AMARAN:
Anda dilarang membaca entry ini jika anda:-
1) bawah umur (5thn ke bawah), 2) tidak ditemani, 3) mengandung. 4) berpenyakit jantung.
Anda dinasihatkan memegang selimut atau gebar besar!
Penulis tidak akan bertanggungjawab sekiranya anda menggeletar atau tersandar berselibung kengerian. Dan malam anda dihantui oleh tulisan ini. Bermimpi ngeri!
Antara sintom merbahya yang perlu diawasi ialah jantung berdegup deras dan badan mulai panas seolah-olah mahu demam. (jika ini berlaku, segera dapatkan nasihat & berjumpa sendiri tok moh, (bomoh), dukun atau doktor pakar hospital kerajaan)
Pendek kata segala risiko akibat pembacaan ini adalah tanggungjawab sendiri! sekian...
AWAS! awasilah tingkah laku anak anda atau rakan sebaya yang di sebelah itu... agar masing-masing tidak tersampuk!
Bermulalah Alkisah
(Gambar: Jambu Bol) |
Elok habis mengaji, aku pun berangkat pulang. Malam itu diterangi oleh rambulan. Bulan lima belas. Bulan penuh. Cantik tersemat di dada langit yang cerah.
Awan pula jarang-jarang letaknya. Ada berbagai bentuk menghiasi dinding alam semesta. Ada bentuk seumpama kapal, buaya, singa, pulau, raksaksa, piring terbang dan macam-macam lagi. Awan larat itu mengindahkan lagi seni di malam hari.
Bintang pula bertaburan di langit. Tidak terbilang banyaknya di jari. Berkelap-kelip di hujung horizon, di bidang angkasa raya.
Angin sepoi-sepoi bahasa menampar tubuh kerdilku yang baru berusia sebelas tahun. Sesekali angin itu membuatku menggigil. Sejuknya menggigit hingga ke tulang sum-sum. Tapi ia berbaur segar.
Di celah ketiak kanan, ku kepitkan senaskah Al Quran bersama rehal. Manakala di hujung jari, di tangan itu juga ku genggam erat lampu picit.
Jarak rumah guru mengajiku, Atok Dara, dengan rumahku dipisahkan oleh sebidang tanah yang ditanam pokok getah.
Malangnya kebun itu tidak berjaga. Semak samun. Berselang seli resam, lalang, senduduk.
Pohon kayu keras hutan juga tumbuh meliar di sana sini. Adakalanya pokok hutan itu sama besar pokok getah yang berusia sepuluh tahun. Atau sebesar batang pisang yang dewasa.
Biasanya jam sembilan malam baru aku habis mengaji.
Malam itu anjing menyalak galak. Sekali-sekala melolong seolah merayu meminta tolong. Sekali sekala terasa ia berhampiran.
Ah, anjing ini! Mendayu-dayu pulak, bisik suaraku.
Dalam masa sama rerambut di tengkuk dirasakan seperti berdiri. Bulu roma di tangan terasa terpacak.
Ku usap-usap lengan itu agar memancarkan haba pemanas. Aku kira ia dapatlah menundukkan bulu yang meremang untuk kembali ke asalnya.
Kemudian ku cuba tenangkan diri. Cuba tenteramkan hati.
Tetapi hati tetap tidak mahu tenang. Perasaan takut mulai mencengkam jiwa. Diri dirasakan mengecil! Kerdil.
Lalu tangan kiriku meraba di aspal berturap tar. Ku kutip batu-batu kerikil semuat gengaman.
Aku percepatkan langkah. Begitu juga mulutku mula berkumat-kamit berzikir dan membaca ayat-ayat suci. Semakin hampir rumah dan semakin jauh pula rumah Atok Dara ku tinggalkan.
Dan semakin pula berada di tengah-tengah kebun terbiar itu!
Ia membuatkan jantungku semakin bergetar, berdegup-degup. Apatah lagi mengepam deras kencang, sebaik melalui sepohon jambu bol yang di sebelahnya juga membesar sama pokok cempedak. Ia menegak tinggi di tepi longkang di hadapan rumahku.
Aku terus memacakkan mataku ke hadapan. Tidak mahu menoleh kiri kanan. Aku ingin segera sampai ke rumah. Aku perlu fokus!
Entah macam mana mataku teralih ke atas pokok jambu bol yang bergoyang-goyang. Mula-mula ia perlahan, kemudian bergoncangan kuat. Bergegar-gegar.
Serentak itu juga keluar suara memekik; meresik mengilai.
“Heeee ... hehehehehe ...! Heeee ... hehehehehe ..!”.
Ada lembaga putih di atas pohon jambul bol itu!
Ia sedang bergayut-gayut sambil memegang dahan. Jelas kelihatan bergoncangan di celah-celah dedaun yang merimbun.
Segera otakku memberi isyarat agar bertindak balas.
Lalu batu di tangan tadi secara otomatis melayang ke arah suara tersebut! Sekuat hati membaling ke arahnya!
Habis sahaja batu di tangan, segera aku membuka langkah seribu. Berlari ke rumah. Aku hayun kaki sepantas mungkin agar segera mendapat perlindungan.
“Emak!!! Bukak pintu!!! Cepat mak bukak pintu!!!”
Tinggal beberapa meter sahaja. Sudah dekat betul di hadapan pintu dapur itu.
Tiba-tiba aku terdengar derapan tapak kaki mengejar di belakangku. Menghala ke arah ku.
Aku tidak mahu menunggu lagi. Aku terus pecut, belari sekuat mungkin. Sehabis ikhtiar!
Hinggalah tinggal berbaki tiga atau empat langkah di hadapan. Akhirnya sekujur tubuh itu berjaya juga memotong larianku. Aku sudah terlajak. Tidak mampu untuk berhenti mahupun berundur serta merta.
Sekujur tubuh berbaju melayu, berkain pelekat, berseluar pendek terus melekap di hadapan pintu dapur. Tangannya tidak putus-putus mengetuk pintu dapur dengan kuat. Dia menjerit-jerit.
“Akak bukak pintu kak!!! Cepat kak! Cepattt!..”, tubuh itu rupanya kepunyaan Pak Busu Zali.
Pak Busu Zali |
Entah dari mana Pak Busu Zali datang, aku pun tidak tahu. Tiba-tiba sahaja dia muncul. Barangkali dia telah menyaksikan apa yang aku lihat sebentar tadi. Itulah akibatnya kalau suka merayau-rayau di malam hari.
Sepantas itu juga pintu dibuka oleh emak dari dalam.
Aku terus melompat masuk ke dalam rumah. Hatiku mulai merasa sungguh lega. Akhirnya aku selamat.
Pada malam itu emak tidak terus bertanya. Kalau ditanya sekalipun aku tidak mampu berkata-kata kerana terlalu gugup. Akhirnya aku tertidur di celah kelengkang emak, berpelukan dalam ketakutan.
Keesokan hari, aku pergi mendapatkan Pak Busu Zali di biliknya. Emak duduk di luar pintu bilik itu sambil melipat kain semalam. Daun pintu bilik dibiarkan terkangkang luas-luas.
Pak Busu Zali masih terbaring di atas tilamnya. Dia mengaduh-ngaduh kesakitan.
Aku hampiri Pak Busu Zali. Aku lihat ada beberapa kesan lebam di badannya.
Kemudian emak mula bersuara, “Kenapa jadi macam ni Dik?!”
***(Adik adalah gelaran Pak Busu Zali dalam keluargaku)
“Semalam adik panjat pokok jambu bol sorang-sorang. Nak makan buahnya. Masa makan di atas pokok tu, adik nampak ada orang datang dekat. Adik pun selubungkan muka dengan kain pelekat. Lepas tu adik goyang-goyangkan pokok sambil menjerit.”
“Kemudian?”
“Lepas tu orang tu baling batu ke arah adik. Adik mengelak. Adik pun mengiliai lagi. Kuat-kuat. Semakin galak takutkan dia!
Kemudian budak tu lari lintang pukang!
Masa adik mengelak batu yang terakhir itulah tiba-tiba kat sebelah adik ada suara berkata, ‘Aduh!!!’.
Adik pun terpandang kat dia dan terpegun.
Sekali adik nampak rambut dia sangat panjang. Duduk betul-betul di sebelah adik dengan berbaju putih. Matanya bercahaya merah. Dia menyeringai kat adik sambil mengaru kepalanya.
Apa lagi adik terus terjun dari pokok itu. Adik lari lintang pukang hinggalah akak bukak pintu”
Kemudian aku teringatkan sesuatu, lalu menyampuk. “Eh! Kalau tak salah, abanglah ***(aku) orang yang baling batu tu semalam. Ooo... Rupa-rupanya ... hmm! Rasakan Pembalasan si Pitung. Nah ambik ni dan ini. Lagi yang ini, dan sekali lagi ambik yang ini pulak!! Huh!”
Aku tenyeh-tenyeh. Ku cucuk-cucukan jari telunjukku. Aku tekan-tekan sekuat mungkin di tempat lebam di badan Pak Busu Zali itu seraya berkata lagi,
"Biasa ni. Biasa ni. Padam muka. Lain kali buatlah lagi!”
“Aduh! Aduh! Aduhhh... Akak tolong kak. Aduh!”, Pak Busu Zali menyerigai.
Emak terus membiarkan gelagat kami sambil tertawa galak.
Melihatkan itu, Pak Busu Zali turut tersengeh-sengeh sambil menahan sakit.
Aku pula memang sudah geram, sekarang ini adalah pembalasan yang harus diterima oleh Pak Busu kerana menakut-nakutkan aku. Padam muka!
.... Maza punya cerita.