AL FATIHAH - adalah penghulu kitab al-Quran. Membaca dan menelitinya seolah-olah sebagai mukadimah dan kesimpulan keseluruhan al-Quran itu sendiri. Banyak perkara secara tersurat dan tersirat boleh dicungkil dan dibahas untuk dijadikan panduan sebagai seorang Mutaqin.
Bila kita perhatikan 5 ayat pertama Al Fatihah, kita dapat lihat bagaimana kaedah tarbiah Allah s.w.t.. Kaedah tarbiah (didikan) Allah s.w.t itu sebenarnya ada dalam surah Al Fatihah ini. Malah sistem yang dicanaikan oleh Allah s.w.t secara tersirat di dalam surah ini, harus dipraktikan lantas ia dapat meningkatkan keimanan, dan merasa Allah itu seolah-olah ADA di sisi. Bahkan itulah yang sebenarnya dituntut.
Kalaulah diri kita sendiri dan juga para guru, pemimpin dan ibu-ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh laksanakan untuk diri sendiri, pengikut, anak buah, murid-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, kita akan dilimpahi dengan keberkatan dari Allah s.w.t.
Mari kita cungkil hikmat dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, dan lihat bagaimana Allah s.w.t mendidik manusia.
Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah ini sangat cantik, bersistematik dan sempurna sekali sebagaimana fitrah jiwa manusia itu sendiri.
Allah s.w.t mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj iaini beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sehinggalah sampai kepada matlamat yang Allah s.w.t maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana budu'..."
(Al-Fatihah: 5), banyak ilmu pendidikan yang boleh kita tauladani.
Allah s.w.t mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Allah s.w.t jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak.
Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau menjadi degil, keras dan agresif. Keadaan itu Allah s.w.t tidak mahu, kerana ianya amat bahaya kepada sesama manusia. Lantaran itu Allah s.w.t memilih untuk mendidik secara bertahap (walhal Allah s.w.t Maha Mengetahui segala-galanya).
Matlamat terakhir adalah bahawa Allah s.w.t itulah yang mesti manusia sembah, dan hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu adalah kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj.
Matlamat Allah s.w.t ialah supaya manusia akui Dia Allah s.w.t (Tuhan sebenar-benar Tuhan, yang Maha Sempurna, Maha Agung) dan semestinya hanya Dialah disembah dan dipuja-puja, dipuji-puji.
Maha Agung Allah s.w.t, di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya,"Aku Allah s.w.t." tetapi Allah s.w.t
perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:
1. Allah s.w.t kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir:
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Allah s.w.t itu maha
Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat
rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada 2 yang
tersirat yakni :
a) Ada khabar
gembira (nikmat itu adalah khabar gembira.)
b) Tidak ada nikmat
melainkan yang Allah s.w.t beri.
c) Tidak ada saluran
(segala perbuatan, nikmat, kesan, bekas, takbiran alam dan sebagainya) selain datangnya dari Allah s.w.t. Sama ada ianya nikmat maknawi atau yang lahir.
Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar al-Fatihah berkumandang, bahkan terkumat-kamit membacanya tanpa pengetahuan atau lalai di dalam solat sehingga kita sudah lali dengannya. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, iaitu 1500 tahun lalu, bila turunnya `Bismillah...`, mereka terkejut.
Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia sangka
nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat `Bismillah...`, dan setelah penjelasan Nabi s.a.w dengan terperinci terus mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Allah s.w.t. Jadi dia terasa bahawa rupanya Allah s.w.t itu baik dan pemurah lagi pengasih.
2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini (khabar gembira ini) datang dari Allah s.w.t maka Allah s.w.t mengajak manusia memuji-Nya dengan ayat "Alhamdulillah...”.
Kalaulah tidak dikenalkan apa itu Tuhan, tentang nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Allah s.w.t?
Begitulah cantiknya cara Allah s.w.t dalam mendidik manusia.
3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. Raja-raja, para VIP atau ’orang-orang besar’ tidak boleh kongsi pujian itu dengan Allah s.w.t. Kalau kongsi dengan Allah s.w.t, itu dosa yang paling berat.
Bila dikatakan nikmat itu dari Allah s.w.t, jadi layaklah Allah s.w.t sahaja yang boleh dipuji. Allah s.w.t kenalkan diri-Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat.
Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Allah s.w.t ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patut dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Allah s.w.t itu.
Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.
4. Kemudian Allah s.w.t perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanirrahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Allah s.w.t beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang. Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak.
Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Allah s.w.t beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Allah s.w.t itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Allah s.w.t, dia tak akan lupa diri. Allah s.w.t beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Allah s.w.t kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia.
Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia
tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Allah s.w.t beri atas dasar pemurah, kadang Allah s.w.t beri banyak. Di situlah murka dan laknat Allah s.w.t. Di situlah istidraj.
5. Kemudian Allah s.w.t kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan Allah s.w.t itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu:
Kuasa mutlak itu di tangan Allah s.w.t, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Allah s.w.t hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t.
Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Allah s.w.t, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.
6. Terasa lagi kebesaran Allah s.w.t. Setelah Allah s.w.t perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Allah s.w.t, maka barulah Allah s.w.t cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat memintapertolongan.
Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Allah s.w.t sudah lengkap, barulah Allah s.w.t arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".
Cara yang Allah s.w.t lakukan itu dalam mendidik manusia, Allah s.w.t minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Allah s.w.t tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur.
Cara itulah yang Allah s.w.t minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah Allah s.w.t. Itulah ilmunya, teorinya.
Luar biasanya Allah s.w.t bila Allah s.w.t pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Allah s.w.t aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan.
Di peringkat awal, selama 11 tahun Allah s.w.t turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Allah s.w.t. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Allah s.w.t cakap lain tetapi buat lain.
Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Allah s.w.t. Cantik sungguh didikan Allah s.w.t. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Allah s.w.t dahulu.
Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.
Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Allah s.w.t.
DIDIKAN ALLAH S.W.T KEPADA MANUSIA
Didikan Allah s.w.t kepada manusia sungguh sistematik dan menarik Indah, ada hujah, berkesan dan menyedarkan manusia.
Mula-mula dia inginkan rahmat dan nikmat-Nya hingga terasa kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya
Selepas itu dia suruh hamba-hamba-Nya bersyukur kepada-Nya dengan memuji-muji-Nya tanpa berkongsi pujian dengan makhluk-Nya. Sama ada memuji zat-Nya dan sifat-sifat-Nya mahupun rahmat dan nikmat-Nya.
Setelah itu Dia menyedarkan fikiran manusia dan mengusik lagi fitrah mereka.
Dengan mengingatkan manusia Dia adalah pencipta alam, pentadbir, pendidik, pengawal, penjaga dan penyelamat semua. Hingga manusia tersentak lagi dibuat-Nya, terasa lagi kehebatan-Nya.
Allah s.w.t tubi lagi fikiran dan fitrah manusia cara Dia memberi nikmat kepada manusia.
Allah s.w.t berkata, orang jahat diberi nikmat atas dasar pemurah-Nya serta istidraj-Nya iaini kemurkaan-Nya.
Cerita ini sangat menakutkan manusia hamba-hamba-Nya.
Orang yang baik diberi nikmat atas dasar kasih sayang-Nya adalah khabar gembira dari Allah s.w.tnya. Oleh kerana baik dan taqwanya seseorang itu, maka Dia meredhakannya.
Selepas itu Allah s.w.t susul lagi dengan memperlihatkan kebesaran-Nya kepada manusia.
Allah s.w.t memberitahu Dia adalah yang memiliki dan mempunyai kuasa mutlak tanpa berkongsi kuasa-Nya dengan makhluk-Nya.
Setelah Allah s.w.t mempromosi diri-Nya pada manusia secara bertahap-tahap dan berperingkat-peringkat tanpa mengejut hingga manusia faham dan terasa Maha Agungnya Allah s.w.t, dan Maha Berkuasanya Allah s.w.t, Dia adalah segala-galanya.
Setelah manusia terasa Dia adalah Allah s.w.t dan Dia adalah tempat meminta, maka barulah Allah Taala menyuruh menyembah-Nya dan meminta tolong kepada-Nya.
Begitulah Allah s.w.t. mendidik manusia yang kita sebagai insan muslim bercita-cita menjadai mukminin menirunya, terutama dalam pada mendidik jiwa sama ada jiwa anak-anak, rakyat, pekerja dan sebagainya.
Bahkan didikan Allah s.w.t itu kalau dijadikan panduan oleh setiap pemimpin, guru-guru, ibu bapa manusia itu mudah dididik ke arah mencintai, menakuti dan mentaati Allah s.w.t.
erkk!!!!..sekali sekala kena gak jengah kitab-kitab lama.. kui kui kui...
19-Apr-2007