Sept. 16, 2008
September 11, 2001, tarikh keramat ini banyak sekali diingati oleh warga dunia. Ia mengubah senario keamanan. Dunia digerunkan dengan ancaman keganasan. Pada tarikh keramat itu juga di New York, Amerika, menara dan pusat dagangan dunia yang menjadi lambang kebangaan USA tumbang menyembah bumi setelah dirempuh oleh dua buah pesawat, yang dikatakan telah dirampas oleh penganas.
Tetapi tarikh yang sama September 11, 2008 (Khamis malam Jumaat) (bersamaan 11 Ramadhan) lebih kurang jam 9.30 malam lain pula yang berlaku di tanahair. Bahkan ia adalah peristiwa yang mengerikan buat aku sekeluarga. Kami telah mengalami kemalangan di Dungun Terengganu iaitu di antara kereta kesayanganku, BMW328i E36, dengan sebuah motorsikal Honda Wave 100cc.
Tetapi tarikh yang sama September 11, 2008 (Khamis malam Jumaat) (bersamaan 11 Ramadhan) lebih kurang jam 9.30 malam lain pula yang berlaku di tanahair. Bahkan ia adalah peristiwa yang mengerikan buat aku sekeluarga. Kami telah mengalami kemalangan di Dungun Terengganu iaitu di antara kereta kesayanganku, BMW328i E36, dengan sebuah motorsikal Honda Wave 100cc.
Bermulanya Misi
Syarikat membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah pengedar produk kami di pasaran dengan mencari pengedar-pengedar di Malaysia, Singapura dan selatan Thailand
Bagi maksud itu, pada Ogos 27, 2008 aku mula bergerak membuat pemasaran sebagaimana dirancangkan. Bagi memenuhi strategi, aku ditugaskan untuk mencari pengedar di selatan tanahair. Iaitu termasuklah Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Masa untuk menyiapkan tugasan ini selama seminggu. Jadinya aku kenalah bergerak setiap hari sehinggalah dikehendaki melaporkan diri ke ibu pejabat pada 8 atau 9 September 2008.
Entah bagaimana tiba-tiba pada 9 September, aku telah dihubungi oleh boss dan meminta aku meneruskan tugasan dengan menambah liputan untuk pantai timur pula; iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Setelah merehatkan badan selama sehari iaitu 10.09.2008, aku mula bergerak pada jam lebih kurang 10.30 pagi (11.09.2008) dari Kuantan menghala ke negeri Terengganu.
Kali ini perjalananku disertai Aida (isteri) dan dua anakku; Nasrun (4 thn) dan Daniel (1 thn 8 bln). Segala-galanya untuk memudahkan kerjaku sambil kami dapat meluangkan masa bersama lebih lama. (almaklumlah aku ni kira macam 'weekend husband' juga, aku di Kuala Lumpur, anak dan isteri di Kuantan - seminggu sekali baru bertemu).
Hari yang indah, Khamis yang redup, cuaca yang cerah, kadang kala udara panas menyapa muka kami. Namun tugasan tetap diteruskan. Segala-galanya berjalan lancar. Kami cukup merasa puas kerana apa yang diusahakan mulai membuahkan hasil setelah bertelungkus lumus memandu dan menyakinkan para pengedar untuk mengedar produk kami.
Dari Kuantan aku terus membuat pemasaran ke Jabur, Bandar Cenih Baharu, Cukai, Kemaman, Kijai, Kemasik, Kertih, Paka dan Dungun.
Ketika sampai di Dungun jam sudah menunjukkan lebih kurang 3.45 petang dan kerja-kerja aku di Dungun siap sekitar jam 5.30 petang. Lalu aku beredar untuk pergi ke Rantau Abang dan seterusnya di Marang atau terus bermalam di Kuala Terengganu.
Ketika perjalanan meninggalkan Dungun aku ternampak papantanda ke Bukit Besi dan Bandar Almuktafi Billah Shah (orang tempatan memanggilnya Durian Mas). Lalu aku membelok ke simpang berkenanan. Aku menemui batu tanda di situ yang menunjukkan kira-kira 76 km lagi hendak ke Bandar Almuktafi Billah Shah.
Untuk memudahkan dan tidak mahu membazirkan banyak wang, tenaga dan masa lagi, aku berhenti di sebuah gerai yang menjual kuih muih. Sambil membeli juadah itu untuk berbuka puasa, aku cuba mengumpul maklumat sebanyak mungkin.
Daripada maklumat yang aku dapat, Bukit Besi dululunya memang pekan yang besar tetapi kini pekan itu sudah mati. Hari ini ia tak ubah seperti sebuah kampung. Kata makcik dan suaminya itu lagi, Bandar Almutakafi Billah Shah merupakan sebuah pekan yang besar dan terdapat gerai-gerai serta kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Begitu juga dengan kedai buku dan stesen minyak. Masa yang diambil untuk ke situ dari simpang tersebut lebih kurang 1 jam atau 45 minit.
Mendengarkan hal itu, aku tidak mahu melepas peluang. Tambahan pula boss berpesan setiap inci tanah selagi ada nama pekan atau bandar kita hendaklah berada di sana dan edarkan produk ini!
Jam menunjukkan hampir 5.45 petang. Aku membuat keputusan untuk teruskan perjalanan dan menghala ke Almutakfi Billah Shah.
Sampai di Almutakfi Billah Shah aku dapati pekannya sangat kecil. Memanglah ada stesen minyak Petronas, tetapi tidaklah semeriah seperti kami bayangkan. Ia tak ubah seumpama pekan cowboy, bahkan kecil dari itu. Cuma masjidnya sahaja yang tersergam indah. Ada sebuah kedai menjual buku & majalah - bukan kategori kedai buku yang ku cari, tetapi sudah tutup dan aku merasakan tak sesuai untuk membekalkan produkku di situ.
Oleh kerana tinggal beberapa minit lagi untuk berbuka puasa, aku membuat keputusan untuk singgah di salah sebuah warong lalu berbuka puasa di sana.
Selepas berbuka puasa, aku mengambil kesempatan untuk bersolat di masjid jamek tersebut. Cukup bersar dan tersergam indah. Manakala isteriku mengambil kesempatan untuk membersihkan anak-anak kami.
Lebih kurang jam 8.15 malam aku keluar dari Bandar Almutakafi Billah Shah dan berhasrat untuk menginap sahaja di Rantau Abang. Walaupun kami terpaksa berpatah balik ke Dungun untuk ke Rantau Abang tetapi rasanya itulah pilihan terbaik agar esok pagi-pagi kami boleh terus segera menyambung tugasan tanpa dibebani dengan memandu jauh ke lokasi pemasaran. Dengan itu dapatlah jimatkan masa juga!
Kemalangan
Aku keluar simpang dari Bandar Almutakafi Billah Shah dan Bukit Besi. Kini berada di jalan Dungun ke Kuala Terengganu. Aku hanya memandu mengikut peraturan (memandu kurang 90km/j)
Malam itu cukup indah. Aku menjangkakan udara di luar sana cukup nyaman. Malam yang cerah, tiada ditumpangi oleh titisan hujan.
Aku memandu dalam keadaan tenang dan cukup berpuas hati dengan hasil di siang hari tadi, sambil merasa syukur di atas nikmat bubur lambuk yang dihadiahkan di masjid Jamek Almutakafi Billah Shah.
Aku masih lagi mengikuti bait-bait lagu yang berputar dari corong speaker radio. Lagu-lagu dalam CD itu adalah lagu kegemaran anak-anakku. Sekali sekala aku dan anak-anak akan bernyanyi bersama-sama; lagu Aspalela, Senyumlah Ahai Cik Mek Molek (M. Daud Kilau), Frog, dan banyak lagi.
Nasrun (4thn) duduk di hadapan, di sebelah kerusi pemandu. Sibuk bermain dan sekali sekala meniru suara yang keluar daripada corong 'tetuang bunyi' (radio). Dengan pelat dan telatahnya itu cukup menghiburkan kami. Daniel (1thn 8bln) masih di riba ibunya sedang menetek di kerusi penumpang belakang sebelah kiri; di belakang tempat duduk Nasrun. Kadang-kadang terdengar ibunya bising seolah-olah bergaduh dengan anak kecil itu. Ataupun menyampuk atau menegur Nasrun.
Sebagai kanak-kanak yang aktif dan periang, Nasrun adakalanya duduk di lantai kereta sambil bermain atau berangan, atau adakalanya duduk bersahaja di atas bangku itu.
Dari selekoh ke selekoh, dari simpang ke simpang aku lepasi. Keadaan cukup aman, santai sekali. Kenderaan dari arah bertentangan semakin banyak sedangkan jam baru menunjukkan lebih kurang 9.00 malam.
Sesampai di Tanjung Jara, aku lihat di jalan lurus itu ada deretan kereta. Aku tidak pasti berapa banyak bilangannya.
Dalam jarak hampir 100 meter, tiba-tiba ada sebuah motorsikal dari arah bertentangan cuba memotong kereta di hadapannya. Beliau menunggang secara berbahaya. Kata orang muda-muda, menciluk, walhal jarak antara kereta aku dengan kenderaan yang berlawan arus itu masih jauh lagi. Lalu aku berleter sendirian, "Ish budak nie!" sambil mendengarkan lagu Balik Kampung, nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arsyad, sedang Nasrun juga turut mengajuk nyanyian tersebut.
Kemudian kereta aku mulai berselisih dengan deretan kenderaan itu.
Tiba-tiba keluar sebuah motorsikal lagi dari arah bertentangan menciluk. Mata aku disilaui oleh lampu motor tersebut.
Sebaik motor kedua itu melepasi, tiba-tiba aku terlihat sebuah motorsikal yang sudah terbalik menggelungsur menghala ke kiri keretaku. Aku hanya menyedari motor terbalik itu sebaik cahaya lampu depan rendah melimpahinya.
Dalam jarak begitu dekat dan masa yang begitu pantas, aku tidak berdaya untuk mengelaknya lagi. Sedang di sebelah kananku terdapat deretan kenderaan lain. Jika aku paut ke kanan, jawabnya akan melibatkan kemalangan yang lebih dahsyat.
Lalu aku pasrah dan redha; melanggari motorsikal tersebut dalam keadaan sedar dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Pada awal impak, aku menyangkakan aku sudah melanggar di tengah-tengah motor dengan penunggangnya sekali. Dalam kegawatan itu aku masih sempat beristighfar. Hatiku berbisik "habislah budak tu!?" sambil masih ternyiang lagi lagu Balik Kampung di telingaku!
"Abang apa tu abang? Abang Motor abang, motor!!" isteriku menjerit.
"Ayah! Apa tu ayah?!!" Nasrun bertanya bersungguh-sungguh untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
"Dammmmm!!!..." langsung keretaku melanggar dan mengkeronyokkan motorsikal tersebut.
Tak sempat aku hendak memberi sebarang jawapan di atas pertanyaan orang yang tersayang itu.
Melambung
Sebaik impak berlaku, aku sudah pun pasrah, menyerahkan diri kepada Tuhan Rabbulalamin.
Aku tahu kedua-dua tayar di sebelah kiri sudah mengenai motor itu. Dan kini kereta BMW sedang terbang di atas awangan. Aku masih lagi memegang steering.
Sebaik kereta mendarat, terdapat tekanan kuat ke atas steering untuk ia berputar, lalu aku melepaskannya. Jika tidak dibuat demikian, ada harapan tangan atau jejariku patah.
Akhirnya kereta menyingit sebelah kiri dan mengelangsar ke arah tepi kiri jalan.
Dalam sekejap itu juga, aku masih sempat mendengar isteriku yang tadinya terperanjat dan hampir memekik sudah terdiam dan mulai menantikan saat-saat yang seterusnya. Cuma Nasrun masih bersuara, "Ayah! Ayah!". Manakala Daniel; hanya terdengar niangan tangisannya. Selepas itu alam menjadi sunyi, melainkan kedengaran bunyi geselan besi dan batu kerikil jalanan yang merentap perasaan, seolah daging yang bertaut di tubuh ini diparutkan di atas batu itu!
"Zzrapppppp...zzzrapppppp" bunyinya menyentap jantung!
Dalam keadaan kami sekeluarga sedar, kami merasakan kereta mulai terjongket. Lalu ia terbalik dari belakang membawa ke hadapan. Mengikut pengiraan isteriku tidak kurang dua hingga tiga kali.
Sebaik kereta kami menghempas ke tanah, aku dapat dengar dengan jelas betapa cermin tingkap pecah satu demi satu. Begitu juga halnya dengan cermin di hadapan dan belakang.
Di dalam kereta, kami sudah tunggang langgang. Aku masih dikira beruntung kerana memakai tali pinggang keleder. Kalau tidak, entahlah!
Rentapan dari golekan kereta tu adakalanya menyebabkan aku berasa sakit diasak jerutan tali keleder. Ketika itu hati dan jantungku masih mampu tenang dalam menghadapi situasi getir!
Di saat itu juga, hatiku berkata, "Ah! Adakah ini saatnya aku akan mati?! Atau keluarga aku mendapat parah?! Tolonglah!!!"
Tersadai Terbalik!
Setelah beberapa kali terbungkas dan terbalik, akhirnya kereta kami berhenti dan tersadai.
Enjen pun mati sendiri, namun aku sempat merakamkan beberapa saat persekitaran yang ada, agar dapatku memahami segera situasi untuk tindakan selanjutnya.
Aku masih tergantung di atas kerusi. Dengan kepalaku ke bawah dan kakiku ke atas. Aku cuba tenangkan diri dan bernafas secara normal walaupun hatiku cemas! Kini aku maklumlah yang kereta aku sudah terbalik dengan ke empat-empat tayarnya menghadap ke langit.
Ketika impak yang terakhir itu berlaku, aku merasakan ada cecair menyimbahi tubuhku. Sehingga mengenai muka dan kepala.
"Ah! Ada yang cedera parah nie. Akukah itu? Kakiku, tanganku, perutku sudah bocorkah? Kakiku sudah patahkah?!! Isteriku, anakku!!? Ya Allah! Selamatkanlah keluargaku!!" Aku berteriak di dalam hati dengan mulut terkunci mati! Aku gugup seketika.
Dalam kekalutan itu, aku cuba memeriksa seluruh tubuhku. Ku halakan jari ke mulut, untuk memastikan adakah cecair itu darah atau minyak atau apa sebenarnya? Adakah aku cedera atau ada antara kami yang sudah 'pecah' lalu terpancut darahnya dan membuak-buak keluar pekatan itu, berhemburan di sana sini.
Akhirnya aku masih mampu bernafas dengan lega. Aku tidak cedera yang parah. Cecair tadi bukannya darah. Ianya sejuk dan tidak pula rasa seumpama darah. Aku mula merasa agak tenang, sambil cuba memujuk dengan menipu diri; semuanya selamat.
Aku sedaya upaya mencari ketenangan. Dan menyuruh hati merasakan bahawa kami masih ada ruang untuk keluar dan menyelamatkan diri dari kecelakaan ini!
Aku cuba mencari punat untuk membuka tali pingang keledar itu. Tetapi tersalah tarik disebabkan keadaan gelap gelita, lagipun aku sudah lupa mana satu arah kanan atau kiri disebabkan balikkan kereta tadi. Lalu membuatkan kerusi ku pula terbaring ke belakang. Aku teruskan meraba mencari punat itu untuk melepaskan diri.
"Abanggg..." Isteriku mula bersuara dari arah belakang dengan lemah. "Abanggg!!!" dia mulai menguatkan suaranya.
"Ashadualah Illaha Illallah, wa asshadu ana Muhammadar rasulullah. Abanggg..!" isteriku mengucap kemudian memanggil namaku.
"Abang ada kat sini", aku menjawab. Tahulah aku dan yakinlah aku mulai saat itu, bahawa isteriku selamat dan mampu mengucap. Aku pun turut mengucap tetapi di dalam hati.
"Nasrun mana bang!! Nasrun!!! Nasrunnnn!!!"
"Aye ibu. Nsurn sini. Ayah kenapa nie ayah? Ayah mana nie ayah? Gelaplah ayah. Ibu! Ibu!..." Nasrun memberi tindak balas dengan menjawab panggilan ibunya dalam bahasa pelat kanak-kanak.
Menangis
Anak aku seorang ini tidak pula menangis atau menambahkan lagi kegawatan. Dia tenang sahaja dan menjawab dengan selamba. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Hal ini membuatkan aku merasa kembali lega.
"Abang ada kat sini, Aida. Abang tersangkut. Abang ok. Aida Ok?!", aku cuba pastikan keselamatan semua keluargaku.
"Kita oK! Eh!.. Daniel bang, Daniel tak ada?! Abang Daniel. Danielll! Danielll!.. Mana Daniel?!", isteriku mulai perasan yang anak kecilku tidak ada bersamanya. Tidak ada di pangkuannya lagi.
Di manakah Daniel?
"Abang, Daniel hilang!!!" isteriku mengadu.
Aku masih terkial-kial cuba melepaskan diri dari tergantung itu. Jantungku mula berdebar. Manakan tidak, anak yang comel itu tidak kedengaran langsung suaranya, jauh sekali tangisan. Ia betul-betul membuatkan kami kaget!
Hatiku bertambah sebak sebaik abangnya; Nasrun, turut mencari adiknya dengan memanggil-manggil Daniel. "Aniel! Aniel! Mana Aniel nie? Aniel!!!" Nasrun turut membantu ibunya kalau-kalau dia mampu menyumbangkan sesuatu kepada keluarga tercinta ini!
Adakah Daniel sudah tiada lagi? Daniel sudah penyekkah? Atau tenggelam di dalam air ini? Ahhhh banyak sungguh persoalan yang mengusutkan. Aku menjadi sesak dan sebak sendirian.
Aku gagahkan segala kederatku. Habis semua aku raba. Akhirnya dapat juga aku mencari picu tali pingang keleder, lalu aku tarik. Sebaik terlerai dari tubuhku, aku jatuh terjelepuk dengan kepalaku terkena bumbung kereta yang sudah terbalik.
Ketika itu aku tidak mengira sebarang kesakitan lagi. Yang ku tahu, aku perlu selamatkan Daniel. Aku perlu membawa keluar keluargaku daripada kecelakaan dahsyat ini!
Dalam gelap gelita itu, aku merangkak dan terus merangkak. Aku sempat memegang anak sulungku. Ah abang Nasrun ada di sebelah sini.
"Aida keluar dulu dengan Nasrun. Ambik anak ini dulu. Biar abang cari Daniel dari dalam. Selamatkan diri dulu dan cari Daniel kat luar." Aku memberi arahan.
"Ayah gelap ayah! Aniel!! Aniel!!" Nasrun tidak berputus asa; melambangkan betapa kasih sayang terhadap adiknya yang seorang ini.
"Abang, macamana nak keluar nie abang? Kita tak boleh keluar dari sini!" Aida meraba-raba sambil cuba mencari jalan keluar.
Ah sudah. Bagaimana ini?! Kini aku dibebani tugas untuk mencari jalan keluar pula. Lalu aku diberikan ilham oleh Allah SWT yang tadinya aku dengar cermin depan dan sisi pintuku sudah berderai. Mungkin dari situ boleh keluar.
Aku cuba memastikannya terlebih dahulu jalan keluar itu, kemudian barulah menyuruh keluargaku keluar dari neraka ini.
Sambil merangkak dan sekali sekala meniarap, aku menggunakan tangan dan kaki mencari jalan keluar.
"Aida ikut depan sini. Pegang tangan abang, ikut sini. Kat depan nie ada jalan keluar. Cermin depan dah pecah" aku cuba membantu isteriku keluar dari kemelut itu.
Aida merangkak ke tempat yang aku maksudkan.
Kemudian aku menyuruh Nasrun membontoti ibunya. Mereka merangkak keluar; cuba keluar melalui tempat yang aku maksudkan itu.
Seketika kemudian orang ramai mulai menyedari keadaan kami dan menghulurkan bantuan.
Hasil daripada beberapa libasan suluhan lampu suluh, aku dapat melihat kelibat muka anakku; Nasrun. Mukanya mulai mengalirkan darah. Bajunya basah. Pipinya sudah merah berdarah.
Melihatkan keadaan itu, aku cuba kuatkan semangat. Kerana aku masih ada misi lain untuk mencari anak bongsuku; Daniel.
Dari luar beberapa orang lelaki membantu isteri dan anakku keluar dari situ. Akhirnya Nasrun dikeluarkan dahulu dan ditempatkan di tebing. Kemudian diikuti isteriku pula.
Daniel Hilang!
Puas sudah aku meraba sana sini. Tadi gelap gelita, sekarang aku mampu melihat kelibat cahaya, lalu dapat membantuku untuk melihat dan mencari Daniel dalam kesamaran pekat hitamnya malam.
Dari celah sibuk itu, orang ramai mulai berkerumun. Masing-masing menghulurkan bantuan. Dari celah-celah banyak itu, ada suara yang menyuruh aku keluar dahulu. Aku tidak peduli, aku terus merangkak dan merangkak. Meraba sana sini sambil menyeru nama Daniel!
"Anak saya bang. Anak saya bang. Seorang lagi. Budak umur setahun lebih bang!" Aku mohon mereka memahami dan simpati agar membantuku mencari Daniel.
"Tak apa, kami tolong abang. Abang keluar dulu. Abang tengok diri abang dulu, kalau ada luka ke ada apa ke. Kita akan cari anak abang tu. Kita akan tolong abang. Jangan takut", seorang pemuda di luar sana memujukku untuk keluar dan selamatkan diri dahulu.
Pemuda lain pula menambah, "Abang kena tengok keluarga abang lain juga. Tengok dan jaga, kalau dia cedera atau tengok cukup tak semuanya!"
Aku mula mengalah. Lalu merangkak keluar dan pasrah. Mengharapkan segala bantuan yang ada.
"Abang kena keluar dulu, kereta abang terbalik dalam paya", dari situ baru aku tahu yang kereta aku terbalik di dalam paya.
Aku mengangkat muka lalu lihat sekeliling. Ramai orang datang dan ada yang berlari ke arah kami.
Orang ramai mula mengambil tempat di sekitar tempat kejadian itu. Mereka membantu aku mencari Daniel. Aku masih berdiri di sisi kereta kesayangaku ini.
"Abang ok tak?!" tanya seorang pemuda lagi.
"Saya ok. Tak ada apa-apa." aku menjawab sambil memeriksa tubuhku sendiri.
Kemudian ada orang yang mengarahkan aku pergi ke tempat keluargaku dan rehat di situ. Aku pun mendapatkan Aida dan Nasrun di atas tebing paya.
"Berapa orang semuanya? Ada berapa?", orang ramai bertanyakan kami bilangan penumpang dan keluarga kami.
Aku menjawab sambil berjalan perlahan-lahan ke arah keluargaku, "4 orang semuanya; saya, orang rumah dan dua orang anak"
Sedang aku cuba memanjat tebing setinggi 0.5 meter itu, tiba-tiba isteriku memanggil-manggilku.
Dalam balam-balam kelam malam, orang berteriak, "Anak awak dah jumpa. Seorang lagi budak dah jumpa" lelaki itu berlari anak ke arah iseriku.
"Anak awak tercampak keluar dari kereta. Kami jumpa dia menangis kat tepi sana. Tengah menagis dalam semak" jelas lelaki lain pula.
"Abang, Daniel dah jumpa abang. Daniel dah jumpa" isteriku memeluk rapat kedua-dua anak kami seoalah-olah tidak mahu berpisah lagi walaupun sesaat. Daniel masih terus-terusan menangis.
Allahuakabar! bertapa aku bersyukur. Alhamdulillah.....
Bagi aku biarlah Daniel menangis. Sekurang-kurangnya aku tahu dia sedar dan aktif daripada terus diam dan sudah tentu lain pula ceritanya.
Aku pandang muka Nasrun. Dia duduk di riba ibunya. Diam sahaja dan sekali sekala cuba memujuk adiknya supaya diam. Namun dibalik muntahan cahaya di tepi jalan itu aku lihat darah dari mukanya semakin banyak keluar.
Melihatkan keadaan sudah mulai tenang. Aku minta tolong orang ramai untuk meminjamkan lampu suluh. Aku perlu kembali ke kereta untuk mengambil telefon bimbitku. Tanpa telefon itu, aku tidak mampu menghubungi keluarga di kampung atau keluarga mertuaku di Kuantan. Aku tidak ingat semua nombor-nombor mereka.
Setelah dapat meminjamnya, aku kembali ke kereta dan sekali lagi merangkak mencari telefon dan memungut segala apa yang terdaya. Habis barang-barang kami terendam di dalam air.
Botol susu anakku terapung-apung, tin susu terbalik, pampes anak nasib baik tidak basah, beg kerja aku pun turut basah. Ubat-ubatan ku bertaburan, beg pakaian entah ke mana perginya.
Ku kutip satu persatu.
Tiba-tiba ada laungan dari orang ramai menghalang aku untuk terus memungut itu semua.
"Bawok anak bining dulu ke spital (hospital). Dia orang ini lebih penting. Barang yang lain kami jaga. Tahang kereta, tahang kereta, hantar demo gie spital, tahang kereta" seru lelaki itu dalam loghat Terengganu.
Datang seorang pemuda lagi lalu menghulurkan kadnya. "Abang tak payah risau. Abang jaga keluarga abang. Bawa dia orang ke hospital. Anak abang tu luka. Teruk juga tu. Ni kad saya. Saya agen insuran dan tow truck. Nanti kita uruskan semua sekali. Bawa anak abang ke hospital"
"Ahaks.... dalam keadaan begini pun ada lagi orang yang sempat menghulurkan kad businessnya......heheehe walau apapun terima kasih Abang Lan kerana tindakan itu sebenarnya banyak membantuku."
Aku tidak betah lagi, lalu menurut sahaja cadangan itu.
Kereta proton wira berwarna biru berhenti dan sanggup membantu kami sekeluarga. Segala apa yang mampu aku kutip aku bawa sekali pergi ke hospital.
Di Hospital
Di dalam kereta aku lihat darah di muka Nasrun semakin menutup mukanya. Aida mengelap muka Nasrun dengan sehelai baju. Kalau tidak silap aku, baju itu kepunyaan baju orang ramai atau mungkin baju Abang Lan sebab aku lihat dia membuka baju dan berlengeng ketika berjumpa aku kemudiannya di hospital.
Hatiku mulai berdebar kembali. Di dalam kereta itu tidak henti-henti aku berdoa agar tidak ada sebarang perkara buruk bakal berlaku lagi.
Sebaik sampai sahaja di Hospital Dungun, Nasrun dikejarkan ke wad kecemasan dan trauma.
Aku terus mendapatkan kerusi roda. Kerana Aida sudah tidak mampu berjalan mahupun berdiri. Di atas kerusi roda itu aku tolak masuk ke dalam wad kecemasan dan trauma bersama-sama Daniel.
Daniel masih tidak berhenti-henti menangis.
Kemudian Pegawai Perubatan dan doktor bergegas membantu kami. Nasrun ditempatkan di katil khas. Segala darah yang mengalir dicuci.
Aku masih lagi mampu berjalan dan masih gagah. Aku tidak hiraukan kesakitan ku. Aku terus memberikan kata-kata semangat sambil menguruskan pendaftaran dan segala dokumentasi yang diperlukan.
Akhirnya, alhamdulilah setelah pemeriksaan rapi, tiada yang cedera parah. Kami diberikan rawatan pesakit luar sahaja. Kami dibenarkan keluar pada malam itu juga.
Mak dan ayah mertuaku akhirnya dapat dihubungi dan mengambil kami di hospital pada jam 2.00 pagi. Kami check-in hotel sahaja kerana esok pagi aku kena buat report polis dan sudah pun berjanji dengan Sarjan Mazlan untuk berbuat demikian.
Nasib Penungang Motorsikal
Setelah keadaan mulai tenang. Aku mengangkat tangan lalu berdoa agar orang yang aku langgar tadi selamat dan tidak mati. Mudah-mudahan dia diberikan keselamatan dan kesejahteraan.
Kami dipertemukan buat kali pertama di bilik x-ray iaitu ketika isteriku diusung ke sana. Setelah mengenali dan diberitahu bahawa remaja itulah yang menyebabkan kemalangan, aku terus membebel bermaksud memberikan kata nasihat sambil mendukung Daniel di dalam dakapan yang tak sudah-sudah menangis hendakkan ibunya.
Namun aku bertanya kepada diriku sendiri, apalah gunanya memberi nasihat ketika ini, sedangkan mengikut kata sepupunya yang mengiringi Mohamad Riduan ini, beliau sedang kebingungan dan tidak ingat siapa nama emak, dan lagi lain ditanya lain pula dijawabnya. Hmm buat menghabis air liur aku aje, lebih baik aku simpan dan gunakannya keesokan hari ketika berpuasa kelak.
Remaja ini masih lagi belajar di Besut.
Aku juga sempat menemui keluarganya. Aku tidak mengharapkan apa-apa kemaafan daripada keluarganya, walaupun aku tahu anak beliau yang bersalah.
Lagipun sudah barang pasti, mana-mana keluaraga jika berlaku perkara seumpama ini akan menyebelahi keluarga masing-masing terlebih dahulu.
Sedangkan yang membuat onar itu bukanlah keluarganya, tetapi si anak, tuan badan yang melakukan kesilapan. Jadi aku diamkan sahajalah sambil lemparkan senyuman sedekah.
Ridzuan selamat hanya luka dan calar balar sedikit sahaja. Tentang hilangan ingatan itu, tidaklah parah mana. Ianya biasa berlaku jika kepala kita terhantuk dengan kuat.
Oleh kerana dia hilang ingatan seketika, doktor menyuruhnya dimasukkan ke wad untuk semalaman sebagai tindakan pemerhatian sahaja.
Kiranya dia bernasib baik kerana sempat membuangkan dirinya ke tepi jalan dan terjelepuk di dalam semak sana. Bayangkan kalau motor itu aku langgar dengan Ridzuan sekali, agaknya terus jadi 'keropok lekor'
Remuk
Kini kereta kesayanganku sudah remuk. Macam keropok losong. Misi seterusnya adalah untuk menuntut insuran daripada syarikat insuran motor si Ridzuan ini.
Mudah-mudahan misi ini dipermudahkan oleh Allah SWT tanpa sebarang masalah.
Moral
Aku bersyukur dengan perlindungan yang Allah SWT hadiahkan buat kami sekeluarga.
Sudah barang pasti ada banyak hikmah disebalik kejadian ini.
Aku berserah dan berlindung kepada Allah SWT.