‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 18 September 2016

PAPAN KALAM UNTUK ANAK



Jambatan Antara Dua Dunia


Celik mata sahaja terus mengetuk, membaca dan menulis di “papan kalam”. Begitulah rutin dewasa ini. Jika tidak melakukan sedemikian seperti ada yang tidak kena. Seolah-olah kembali hidup di bawah tempurung dalam dunia terkurung. Salah hemat, kantung fulus terjejas menjadi kusut dan mengecut. Perniagaan berubah lesu. Kehidupan sosial tersisih.

Ketika kecil dahulu, saya menggunakan papan hitam bersaiz kecil berkapur tulis untuk mengaji, menulis dan membaca. Papan hitam itu boleh diriba di celah kelengkang kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun. Adakalanya papan yang sama dicebit ke hulu ke hilir sambil belajar mengira dan membaca. Sepelusuk alam suara kami memecah jagat buana apabila kalam-kalam yang terpalit itu kami laungkan satu persatu.

Jika ayah bergaji atau memperoleh pendapatan lebih, jumlah kapur tulis akan ditambah, malah beraneka warna. Hari itu kami bermewah-mewahan hingga dunia khayalan melewati bingkai papan hitam lalu terbawa-bawa dengan mencontengnya ke dinding-dinding rumah. Penyudahnya ibu menjerkah, ayah membeliakkan mata. Paling panas pun, ayah akan menghadiahkan tali pinggang ke kaki. Sebagai pengajaran katanya.

Dengan papan hitam kecil kami berkarya. Bermacam-macam gabungan stroke, garisan, palang, lengkuk membentuk pelbagai cetusan seni hasil kreativiti akal kami. Alam menjadi rujukan kami, seperti pokok, rumah, bunga, haiwan, kenderaan dan orang lidi. Sekiranya kehilangan pemadam papan hitam, kain buruk atau lengan baju dijadikan pengganti.

Dari papan hitam kecil kami mengenal alif, ba, ta. Setelah usia menginjak 12 tahun kami mula khatam dan khatan. Jika tidak khatam al-Quran kami tidak akan disunatkan. Kata orang-orang tua pula, kami akan kekal menjadi kanak-kanak selamanya. Tidak boleh bersolat satu saf dengan jamaah dewasa, makan setalam dengan kawan-kawan yang telah dewasa malah diancam tidak boleh berkahwin.

Sebelum saya memperoleh papan hitam kecil itu, saya pernah menggunakan papan kalam. Papan tersebut diperbuat daripada kayu yang ayah gergaji dari pangkal pokok nangka mati. Kemudian diketamkannya agar menjadi papan yang licin. Arang digunakan untuk menulis. Habis jejari dan hidung kehitaman. Sambil menggores di atas papan kalam, bibir akan mengherot dan lidah tersentil mengikut riak lentuk tubuh menggayakan objek yang dilukiskan. Sukar juga menulis, kena tekan kuat hingga kadang-kala menyebabkan jejari sengal.

Kata ayah, di zamannya belajar, papan kalam dan arang itulah diusung mengadap guru. Manakala kitab kuning adalah buku rujukan yang dkongsikan bersama teman seperguruan. Hampir lunyai kitab itu disebabkan ramainya pelajar-pelajar menggunakannya.

Kata ayah, selang beberapa lama, papan kalam mulai dianggap sebagai barangan rendahan (barangan inferior) setelah barang pengantinya iaitu buku tulis, pen dan pensil mengambil tempat. Papan kalam menjadi terbengkalai dan dibiarkan reput sendirian di pangkal perdu pokok atau di bawah tiang rumah. Ditambah pula arang semakin sukar didapati setelah teknologi dapur berevolusi. Orang kampung tidak menanak nasi dengan dapur kayu atau arang. Mereka gunakan dapur minyak tanah kemudian dapur gas dan hari ini dapur induksi berkuasa elektrik.

Zaman terus berubah meninggalkan sisa-sisanya. Sesuai dengan kemajuan orde dunia baharu. Barangkali ini juga kesan keberkatan doa Nabi Ibrahim a.s terhadap anak cucunya.

Dekad-dekad perubahan dihadapi dengan begitu ghairah. Siapa sangka, di zaman serba canggih dengan teknologi digital dan ICT telah mengembalikan zaman kegemilangan papan kalam. Cumanya papan kalam hari ini tidaklah sampai mengotori tangan, baju dan persekitaran. Hidung dan rumah tidaklah bersawang kehitaman.

Meskipun begitu, kekotoran dari papan kalam moden ini mampu memberikan implikasi jauh lebih dahsyat; sehingga boleh meruntuhkan institusi keluarga, negara dan dunia. Kotornya papan kalam moden tidak kelihatan dengan nyata, secara fizikal seperti kotornya baju, jari dan dinding rumah. Terjemahan kekotoran sudah berbeza.

Dahulu papan kalam boleh dibuat sendiri dengan menebang pohon di belakang rumah. Berbeza dengan papan kalam hari ini yang memerlukan wang dan kerja keras untuk memperolehinya, sehingga adakala perlu berkorban mengikat perut.

Anehnya, pena papan kalam dahulu tidak perlu berbayar kerana arang boleh dikutip dari dapur dan tiada royalti atau copy right yang perlu dirisaukan. Berbeza papan kalam moden, semuanya dikenakan caj, terutama caj perkhidmatan atas talian. Jika tidak berbayar caj tersebut maka papan kalam gagal menjalankan fungsi sebenar. Segala aktiviti komunikasi, mentelaah ilmu dan pengembangan pengetahuan menjadi terhalang. Apabila perkara ini terjadi, papan kalam moden barangkali akan bertukar fungsi, lalu menjadi papan basuh pakaian. Gosok jangan tak gosok, gosok sampai berkilat (lirik lagu Aladin, Spider) . . . bak deretan anak dara di tepian sungai menyental baju bersama busa menimbun. Jadi, manfaatkanlah segala kemudahan yang ada untuk kebaikan. Urusan manusia itu rata-ratanya adalah hal kitar semula dari zaman lampau, bezanya hanyalah teknologi, asas penciptaan dan tujuan tetap sama. 

nukilan lantun-lantun:
  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails