Memang benar maza berasal dari kampung. Masa kecil-kecil ketika sekolah rendah lagi selalu meredah hutan dan belukar. Kami selalu meredah semak samun sama ada bermain atau melastik burung. Terutama berhampiran kebun-kebun terbiar yang senduduk, resam, lalang, lempong, ketapang dari serendah lutut hingga merimbum menyelubungi awan.
Setakat tracking dan hiking dalam hutan ini sudah alah bisa tegal biasa. Pinggiran hutan tempat permainan kami. Menyelusuri anak-anak sungai, bermain perang-perang dengan tanah liat yang dicapai dari dalam sungai atau membuat istana pasir.
Pernah kami berkhemah di dalam hutan. Atau lebih tepat lagi di Bukit Beriut berdekatan dengan persimpangan Nitar di Jalan Mersing, Johor sana. Kami berkhemah betul-betul di air terjun yang terdapat di situ. Walhal kawasan itu baru sahaja diterokai oleh Jabatan Hutan. Untuk ke sana kami terpaksa menggunakan jalan balak dan bertiti kayu.
Di air terjun itu kami bermalam. Ada rakan kami sebelum ini telah membuat rumah ran (di atas pokok) tetapi tidak pernah bermalam. Hanya maza, Norisam Samsuri, Selamat Abu, Mohd Yazid Yahya, Hishamuddin Md Isa dan beberapa orang lain yang maza sudah lupa telah bermalam di situ. Walhal hutan Lenggong tersebut punyai binatang buas seperti harimau, gajah, mawas, babi tunggal, pontianak, langsuir, penanggal dan bermacam lagi. (hahahaha). Tatkala itu kami baru lepas SPM.
Sebab itulah tatkala kursus bina semangat, atau BTN di dalam program junggle tracking atau hiking atau survival yang maza sertai kerap kali juga maza akan jadi ketua, jurupandu, juruarah dan tracker.
Tetapi itu kisah berbelas tahun yang lalu. Setelah bergelar mahasiswa kemudian beranak-pinak, aktiviti lasak seumpama itu sudah lama terkubur. Namun semangat untuk berkhemah seperti dahulu kala masih ada, cuma suam-suam dingin gitew. Segala skill hampir luput.
BERMULALAH KEMBARA
Sehinggalah pada suatu hari yang berbahagia, En Zubairy Abadi Sufian, Pegawai Jabatan Integriti - juga teman maza di kolej dulu - bersama geng NAPAT (Nature Adventure.... lupa sudah nama sebenarnya) telah mengajak maza untuk membuat tinjauan di Air Terjun Berkelah, Maran, Pahang.
Gambar 2: Simpang jalan ke Air Terjun. Separuh berturap tar dan ada sebahagiannya dihanyutkan air |
Sebelum itu mulut maza yang gatal ini telah menyapa En. Zubairy mahu menyertai program kembara
Melihatkan bahawa En. Zubairy mampu melakukan setelah agak berusia sedikit, ini bermakna maza juga mampu melakukan. Di tambah lagi dengan kata-kata Zubairy yang banyak mendorong dan mengingatkan nostalgia lama itu.
Gambar 3: Antara cabaran yang dihadapi sebelum tiba di parking base. Lopak dan jalan berlubang dalam. |
Penyudahnya pada hari Sabtu, 26. Mac. 2011, maza telah berlepas dari Kuala Lumpur bersama Zubairy, Anizam, Izal ke Hutan Rekreasi Air Terjun Berkelah, Pahang. Kali ini maza juga bertindak sebagai jurufoto rasmi mereka untuk merakam dan melaporkan terutama bentuk muka bumi, kemudahan perkhemahan, lokasi dan sebagainya.
Tinjauan awal ini dilakukan sebelum program sebenar Perkhemahan Air Terjun Berkelah anjuran NAPAT pada April 30-31, 2011 yang kemudiannya terpaksa ditunda pada tarikh yang akan diberitahu kelak.
Gambar 4: Arah yang mana satu ni bro? |
Perjalanan hendak ke parking base awalnya agak selesa dengan jalan boleh memuatkan sebuah kenderaan dalam satu-satu masa. Jalannya diturpa tar. Namun perlu berhati-hati terdapat sebahagian lagi jalan berturap tar itu rosak dan dihanyutkan air. Barangkali ia diakibatkan oleh banjir yang lalu.
Gambar 5: Tiba di tapak meletak kenderaan jam 12.00 tengah hari dan kami terus mendaki. |
Akhirnya setelah hampir tiga jam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur, kami pun tiba ke lokasi tempat meletak kenderaan dan tapak perkhemahan rekreasi. Ketika ini jam menunjukkan tepat pukul 12.00 tengah hari.
Untuk tidak membuang waktu, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke lokasi air terjun. Ini bermakna kami perlu mendaki bukit dan menyelusuri anak sungai.
Gambar 6: Antara kemudahan awam yang perlu diberikan perhatian |
Kawasan rekreasi ini di bawah pentadbiran Jabatan Hutan Negeri Pahang. Ini bermakna tiada caj atau yuran tertentu jika mahu datang berekreasi di sini. Namun demikian beberapa kemudahan awam turut disediakan termasuklah tandas dan tapak perkhemahan yang sempurna.
Gambar 7: Kembara sebenar sudah bermula |
Untuk sampai ke air terjun berkelah ini, kita perlu berjalan kaki dari parking base lebih kurang 20 minit perjalanan tanpa berhenti.
Sebahagian denai diturap dan sebahagiannya merupakan lorong-lorong jejak sahaja yang menghala ke air terjun.
Gambar 8: Meredah denai dan semak |
Semakin masuk ke dalam hutan itu, perjalanan semakin mencabar. Anda sendiri boleh saksikan rupa bentuk muka buminya.
Gambar 9: Laluan mencabar |
Melalui gambar di atas dan rupa bentuk buminya itu, kami merasakan kurang sesuai untuk membawa sama anak-anak kecil bawah 10 tahun untuk berkelah sama di air terjun tersebut.
Gamabar 10: Antara flora yang terdapat di situ |
Hutan yang kami lalui ini merupakan hutan tebal dan antara yang tertua di dunia. Justeru mulut, perkataan dan perbuatan harus dijaga. Almaklumlah masuk di tempat orang gitu.
Gambar 11: Zubairy sedang mendaki anak tangga dan menawan puncak bukit tersebut |
Gambar 12: Lagi laluan mencabar untuk ke tingkat air terjun seterusnya |
Semakin jauh ke dalam hutan dan semakin hampir dengan air terjun, denai yang kami lalui cukup mencabar. Ada ketikanya kami terpaksa merangkak, memaut akar dan memijak di atas batu.
Jujur maza katakan, di kala usia sebegini dengan kuderat tidak segagah dulu hampir-hampir maza berputus asa. Apatah lagi maza sendiri hampir-hampir putus nafas dan mahu pitam.
Di atas semangat setiakawan dan kehebatan En. Zubairy yang juga pakar motivasi telah memberikan suntikan dan dorongan kepada maza untuk meneruskan perjalanan itu. Dan akhirnya maza setelah mendapat kata-kata perangsang, aura baru muncul, bertambah bertenaga lalu maza memulakan langkah kembali.
Di sini hendaklah maza merakamkan jutaan terima kasih kepada kengkawan itu. Tanpa kalian mungkin kembara maza akan terhenti di balik banir pokok. Tersadai di situ. hehehe....
Gambar 13: Perhatikan airnya yang jernih kehijauan seolah-olah melambai tetamu datang mahu berendam ke dalamnya. |
Semangat bertambah kuat apabila terpandangkan kecantikan dan kejernihan air sungai yang mengalir itu. Tak sabar rasanya mahu berendam dan menikmati kesejukan air tersebut.
Gambar 14: Dari tebing tinggi, air sungai itu masih mampu menampakkan dasarnya. |
Di atas tebing tinggi itu maza sempat merakamkan betapa jernihnya air sungai tersebut hingga menampakkan dasarnya itu.
Setelah merakamkan kejernihan air tersebut, barulah maza terfikir andainya maza jatuh dari tebing yang tinggi itu, alamat entah bertemu lagi kita entahkan tidak.. aderkkk! hehehe
Gambar 15: Sungai Berkelah |
Saksikanlah aliran lemah gemalai dari sungai Berkelah. Sungguh unik dengan kehijauan dan kejernihan yang begitu terserlah. Cuma sayang mata terasa sakit apabila terlihatkan sampah merata-rata melatari sebahagian buminya. Tidak salah untuk berkhemah dan bermalam di situ pun, tetapi clean as you go-lah! huhuhu....
Rasanya kawasan tersebut sudah dibersihkan setelah kami pulang.
Gambar 16: Air Terjun Berkelah |
Akhirnya setelah berhempas pulas, hampir sejam juga, kami pun sampai ke air terjun Berkelah peringkat pertama.
Dengar kata tidak kurang 3 hingga 7 tingkat lagi. Kami hanya sempat meneroka sebahagian sahaja.
Gambar 17: Berlatar belakangkan air terjun. Cantik dan dingin sekali sehhh... |
Setelah penat menerokai dan meninjau sana sini, apa lagi, kami pun berendam sakan. hehehehe
Gambar 18: Zubairy (berbaju) dan Anizam merendamkan diri sepuas-puasnya. |
Gambar 19: Zubairy sedang asyik menikmati keindahan dan keenakan air jernih sungai Berkelah |
Gambar 20: Izal merenung keindahan alam |
Selain bermandi-manda, anda boleh juga berkhemah dan melakukan aktiviti flying-fox, rock-climbing dan macam-macam lagi.
Untuk projek NAPAT di Air Terjun Berkelah kali ini pengarahnya ialah En. Izal dengan orang kanannya ialah En. Zubairy dan Anizam.
Untuk projek NAPAT di Air Terjun Berkelah kali ini pengarahnya ialah En. Izal dengan orang kanannya ialah En. Zubairy dan Anizam.
Gambar 21: Antara aktiviti yang boleh dilakukan di air terjun Berkelah ini |
KESIMPULANNYA
Taman rekreasi Air Terjun Berkelah amat sesuai untuk aktiviti berkelah, berkhemah, dan aktiviti lasak. Namun ia tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur dan mereka yang punyai masalah pernafasan. Ini disebabkan laluan yang mencabar dan pendakian yang agak curam.
Tetapi jika anda ingin merasakan kesejukan air sungainya yang mengalir damai, anda boleh sahaja bermandi-manda di kawasan rekreasi di tepian sungai berhampiran tapak khemah rekreasi dan tempat letak kereta. Lagipun ramai juga anak-anak sekolah, rombongan dan jabatan kerajaan yang berkhemah di kawasan rekreasi sungai ini.
Akhir kalam hari ini hari Khamis malam Jumaat. Selamat beristirehat bersama keluarga gitew.. hehehe