‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 4 Januari 2011

Di luar rutin harian

Hari pertama sekolah sudah berlalu. Dan hari ini merupakan hari kedua Muhamad Nasrun Hakim ke sekolah. Alhamdulilah, dia bersemangat dan mudah diuruskan walaupun terpaksa bangun seawal pagi yang diluar rutin hariannya.

(Gambar: Nasrun pulang dari sekolah)

Untuk dua minggu ini Guru Besar yang berbangsa Cina itu menerangkan anak-anak tahun 1 akan pulang jam 12.30 tengah hari. Jadual akan kembali seperti sediakala dengan kesemua murid akan pulang jam 1.00 tengah hari.

(Gambar: Upah makan nasi ayam lepas balik sekolah)

Waktu rasmi tamat persekolahan ialah 12.30 tengah hari. Namun 30 minit akan ditambah untuk kelas tasmik (bacaan Al Quran - macam JQAF jugalah). Bagi murid non-muslim punyai pilihan yang lain.

Jadinya, semalam selepas waktu persekolahan sekolah rendah tamat, jam 2.30 petang Nasrun memasuki pula Sekolah Agama Rakyat Selangor. Nasrun hanya akan pulang jam 5.45 petang. Ini bermakna tiga jam lagi diperuntukkan untuk pendidikan agama Islam.

(Gambar: Ke sekolah agama)

Di kotak fikiran maza terkenangkan bahawa sudah tentulah anak ini akan keletihan. Terbayang jelas di ruangan mata yang Nasrun akan berwajah layu sambil mengheret beg Ben10-nya keluar dari kelas nanti. Atau mungkin dia akan tertidur awal malam ini.

Perasaan kasihan terhadapnya kembali menyelinap di sanubari. Hati maza mula berbisik, tak apalah. Kita perlu berkorban demi masa depan. Kebahagian perlu dicari baik untuk kebahagian di dunia mahupun di akhirat.

Sebaliknya berlaku. Nasrun terus ceria dan berwajah girang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia penuh bertenaga seperti bateri handphone yang dicaj penuh. Nasrun berlari mendapatkan adik-adiknya di pintu pagar sekolah.

Di hati maza berasa syukur kerana anak ini tidak lembik, bersemangat dan tegap orangnya.


(Gambar: saya sudah sekolah)

"Abang Nsrun tak penat ke?" periksa ibunya, Darling di dalam kereta.

"Tak. Kat sekolah Nasrun tidur. Cikgu pun cakap, Nasrun tidur. Lepas tu Nasrun tengok semua orang tak tidur. Tapi Nasrun Tidur. Nasrun tidur aje diam-diam," jawab Nasrun jujur lagi maha selambanya.

"Wah! Patutlah budak ni tak lembik hari ini ... hahaha ..." maza tertawa gelihati mendengarkan pengakuan jujur anak ini.

Sambil-sambil itu, Darling memberikan nasihat yang di dalam kelas tidak boleh tidur dan perlu menumpukan perhatian pada pelajaran.

Nota kaki: Terima kasih kancil biru yang sudi mem-follow blog maza. Tanpa kengkawan, siapalah maza, kan?! huhuhu


Isnin, 3 Januari 2011

Nasrun & maza melangkah ke alam baru



Teruja ada, sedih pun ada. Itulah perasan seorang bapa (maza) yang pertama kali menghantar anak sulungnya ke sekolah rendah kebangsaan.

Hari ini 3 Januari 2011 bermulalah alam baru kepada kami sekeluarga terutama pada maza sendiri. Ianya bagaikan perubahan zaman. Zaman suka ria dan sekehendak hati bercuti cuti-cuti 1Malaysia sudah hampir luput. Sekarang zaman untuk menghantar, membimbing dan mendidik anak-anak yang lebih mengufuk pula.

Ya, inilah sebuah fasa kehidupan yang seorang bapa harus lalui. Dan ini juga menandakan bahawa anak-anak semakin membesar. Anak-anak semakin berjalan jauh setelah bertatih-tatih digenggaman tangan ayah. Semestinya tidak lama lagi, anak yang ini juga akan terus berlari-lari di celah kehidupan dunia meninggalkan ayah di atas sebuah kehidupan yang penuh ranjau.


Hari ini merupakan hari pertama Muhamad Nasrul Hakim ke sekolah. Syukur alhamdulilah, Nasrun sudah biasa dengan bersekolah semenjak dari bayi lagi. Ya, Nasrun pernah dihantar ke nursery di Pantai Dalam. Terima kasih Kak Ani dan Abang Wahab kerana sudi menyantuni dan menjaga anak itu. Lantaran itu Nasrun tidak kekok untuk bercampur gaul dengan persekitaran sekolah barunya. Lagipun Nasrun mudah mesra orangnya.

Sungguh pun demikian, maza tetap merasa risau. Apa tah lagi maza hanya mampu meninjau dari celah tingkap kereta tatkala menghantar anak itu di pintu pagar sekolah. Maza tidak berkesempatan untuk menghantar Nasrun ke dalam kelas barunya.


Maza fikir Nasrun akan merengek mahu maza menemaninya, tetapi sebaik pintu kereta ditutup setelah bersalaman dan berpeluk cium, dia terus menonong berlalu menaiki anak tangga ke pintu sekolah tanpa menoleh ke belakang. Tak sampai dua minit susuk tubuh kecil Nasrun lenyap ditelan bukit sekolah itu.



Hari ini maza cuti separuh hari. Tengah hari nanti mahu menjemput anak kecil itu. Mahu dengar celoteh hari pertamanya. Kemudian jam 2.30 petang karang dia sekali lagi akan ke sekolah baru yang lagi satu, Sekolah Agama Rakyat Selangor. Mudah-mudahan dia menjadi anak yang soleh, teguh imannya, cekal hatinya dan cemerlang dalam setiap segi!

Nota kaki: maza dahulu bekas bahan ujikaji juga.. dari KLSM ke KBSM untuk sekolah rendah. Dan anak maza hari ini menghadapi nasib yang hampir sama, bahan ujikaji untuk KSSR. Mudah-mudahan menjadi kali ini dan terbaik, insyallahhhh.. ameeeeennnn gitew..


Sabtu, 1 Januari 2011

Di Ambang Zaman Baru

31 Disember 2010 merupakan ambang kepada tahun baru 2011. Macam biasa di Kuala Lumpur ini, ramai juga pihak korporat dan orang perseorangan menganjurkan majlis sambutan tahun baru.

Ada sesetengahnya menganjurkan parti, sukaneka dan konsert. Dan tidak kurang juga yang memberikan alternatif dalam bentuk kerohanian. Nah! Anda harus memelihnya yang mana satu kaedah. Mahu berpesta sampai dimurkai Tuhan atau sebaliknya.

(Gambar 1: Padang tempat kami berkumpul menyaksikan percikan bunga api)

Kali ini cara maza sambut malam ambang tahun baru agak berbeza dari kelaziman. Kebetulan ada kenduri di majid berdekatan di sini, jadinya lepas maghrib terus sambar naskah 'Yassin' dan dilangsungkan bacaan doa oleh pak imam. Usai majlis tersebut kami ramai-ramai turun ke padang. Makanan telah siap dihidangkan. hehehehe

(Gambar 2)

Lebih kurang jam 11.30 maza dan keluarga turun ke padang berhampiran dengan masjid. Apa lagi kami mengambil kesempatan untuk melihat percikan bunga api yang tak perlu berbayar itu.

Belum pun jam 12.00 tengah malam, sekitar 11.55 malam sudah ada yang membakar bunga api. Apatah lagi jam 12.00 tengah malam, lagilah banyak bunga api berdetam dentum sana sini.

Tahun ini banyak pula pihak-pihak tertentu yang menaja bunga api. Jadinya di ruang angkasaraya di masjid ini diterangi oleh limpahan cahaya bunga api.

(Gambar 3: Bunga api yang berbentuk seolah-olah bunga kebangsaan: bunga raya)

Jadi kengkawan, maza pun tepeklah beberapa keping gambar bunga api tersebut agar kita sama-sama bersyukur dengan nikmat keamanan, kesihatan dan kemurahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Untuk itu maza ucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2011 semua!...

(Gambar 4)

(Gambar 5)

(Gambar 6)

(Gambar 7)

(Gambar 8)

(Gambar 9)

(Gambar 10)

Pinggan ayan: terima kasih kepada Mohd Amin & Faiz Al Hasani kerana sudi menjalin hubungan dengan mengikuti blog GKKJ ini.. tanpa kengkawan siapalah maza kan....huhuhu

Khamis, 30 Disember 2010

Guruh Di Jiwa, Semangat Membara!

1987/1988.

Keadaan begitu mendesak. Hanya tinggal 7 minit permainan akan tamat. Jika Sekolah Kebangsaan Kahang, Johor tidak dapat mengalahkan pasukan Sekolah Bandar Timur, bermakna tamatlah sudah perjalanannya. Ini juga bermaksud Sekolah Kebangsaan Kahang hanya naib johan.

Tetapi itu bukanlah pilihan terbaik.

Seminggu lalu Cikgu Rahmat memberikan kata perangsang kepada pemain hoki sekolah kami.

BERJUANG BERSUNGGUH-SUNGGUH! Demi sekolah ini. Demi nama baik kampung kita. Dan demi keluarga kita.

Sepatutnya awak merasa bangga kerana terpilih untuk berbakti. Awak telah diberi amanah. Dan sekarang awak menggalas tugasan yang berat. Awak kena tangung beban ini.

Saya yakin awak semua mampu melakukannya!

Kita perlu buktikan. Kita bukan orang yang tidak berguna. Tetapi kita adalah istimewa. Kita adalah sesuatu. Kita tidak perlu berasa rendah diri terhadap sekolah-sekolah lain.

Ya! Selama ini kita dibuli. Di pandang rendah! Seolah-olah kita ini orang Sakai yang tidak bertamadun.

Hapuskan pemikiran itu.

Sudah tiba masanya kita tunjukkan belang! Kita adalah harimau kampung. Harimau kerdil yang mampu merobek setiap hati pihak lawan itu!

Biarkan orang-orang bandar dengan jurulatih profesional mereka terperanjat. Biarlah mereka lihat kemampuan sebenar kita!

Kita lagi hebat dan sememangnya HEBAT!!!”

Masing-masing mengenggam kayu hoki penuh erat. Setiap butir kata Cikgu Rahmat terus melekat satu persatu di hati para pemain.

(Gambar: Cikgu Rahmat duduk di atas kerusi malas. Gambar ini dirakam di rumah Cikgu Rahmat tatkala kami menghadiri kelas tuisyennya. Banyak free dari berbayar. Terima kasih cikgu! Credit to Yazid Yahya for the pic.)

“Kita sudah berlatih dengan kemudahan yang seadanya. Walaupun kita tidak mempunyai peralatan yang canggih, padang yang rata! 

Tetapi kita ada maruah. Kita ada semangat!

Jangan hampakan semangat awak. Jangan hampakan semangat sekolah kita. Jangan hampakan semangat kawan-kawan kita. Ibu bapa kita dan orang-orang kampung ini.

Pergilah berjuang. Jangan sekali-kali patah semangat. Patah semangat bermakna sebelah kaki sudah tersungkur, hanya menanti saat untuk rebah sahaja!

Kita mesti terus tegak berdiri! Terus melangkah. Hingga berjaya!!! Hingga menang! Menjadi johan!

Biar guruh berdentum bagai halilintar petir menyambar. Tetap terus berjuang hingga ke titisan akhir!

Jangan mengalah sehingga tamat permainan. Faham! Ustaz, Zaki, Azhar, Yazid, Hishamudin, Zakri, Azlan, Osman, Zaid, dan yang lain-lain”

Memang nama-nama itu adalah nama-nama besar di sekolah kami. Aku pula sebagai pemain simpanan yang sering hadir dan berdisiplin.


(Sila mainkan lagu di atas berulang-ulang.
Percayalah, ' feel' cerita akan benar-benar terasa. Selamat membaca)

Ustaz Suhaimi dan Zaki adalah pengempur kami. Pemain tengah adalah Yazid, Azlan. Di bahagian pertahanan Azhar, Faizal. Sayap Osman. Penjaga gol pula ialah Noranoi (Norisyam).

Kami tidak pernah menang sebelum ini. Malah mengikut rekod, kami adalah pasukan yang sering memenuhi bangku tercorot.

Jika ada sekolah lain bertembung dengan pasukan ini, mereka akan menjuihkan bibir dan tidak mengendahkan kehadiran kami. Mereka akan tertawakan kami. Memperkecil-kecilkan kami yang sememangnya kerdil.

(Gambar: Pasukan Hoki Sekolah Menengah Kahang tahun 1990. In memories of arwah Brad Haris & Zawawi)

Bagi mereka Sekolah Kebangsaan Kahang adalah pasukan sayuran. Boleh dicincang dibuat lauk sesuka hati. Bak kata orang ada tidak menokok, hilang juga tidak mengurang.

Saban tahun kalau tidak pasukan Sekolah Bandar Timur menjadi johan, Sekolah Bandar Lelaki akan mengambil tempat. Pendek kata hanya sekolah bandar sahaja bersilih ganti menjulang piala MSSD Kluang.

Kami hanya mampu mengigit jari, sambil mengheret kayu hoki yang ada kalanya lebih panjang daripada pemainnya.

Banyak betul perbezaan antara mereka dengan kami. Mereka digelar pasukan elit. Mereka dikenali sebagai murid-murid yang cerdik. Budak-budak yang hebat!

Mereka berpakaian sukan lengkap. Jersy yang cantik dan berkasut ‘boot’. Pelapik keting kaki yang terkini lagi mahal harganya.

Kami memiliki pakaian jersy yang lusuh sudah lama tidak berganti. Ada yang koyak dan berjahit. Malah rata-rata tidak mampu membeli kasut ‘boot’. Yang ada pun kami pinjam atau Cikgu Rahmat sendiri yang menaja. Alahai berapalah sangat yang mampu Cikgu Rahmat belikan. Sekadar sepasang dua sahaja bolehlah. Selebihnya kami gunakan sepatu putih sekolah. Dan tidak ada pelapik keting kaki pun.

Mereka ada jurulatih sendiri. Khusus melatih mereka di padang yang cantik dan rata. Tetapi kami hanya ada Cikgu Rahmat. Cikgu yang cukup dedikasi; cekal mengasuh dan mendidik kami. Dia juga cikgu darjah yang mengajar kami Bahasa Inggeris dan Sains.

Cikgu Rahmat beriya-iya benar membentuk kami. Memulihkan semangat kami agar tidak rasa rendah diri. Memupuk semangat kental. Bangkit sebagai seorang yang bermaruah! Bangkit sebagai seorang juara. Bagai harimau belang yang tersimpan di hutan rimba, Hutan Simpan Lengong!

Tiga hari sebelum pertandingan, Cikgu Rahmat sekali lagi berdiri di hadapan kami.

“Jangan mengalah. Teruskan perjuangan. Tumpukan perhatian. Jangan takut walaupun mereka itu tampak seperti beruang! Tetapi awak lagi gagah. Awak boleh mengalahkannya. Yakinlah!

Tumpukan perhatian!!!

Aturkan langkah gagah, menuju medan juang, Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!”

Kami bersemangat penuh. Hari pertandingan itu, satu persatu pasukan lawan kami tumbangkan. Ada yang menjadi ratahan kami pula.

Dan sekarang Sekolah Bandar Timur menjadi penghalang kami. Benteng aral terakhir sebelum dapat menjulang piala MSSD Kluang dengah gah; banga dan buat pertama kali dalam sejarah.

Beberapa minit perlawanan akhir baru hendak bermula, Cikgu Rahmat sekali lagi mengingatkan kami!

“Jangan berlagak sombong. Jangan riak. Jangan angkuh. Itu penyakit orang yang mahu kalah.

Ya memang tidak pernah kita capai sehingga tahap ini. Ke perlawanan akhir hari ini. Itu tidak bermakna kita sudah boleh merasa cukup selesa. Cukup berlagak.

Orang yang dahagakan kecemerlangan tidak akan puas! Tidak cukup puas dengan apa yang mereka kehendaki sehinggalah ia benar-benar mampu memperolehi apa yang dicita-citakan. Dan mereka tidak akan berputus asa!

Apa, sudah cukup puaskah hati kita dengan prestasi HARI INI?!!

Ingat! Perjuangan kita belum berakhir. Masih ada ranjau yang perlu kita tumpaskan. Cukupkah kita setakat INI?!!”

“Tidak” tidak semena-mena semua pemain menjerit serentak.

Jeritan penuh semangat bisa menggerunkan sesiapa sahaja. Mereka yang mengikuti rentak kami pastinya dapat merasakan aura tersebut.

“Cukupkah hingga tahap ini?!”

“Tidak!!!”

“Cukupkah sampai di sini?”

“Tidak!!!”

“Mari kita buktikan hingga ke akhirnya. Piala itu milik kita! Kita adalah manusia yang terhebat!

AYUH!!! Aturkan langkah gagah, menuju medan juang. Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!”
“AYUH!!! Aturkan langkah gagah, menuju medan juang. Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!”
Ustaz Suhaimi selaku ketua dan kapten kami segera bangkit dari tempat duduknya. Lalu dia pun turut melaungkan perkataan yang sama.

“Aturkan langkah gagah, menuju medan juang. Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!!!”

Kemudian kami beramai-ramai menyebutnya sehingga lahir seperti rentak sebuah genderang perang!
"Aturkan langkah gagah, menuju medan juang. Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!!!"

Sekarang ini skor menunjukan 3-3. Masing-masing sangat tertekan. Peluang menjadi 50-50.

Permainan nampaknya berat sebelah ke pasukan lawan. Pasukan Sekolah Kebangsaan Kahang tampak goyah. Mereka mulai hilang tumpuan.

Mereka nampak keletihan. Sebenarnya stamina masih tidak mencukupi. Sudah ada pemain yang tercungap-cungap bagaikan burung gagak. Tidak bermaya.

Pasukan Sekolah Kebangsaan Bandar Timur mempunyai banyak pengalaman ke perlawanan akhir. Sekolah itu juga adalah sekolah ‘favorite’ untuk menang. Tetapi Sekolah Kebangsaan Kahang juga tidak boleh dipandang rendah lagi.

Akhirnya dalam kesemputan itu, penyerang Sekolah Kebangsaan Bandar Timur berjaya mencuri peluang lalu membolosi benteng pertahanan dan menyumbat gol!

Papan skor menunjukkan 3-4.

Semua pemain Sekolah Kebangsaan Kahang tersentak dengan gol itu. Keadaan semakin mendesak.

Mereka mulai hilang punca. Tidak tentu arah.

Cikgu Rahmat segera mengesani kepincangan itu. Dari bangku jurulatih dia memekik.

“Tumpuan! tumpuan ! Jangan patah semangat. Teruskan berjuang. Teruskan.”

Sekolah Kebangsaan Kahang semakin kucar kacir. Semangat yang baru hendak dibentukkan kembali menjadi rapuh; patah. Adakalanya ia berderai begitu sahaja. Ada di padang sudah mulai mengheret kayu hoki. Tidak seperti awal separuh masa pertama, mengenggam erat kayu itu!

Dalam keghairahan Pasukan Sekolah Bandar Timur menggasak untuk mendapatkan kemenangan selesa, tiba-tiba mereka telah mencederakan penjaga gol pihak lawan, Noranoi terbaring di muka gawang. Perlawanan terhenti sementara waktu.

Sementara Noranoi mendapatkan rawatan, hampir separuh pemain Sekolah Kebangsaan Kahang keluar padang mendapatkan air yang berdekatan bangku jurulatih, Cikgu Rahmat turut berada di situ.

“Habislah kita. Hancur. Masa tidak ada lagi. Kita sudah kalah.” , keluh salah seorang pemain.

Siapa cakap kita sudah kalah?! Wisel penamat belum berbunyi lagi. Itu tandanya perjuangan belum berakhir. Kenapa dengan awak semua ini. Mudah sangat berputus asa. Lupakah matlamat kita! Bangkit, bangun, lawan. Lawan dan lawan mereka!” sergah Cikgu Rahmat.

Wisel ditiupkan oleh pengadil menandakan perlawanan disambung kembali.

Masa perlawanan kini berbaki 3 minit.

Sebaik pasukan Sekolah Kebangsaan Kahang melangkah masuk, aku dan beberapa kawan lain di bangku simpanan mula bersuara. Memekik bagai halalintar, pemberi semangat kepada pejuang-pejuang kami.
"Aturkan langkah gagah, menuju medan juang. Kita mahukan kemenangan, kita sanggah musuh penghalang!!!"
Kami laungkan kata-kata keramat itu berulang-ulang kali seperti kompang mengiringi para mujahid di medan perang.
Dari pukulan kuat percuma itu, yang diambil oleh Osman, akhirnya berjaya sampai kepada Ustaz Suhaimi, penyerang di barisan hadapan sekali.

Entah bagaimana dari laungan kami itu, telah bertukar menjadi satu tenaga ultra seperti tenaga renjetan eletrik. Lalu mencetuskan satu aura semangat yang begitu pejap di dalam diri Ustaz Suhaimi.

Ustaz Suhaimi berjaya mengelecek satu persatu benteng pertahanan lawan. Tiga lawan satu. Ia tidak adil. Tetapi Ustaz Suhami berjaya meloloskan diri. Kesemua tiga orang benteng pertahanan itu dapat ditupaskan!

Akhirnya, gerakan penyudah paling cantik ditamatkan oleh Ustaz Suhaimi ke gawang lawan. Penjaga gol pihak lawan hanya mampu mengerdipkan mata sambil terbaring menghenyak tanah di depan pintu gawangnya.
Kami melompat sakan. Ini menandakan kami seri. Perlawanan kembali terikat dengan skor 4-4. Masih ada harapan!

Selepas bola dipukul dari tengah, wisel penamat pun berbunyi.

Untuk memendekkan masa yang sudah pun hampir senja. Pihak penganjur bersetuju untuk memuktamadkan pertandingan itu dengan pukulan penalti sebanyak 5 kali.

Dan keputusan akhir, kami telah tewas dan pasukan lawan mendapat kelebihan 3 gol berbalas 2.

Air mata sedih meleleh. Harapan seolah-olah hancur seketika. Masing-masing muram!

Nasib baik Cikgu Rahmat memainkan peranan penting untuk kesekian kalinya. Dia telah memujuk kami.

“Tidak mengapa, tahun ini kita hanya selangkah lagi ke kemuncak angkasa. Tetapi teruskan gemuruh di jiwa. Bertarung dan terus bertarung. Tanpa jemu!

Insyallah kita akan menjadi juara di tahun hadapan!

Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kita sudah buktikan siapa kita! Kita ada maruah dan kita selangkah ke arah kemenangan!

Bergembiralah walaupun kita naib johan!”

Sedih bertukar berbaur kegembiraan. Mengalir lagi air mata di pipi pulus. Tetapi kali ini tangisan sendu kegembiraan. Air mata kesyukuran.

Walaupun piala itu tidak dapat kami julang, tetapi erti pengorbanan dan semangat pejuangan lebih bermakna.
Kami menjadi seorang yang tidak mudah putus asa. Lantaran itu GEMURUH DI JIWA, SEMANGAT MEMBARA, DARI PUNCAK INGIN KE ANGKASA

Rabu, 29 Disember 2010

Malaysia Diganyang Indonesia tetapi Menang!

Malam ini lengkaplah perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia. Jam 9.55 malam (waktu Malaysia) tamatlah sudah pertandingan bola sepak akhir pusingan kedua yang diadakan di Stadium Gelora Bung Karno di Indonesia.

Perlawanan akhir pusingan kedua ini telah menyaksikan Malaysia tewas kepada Indonesia dengan 2-1.
Malaysia telah mendahului gol yang dijaringkan oleh Safee Sali untuk mendahului 1-0 melalui jaringan padang yang sangat cantik.

Namun Indonesia membalasnya melalui rembatan pemain pertahanan Nasuha (jersi no. 2) hasil muntahan tampanan penjaga gol Malaysia iaitu Khairul Fahmi.



Gol kedua yang merupakan gol kemenangan Indonesia adalah hasil daripada gol sendiri. Ia bermula diatas kesilapan tandukan pemain Malaysia (Fadhli) untuk mengeluarkannya dari masuk ke gawang di kotak penalti. Tendangan berbahaya itu dibuat oleh Ridwan pemain sayap kanan Indonesia.

Akhirnya Safee Sali telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak untuk kejohanan ini dengan 5 gol.

Walau pun Malaysia tewas di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia, namun berbekalkan gol kemenangan dari perlawaan akhir pusingan pertama di Kuala Lumpur dengan 3-0, Malaysia buat kali pertamanya dimahkotakan sebagai Juara Piala AFF Suzuki.

Dengan itu, Malaysia telah berjaya menewaskan Indonesia dengan aggregate 4-2.

Ini bermakna pasukan Malaysia (Harimau Malaya) telah menamatkan kemarau kejuaraan selama 14 tahun iaitu semenjak pembetukan piala tersebut pada tahun 1996.

Hari ini juga ternukilah sejarah bahawa Malaysia telah kembali menjadi harimau bola sepak Asia dan ia patut digeruni.

Tahniah pasukan negara!!!

Syukur alhamdulilah ... sebuah kecemerlangan tercipta di sebalik tirai 2010 hendak dilabuhkan.

Berikutan kejayaan ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib telah mengistiharkan bahawa esok (31 Disember 2010 = Jumaat) ialah cuti umum untuk negara!


(Gambar hiasan: Anaknya Jalil & Zainab)

Jika boleh maza katakan 'man of the match' rasanya maza akan memilih Khairul Fahmi penjaga gawang negara. Walaupun dibolosi dua gol, tetapi dari ketengkasannyalah banyak lagi percubaan-percubaan berbahaya dapat ditangkis dan terselamatlah gawang Malaysia.

Tahniah kepada jurulatih kebangsaan K. Rajagopal kerana berjaya membawa anak didiknya berjaya ke peringkat yang cukup manis ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails