‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 9 Februari 2011

Mengajar anak tentang kelangsungan hidup

Gambar 1: Sudah berumur tetapi emak masih hendak meyangkar dedaunan kering
Rumah pusaka yang di kampung itu dulunya dikelilingi oleh rimbunan pepohon getah. Kata ayah apabila dia pencen kelak, dia mahu menoreh di sekitar rumah. Selain kebun kecil getahnya sedia ada, hasil dari batang getah di rumah ini nantinya dapat menjana lebihan pendapatan pula. Terutama lebihan hasil pendapatan ini  ayah berangan nanti dapat menampung perbelanjaan lanjutan pelajaran kami adik-beradik.

Lagi pun ayah mahu menyenangkan warisnya. Tak perlu menanam getah sedari awal dan menantikannya untuk sedia ditoreh.

Pun begitu ayah telah menanam di sekitar rumah itu dengan pelbagai pohonan buah-buahan. Terutamanya pokok durian, kendondong, mangis, ciku dan macam-macam lagi.

Belum pun sempat ayah menghabiskan perkhidmatannya sebagai mandur JKR kelas pertama, ayah telah kembali ke rahmatullah lalu menjadi arwah. Jadi, tinggallah pepohonan tadi untuk diwarisi dan dinikmati hasilnya oleh kaum keturunan ayah ini.

Kata ayah, dia menanam pokok buah-buahan bukanlah mengharapkan agar dia merasanya. Tetapi inilah cara ayah mahu memanjangkan amalan sedekah jariahnya dengan mewariskan pokok-pokok getah dan buah-buahan itu kepada anak cucu beliau. 

Kerajinan dan ketekunan orang tua maza itu tidaklah dapat dinafikan. Cuma bila hal ini terjadi, kerja-kerja penyelenggaran halaman rumah menjadi bertambah. 

Oleh kerana banyaknya pohonan yang berhampiran tapak rumah yang sekangkang kera itu, makanya dedaunan kering kerap bertaburan di halaman rumah. Terutama apabila musim daun luruh tiba. Memang melambak-lambak daunan kering itu ditiup angin ke halaman rumah. Salah hemat jika tidak dibersihkan sudah seperti hamparan permaidani di rumah-rumah orang kaya sana.


Gambar 2: Narun (7 tahun) sedang mengumpul dedaunan.
 Orang-orang dahulu terutama emak maza memang pantang melihatkan rimbunan dedaun kering bertebaran di halaman rumah. Kata emak jika dibiarkan selepah begitu rumah seperti tiada orang bertunggu-tangga. Boleh mengundang padah terutama binatang berbisa yang menyelinap di balik sampah tersebut. Syaitan, jin dan jembalang sukakan rumah yang seperti tak berpenghuni ini.

Oleh itu, emak, maza dan Bibiq (adik) akan selalu turun ke tanah untuk membersihkan kawasan sekeliling. Kami akan menyapu dan menghimpunkan dedaun tadi. Kemudian kami akan membakarnya di satu kawasan. Jika tidak habis dibakar, sampah tersebut akan dibolak-balik. Ataupun akan dihumbankan ke kawasan lain yang lebih meriah marak apinya.

Dalam seminggu tiga atau empat kali kami membersihkan halaman rumah. Ketika musim daun luruh, hampir tiap-tiap hari kami akan bergelumang dengan sampah tersebut. Adakalanya kami adik beradik merungut juga, apatah lagi emak sering memaksa kami untuk mengemas laman itu. Dan emak jenis wanita yang tidak senang duduk bila melihat keadaan rumah yang bersepah, apatah lagi yang tungang-langgang dan haru-biru.

Gambar 3: Nasrun (7 tahun) bersama mak ngahnya.
Di masa kecil itu, biasanya kami akan bermain Red Indian dan koboi. Kononnya sampah daunan kering itu ialah khemah atau penempatan kaum dayak Red Indian yang jahat. Kami sebagai koboi Lone Ranger akan memusnahkan penempatan dayak tersebut dengan mencucuh api ke dedaunan kering tadi. Sambil-sambil itu kami meniru suara kaum Red Indian sambil berbunyi, "lo lo lo lo lo"

Kata orang tua-tua, kalau mahu melihat anak gadis orang itu pembersih, cantik, tahu buat kerja rumahtangga  dan rajin orangnya, maka tengoklah laman rumahnya. Kalau bersih, maka itulah gadis yang patut dipilih dan saham gadis itu akan meningkat!

Gambar 4: Nasrun (7 tahun) sedang belajar membantu dan membersihkan laman rumah
Hari ini giliran anak-anak maza pula untuk melakukan kerja-kerja pembersihan tradisi ini. Nasrun (7 tahun) membantu mak ngah dan atoknya membersihkan laman rumah pusaka tersebut selepas dilanda banjir. Dan seperti sudah terakam di dalam darah dan DNA-nya, Nasrun telah meniru lagak yang hampir sama seperti maza dan Bibiq lakukan tiga puluh tahun lalu. 

Gambar 5: Nasrun dan atoknya sedang membersihkan laman setelah dilanda bah
Prinsip kelangsungan hidup dan bersikap kendiri itulah yang maza cuba tanamkan dalam kehidupan anak-anak maza. Biarlah anak-anak ini menjadi manusia yang cekal, tabah dan tidak mudah berputus asa, malah terjauh daripada menjadi manusia yang cengeng (gembeng - mudah mengalirkan air mata). Mudah-mudahan dengan ini dapatlah dia menjadi orang yang berguna walaupun di mana dia berada. 

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails