‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 16 Disember 2011

Mekarlah bunga-bunga indahku...



Ya! Demikianlah harapan maza; mekarlah bunga-bunga indah kehidupan maza.

Di hari Jumaat yang mulia ini maza panjatkan ke hadrat Ilahi di dalam doa yang mendayu-dayu penuh harapan agar cabaran hidup ini mampu diharungi dengan tabah dan berada di landasan yang betul iaitu yang diredhai oleh Allah SWT.

Selain menuntut ketabahan dan sabar sebagai syarat menjadi orang-orang Mukmin yang bertakwa, maza juga mohon kepada kengkawan agar mendoakan segala urusan maza dipermudahkan. Terutama dalam hal urusan bonda maza yang uzur ketika ini dan soal masa depan maza dalam mengharungi peperiksaan yang bakal dihadapi lagi dua minggu.

Cabaran kali ini dirasakan begitu getir, namun maza masih mampu bernafas dan bertahan. Mudah-mudahan apa yang dilalui ini menambahkan lagi keimanan dan memperoleh rahmat yang melimpah ruah dari Allah SWT Yang Maha Esa.



Selasa, 13 Disember 2011

Selepas maza kini emak pula...

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulilah maza kembali pulih sepenuhnya setelah dilanda ujian dengan penyakit CAP (pneumonia). 

Baru sahaja 6 minggu keluar dari hospital, kini emak maza yang sempat merawat maza tempoh hari pula dimasukkan ke hospital Kluang. Sedang maza sekarang berada di KL dan hujung minggu sudah maza sempat melawat emak selama dua hari berturut-turut.

Kali ini emak dirawat untuk penyakit kencing manis. Tapak kakinya bernanah dan terpaksa dibedah. 

Hari ini merupakan kali ketiga emak diusung ke dewan bedah untuk selang empat hari berturut-turut. 

Jiwa maza tidak tenteram. Gelodak membadai segenap ruang rusuk perasaan. Resah, gelisah menghempas hati. Degupan jantung tidak menentu, kejap deras, kejap pantas seolah-olah seperti atelit pelari pecut 100 meter sedang mengerah kederatnya. Rusuh bergelora menghentam segenap pembuluh darah. 

Dalam masa sama, maza harus menghadapi peperiksaan bagi kursus yang maza ambil itu. Allahu akhbar!

Sepuput doa dihadapkan kepada Ilahi dengan penuh pengharapan agar doa ini dimakbulkan:  
"Ya Allah! Sembuhkanlah penyakit ibuku, dan panjangkanlah umurnya agar aku dapat berbakti kepadanya lagi. Aku belum puas menagih kasih dan sayang ibuku. Ampunilah dosa kami sekeluarga....."





Sabtu, 26 November 2011

Langkah seterusnya

Gambar: Nasrun (7 tahun) kehilangan gigi kacipnya. *senyum

Kehilangan gigi merupakan salah satu langkah kehidupan. Ia memberikan pelbagai makna dari sudut berlainan.

Umpamanya, jika kanak-kanak kehilangan gigi bermakna dia semakin dewasa dan tidak lama lagi akan menjengah ke alam remaja. Adakalanya rongaknya gigi itu memperlihatkan kecomelan si anak.

Tetapi kalau sudah berumur 20-an atau 30-an, kehilangan gigi bermakna ada sesuatu tidak kena dengan tubuh. Harus menjengah ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan keseluruhan badan.

Jika kita sudah berumur 50-an, kehilangan gigi adalah petanda seruan alam. Hukum alam semakin dekat, dan ia semakin ketara. Kata orang sudah mahu kembali ke alam kanak-kanak pula. Tetapi tidaklah secomel kanak-kanak yang kehilangan gigi.



Selasa, 15 November 2011

Memperkemaskan diri

Assalamualaikum w.b.t

Sememang rasanya amat lama maza tidak kemaskinikan blog ini. Hampir sebulan. Semuanya gara-gara terlantar di katil hospital selama lima hari dan dimasukan di wad ICU selama dua hari. 

Sekarang ini sudah lebih dua minggu keluar dari hospital dan dalam proses pemulihan. Badan pun masih lemah-lemah dan perlu membuat pemeriksaan susulan dalam beberapa hari lagi.

Kepada kengkawan yang sudi mendoakan maza, maza hendak ucapkan jutaan terima kasih. Doa kalian dan kasih sayang yang kalian tunjukan itu sebenarnya sampai kepada maza. Maza dapat merasakan kemanisan doa dan kasih sayang kengkawan sekalian tatkala maza di dalam keadaan koma, lemah dan kesakitan.

Jasa kalian dalam mendoakan dan rasa belas kasih sayang yang disampaikan itu amatlah maza hargai. Tidaklah maza mampu membalas kesemuanya dengan sisa-sisa kuderat maza yang masih berbaki ini. Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalas segala kebaikan dan kasih sayang itu dengan balasan besar lagi setimpal kepada kengkawan semua. Maza hanya mampu berdoa agar maza dan kengkawan sekalian dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT,  dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang sempurna dan dimurahkan rezeki.

Mudah-mudahan hidup kita ini di dalam kebajikan dan kebaikan dan begitu juga dimatikan di dalam keadaan kebaikan lagi dimuliakan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails