Nukilan Hari-hari Kekasih...
Lazimnya kami akan berehat bersama-sama. Lima orang jejaka bersahabat lagi hero ini dari tingkatan enam atas di Sekolah Sultan Abdul Jalil Kluang Johor (SSAJ) akan beratur berderet-deret macam anak itik mengekori bontot ibunya di hadapan kaunter kantin.
Lazimnya kami akan berehat bersama-sama. Lima orang jejaka bersahabat lagi hero ini dari tingkatan enam atas di Sekolah Sultan Abdul Jalil Kluang Johor (SSAJ) akan beratur berderet-deret macam anak itik mengekori bontot ibunya di hadapan kaunter kantin.
Tatkala itu tahun 1992 - 94 hanya terdapat dua kelas untuk tingkatan enam sebaya kami. Enam Atas 1 dan Enam Atas 2. Pelajar lelaki tidaklah ramai mana berbanding pelajar perempuan yang menguasai kelas enam atas ini. Kami akan keluar rehat dahulu berbanding pelajar yang lain.
Di sekolah kami ada seorang gadis yang cantik paras rupanya. Ayu namanya.
Ayu pemalu orangnya. Jarang benar dia mahu bercampur gaul dengan kami. Apa tah lagi untuk bertegur sapa amatlah payah.
Acap kali si gadis manis ini akan makan bersendirian di suatu sudut kantin di hujung meja sana. Dia tidak berteman. Tiada kawan. Dan tidak pula dia mahu berkawan. Malah semua orang tahu Ayu memang terkenal pemilih kawan orangnya. Apatah lagi dia punyai masalah keluarga sendiri. Dia telah ditinggalkan oleh ayah dan ibunya. Dia berdikari sendirian, mujur juga makcik kantin dan pengetua bermurah hati membenarkannya menginap di kantin itu. Kalau tidak dia akan bergelendangan dan entah apalah nasibnya nanti.
Barangkali dia merasa begitu rendah diri hingga begitu pemalu orangnya. Barangkali dia berfikir bahawa dia anak pungut tak layak untuk duduk beriringan dengan kami semua.
Bukan tak ada dalam kalangan pelajar wanita hendak mendampinginya; berkawan, bermain dan bergurau senda bersama. Bahkan ada yang sanggup menghulurkan bantuan apa sahaja. Tanyakanlah si Yani Salleh, Haslina, Noraini Sheikh Farid, Linda, Lim Pek Ha, Yatie, Norhasnizan Ahmad Johan (Penolong Ketua Pengawas), Norhaslin, Luah Soo Yun; mereka inilah yang paling menonjol mahu membantu Ayu.
Kebiasaannya kami berlima; Halim Awang Johari, Zailani Bohari, Idris Salleh, Maza, Abdul Rahman dan sekali sekala ditemani pula oleh Mohd Faizal Ramlan (Bat) juga Nazriey akan duduk semeja. Sarapan kegemaran kami ialah tempe-chip!
Ya, tempe-chip mak cik kantin sangat istmewa. Ia digoreng berempah dan dicicah bersama sambal kicap. Berdecip-decip kami menahan kesedapannya. Perkhh ...welllah!
Entah macam mana di suatu hari yang gedik, Bat terpandangkan si Ayu. Lain benar dia memandang Ayu nan jelita itu. Ada unsur-unsur nafsu.
Lalu Bat menyinggung kami dan berkata “Wei hari ini aku nak test Ayu lah. Mana tahu dia mahu berkawan dengan aku!”
“Kau jangan main-main Bat. Karang dia cakar muka kau, tak pasal-pasal kau mendapat malu,” Zailani cuba memberi amaran dalam kecemburuan.
Sebetulnya ramai pelajar lelaki yang berkehendakan Ayu. Ayu memang cantik. Mukanya manja tapi sukar didampingi. Setahu kami Ayu belum ada teman lelaki. Barangkali dia berkeadaan begitu kerana sesekali Ayu menyeregai garang menyebabkan ada antara lelaki macho terundur ke belakang!
Ini termasuklah Zailani yang terang-terangan pernah memberitahu maza, Idris dan Halim yang dia sudah jatuh cinta dengan Ayu. Tanpa segan-segan pula Zailani membayangkan mahu membelai dan mengusap-ngusap si Ayu bila sahaja Ayu setuju menjadi teman barunya.
“Elleh! Kalau tak cuba siapa tahu, betul tak?” Bat seolah-olah mahu mencabar Zailani.
Ya betul, selama ini Zailani tidak pernah pun mencuba hendak mengambil langkah pertama mengurat Ayu. Bukan Zailani tidak mampu melakukannya tetapi baru sahaja Zailani menghampiri Ayu ada sahaja halangan. Sama ada lelaki lain yang terlebih dahulu datang menegur Ayu atau Ayu awal-awal lagi menarik muka lalu berlalu begitu sahaja meninggalkan Zailani.
“Ok lah! Aku doakan semoga kau berjaya. May the best man win!” sampuk Idris sambil menatang tempe -chip bersama air sirapnya. Rahman hanya mencebikkan muka. Halim sedang membayar dan maza masih terkial-kial mendapatkan mereka.
Ayu di hujung meja sana terlalu asyik dengan makanannya. Dia tertunduk menikmati setiap kunyahan. Ayu betul-betul leka menikmati setiap perisa yang ada. Berselera sungguh Ayu hari ini.
Bat berdengket-dengket menghampiri Ayu. Bat mahu biarkan Ayu terperangkap sendirian. Terjerat dalam pelukkannya nanti. Dan biarkan Ayu tidak dapat melarikan diri melainkan terpaksa duduk bersamanya untuk menikmati santapan pagi itu.
Ayu tidak menoleh ke belakang langsung. Dia terlalu asyik dek kelazatan hidangan hari ini. Ayu tidak menoleh kiri dan kanan langsung.
Pelajar-pelajar perempuan lain turut perasan tindakan Bat. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Ada yang menunjuk dengan jari telunjuk ke arah kami dan Bat. Dan ada pula mencebik muka, mungkin tanda cemburu. Ya, mereka cemburu dengan kepulusan Ayu. Kecantikan Ayu memang diakui seluruh warga SSAJ termasuklah cikgu-cikgu, kerani, Pengetua, makcik kantin, tukang kebun dan Pengerusi PIBG.
Kali ini Batlah satu-satunya lelaki yang benar-benar dapat rapat dengan Ayu. Sebelum ini tiada seorang pun yang mampu serapat itu. Dalam diam Bat berjaya mendekati Ayu dari belakang.
“Beruntunglah Bat kalau dia berjaya menawan hati Ayu,” kata Maza seraya meletakkan pinggan ke atas meja sambil mata masih tertumpu ke arah drama sana.
Zailani, Idris, Rahman dan Halim masing-masing ternganga. Tercegat berdiri menantikan saat-saat yang mendebarkan itu. Mungkin inilah saat penamat bagi kami bujangan hendak menawan hati si cantik manis idaman kalbu.
Bat mendepakan tangan. Bat seolah-olah mahu memagut leher Ayu. Menyerkap Ayu dari belakang. Satu tindakan nakal yang pastinya boleh dikenakan tindakan displin kalau diadukan kepada Pengetua. Kalau Bat teruskan niat jahatnya itu dia boleh dituduh di bawah Akta Cabul!
Belum pun sempat Bat mendakap Ayu ke dalam pelukannya kemudian menzahirkan kata cinta berahi beliau, Ayu sudah perasan kelibat jahat Bat.
Ayu terperanjat besar! Terperanjat yang maha hebat. Dia kaget! Sekejap itu juga Ayu melompat. Dia melompat dari tempat duduknya itu. Ayu terjun lalu melarikan diri. Menyelamatkan diri dari lelaki yang bukan muhrimnya itu.
Ayu menolak sekuat mungkin meja kantin. Bergegar kerusi diterjahnya. Terpelanting pinggan di atas meja. Ayu melompat dan melarikan diri sejauh-jauhnya. Dia malu. Dia tidak mahu diperlakukan seperti perempuan murahan.
Melihatkan gelagat Ayu dan Bat itu tidak sedikit pun rasa simpati timbul di hati kami terhadap Ayu. Atau kami marahkan Bat. Sebaliknya kami tertawa terbahak-bahak. Membiarkan perkara sumbang itu berterusan episod.
“Padan muka kau Bat! Lepas ni kau tak ada chance lah nak pikat Ayu. Peluang kau dah tamat! Ada hati nak raba anak orang. Hish! Hahahaha ....” Idris tertawa galak.
Zailani yang tadinya muram sekarang sudah melebar senyumannya. Dia berasa lega. Terasa puas. Hatinya berasa begitu ceria di atas kegagalan Bat.
Rahman awal-awal lagi bermata merah menahan ketawa terbahak-bahak yang amat. Pelajar perempuan yang lain pun sama terburai tawa yang sopan. Ada yang tersembur makanan.
Bat tidak berdiam begitu sahaja. Bat merasakan keegoaannya sudah tercalar. Maruah kejantanannya sudah dirabak-robekkan. Bat tak dapat menerima hakikat itu. Sekejap itu juga Bat mengejar Ayu. Dia berlari sekuat hati hendak mendapatkan Ayu. Maza kira dia mahu memohon maaf atau meneruskan niat dajalnya itu.
Ayu hanya sempat menoleh sekilas pandang sahaja. Selepas itu Ayu tidak menoleh ke belakang lagi. Dia terus berlari dan belari. Lari dari menjadi mangsa malu. Lari dari kebejatan itu. Ayu belari dan terus belari mahu menyembunyikan wajah yang pastinya sudah merah padam!
Ayu terdengar derapan kasut orang yang mengekorinya. Semakin hampir hentakan kaki itu ke arahnya. Dia tahu, itu pastinya Bat yang belum lagi berputus asa hendak mencemari maruahnya.
Ayu melompat sekali lagi. Ayu mengacah hendak melepaskan diri daripada Bat. Kali ini dia terus menuju ke pintu pagar sekolah. Dia langsung meluru ke situ bersungguh-sungguh. Dia tidak menoleh ke mana-mana lagi. Dia menghilang di sebalik rimbunan buluh cina renek yang dijadikan pagar hiasan sekolah.
Bat masih tidak berputus-asa tetap mengekori Ayu. Hampir-hampir dia berjaya mencapai Ayu.
“Ssssrrrttttt... BAAMMMMM!!!”
Kami terdiam. Suasana serta merta berubah menjadi sunyi sepi. Masing-masing mula kaget mendengarkan bunyi yang kuat itu. Geseran tayar yang amat kuat kemudian diikuti oleh detuman besi berlaga.
Hilang tergamam segera kami berlari ke arah pagar itu.
Kami lihat Bat sudah terduduk di atas tanah. Dia terdiam sambil menggeleng-gelenggkan kepala. Kereta Proton Saga Iswara tersadai di tepi jalan. Pemandunya seorang wanita. Dia sedang menggigil-gigil barangkali ketakutan.
“Ayu! Ayu! Ayu!...” kami memekik serentak. Kami terperanjat.
Segera Zailani menghampiri Ayu. Zailani mengangkat tubuh Ayu yang sudah pun longlai di bawah Proton Saga Iswara putih itu.
Ayu masih bernyawa. Degupan jantungnya yang kencang semakin lemah. Mata galaknya semakin layu. Di bawah tayar kereta itu Ayu sedikit meronta pinta diselamatkan.
Beberapa detik kemudian ia menjadi sudah terlambat. Akhirnya mata Ayu tertutup rapat di hadapan kami, di atas pangkuan Zailani, Ayu pergi buat selama-lamanya. Ayu menghembuskan nafas akhirnya di dalam lumuran darah.
“Tulah kau Bat. Nak bergurau tak bertempat! Sekarang apa sudah jadi!” herdik Rahman perlahan. Maza masih tergamam. Halim hanya mampu mengesat mata. Pelajar perempuan kelas kami sudah bercucuran air mata.
Tidak lama selepas itu Pengetua pun sampai dan dia sendiri tidak percaya apa yang sudah berlaku. Gadis cantik manis Ayu pujaan ramai di sekolah kini sudah tidak bernyawa lagi.
“Angkat-angkat Ayu. Kita bawa jasadnya di kantin dulu. Siti, Aisyah dan Ijah pergi bagi tahu dengan pakcik tukang kebun,” maza mengarahkan mereka itu untuk bertindak.
Setelah mayat Ayu dikeluarkan di bawah kereta dengan sempurna, pakcik tukang kebun pun sampai bersama cangkulnya. Dan Ayu pun disemadikan berhampiran dengan kantin sekolah kami. Tinggallah Ayu sendirian di situ setelah ia dibuang oleh keluarganya sendiri. Ayah dan ibunya entah ke mana, adik beradiknya juga tidak pernah dapat dihubungi.
Hampir seminggu juga kami tidak lalu makan dan minum. Suasana menjadi murung tidak seceria lalu. Tetapi hidup harus diteruskan. Kami masih ada misi yang perlu dilangsaikan, STPM 1994!
Ayu dalam kenangan...
Ya! Inilah Ayu dalam kenangan |