‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 26 Februari 2016

JDT SUKA SUKAN

Musim sukan sudah tiba.
Anak-anak sekolah terkinja-kinja.
Semuanya ingin menjadi juara.
Termasuklah juga anak kita.

Pak cik Maza dulu pun suka sukan.
Hari-hari pak cik bersukan.
Cuma sekarang pak cik malu bersukan.
Tua jadikan pak cik segan
Pak cik suka sukan lontar sabut dalam bulatan

Sekarang, sukan yang pak cik suka ialah makan.
Mencekik mee kari di RnR Macap, Johor satu pinggan.
Mee bandung pun boleh tahan.
hik hik


Mee kari semangkuk dua di RnR Macap, Johor

~ammak satu kali~

Puisi lantun-lantun oleh  

Khamis, 25 Februari 2016

BUKAN HENDAK MEROSAKKAN DIRI

Dimulakan kalimah ini dengan ucapan, "Allah Maha Pengasih dan Allah Maha Penyayang."

Apa jua yang Allah takdirkan kepada kita bukanlah Allah hendak merosakkan makhluk-Nya, melainkan untuk kebaikan dan kebahagiaan di kemudian hari; kecuali Allah berkehendakan sedemikian rupa yang sesuai dengan sifat ketuhanan 'irradah dan kudrah' (Kehendak dan Kekuasaan-Nya').

Sawah Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor

Pada muka surat pertama, surah mukadimah 'ummul kitab' (Al Faatihah), kita diajar supaya bermohon kepada Allah agar Allah SWT menunjukkan kita ke jalan kebenaran (siratalmustaqqim) iaitu sepertimana Allah telah kurniakan nikmat-Nya ke atas makhluk/orang yang terdahulu dikurniakan nikmat (bahagia dan selamat di akhirat); dan bukannya ke jalan atau menempatkan kita dalam kalangan orang-orang derhaka, dimurkai atau orang yang telah disesatkan (seperti Karun, Firaun, Haman dan Abu Jahal).

Takbir!
ALLAHUAKBAR!

Selasa, 23 Februari 2016

APAKAH KAU MENGIRA SUDAH BERHABIS HARTA MEMBANTU MANUSIA


Saujana mata menandang:
Sawah padi di Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor.

Saya berjalan di siar kaki lima di tengah kota yang hiruk pikuk. Tiada siapa yang peduli. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Hidup nafsi-nafsi. Bingit telinga dengan lantunan bunyi hon menjerit bertalu-talu apabila ada pengguna jalan raya membuat kesilapan atau empunya kenderaan itu tidak berpuas hati dengan pengguna jalan raya yang lain.

Saya menyelusuri sebuah gedung pasar raya dan deretan kedai satu persatu. Seperti biasa, saya berjalan pantas untuk segera ke tempat kerja. Sehingga saya melalui di hadapan sebuah kedai dan terlihatkan seorang remaja yang saya jangka sebaya 15 atau 16 tahun duduk bertinggung. Saya gelengkan kepala.

Malas, getus hati saya menghukum.

Tidak jauh dari remaja itu ada sebuah kotak. Kotak berwarna hijau. Di atasnya lengkap dengan peralatan membaiki kasut. Beberapa helai kain buruk, setin gam, selonggok tapak kasut dan sebatang tukul getah.

Mana tuan empunya kotak ini? Biarkan kotak tidak berjaga, kalau dicuri orang, usah menyalahkan sesiapa, hati saya menggerutu di atas sikap tidak bertanggungjawab pemilik kotak hijau tersebut.

Remaja itu tidak hiraukan persekitarannya. Matanya tertancap ke senaskah buku. Sekali sekala mengangkat kepala lalu menyedekahkan senyuman. Manis juga senyumannya. Saya mencebik bibir, mengajuk.

Keesokan hari saya melalui deretan kedai yang sama. Saya terpaksa melalui kaki lima ini setelah saya dinasihati oleh doktor agar bersenam selalu.

“Kolestrol awak amat membimbangkan, sebab itu awak selalu berasa tidak sihat. Sekarang awak dalam kategori berisiko tinggi mendapat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung. Elok cegah sebelum parah. Bersenam dapat membantu kesihatan awak.” Kata doktor yang merawat saya minggu lepas.

Saya lihat seorang dewasa sedang menghulurkan kaki kirinya di atas kotak hijau yang saya temui semalam. Dia berdiri sambil membaca surat khabar. Di hujung kasut itu ligat tangan menyental kekotoran. Kasut itu digilap dengan bersungguh.

Selesai menggosok, tukang gilap kasut mengangkat muka dengan melemparkan sekuntum senyuman kepada orang dewasa itu. Saya amati wajahnya. Ya, saya kenal. Ini budak semalam. Ah, telahan saya semalam meleset sama sekali. Saya sangkakan budak ini sama seperti budak-budak lain yang suka berpelesaran, pemalas, kaki melepak tidak tentu hala.

“Dua ringgit tuan,” kata budak itu sambil mendongak. Di bibirnya masih mengukir senyuman.

Orang dewasa itu menggulungkan surat khabar dan menyelitkan di celah ketiaknya. Dia menunduk ke bawah memeriksa hasil kerja remaja itu. Dia menganggukkan kepala tanda berpuas hati. Tangan kanan menyeluk saku dan mengeluarkan dua helai duit kertas. Transaksi pun berlaku.

Setelah lelaki dewasa itu pergi, remaja tadi mengangkat duit dua ringgit itu diletakkan pada kedua belah mata lalu mengucupnya.

“Alhamdulilah. Terima kasih ya Allah. Pada-Mu kami berharap rezeki yang barakah,” jelas di raut wajah remaja itu puas dan keriangan.  

Anak muda ini menyimpan duit tadi ke dalam saku seluar compang-campingnya. Dia berbaju lusuh tetapi bersih. Setelah menyimpan, seperti semalam dia mengeluarkan sebuah buku. Dia membaca. Di sebelah kanannya saya lihat ada sebuah buku tertera logo sekolah agama.

Dua ringgit? Murahnya. Macam tak berbaloi dengan kerja yang dibuat, saya berasa aneh. Dalam masa sama perasaan kagum mulai muncul perlahan-lahan. Setidak-tidaknya dia berdikari, berusaha mencari rezeki sendiri.

Saya membiarkan peristiwa itu berlalu. Di dalam dada terbit perasaan kesal. Sebagai menebus perasaan buruk sangka, saya nekad untuk kembali bertemu remaja ini. Esok saya mahu menggilap kasut dengannya pula.

Baru sahaja hendak melepasi budak itu, langkah saya terhalang. Saya terdengar suara anak muda itu perlahan, tetapi merdu. Dia sedang mengalunkan surah Amma. Saya terpegun sendirian lantas tertunduk malu. Perlahan-lahan saya mengorak langkah. Saya bertekad esok hendak bertemu dengannya.

Aku perlu bantu anak kecil ini, tiba-tiba suara hati saya mendesak.

Keesokan harinya saya keluar awal. Saya mencari-cari anak tersebut. Dari satu deretan kedai ke satu deretan kedai tetapi saya tidak meneuinya. Anak itu tidak ada di tempat biasa.

Di hujung jalan sana saya lihat sebuah lori Majlis Bandaraya dan sebuah kereta polis sedang parkir di tepi jalan. Lampu dari kenderaan itu berkelipan menyilaukan pandangan. Anggota penguatkuasa ramai berkerumun.

Ah sudah! Habislah nasib anak itu. Pasti dia kena angkut, saya mulai risau dan perasaan kasihan menyerbu ke sepelusuk ruang jantung.

Saya mempercepatkan jalan. Dari jauh saya lihat remaja yang saya cari itu sedang memeluk erat kotak hijaunya. Peralatan kasut berterabur di atas kaki lima. Gam, besi penyendal kasut, tapak kasut, gunting, pisau, benang dan bangku kecil berselepah. Remaja itu hanya berdiri tercegat, kaku. Penguatkuasa yang lain sedang sibuk memungut peralatannya.

Saya pun berlari-lari anak pergi ke tempat anak itu. 

Dari sisi Masjid Mustaqim, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor:
Kelihatan jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merentasi
Teluk Sengat dari Pulau Juling, Kong Kong Masai ke Tanjung Penyabung, Kota Tinggi.

 “Encik kenapa ini encik. Kasihanilah anak ini. Dia tidak buat salah. Dia sekadar mencari makan di kaki lima ini. Lepaskanlah dia encik.” Saya segera mendapatkan salah seorang pegawai di situ.

“Eh, kami bukan merampas barangan budak ini. Baru kejap tadi ada penyamun. Dia meragut seorang perempuan mengandung. Perempuan tu terjatuh dan diseret bersama beg tangan. Jadi, budak ini kejar. Dia baling semua barang ini ke arah peragut itu. Besi kasut ni kena ke kepala peragut. Peragut tersungkur, tas tangan dapat balik. Perempuan tu cedera. Kebetulan kami sedang buat rondaan. Tu, penjenayahnya dalam kereta peronda. Perempuan tu pun dah di bawa ke hospital.” Terang pegawai penguatkuasa.

“Err . . . sebenarnya kami sedang buat operasi pembersihan peniaga-peniaga haram hari ini. Oleh kerana budak ini tidak mempunyai lesen dan dia juga telah membantu menangkap penjenayah, kami hanya memberikan amaran kepadanya. Dia tidak boleh berniaga di sini lagi. Kami pun sudah terima komplen. Hari ini barang-barang niaga budak ini kami tidak rampas. Kami lepaskan. Esok janganlah dia berniaga di sini lagi,” kata pegawai itu lagi.

Saya tergamam. Dalam masa sama saya tidak boleh menyalah atau mengatakan anggota penguatkuasa itu kejam. Itu memang tanggungjawab mereka, sudah termaktub dalam undang-undang. Mereka menjalankan amanah. Saya hanya menganggukkan kepala tanda faham.

Hari itu saya tidak jadi menggilap kasut dengan remaja tersebut. Saya tolong kutip segala barangannya yang bertaburan. Anak itu juga mengetahui bahawa pada keesokan hari dia tidak boleh berniaga di situ. Tiada lagi perkhidmatan menggilap atau membaiki kasut yang boleh ditawarkan dengan harga amat berpatutan atau dalam kata lain amat murah.

Anak remaja berpakaian lusuh, berseluar compang-camping tetapi bersih itu tetap melemparkan senyuman. Entah senyuman itu untuk apa, saya pun tidak pasti.

“Terima kasih pak cik.” Kata anak itu.

“Tak apa. Siapa nama anak?” saya mula bertanya.

“Saya Abu Muaz.”

“Abu Muaz usah bimbang. Abu Muaz masih muda. Masih banyak peluang untuk berkerjaya. Ini ada sedikit wang, pak cik sedekah pada Abu Muaz.” Saya cuba memujuk dan membantunya.

“Tak pak cik. Tak. Saya tak boleh terima sedekah ini pak cik. Saya masih mampu bekerja. Saya tidak layak menerimanya.”

“Anggap ajelah hadiah.” Saya paksa.

Abu Muaz merasa serba salah. Jelas terpancar di wajahnya kegusaran.

“Saya malu pak cik. Besar duit RM50 ni pak cik. Macam nilah, kalau pak cik inginkan saya terima duit ini, biarlah saya gilap kasut pak cik sekarang. Hati saya akan tenang dan tidak rasa bersalah.”

“Hmm . . . baiklah,” saya sudah tidak terkata apa, malah saya bertambah kagum dengan sikapnya.

Selesai dia menggilap kasut yang telah sedia kilat itu, saya serahkan duit hadiah saya lima keping duit RM10.00. Saya tambah lagi RM12.00 upah gilap kasut.

Abu Muaz memandang tepat ke arah saya sambil di tangannya tergenggam not RM62.00.

“Ambillah. Pak cik ikhlas. Buat belanja makan.”

“Terima kasih pak cik.” Abu Muaz tertunduk dan memasukkan duit itu ke dalam saku seluar lusuhnya. Dia sedikit gugup.

Saya tinggalkan Abu Muaz di situ.

Kebetulan hari ini saya tidak bekerja. Jadi, saya pergi ke gedung pasar raya untuk berbelanja sedikit keperluan rumah. Hampir setengah jam merayau di gedung ini saya pun keluar dengan tangan kosong. Hati saya tidak tenang. Masih teringatkan peristiwa tadi.

Sebaik keluar dari gedung itu, saya lihat Abu Muaz berada di tempat yang selalu dia berniaga di seberang jalan sana. Di hadapan kedai itu dia sedang berkemas. Saya melemparkan senyuman gembira. Saya fikir mahu mengajaknya minum bersama. Saya rasa sudah tentu dia belum makan lagi.

Saya cuba melintas jalan. Kenderaan ketika itu banyak. Abu Muaz mula beredar.

Elok juga kalau aku ikut sampai ke rumah dia. Boleh juga aku lihat keadaan sebenar Abu Muaz, saya mula mengubah rancangan.

Dalam diam-diam saya mengekori Abu Muaz. Tiba-tiba dia berhenti di kedai peralatan elektornik. Saya lihat dia membelek-belek sebuah mesin basuh semi automatik. Dia menyeluk saku dan mengeluarkan duit. Kemudian menggeleng-gelengkan kepala dan berlalu dari situ.

Saya terus mengintip Abu Muaz lagi. Sampai di suatu selekoh, sekali lagi dia menyeluk saku. Kali ini saya lihat dia menghulurkan tiga helai duit RM10.00 kepada seorang tua yang uzur duduk di kaki lima. Pakaian orang tua itu koyak rabak. Di tangan orang tua ada tempurung. Dengan goyah dia cuba bangun sambil menunduk-nundukan kepala, barangkali mengucapkan terima kasih. Abu Muaz menghalangnya dan dia menyuruh orang tua itu duduk kembali.

Abu Muaz teruskan perjalanan. Kali ini dia singgah di surau. Terus sahaja dia menuju ke tabung surah dan memasukkan dua helai not RM10.00. Setelah itu dia terus berjalan ke warung. Dia membeli tiga bungkus makanan, kemudian berlalu dari situ.

Abu Muaz tiba di sebuah rumah usang yang hampir rebah ke bumi. Persekitarannya agak kemas, cuma di suatu sudut sana lalang sudah meninggi melepasi paras pingang. Rumput rampai merangkak liar di atas tanah.

Saya lihat Abu Muaz terus mendapatkan ibunya yang sedang membasuh di kali. Ibunya sedang menghempas-pulas pakaian. Ada tiga bakul kesemuanya. Di ampaian bersidai banyak pakaian. Ibunya sudah tua dan uzur. Abu Muaz mengajak ibunya makan. Dari dalam pondok itu keluar seorang lelaki tua mengesot-ngesot. Saya kira itu ialah ayah Abu Muaz. Mereka pun makan dengan berselera. Padahal nasi kosong dengan dua ekor ikan dan sejemput sayur sahaja. Mereka makan dengan riang dan nikmat sekali.

Setelah mereka makan, saya keluar daripada tempat sembunyi. Saya menghampiri mereka sekeluarga, lalu bertanya khabar. Mereka melayan saya dengan baik, malah menghidangkan air sejuk. Bagi saya itu sudah memadai memadangkan kondisi mereka sebegini.

Dari perbualan itu tahulah saya yang ayah Abu Muaz ini sudah lumpuh akibat kemalangan. Dahulu dia seorang pemandu lori, sekarang dia menyara keluarga dengan membuat kraftangan seperti menganyam bakul dan tikar. Ibu Abu Muaz akan pergi ke tebing sungai atau paya mendapatkan daun mengkuang. Rotan daripada tokeh Lim Tat, peraih rotan. Hasil itu nantinya akan ditolak kepada tokeh Lim Tat atau dijual di Pasar Rabu.

Ibu Abu Muaz pula mengambil upah membasuh baju. Dia membuat kerja-kerja dobi ini sudah hampir lima tahun; semenjak suaminya kemalangan.

Setelah bermesra saya pun bertanya, “Abu Muaz, kenapa duit yang pak cik beri tadi Abu Muaz berikan kepada orang lain? Kenapa tidak disimpan sahaja atau belanja untuk keperluan keluarga?”

“Sebetulnya apa yang pak cik berikan itu sudah melebihi keperluan kami. Ayah dan ibu saya berpesan jangan mengambil atau meminta-minta kepada orang sedangkan kita ini masih mempunyai kudrat, masih boleh bekerja.  Orang tua itu lebih miskin dan susah. Sudah lama saya kenal dia. Dia orang gelandangan, hidup sebatang kara. Jadi dia lebih memerlukan daripada kami. Maka saya sedekahkan duit tersebut. Saya hendak berkongsi rezeki dengannya. Mudah-mudahan hidupnya lebih teratur. Ah, apa yang saya lakukan itu hanyalah pertolongan kecil daripada keupayaan yang saya ada.” Nyata Abu Muaz tertunduk malu. Mukanya merah padam.

Mendengarkan jawapan Abu Muaz itu seolah-olah pipi saya ditampar.

“Tempoh hari pak cik dengar Abu Muaz mengaji. Merdu. Abu Muaz belajar daripada siapa?”

“Ayah saya mengajar saya dan saya sedang berusaha menghafal 30 juzuk al-Quran.” Perlahan suara Abu Muaz.

Saya tidak sanggup tinggal lebih lama. Empangan air mata saya boleh pecah bila-bila masa di hadapan mereka. Selepas beberapa ketika, saya pun bersalaman dan cepat-cepat pulang.

Malamnya saya membuka kitab al-Quran bersama tafsiran. Sudah berhabuk kitab satu ini yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Entah bagaimana saya terpandangkan tafsir surah al-Balad, ayat 4-17:

Sungguh, Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah. Apakah dia (manusia) itu mengira bahawa tidak ada sesuatu pun yang berkuasa ke atasnya? Dia mengatakan, “aku telah menghabiskan harta yang banyak.” Apakah dia mengira bahawa tidak ada sesuatu pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah menjadikan untuknya sepasang mata, dan lidah dan sepasang bibir? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebaikan dan kejahatan). Tetapi dia (kamu) tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar? Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki dan sukar itu? (Iaitu) melepaskan perbudakan (kezaliman, kesusahan) atau memberi makan pada hari terjadi kebuluran kepada anak yatim yang ada hubungan kerabat atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk orang-orang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.”

Di sepanjang malam itu hati saya begitu hiba. Tersentuh. Iris mata tidak mampu menampung kebanjiran air mata. Saya menangis, sebak dan menyesal. Esok saya bertekad mahu datang lagi. Saya fikir saya perlu melakukan sesuatu untuk keluarga ini. Saya mahu tebus segala kesalahan sangka buruk saya terhadap Abu Muaz. 

Khamis, 18 Februari 2016

MOGA SELAMANYA BAHAGIA


Bermain hujan di kampung
Ayuh, mari pukulkan rebana,
rebana ubi buatan ayah
Usahlah hati gundah gulana
Hidup ini bukan untuk payah

Detik-detik sebegini, hujan rintik menjadikan hati redup.
Redup mengenangkan saat kita masih kecil
Masih anak-anak
Saat paling gembira
Di samping orang tersayang
Di bawah hangatnya naungan kasih ibu dan ayah...
 
Di belakang tengkuk ayah

Apa khabar orang kampung?
Apa khabar ibu?
Apa khabar ayam?
Apa khabar itik?

Moga semuanya bahagia
Bergembiralah, cubalah bergembira
Senyumlah, ukirlah senyummu di balik ulas bibir mungel itu.
 
Puisi entahapahapaentah oleh:
 
 
 

Khamis, 11 Februari 2016

SAINS vs SASTERA: Konflik Aliran

Arkitektur: Bagunan KTMB, Kuala Lumpur


Sastera itu sebetulnya pembina siasah diri.

Kalau sains itu kenderaan, pengendali kenderaan itu sastera.

Tanpa jiwa murni yang disuburkan melalui sastera dan ilmu sosiologi, sains akan hanya membawa punah kerna salurannya di cerombong wenang-wenangan.

Mahu membina tamadun bangsa perlukan sastera yang penuh dengan pemerhatian sejarah. Ya, satera itu perakam sejarah. Apa sahaja metode perakam sejarah itu sastera. Jadi, sains juga aliran sastera kerna sains membutuhkan perakam sejarah untuk merekod kejadian fenomena ujiannya serta menayangkan kemajuan penemuan yang dibanggakan demi pembinaan tamadun dunia.

Makanya, metode sasteralah yang mengalirkan perakam sastera ini bisa mengampuh dan menjulang nama sainstis di kemudian hari, kerna tanpa seni jiwa manusia itu mati.

Indah itu sastera, bukan? Fitrah manusia itu berkehendakan keindahan dan kesenian. Dalam sains pun memerlukan keindahan. Tanpa keindahan hidup ini 'dal' (dull).

Dalam sastera ada rumus kira-kira juga, ada rumus pengurusan ada rumus pembinaan kekayaan; kaya diri, masyarakat dan negara. Apakah mereka lupa, pembinaan kekayaan ekonomi negara dan diri ini adalah lahir daripada mentelaah cabang ilmu sastera?

Ya, ekonomi dan perakaunan itu sastera dan seni; setidaknya seni pengurusan itu juga sastera.

Barangkali mereka lupa, angka nol dan bilangan sa, puluh, ratus hingga 2.6 bilion itu asal terbitnya adalah cabang ilmu kesusateraan yang penuh dengan falsafah dan santunan seni yang berfakta.

Mengenal solat daripada al-Quran dan Nabi SAW


Mereka juga lupa, untuk berada di jalan yang lurus, orang itu juga perlu mendalami sastera. Itu, al-Quran itu adalah satu maha karya agung kesusasteraan yang bukan datangnya dari tangan manusia. Membawa manusia kepada nur kebahagiaan tanpa adanya pembrok-brokan dan pembataian sesama makhluk dan alam. Apakah dengan wacana sains sahaja mampu memahami dan menukilkan isi alam dalam siratalmustaqim?


Nukilan lantun-lantun

Khamis, 4 Februari 2016

PONDOK SEWA KECIL BERTIANG KAYU

Maza tidak yakin ramai yang mampu menge'cam' wajah maza dalam gambar di bawah ini.

Gambar separa klasik itu dirakamkan seputar tahun 1993/4 (STPM).

Kelihatan dalam gambar: Halim bin Awang Johari, Cikgu Faizal bin Ramlan,
Abdul Rahman, Zailani Bohari, Kak Nor (Normah Lasman),  Abang Din
Baby Syahrul, Idris Saleh dan Maza

Lokasi di Jalan Orked 3, Kampung Melayu Kluang di hadapan rumah sewa kepunyaan Pakcik Naim (Ita N Zol). Sewa ketika itu cuma RM60 sebulan. Jumlah penghuni berbeza mengikut penggal atau semesta pengajian tetapi minima lima orang dalam satu-satu masa.

Rumah ini menjadi saksi perjuangan dalam menuntut ilmu di bandar ini. Kembara hijrah maza bermula di sini dengan meninggalkan kampung halaman dan keluarga. Sekolah Sultan Abdul Jalil adalah tempat kami bersatu di bawah satu bumbung yang jaraknya 3 batu dari istana (pondok) kami. Biasanya kami mengayuh basikal lumba (racing bike) ke sekolah atau ke bandar Kluang. Jangan tidak percaya, kerap juga kami mengayuh untuk pulang ke kampung masing-masing. Jarak antara bandar Kluang dengan kampung masing-masing tidak kurang daripada 25km. Kampung maza sendiri sejauh 45km. Jadi, bayangkan sahajalah susuk tubuh dan kaki kami ketika itu (sadolah sangat kanzzz..hahaha).

Penghuni 'istana kristal' ini terdiri daripada pelbagai latar belakang sekolah. Antaranya ialah daripada sekolah swasta seperti Pusat Tuisyen Afdal dan Sekolah Swasta Semai iaitu Shamsi, Rozmanor, Norhaizam Gaman dan Fauzi Lakidin, Sekolah awam pula seperti Sekolah Felda Kahang Timur dan Sekolah Felda Kahang Barat seperti Rohaizan Tukiman, Mat jiran Idris Salleh dan lain-lain. Seorang pekerja Mardi iaitu abang Marsom.

Saiz istana ini kurang dariapada 600 kaki persegi dengan sebuah bilik tidur, bilik mandi dan jamban.

Jasa penduduk kampung itu tidak dapat kami lupakan. Pengalaman bersama mereka telah menjadi sebahagian tinta catatan kedewasaan kami. 

Bergambar kenangan di hadapan rumah (pondok) sewa kecil bertiang kayu.
Kelihatan: Zailani Bohari, Maza, Faizal Ramlan, Halim Awang Johari
Idris Salleh dan Abdul Rahman

Mak Idah (Hamidah Sahar) dan arwah abang Miskam besar jasanya kepada kami. Kata Noraizam Gaman, kedua susuk inilah sumber 'bantuan bekalan' saat keadaan meruncing. Terima kasih mak Idah kerana begitu baik dan perihatin kepada nasib kami, sang musafir penuntut ilmu. Jasa Mak Idah dan Abang Miskam tidak mampu kami balas melainkan iringan doa agar segala kebaikan kalian dibalas dengan sebesar-besar balasan rahmat Allah.

Kepada jiran sebelah rumah Kak Nor (Normah Lasman) terima kasih kerana begitu sabar dengan kerenah kami yang bujang 'terang tang-tang'. Akak Nor memang 'awesome'. Banyak benda yang kami kongsi dan gelak sama-sama. Tangis sahaja berbeza nada. Hik hik...

Hari ini pondok kecil bertiang kayu kami sudah rebah ke bumi dek kerana desakan arus pembangunan. Tapaknya sudah berganti dengan banglo (rumah batu sewa dua pintu). Semuanya hanya tinggal nostalgia.

Nukilan
 
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails