‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 12 Mei 2015

Di Bawah Jambatan Kemaman Jiwa Pemuda Bergelora

Beriadah dan bersantai di bawah Jambatan Kemaman
Ketika meningkat remaja, saya sering melakukan aktiviti santai di tebing ban (tali air). Termenung di atas titi kayu sambil menantikan masa yang sesuai untuk berenang ke dalam air sungai Temiggol yang mengalir dingin.

Adakalanya saya mengusung gitar kapok usang dan menjinjing buku log lagu. Berdendang dengan lagu anak-anak muda sezaman. Rata-ratanya bermelodikan rock kapak dan rhythm pop yeh-yeh.

Sekali sekala ditemani rakan sekampung seperti Tunak (Tommy), Pak Kulup (arwah Samad bin Abdul Rahim), Asrak bin Idik. Kami terpekik terlolong di tepian ban itu.

Pada lewat petang, saya juga mengail ikan dengan 'joran bodoh' berumpankan gentilan tepung, cacing atau hirisan biji kelapa sawit.

Indah nian panorama bila bidai petang mula melabuhkan tirai. Awan kuning di ufuk horizan barat memurnikan suasana. Air jernih yang mengalir di bawah titi mengembalikan pantulan imej kebiruan langit dihiasi awan larat komulus. Dari sayup kejauhan kelihatan burung-burung berterbangan pulang ke sarang. Burung bangau, belibis, kuang, bayan, tiak, tempua, serindit berterbangan. Barangkali sudah kekenyangan. Burung wak-wak, tukang, hantu dan riang-riang mula bersiap-siap mengambil tempat untuk bertugas malam nanti.

Di atas batas sana pak tani memikul cangkul, sabit dan alatan tani. Berbaris meniti batas sawah selebar beberapa jengkal bersama isteri atau kakak yang mencibit bakul bekalan. Riuh suara mereka. Anak-anak tani mendepangkan tangan, mengimbangi diri berlari di atas batas dengan hati girang. Petang itu sarat dengan hilai tawa dan gurau senda mereka.

Pada usia baligh dan jerawat mulai tumbuh di sana sini, sikat pula tersisip kemas di kocek belakang seluar. Objektif kami ke titi bukan lagi sekadar bersantai dan menunjukkan handalnya berkubang, bermain 'ram ram reap air' atau menyelam paling lama. Selalunya ke situ untuk meluahkan rasa; rasa bunga-bunga, fantasi si anak muda mengidamkan dara. Tidak kurang juga melaram dan menantikan gadis genit desa melintas atau bersiar-siar di halaman kampung sambil menayangkan tubuh pemuda sasa (tubuh sadolah sangat, hik hik hik).

Jika nasib kurang baik, terserempak dengan Pak Jemari, Pak Embong atau Hashyim Embong, mereka ini 'taiko' kampung. Kebidangan dada kami serta merta mengendur dengan sendirinya, berubah menjadi pepes. Hanya lambaian tangan menjadi tanda hormat sambil melontarkan senyum sumbing.

Jika yang lalu di hadapan titi itu bakal bapa mertua si pujaan hati, wajah pemuda gagah Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor, ini akan berubah kemerah-merahan. Malu, segan, resah, takut; semuanya bergalang ganti dalam peti hati. Jiwa menjadi resah tak semena-mena. Sepontan akan berdiri menyambut beliau dengan salam takzim, tangan kanan jatuh ke tanah, tubuh dibongkokkan, manakala tangan kiri di balik pinggang. Jauh berbeza akhlaknya bila bertembung dengan bakal isteri idaman itu, terkeseng-keseng, tersengeh-sengeh, tertunduk malu sambil melontarkan ayat-ayat keramat mengurat (kih kih kih).

Nostalgia itu berputik kembali setelah semalam (11.05.2015) berkesempatan melawat anak-anak muda Kemaman bersantai di bawah jambatan. Mereka berborak sambil mata kail dilabuh hendak mencari ikan dibuat lauk untuk makan malam nanti. Sekali sekala angin bayu laut memuput, mengusap tubuh bersama kedamaiannya.

Alhamdulillah

~Ammak satu kali~
hik hik hik

Rabu, 6 Mei 2015

Misteri Sungai Madek, Kahang

1 MEI 2015 (JUMAAT) - Saya sekeluarga, Bibik Mamat Appolo, Suzienna Ana, Kamal Sauhan sekeluarga berkhemah di tebing Sungai Madek, Kahang.

Memang menurut penduduk tempatan Sungai Madek itu ada kawasan keras. Tidak boleh sebarangan mahu memacak khemah atau memancing, lebih-lebih lagi di waktu senja.

Hendak dijadikan cerita, usai memasang khemah dan menyediakan unggun api, kami pun berehat sebentar di bawah pokok kelapa sawit berhampiran tebing sungai bersempadanan pantai yang pasirnya putih. Waktu Maghrib pula semakin hampir. Awan hitam nimbrostratus berkumpul memekat di dada langit. Alamat hujan akan turun.

Sedang berehat itu dengan tidak semena-mena Aida Sarudin menjerit sekuat hati. Memekik. Bergema seluruh tebing Sungai Madik itu. Dia bergegas bangkit dan terus berlari tanpa menghiraukan sesiapa. Lagaknya seperti orang kena histeria. Kena rasuk! Menggelupur!

Kami kaget. Panik. Tak tahu hendak berbuat apa. Masing-masing menggelabah. Masing-masing termangu. Terpegun melihatkan tindakan sepontan Aida.

Dalam keadaan getir itu saya melaungkan namanya. Dua tiga kali saya menjerit bertanyakan dia hendak ke mana.

Akhirnya Aida pun menjawab sambil tercungap-sungap kemengahan, "Stok Maggi tertinggal dalam bonet kereta. Kena cepat ambil sebelum hari gelap dan hujan! Tak ada Maggi, lambat masak, tak sedap nak makan."

Jadinya, kami pun sama-sama terkena histeria pada hari itu.

~mee Maggi cepat dimasak sedap dimakan~

Hik hik hik
Lantun-lantuk, ammak satu kali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails