gaman, kedua susuk inilah sumber 'bantuan bekalan' saat keadaan meruncing. Terima kasih mak Idah kerana begitu baik dan perihatin kepada nasib kami, sang musafir penuntut ilmu. Jasa Mak Idah dan Abang Miskam tidak mampu kami balas melainkan iringan doa agar segala kebaikan kalian dibalas dengan sebesar-besar balasan rahmat Allah.

Kepada jiran sebelah rumah Kak Nor (Normah Lasman) terima kasih kerana begitu sabar dengan kerenah kami yang bujang 'terang tang-tang'. Akak Nor memang 'awesome'. Banyak benda yang kami kongsi dan gelak sama-sama. Tangis sahaja berbeza nada. Hik hik...

Hari ini pondok kecil bertiang kayu kami sudah rebah ke bumi dek kerana desakan arus pembangunan. Tapaknya sudah berganti dengan banglo (rumah batu sewa dua pintu). Semuanya hanya tinggal nostalgia.

Nukilan
 
 

Rabu, 27 Januari 2016

ORANG KAMPUNG vs ORANG BANDAR MEMBELI BELAH DI PASAR RAYA

Saat maza di kampung lewat 80-an dan awal 90-an kalau turun ke Bandar Kluang untuk membeli belah (window shopping) pastinya akan mengenakan pakaian yang terbaik dan penuh gaya. Macam-macam fesyen dikenakan (ada juga emak paksa kenakan).

Konon katanya jangan jadi rusa masuk kampung, janggal. Jangan sampai ada yang mengata si polan anak si polan selekeh bagai orang Sakai turun ke pekan, jakun.

Biasanya orang kampung seperti maza dari Kg Sri Lukut, Kahang akan ke supermarket seperti NILAI dan CHAMPION hendak membeli atau mencari sesuatu kelainan. Lazimnya mencari alat-alat tulis, buku sekolah, baju dan seluar. Kami tidak membeli belah barangan basah/dapur di sini, kalau ada pun amat jarang sekali.

Pasar raya ini juga dijadikan tempat berpeleseran atau melepaskan lelah bila penat 'mengukur jalan' ke hulu ke hilir. Pedingin hawa cukup untuk menyejukkan badan sambil 'usha' anak dara atau orang kampung yang menjengah-jengah di situ.

Hari ini setelah bermustautin di bandar metropolitan, perkara-perkara seperti itu sudah berubah. Maza kerap berbelanja barangan dapur di pasar raya. Semuanya ada di bawah satu bumbung.

Namun apa yang lebih ketara ialah corak dan gaya berfesyen ke pasar raya juga berubah. Tidak lagi bergaya sakan dengan berbaju baru, berseluar kemas siap berbedak atau bersikat belah tengah. Sikat dan sapu tangan 'key' tersentil di kocek belakang seluar.

Maza mengenakan pakaian yang ringkas sahaja. Ala kadar. Berkain pelikat dan berselipar tanpa mempedulikan hal orang sekeliling. Sambil menjinjing barangan yang dicari, saya terus ke kaunter bayaran dan beredar.



Siapa pernah bergaya berkain pelikat dan baju tidak bergosok ke pasar raya, sila angkat ibu jari. Hik hik...

~ammak satu kali~




Rabu, 13 Januari 2016

KEMBARA ANAK BERANAK TAK BERAPA NAK BERPINAKLAH PULAK


Sabtu, 9 Jan 2016 - Sampai Kampung Sri Lukut, Kahang jam 11.45am dengan anak sulung Nasrun. Kami bersemangat pulang ke kampung halaman. Subuh lagi sudah bersiap. Teruja.

Sebetulnya pada dini subuh itu maza telah mengakal isteri.

"Abang ni bersiap-siap hendak ke mana?" tanya isteri.

"Ada hal kecemasan. Baru teringat ada kerja belum siap di ofis."

Ketika itu suara maza memenuhi ruang rumah kecil tiang entah berapa ribu entah ini. Maza mengejutkan anak-anak untuk solat subuh. Dalam kekecohan anak-anak mengambil wuduk, maza mengajak Nasrun untuk menunggang "kuda" Cik Silvy. Apa lagi, disahutnya dengan riang.


Sudah sampai tapi, tapi....


Perjalanan dari rumah seputar KL ini ke kampung itu mengambil masa lima jam. Sengaja maza tidak memecut gegak gempita tak berjejak tanah. Maza ingin menikmati setiap detik perjalanan bersama Nasrun. Lagi pula maza maklum bahawa gerakan ops lalulintas oleh pasukan keselamatan sedang giat dijalankan (hik hik).

Dalam perjalanan yang jauh itu, maza cuba mengasuh Nasrun untuk menangkap gambar pemandangan (scenery & landscape) dari atas kuda besi ini. Setidak-tidaknya Nasrun tidak mengantuk atau bosan.


Sebaik sampai destinasi, tak sempat motor bertongkat, salam dilaungkan bertalu-talu, tanda tak sabar dan ghairah. Hampir seratus kali tapi tiada siapa yang menyahut. Senyum lebar berahi bertukar resah. Emak dan seisi rumah tak ada. Puas memanggil dan pukul telefon tapi tak berjawab.


Inilah bahana hendak buat kejutan. Sudahnya terkejut dan terkulat-kulat sendirian.

Dalam hati mula bertanya, tengahari ni nak makan apa? Malam ni nak tidur mana? Huk huk.

Sekonyong-konyong melintaslah si Lanun di depan mata. Tanpa betah, segera bertanyakan ke manakah tuannya pergi. Sambil muka toya, Lanun meleset-lesetkan tubuh. Eh, dia minta makanan pula pada kita. Haderk!

Lanun sedang membuat muka sadisnya.

Mujur juga ada si kucing Lanun ini. Malam nanti bolehlah dia jadi lawan cakap, penghibur dan peneman tidur. Setidak-tidaknya dapat jugalah memanaskan badan. Uhuk!

Krik krik!

(Nampaknya, tidur di luar atas pangkinlah malam nanti)
Ammak satu kali...

nukilan lantun-lantun:
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails