‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 29 Mei 2013

Saat Genting Melanda Jiwa


Kota Keriangan Genting Highland


Sepetang Jumaat lepas (24.05.2013) maza anak beranak sempat merayau-rayau, ala-ala kembara (excursion); melancong seharian di Genting Highland sempena cuti sekolah.

  
Pemandangan dari kemuncak Genting Highland setelah hujan teduh.

Rombongan kali ini sempena meraikan kehadiran emak dan adik ipar (Ana) ke Kuala Lumpur. Setelah puas memikirkan untuk mereka berlibur sama, kami memilih Genting Highland. Selain ia dekat, juga emak tidak pernah ke sini.

Ana mengambil peluang setelah dilepaskan bebas suaminya ke KL menemai emak dengan 'menjimbakan' dirinya. Saat ini Ana ingin mencuba menggenggam kabus putih suci itu. Katanya lagi, dia mahu mencapai awan berarak yang lazimnya hanya mampu melihat ia berlalu pergi. Dia mahu merasai sendiri seperti mana dia sering angankan ketika melayani bait-bait lagu romatika sewaktu waktu dahulu itu.

Ini bukan berdoa, tapi menadah tangan hendak mencapai awan. Err . . . boleh ke?

Sambil melompat-lompat Ana cuba menikmati awan kumulus yang menyelubungi kemuncak bukit ini tanpa menghiraukan perilakunya yang agak aneh umpama itik melompat hendak menyudu belalang yang terbang melilau sekelilingnya. (hahaha)

Perjalanan ketika mendaki puncak bukit tingg-tinggi sejuk itu diganggu dengan kerosakan kereta. Inilah kali pertama kereta tua kami itu memanjat bukit Genting Highland. Barangkali sudah sampai masa ia menjadi copot!

Kipas radiator meragam. Mujur pada hari Wesak itu di kemuncak bukit tersebut bengkel kereta masih ada yang buka. Setelah senja melabuhkan tirai, barulah kereta kami selesai dibaiki. (huhuhu).


Raksaksa!

Penyudahnya, untuk melepas gian emak dan adik ipar setelah gagal mendapatkan tempat penginapan, jam 1.00 pagi kami menuruni Genting Highland. Jadilah, kurang-kurangnya emak dan keluarga kami dapat menghirup dan membayangkan seolah-olah berada di Switzerland . (hehehe)

Dalam kedinginan malam
Untuk meredakan rusuh di hati, kami anak beranak melompat-lompat kancil di kota keriangan bagaikan kangaroo di negeri Down Under: Australia.

Disebabkan hujan petang tadi, persekitaran Genting Highland menjadi dingin bangat ala-ala beku. Dengan alasan yang kukuh itu, kami terpaksa mengaktifkan diri dengan terkinja-kinja di tepi jalan. Semuanya di atas nama agar kami semua tidak keras kejung seperti air batu. (ahaks .. alasan!)

Sila cemburu! hehehe
Errr . . . kami sekadar melawat 'kawasan' sekitar sahaja. Syahdan tidak melibatkan wang berguni-guni dengan berjudi menggelumangkan diri bermain di taman tema itu. Posing, satu kali sudah! hehehee

Maza cuba mengelakkan segala kekeliruan, dan dalam masa sama ingin memberi amaran kepada kengkawan; berjudi itu haram!

Maka, jadikan gambar di bawah ini sebagai pengajaran! Jangan sekali-kali mendakati judi, apabila ketagih akan menjadi kaki judi, buruk padahnya.

Oh! Aksi ini jangan ditiru, sudah ada copyright
termasuk copywrong...hahaha

Akhir kalam, selamat bercuti sekolah dan bawalah anak-anak anda melancong cuti-cuti Malaysia. Paling tidak membuat kembara singkat dih ujung minggu ini. Negara kita, Indah belaka! hehehe..

Lantun-lantun dari 

Ahad, 19 Mei 2013

Kantoi: Mak Ayam dan Bapa Ayam Kahang ditangkap!



Seputar maza anak-anak kecil dahulu (1970-1990) di kampung terlalu lazim melihatkan telatah ayam. Malah rata-rata penghuni kampung membela ayam sendiri untuk keperluan keluarga. Jarang benar mereka menjual ayam.

Soal ayam juga boleh membuatkan sesama jiran dan penduduk kampung bermasam muka, bermusuhan, tidak bertegur sapa dan dalam kes parah, berparang-parangan, berkeris-kerisan! Bagi mereka, membela ayam bukan sekadar dibuat lauk atau hobi sahaja, tetapi ia berkenaan periuk nasi dan maruah!

Jika kemalangan melibatkan ayam, sama ada mereka itu sengaja melanggar atau tidak, perlu bertanggungjawab. Mereka perlu membayar ganti rugi berupa ayam, wang atau melutut meminta ampun kepada empunya ayam tersebut. 

Hari ini, perihal itu tidak berlaku lagi. Kalau berlaku, amat jarang sekali dan diperkira kes terpencil. Tok ketua kampung tidak lagi dirujuk untuk menuntut bela di atas kehilangan ayam atau pun ayam mereka dilanggar lari. Tok ketua boleh menarik nafas lega, bebanan tugas menjaga keharmonian anak kariah sudah berkurangan. 

Di kampung, emak maza sudah tidak memelihara ayam. Sudah tidak ada istilah mahu merasa ayam sendiri. Jika, teringin makan ayam, Kedai Kak Normah atau abang Man sedia berkhidmat. 

Mutakhir ini, maza terasa kerinduan pula terhadap 'bau-bauan ayam'. Kenangan yang satu ini benar-benar mengusik hati. Telatah ayam adakalanya melucukan dan boleh juga membuak-buakan kemarahan yang mendalam. Akhirnya ayam itu akan dihambat dan berakhir kepak serta pahanya diratah; bikin ayam goreng!

Segar diingatan maza, betapa setiap tengahari dan petang akan menabur jagung ayam di halaman rumah. Adakalanya jamuan berupa hampas kelapa dan sisa-sisa makanan basi dihidangkan untuk ayam-ayam kami; lazat! Untuk memanggil ayam berhimpun dan makan berjemaah itu, kami akan melaungkan sebuah bunyi istimewa, "kurrrr, kurrrr, kurrr" terbelit-belit lidah di dalam rongga mulut menggayakan getaran itu yang menyentuh lelangit geli. Lantunan ragam suara berkumandang sepelusuk kampung. Berebut-rebut ayam peliharaan kami mengerumuni makanan yang berselerak bertaburan.

Emak dan ayah cukup teliti. Mereka boleh mengenali dan membezakan ayam peliharaanya dengan ayam-ayam jiran sebelah-menyebelah. Sekilas pandang emak dan ayah boleh cam. Sekiranya ditemukan 'ayam asing', ayam itu akan dihambat pergi dengan melontarkan kayu atau batu supaya ia menjauhi gerombolan ayam kami. Biar ia bersenang lenang santap. Biar cepat gemuk dan sihat-sihat belaka. Memang ayah dan emak memanjai ayam-ayam kami. Bersungguh!

Setiap kali memberi ayam makan, emak akan mengira jumlah ayam. Emak takut-takut ada ayam peliharaan ketinggalan lalu kebuluran. Walhal ayam itu memang sejak azali lagi ditakdirkan pandai mencari makanan sendiri dengan mengais cacing, ulat dan tumbuh-tumbuhan renek. 

"Ok, cukup 20," senyum lebar mulut emak setelah puas menghitung dengan memuncungkan bibir mengira ayam-ayamnya.

Sekirangnya bilangan berkurangan, hati emak berasa gundah. Emak akan memekik-memekik dan melantunkan suara "kurrr, kurrr, kurrr," sekuat-kuatnya. Emak risau kalau-kalau ayam itu tidak kedengaran panggilan makan disebabkan leka bermain, deria pendengaran terjejas, atau peristiwa paling ngeri ayam itu sudah hilang atau mati di baham manusia atau binatang buas atau dibawa lari oleh helang dan 'beruk berkepala hitam'!

Sudahnya, kami juga dipaksa berpusing keliling rumah bikin misi 'mencari dan menyelamat'.

"Maza, pergi cari seekor lagi ayam betina. Bulu kuning. Pergi cari!" pekik emak dalam kaget.

Bila senja menjelma, sekali lagi misi mengira dan mencari ayam. Mana-mana ayam yang sesat atau leka bermain akan ditangkap dan dihumban ke dalam reban. Reban dikunci rapat, jika perlu pelita 'ayam' akan dinyalakan untuk memberi bahang haba dan menghalau musang serta ular sawa daripada 'menculik' ayam-ayam kami.

Jika kami pergi melawat rumah sanak-saudara atau kenduri kendara di luar kampung, acapkali juga terpaksa pulang awal. Kadang-kala menggerutu juga hati maza yang belum puas 'beramah-mesra' dengan sanak-saudara. Alasan mudah emak dan ayah ialah tiada siapa yang hendak menjengguk ayam di kampung! Aderkkk...

Sering kali juga ayam menjadi mangsa setelah meninggalkan sisa taik ayam 'lencung' dan menceroboh rumah sama ada mengintai di tingkap atau merempuh masuk dari pintu yang terkangkang. Biasanya ayam itu akan dikenakan hukuman rejam. Dibaling dengan selipar, disumpah seranah dan hukuman paling tegas ialah ayam itu terkulai tanpa seurat bulu di dalam belanga. Menggelegak air dalam belanga merendami ayam tersebut setelah dipotong 12 bersama bawang, halia, kunyit, santan dan adakalanya dicampur dengan kari atau cili padi. (Slurrrpp satu kali.. amakk!)

Namun, hari ini fenomena itu sudah janggal. Terutama bagi anak-anak yang membesar di bandaraya dan rumah-rumah taman. Maza sendiri pun sudah kangan (kerinduan) menghambat ayam ketika musim menuai dan menjemur padi di halaman rumah.

Sembunyi-sembunyi Maza melontarkan senyuman sambil menelan segala rencah kehidupan yang sudah berlalu itu. Maza menguis-guis ayam kampung yang sudah tertonggok; menunggeng di dalam pinggan untuk dijamah. 

Ah! sesuatu yang unik, retro dan nostalgik.


Lantun-lantun


Rabu, 15 Mei 2013

Gwiyomi Malaysia Bikin Panas


Aqlan Sholehin (3 tahun) sedang membuat muka Gwiyomi (muka comel)
foto: ronawarna.blogspot.com

Aqlan Sholehin (3 tahun) sedang membuat muka Gwiyomi (muka comel). Ini semua gara-gara menonton muzik Korea atau dikenali sebagai K-pop di Youtube. 

Fenomena gwiyomi sudah lama bertandang di dunia hiburan antarbangsa sesudah gelombang Oppa Gangnam Style. Ramai yang meniru gaya gwiyomi yang dipopularkan oleh artis 'cute' Korea tersebut termasuklah artis tempatan antaranya penyampai radio FBI (Faizal bin Ismail), Fara Fauzana dan Dj Ninie (KLFM).

Taip sahaja frasa nama Gwiyomi di enjin carian Youtube atau En. Google, pastinya anda akan mudah mendapati video-video yang cuba meniru gaya dan memek muka mereka paling comel. 

Perkara yang sama juga berlaku pada Aqlan Sholehin. Beliau juga tidak mahu melepaskan peluang untuk meniru gaya tersebut sama. Sudah berpuluh-puluh kali video itu diputar ulang. Kemudian dia beriya-iya menari dan membuat aksi yang sama.

Akhirnya, aksi 'comel' Aqlan sempat maza rakamkan sebagai kenang-kenangan.

Psst: maza ada juga cuba meniru gaya tersebut, tetapi darling menghalangnya, "Abang jangan snap gambar gwiyomi abang itu dan tayangkan di internet. Muka cute abang khas untuk kami anak beranak!"

Ahaks.. selamat gitew... maza ingatkan si darling mahu berkata sebaliknya... hehehe.. Jadi, kengkawan jangan jeles aaa.. maza lantun-lantun dulu bye!.. hahahhaa (ketawa orang jahat!)





Ahad, 12 Mei 2013

Kaulah Ratu Hatiku


Ibu mithali akan mendidik anak-anaknya agar menjadi manusia yang soleh. Berguna kepada seluruh alam.

Barangkali mulai hari ini, ibu-ibu harus mendidik anak-anak mereka dengan lebih tekun agar mereka lebih sensitif perihal moral, punyai daya tahan yang kuat dan benci kepada fitnah!

Sementelah semenjak dua menjak ini, fitnah begitu bergelora hingga tidak kenal erti malapetaka yang memecah-belahkan perpaduan ukwah yang telah terbina sejak sekian lama. Bahkan, ada yang sanggup untuk menggadaikan maruah dan negara demi sekelumit kuasa.

Sebagai makhluk yang dijadikan khalifah oleh Tuhan, sudah tentulah sifat dan akhlak berkasih sayang yang utama disuburkan. Bukannya menambah parahkan lagi polarisasi perkauman! 
Anak yang kecil itu tidak pernah mengenal erti perbezaan kulit, bahasa dan bangsa. Jika dihimpunkan di dalam sebuah kelas, mereka akan berinteraksi tanpa rasa sangsi. Namun, segalanya itu berubah, setelah 'ibu-ibu' memberi definasi kata pengenalan terhadap pandangna, nilai dan darjat terhadap sesuatu bangsa atau golongan. Semuanya di atas nama 'melindungi hak bersama sesebuah keluarga dan pembentukan bangsa.'

Perbezaan yang dilanjut-labuhkan ditambah pula dipecah-jarakkan akan menjadikan jurang pemisah antara dua bangsa dan kumpulan begitu ketara dan saling bercerapah, bercanggah; lalu merenggang dan
menolak antara satu sama lain.
Kebencian kepada sesuatu kaum hanya menjarakkan diri daripada dekat kepada rahmat Tuhan. Percayalah, Tuhan menjadikan kita bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk mengenal antara satu sama lain serta mengambil manfaat diatas perbezaan itu. Bukannya saling menyemai rasa permusuhan dan 'berbunuh-bunuhan' dalam segala hal.

Bukalah pintu hati. Janganlah ditutup rapat mengunci mati. Perbezaan yang ada perlulah dirai, bukannya dijadikan benteng kepada pengukuhan perpaduan. Jauhilah api perkauman, ia tidak menguntungkan bahkan dilarang oleh Rasulullah SAW dan Tuhan.
Oleh itu, peranan ibu-ibu hari ini begitu mencabar dalam pembentukan siasah anak-anak. Ibu-ibu yang solehah mampu melahirkan anak-anak yang baik budipekerti dan utuh peribadai dalam menegakkan keadilan sejagat!


SELAMAT HARI IBU....
PRU13

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails