Maza ada menerima email, panggilan dan sms dari kengkawan. Mereka meminta maza melanjutkan lagi penceritaan tentang titi yang pernah maza siarkan suatu ketika dulu. Entry itu kengkawan boleh baca di sini: Sepatu Putih untuk Anak.
Jadi, kali ini maza cuba tunaikan permintaan kengkawan yang manis-manis itu. (Ahaks, harap-harap manisnya itu tidak membuatkan ramai orang kena kencing manis.. hehehehe)
Bermulalah Cheretera
Di hadapan rumah maza itu ada ban (taliair). Seberang ban ada dusun. Manggis mendominasi dusun tersebut selain tanaman kelapa, rambutan, petai, jering, lalang, resam. Beberapa batang pokok durian, rambai, nangka, cempedak turut subur. Pokok jambu batu pula tumbuh meliar saling bersaing dengan pokok senduduk.
Pokok buah-buahan itu bukannya arwah ayah yang tanam semuanya. Arwah atuk yang tanam. Kemudian disulam oleh ayah dan emak.
Di hujung tanah dusun itu diamnya sawah tempat kami mencari sesuap nasi.
________________________________________________________________________________
Garden of Eden: Contest Organised By Gubuk Kecil Kembara Jalanan is on till 30rd April 2011.
Click here to join
________________________________________________________________________________
Selain menanam padi, di sawah itu jugalah tempat kami mencari lauk untuk makan malam. Rezeki alam begitulah katanya. Kami akan menangguk, menggagau, menjaring, memasang bubu, memancing ikan, menyeluk lubuk dan pelbagai lagi aktiviti perikanan di sawah itu. Pantang dengar perikanan cara baru, kami akan mencubanya.
Gambar 2: Ujang bersama anak sulungnya sedang menangguk ikan di dalam ban. |
Oleh kerana sumber pengairan ban ini datangnya dari Sungai Madek maka ikan-ikannya juga bersumber dari sana. Antara hidupan merin sungai yang terdapat di sawah dan di ban ini ialah puyu, keli, ikan putih, seluang, haruan, udang, labi-labi, belut, ikan ingeh-ingeh, baung, tapah, tuntung, toman, dan sebagainya.
Sebuah pelantar dibina bersebelahan titi yang merentangi ban. Pelantar ini dijadikan tempat mandi selain membasuh pakaian dan tempat kami melompat ke dalam air jernih itu. Di sinilah busa-busa sabun cap buruh (buku berwarna krim) dan cap kapak (buku berwarna hijau) akan timbul dan hanyut ke hilir bawah sana.
Gambar 3: Pelantar tempat mandi dan membasuh kain baju. |
Dahulunya kami tinggal di kawasan dusun ini. Berumah papan 'atas' bertiang tinggi. Alahai macam rumah Melayu Johor di Taman Mini Malaysia di Melaka itu. Anak tangga terdiri daripada tujuh mata anak tangga. Tingkapnya berkisi-kisi dan berlantaikan papan tebal. Seingat maza, daun tingkapnya lebar, besar dan ada penyendal agar tidak terkuak dan terkatup bila ditiup angin. Dapurnya pula terasing. Agak jauh sedikit daripada rumah agam (rumah utama).
Sekarang ini rumah pusaka itu sudah rebah ke bumi. Hampir tidak meninggalkan sebarang kesan lagi. Sekitar tahun 1978/79 kami berpindah ke rumah yang ada sekarang.
Susana kampung memang aman, tenang dan damai. Sekali sekala diriuhkan dengan helaian tawa anak-anak desa.
Di sebelah petang pak tani pulang di bawah sinar lembayung mega merah di waktu maghrib itu telah menerbitkan suatu sentuhan panorama yang amat indah sekali. Sesekali ungas-ungas berterbangan ke udara melewati batas-batas bendang sebaik disergah atau tatkala senja melabuhkan tirai.
Di sebelah petang pak tani pulang di bawah sinar lembayung mega merah di waktu maghrib itu telah menerbitkan suatu sentuhan panorama yang amat indah sekali. Sesekali ungas-ungas berterbangan ke udara melewati batas-batas bendang sebaik disergah atau tatkala senja melabuhkan tirai.
Pemandangan sawah nan luas terbentang saujana mata memandang ini ibarat indah nian tak terungkap.
Di atas titi inilah biasanya maza menghabiskan masa bersendirian. Menenangkan hati, memujuk jiwa tatkala bergelora. Atau sekadar mengajuk memek muka yang terpamer dari biasan limpahan aliran air ban yang mengalir lemah gemalai itu.
Gambar 4: Merenung nasib, merendam hati, membangkitkan jiwa menjadi anak jati. |
Titi inilah menjadi saksi tempat maza mencari ilham, menanamkan tekad untuk berjaya dan berbakti.
Tatkala petang mula menyingsing, matahari redup ke arah barat, adakalanya maza berhibur di sini. Berbekalkan gitar buruk mendendangkan lagu anak perantau atau sekali sekala meniupkan seruling buluh buatan tangan.
Di atas titi inilah juga kami sekeluarga membersihkan diri setelah pulang dari kebun dan bendang. Menyucikan dari keringat yang berbau tengek, hangit hasil bakaran bara mentari. Juga membersihakan tubuh yang berpalit lumuran lumpur sebelum mengangkat wudhuk untuk solat Maghrib.
Dahulu titi ini hanya selembar (atau dua lembar) kayu balak dijadikan 'beruti'. Untuk ke seberang sana harus berhati-hati. Mesti pandai mengimbangkan badan. Kalau tidak jawabnya tercebur ke dalam ban itu. Lalu basah lukus. *hahaha, ketawa mengejek.
Gambar 5: Renungan 'makrifat' |
Arwah ayah hebat orangnya. Ayah boleh meniti di titi yang sempit itu sambil menyorong basikal dan menjinjing bekalan nasi untuk pergi atau pulang kerja. Kehebatan ayah meniti ini diwarisi pula oleh abang-abang dan kakak-kakak maza.
Dari titi inilah kami adik beradik berkubang. Jernih air ban bertukar menjadi keruh seperti teh susu di kedai mamak. Selagi mata tidak bertukar merah bak mata Maya Karin dalam cerita Pontianak Sundal Malam atau tangannya kecut macam asam kecut (asam boi) selagi itulah kami akan terus berendam sakan.
Adakala kami tenggelam di dalam keasyikan itu, hingga ranting kayu tiba-tiba dibeduk ke tubuh ini. "Pap!" Tiba-tiba bunyi itu hinggap di belakang. Sebaik menoleh rupanya emak sedang menyebat kami. Apa lagi, bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Kalau ayah ada, cukup hanya dia berdehem. Semuanya bungkas meninggalkan keseronokan ban itu. *hahahaha
Adakala kami tenggelam di dalam keasyikan itu, hingga ranting kayu tiba-tiba dibeduk ke tubuh ini. "Pap!" Tiba-tiba bunyi itu hinggap di belakang. Sebaik menoleh rupanya emak sedang menyebat kami. Apa lagi, bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Kalau ayah ada, cukup hanya dia berdehem. Semuanya bungkas meninggalkan keseronokan ban itu. *hahahaha
Di atas titi ini jugalah kami mencipta gaya terjunan yang pelbagai. Dari terjun botol, terjun bersahaja, terjun cinuk (kepala dahulu), terjun burung, terjun bom, terjun balik -kuang, terjun otromen, gasak Toriton dan macam-macam lagi.
Gambar 6: Menguis-nguiskan kaki ke dalam air mampu memberikan kesegaran sampai ke kepala. |
Di sinilah tempat kami membina rakit batang pisang. Kami berakit di atasnya menyelusuri sepanjang taliair itu. Dari satu pelantar ke satu pelantar rumah penduduk kampung kami singgah. Sudah semacam bot penambang pula. Seolah-olah seperti Datuk Bahamanan atau Mat Kilau mudik ke hulu atau ke hilir hendak menumpaskan penjajah. *ketawa, hahaha.
Di tebing ban inilah kami binakan kubu-kubu kecil ciptaan kami. Dari sini kami mengenal erti peperangan dan perjuangan. Kami lontarkan lumpur dan tanah liat yang dikokah dari tebing-tebing ban. Lalu membalingnya ke arah musuh masing-masing seolah-olah dalam cerita kombat perang Jepun.
Gambar 7: Di atas titi membawa hati |
Taliair ini yang sudah berusia lebih lima puluh tahun asalnya dibina dengan kederat atuk, ayah dan ibu kami. Mereka menyangkul, menggali dan mengangkat tanah dengan pongkes ke tebing. Mereka bergotong-royong dengan orang-orang kampung lainnya. Mereka lakukan dengan keupayaan diri, kecekalan jiwa dan hati murni. Mereka lakukannya seolah-olah seperti Datuk Wan Mat Saman membina terusan di Negeri Kedah sana.
Di ban inilah akhirnya tempat kami bermain 'ram-ram reap' air, main pepatung air, menyelam paling lama, menyelam mencari ikan, menyelam sambil menyumpit ikan, main ikan jaws dan macam-macam lagi. Kata orang sekarang 'it's haven'.
Gambar 8: Bertafakur, menguatkan minda, membulatkan azam |
Titi ini jugalah telah menyaksikan keremajaan maza. Di atas titi ini tempat maza bermenung sendirian, mengusap dada yang pepes, memicit jerawat yang baru hendak tumbuh bak gunung berapi. Atau menguatkan badan dengan membuat senanam fizikal. Sekali sekala maza berlatih silat di atas titi ini. Atau berlatih menari zapin kolek, tarian inang dan kuda kepang, (Kalau sekarang kengkawan suruh maza menari semula, alamat seperti tegaknya pokok pisang yang digoncang-goncang. Keras. Kaku. *hahahha.. baik tok sah korang bayangkan..)
Titi ini jugalah penyambung rezeki kepada penduduk desa. Abang Mat Malik dan kak Maznah yang duduk sebelah surau an Nur itu selalu berulak-alik menggunakan titi ini hendak ke seberang sawahnya di sana. Begitu juga Abang Majid dan keluarga beliau turut berulang alik hendak ke sawah atau kebunnya yang bersebelahan kebun keluarga maza itu.
Gambar 9: Apakah nasibku akan datang? |
Hari ini titi itu sudah menampakkan keuzurannya. Walaupun pernah dibaikpulih dan dillebarkan tetapi kereputan mamahan usia semakin ketara. Apatah lagi semenjak sawah itu tidak kami usahakan hampir berbelas tahun, langsung titi itu terbiar begitu sahaja. Hanya sekali sekala bila anak cucuk pulang atau mengait hasil dari dusun tersebut, barulah titi ini digunakan dan terbela.
Sebelum titi ini rebah, hanyut dibawa lari oleh air ban atau banjir yang merempuh! Sebelum ianya berbaki tunggulan sahaja, maka eloklah rasanya maza menukilkan segala kenangan bersamanya. Mudah-mudahan anak-anak dan keturunan maza mampu menginsafi, mempelajari dan mengenali asal-usul mereka.
Pinggan ayan:
Pinggan ayan:
- Selamat berhujung minggu ya kengkawan. Maza hujung minggu ini mahu lantun-lantun ke PWTC. Ada Pameran Buku Antarabangsa 2011. Jom ke sana, ke sanaaaaa... boleh jumpa nekcun di sanaaaaa....
- Terima kasih kepada Cik Mekar dan Cik Su life Cycle kerana sudi jadi pengikut setia maza. Tanpa kengkawan siapalah maza, kan.... huhuhu
- Hambik ko.... sekali entry panjang lah fulaks.. hahaha...