‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 23 Mac 2011

Lemas sendirian di atas ranjang!

Pagi tadi puas maza mencari-cari di sana-sini.  Terkais sana, terkais sini. Macam ayam mencari cacing di tanah!

Di dalam bilik sempit itu maza cuba mengesani kunci motor kapcai maza untuk pergi kerja. Habis bantal, tilam, alat tulis, alatan solek isteri, maza selongkar! Berterabur di atas lantai kesemuanya.

Masa semakin suntuk, semakin mencekik leher yang tak berapa nak jinjang ini. Kalau lambat pergi ke pejabat, sudah tentu kena hamun dengan boss. Paling mulia pun kena sindir tahap cili api berasap telinga hingga mendidih otak sampai ke angkasa raya sana.

Bawah katil, atas kepala katil, bawah kerusi, atau gerobok digeledah, namun masih tak juga jumpa juga. Hati semakin resah. Jantung mengepam laju. Basah yang sudah kering dilap dengan tuala kini mengalir semula bintik-bintik peluh. 

Hampir-hampir maza berputus asa. Maza sudah berkira, jika sepuluh minit lagi tak jumpa, maza akan berkereta tapi tentulah akan mengambil masa yang panjang. Apa lagi kalau bukan tersangkut di kesesakan lalu lintas. 

Pening kepala dibuatnya.

Kaedah lain untuk mengelak dari kena punch card berwarna merah tak beralasan dan mengurangkan tekanan darah tinggi boss ialah maza akan telefon ofis dan cakap maza sakit perut. Sekarang mahu pergi jumpa doktor di klinik. Hahaha ... untung-untung dapat MC untuk satu hari, rancang hati maza sambil senyuman berbuah di bibir sendirian. 

Entah bagaimana tergerak di hati maza untuk melihat ke bawah komputer riba di hujung katil sana. Sebaik tersentuh tetikus komputer tersebut, baru maza perasan yang komputer itu masih berfungsi. Dan kamera yang semalam maza gunakan untuk berkonferen (conference) dengan pelanggan dan kengkawan masih terpasang!

Ah! Sekarang ini bukan sahaja kepala berserabut dengan kehilangan kunci motor. Tetapi beban  menjadi bertambah bertan-tan dengan perihal kamera video itu. Ngeri maza mengenangkan kalau-kalau kamera video itu telah berjaya merakam adegan maza semalaman tatkala tidur. 

Maza tarik nafas dalam-dalam. Maza cuba tenangkan fikiran. Maza kenang-kenangkan perihal malam tadi, apakah yang telah maza lakukan di dalam bilik ini sebelum tertidur!

Maza memandang ke bakul sana berhampiran bilik air. Semalam maza tidak berpakaian cuma berkain pelikat. Baju sudah lama dicampak ke sana. Panas!

Kemudian Maza cuba tumpukan perhatian dan ingatkan kembali adegan di atas ranjang beraiz 6' x 6' ini pula. 

Aduhai! Maza tidak dapat ingat semuanya. Aderkkk.... seingat maza lepas bermesyuarat secara 'video live' di dalam talian, maza pun terjun di atas katil bermesra dengan isteri. Sejenak selepas itu mata pun terlelap! Entah bila masanya tertidur pun maza tak perasan.

"Eh! Abang tak pergi kerja ke? Tak siap lagi ni?" tegur darling yang tiba-tiba muncul dari pintu bilik itu. 

"Abang tengah cari kunci motor. Tak jumpa."

"Kunci motor?! Ooo ... Aqlan pegang ni ha. Dia buat main kejap. Nanti kalau tak bagi, dia menangislah pulak. Susah nak buat sarapan. Mintak Aqlan ... mintak. Ayah nak pergi kerja. Ayah nak kunci motor.. " pujuk Darling. Aqlan yang dikelek di pinggangnya itu pun menghulurkan kunci kepada maza.

Selepas itu, darling pun berlalu mendapatkan komputer riba di atas meja itu dengan kamera terpasang tadi. Darling pun duduk di atas bangku kemudian membelek komputer itu. 

"La... abang dah tutup komputer ni ya. Kita tengah buat kerja tadi. Si Aqlan ni pulak sibuk nak main komputer sama. Kita bukak kamera biar dia main puas-puas dari dia melalak kacau abang tidur. Kita lupalah pulak nak tutup kamera ni tadi!"

"Tadi guna kamera tu online ke, tidak?"

"Tak. Bukak gitu aje"

Fuhhh.. lega hati maza. Bersyukur yang amat sangat. Pening dan risau segera dihambat pergi. 

Takut juga kalau-kalau ada kengkawan atau pesaing perniagaan yang hendak menjerut leher maza.  Terutama Datuk Tie. Nakal Datuk Tie boleh tahan juga.

Dijemputnya wartawan ekskulisif dan orang tertentu. Jika tuntutan mereka tidak diendahkan, mereka akan mengugut maza. Mahu ditayangkan adegan tidur kami anak beranak itu di Carcosa Negara. Sambil-sambil itu mereka akan memanggil badan penyiasat bebas dan pakar forensik mahu membuktikan video yang terakam itu video tulen, benar-benar asli dan bukannya palsu!

Tapi bila dikenang-kenangkan kembali, maza bukanlah ahli politik. Masuk bertanding AJKKK Kampung pun tidak. Jauh sekali seorang taukey perniagaan! maza sekadar kuli sahaja. Di kotak fikiran maza, lakukah dan ada orangkah mahu menerima jemputan nakal itu? hehehehe

Gambar Aina: Senyum & Menjeling! Penuh makna tersirat...

Opps ... sebelum maza terlupa, maza hendak berterima kasih kepada cik Pena Rozie kerana sudi jadi follower blog GKKJ yang melantun-lantun ini... ahaks.. hehehe

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails