‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 22 Februari 2011

Mencari Belibis

Sebagai anak kecil yang membesar di kampung, pelbagai aktiviti lasak pernah kami lakukan. Adakalanya meredah semak samun, menyelongkar sumur, bergelumbang lumpur atau berkubang di taliair (ban).

Kadang-kadang kami berlenggeng berbekalkan seluar pendek dan baju tersangkut di bahu menjelajah sepelusuk kampung. Petang bermain bola sepak di padang kecil tidak berumput di belakang rumah jiran tetangga. Atau bermain basikal, belon acah, getah panjang, konda-kondi dan macam-mcam lagi.

Tempat berkumpul biasanya di bawah pohon yang rendang atau pokok jambu batu. Adakalanya kami mencipta sendiri permainan mengikut kreativiti dan sumber alam yang ada.

Kali ini maza hendak bawakan nostalgia betapa dahulu maza pernah mengalungkan lastik di leher. Meredah semak-samun, resam, senduduk dan belukar yang melepasi ketinggian kami di kebun Pinggir Jaya, Kahang, Johor yang ditanam pokok getah secara berkelompok di bawah Rancangan Tanah Pinggiran Risda.

Kami terhendap-hendap mencari burung. Di kebun getah ini biasanya kami akan melastik burung merpati, bayan, pucung, layang-layang, gagak, tiong dan macam-macam lagi. 

Selain adik maza sendiri si Bibiq, kami didorongi oleh Azhan bin Aziz . Kadang-kadang Hishamuddin Md Isa dan adiknya Leman akan mengutip batu di jalan dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Mata kami ligat mencari sasaran di dalam kebun itu. 

Gambar 1: Lastik

Lastik buatan kami bukanlah diperbuat seperti di dalam gambar di atas. Ia terlalu sempurna. 

Pernah kami meminta emak buatkan lastik untuk kami. Lalu emak membuatkan kami sebuah lastik yang diperbuat daripada getah seluar berwarna putih itu. Getah seluar itu akan diikat dengan getah gelung di cabang yang dipotong dari ranting kayu. Tempat ladu batu pula diperbuat dari kain buruk atau getah tayar yang digunting. *hahaha.

Kami bukan pelastik profesional ataupun berkerjaya seperti itu. Biasanya sasaran kami tersasar mengenai pokok getah. Maka mengalirlah getah terbiar begitu sahaja. Yang lebih sadis bila terkena cawan getah yang menakung torehan getah mengalir dari batang pokok itu. Cawan getah di zaman itu diperbuat daripada kaca bukannya plastik seperti hari ini. Lalu menyebabkan getahnya tumpah ke tanah. Kerugian ekonomi sehhh.. hahaha.

Lebih malang lagi jika sasaran kami terkena tuan empunya kebun itu sendiri. Disebabkan kebun tempat Kak Embam (mak saudara Hishamuddin) menoreh bersebelahan kebun maza, maka biasanya dialah menjadi mangsa peluru tersasar. *ketawa hahaha

Sambil membasuh takung di mesin kelompok (tempat memproses getah susu cair untuk menjadi getah keping) adakalanya kami terdengar rungutan pakcik Ibas. Katanya setiap hari dia dapati burung merpatinya hilang, mati atau patah sayap. Kami hanya mendiamkan diri, membisu bahasa sambil buat-buat tak tahu. 

Sejujurnya maza sendiri bukanlah handal melastik. Kadang-kadang haram tak ke mana pun batu yang dijadikan gundu itu *hahaha. Yang hebat melastik ialah adik maza, Hishamuddin, Leman dan Azhan. 

Gambar 2: Kawasan sawah tempat kami mencari rezeki

Apabila usia sudah meningkat sedikit, kami berusaha berdikari secara kecil-kecilan. Adakalanya mengikut abang atau pakcik atau rakan-rakan pergi menangguk udang, menjaring ikan atau memancing di sawah.

Pada masa ini kami akan melastik burung belibis yang merosakkan tanaman padi. Belibis yang kena lastik ini akan disembelih dan digoreng kunyit. Pernah juga kami melastik burung but-but, bangau dan ayam. 

Terutama ayamlah yang menjadi sasaran utama ketika menjemur padi di halaman rumah atau di bendang. Tertetel-tetel ayam tu bertempiaran lari. Mana yang malang akan ditangkap dan dibawa kepada emak untuk disembelih. (Err.. ayam yang malang itu ayam belaan kami aaa..)  Apa lagi, malam itu kami akan  makan besar. *hahaha.

Psst: terima kasih kepada Noor kerana sudi menjadi pengikut GKKJ. Senang-senang jengah dan komen-komenlah selalu. Tanpa kengkawan siapalah maza yang melantun-lantun ini, kan? huhuhu..

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails