 |
| Jambatan Antara Dua
Dunia |
Celik mata sahaja terus mengetuk, membaca dan
menulis di “papan kalam”. Begitulah rutin dewasa ini. Jika tidak melakukan
sedemikian seperti ada yang tidak kena. Seolah-olah kembali hidup di bawah
tempurung dalam dunia terkurung. Salah hemat, kantung fulus terjejas menjadi
kusut dan mengecut. Perniagaan berubah lesu. Kehidupan sosial tersisih.
Ketika kecil dahulu, saya menggunakan papan hitam bersaiz
kecil berkapur tulis untuk mengaji, menulis dan membaca. Papan hitam itu boleh
diriba di celah kelengkang kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun.
Adakalanya papan yang sama dicebit ke hulu ke hilir sambil belajar mengira dan
membaca. Sepelusuk alam suara kami memecah jagat buana apabila kalam-kalam yang
terpalit itu kami laungkan satu persatu.
Jika ayah bergaji atau memperoleh pendapatan
lebih, jumlah kapur tulis akan ditambah, malah beraneka warna. Hari itu kami bermewah-mewahan
hingga dunia khayalan melewati bingkai papan hitam lalu terbawa-bawa dengan
mencontengnya ke dinding-dinding rumah. Penyudahnya ibu menjerkah, ayah
membeliakkan mata. Paling panas pun, ayah akan menghadiahkan tali pinggang ke
kaki. Sebagai pengajaran katanya.
Dengan papan hitam kecil kami berkarya.
Bermacam-macam gabungan stroke, garisan, palang, lengkuk membentuk pelbagai
cetusan seni hasil kreativiti akal kami. Alam menjadi rujukan kami, seperti
pokok, rumah, bunga, haiwan, kenderaan dan orang lidi. Sekiranya kehilangan pemadam
papan hitam, kain buruk atau lengan baju dijadikan pengganti.
Dari papan hitam kecil kami mengenal alif, ba, ta.
Setelah usia menginjak 12 tahun kami mula khatam dan khatan. Jika tidak khatam
al-Quran kami tidak akan disunatkan. Kata orang-orang tua pula, kami akan kekal
menjadi kanak-kanak selamanya. Tidak boleh bersolat satu saf dengan jamaah
dewasa, makan setalam dengan kawan-kawan yang telah dewasa malah diancam tidak
boleh berkahwin.
Sebelum saya memperoleh papan hitam kecil itu, saya
pernah menggunakan papan kalam. Papan tersebut diperbuat daripada kayu yang
ayah gergaji dari pangkal pokok nangka mati. Kemudian diketamkannya agar
menjadi papan yang licin. Arang digunakan
untuk menulis. Habis jejari dan hidung kehitaman. Sambil menggores di atas
papan kalam, bibir akan mengherot dan lidah tersentil mengikut riak lentuk
tubuh menggayakan objek yang dilukiskan. Sukar juga menulis, kena tekan kuat
hingga kadang-kala menyebabkan jejari sengal.
Kata ayah, di zamannya belajar, papan kalam dan
arang itulah diusung mengadap guru. Manakala kitab kuning adalah buku rujukan
yang dkongsikan bersama teman seperguruan. Hampir lunyai kitab itu disebabkan
ramainya pelajar-pelajar menggunakannya.
Kata ayah, selang beberapa lama, papan kalam mulai
dianggap sebagai barangan rendahan (barangan inferior) setelah barang
pengantinya iaitu buku tulis, pen dan pensil mengambil tempat. Papan kalam menjadi
terbengkalai dan dibiarkan reput sendirian di pangkal perdu pokok atau di bawah
tiang rumah. Ditambah pula arang semakin sukar didapati setelah teknologi dapur
berevolusi. Orang kampung tidak menanak nasi dengan dapur kayu atau arang.
Mereka gunakan dapur minyak tanah kemudian dapur gas dan hari ini dapur induksi
berkuasa elektrik.
Zaman terus berubah meninggalkan sisa-sisanya.
Sesuai dengan kemajuan orde dunia baharu. Barangkali ini juga kesan keberkatan
doa Nabi Ibrahim a.s terhadap anak cucunya.
Dekad-dekad perubahan dihadapi dengan begitu
ghairah. Siapa sangka, di zaman serba canggih dengan teknologi digital dan ICT
telah mengembalikan zaman kegemilangan papan kalam. Cumanya papan kalam hari
ini tidaklah sampai mengotori tangan, baju dan persekitaran. Hidung dan rumah
tidaklah bersawang kehitaman.
Meskipun begitu, kekotoran dari papan kalam moden
ini mampu memberikan implikasi jauh lebih dahsyat; sehingga boleh meruntuhkan
institusi keluarga, negara dan dunia. Kotornya papan kalam moden tidak
kelihatan dengan nyata, secara fizikal seperti kotornya baju, jari dan dinding
rumah. Terjemahan kekotoran sudah berbeza.
Dahulu papan kalam boleh dibuat sendiri dengan
menebang pohon di belakang rumah. Berbeza dengan papan kalam hari ini yang
memerlukan wang dan kerja keras untuk memperolehinya, sehingga adakala perlu
berkorban mengikat perut.
Anehnya, pena papan kalam dahulu tidak perlu
berbayar kerana arang boleh dikutip dari dapur dan tiada royalti atau copy right yang perlu dirisaukan.
Berbeza papan kalam moden, semuanya dikenakan caj, terutama caj perkhidmatan
atas talian. Jika tidak berbayar caj tersebut maka papan kalam gagal
menjalankan fungsi sebenar. Segala aktiviti komunikasi, mentelaah ilmu dan
pengembangan pengetahuan menjadi terhalang. Apabila perkara ini terjadi, papan
kalam moden barangkali akan bertukar fungsi, lalu menjadi papan basuh pakaian. Gosok jangan tak gosok, gosok sampai
berkilat (lirik lagu Aladin, Spider) . . . bak deretan anak dara di tepian sungai
menyental baju bersama busa menimbun. Jadi, manfaatkanlah segala kemudahan yang
ada untuk kebaikan. Urusan manusia itu rata-ratanya adalah hal kitar semula dari
zaman lampau, bezanya hanyalah teknologi, asas penciptaan dan tujuan tetap sama.
nukilan lantun-lantun: