"Biarlah. Dia tak kacau kita pun. Apa yang hendak ditakutkan. Dia tu makhluk macam kita juga," kata Tok Aki sambil menggentel rokok daun.
"Bukan apa Tok Aki. Semalam saya betul-betul dengar dia mengaum. Rasanya dekat betul dengan rumah kita ni," Zali beriya-iya menerangkan.
"Alah buat tak tahu ajelah," Tok Aki bangkit dari pangkin di bawah pokok nangka meninggalkan semua aduan Zali terbengkalai begitu sahaja. Tok Aki tidak mahu memanjangkan cerita.
Mulut Zali ternganga bundar. Dia masih tidak puas hati dengan tindakan Tok Aki yang acuh tak acuh dengan ceritanya itu. Zali memang bersungguh-sungguh memberitahu pada Tok Aki yang malam tadi dia terdengar deraman dan ngauman harimau di belakang rumah mereka itu. Bulu tengkok Zali meremang bila mengenangkan peristiwa semalam.
Gambar: Harimau Malaya |
Selepas binatang buas itu mengaum kuat-kuat, Zali terus tarik selimut dan beristighfar banyak-banyak. Di dalam hatinya berkecamuk. Bukan sahaja takutkan sang harimau itu, tetapi mengenangkan nasib masa depannya. Esok pagi-pagi dia mahu menoreh getah di baroh sana. Kalau dia pergi sudah hari meninggi, getah yang mahu ditoreh itu pun sudah tidak mahu mengeluarkan susunya lagi. Buat membazir tenaga sahaja
"Sudah! Malam karang kalau benda tu berbunyi lagi, tahulah aku nak buat macam mana. Kau dan Midah duduk diam-diam sahaja di rumah," itulah pesan Tok Aki dari anak tangga sebelum dia menghilang ke dalam perut rumah.
Setelah malam jauh dengan bulan mengambang penuh di dada langit. Alam pula semakin sunyi. Sesekali terdengar bunyi burung tukang menukang di malam hari. Burung hantu pula seperti penyanyi yang tidak henti-henti mengeluarkan suara mendayu-dayu. Malam itu terasa agak dingin dengan belaian angin hembusan sepoi-sepoi bahasa. Cengkerik adakalanya bergaduh sesama sendiri dengan mengesekkan kaki mengeluarkan bunyi simfoni alam.
Baru sahaja Zali menepuk bantal mahu lelap tiba-tiba dia terdengar derapan kaki. Kalau derapan kaki manusia dia kenal sangat. Tapi ini bukan. Tambahan pula bau hamis memenuhi ruang.
Zali amati betul-betul datangnya derapan kaki itu. Bau yang kuat itu datangnya dari arah hadapan rumah.
Zali bingkas mahu tahu apakah benda yang menjadi tetamu di laman rumahnya itu. Dia mengendap di balik lubang tingkap yang berbetulan dengan laman rumahnya itu.
Zali terperanjat besar apabila terlihatkan seekor harimau sebesar lembu sedang merangkak perlahan-lahan sambil mendenguskan nafasnya. Tetapi yang memeranjatkan Zali ialah harimau itu seolah-olah seperti dipukau dan berjalan tunduk lemah gemalai.
Midah hampir terjerit selepas mengendap bersama suaminya. Dia terpandangkan Tok Aki berdiri tegap di atas anak tangga. Namun cepat-cepat mulut Midah diserkup oleh Zali.
Tok Aki di atas tangga itu cukup tenang sekali. Di dadanya terselimpang selendang berwarna merah lagaknya bagaikan pendekar. Di atas kepalanya pula tertenggek tengkolok hitam. Di tangan kanan Tok Aki memegang hulu keris yang tersisip di pinggang. Di tangan kirinya pula segenggam bertih jagung.
"Wahai saka belaan warisan dari Gunung Si Guntang. Apakah yang menyebabkan kau tidak tenang dan datang menjelma di sini?" suara Tok Aki berbicara dengan sang harimau yang sudah pun duduk dengan dua kaki hadapannya menahan badannya. Sambil mendongak harimau itu memberi isyarat tertentu kepada Tok Aki. Selebihnya Zali tidak dapat menangkap perbualan antara mereka berdua.
Tidak lama kemudian Tok Aki pun turun ke tanah mendapatkan harimau itu. Di usap-usapnya kepala harimau tersebut. Tiba-tiba harimau tu berubah menjadi manusia. Di situ Tok Aki duduk bersila saling mengadap pemuda tadi dan berborak. Sepertii ada sesuatu yang serious dibincangkan.
Selang beberapa lama pemuda tadi bertukar semula menjadi harimau. Kali ini Tok Aki berdiri bersebelahan harimau jadian tadi. Dengan selempang merah di dada Tok Aki itu, Tok Aki ikatkan di tengkok harimau tersebut. Kemudian Tok Aki menaiki harimau itu dan berlalu pergi. Mulanya ia berjalan berlenggang-lenggok, perlahan. Selepas itu ia pantas lenyap sekelip mata ditelan sinar rembulan.
Setelah melihatkan peristiwa itu, Zali pun kembali ke tempat pembaringan. Tahulah Zali bahawa bunyi ngauman harimau beberapa malam lalu itu adalah harimau jadi-jadian.
Keesokan harinya setelah solat subuh Zali duduk di anjung. Midah keluar bersama sedulang sarapan yang berupa lempeng dan ubi rebus cicah sambal tumis. Di dalam teko itu pula air kopi masih beruap. Hari ini Zali tidak merancang hendak menoreh. Apatah lagi malam tadi dia tidur lewat dan menyaksikan peristiwa aneh tersebut.
Tidak lama kemudian Tok Aki keluar dari biliknya dan mendapatkan mereka.
"Hmm... semalam kau mengendap aku ya?" sergah Tok Aki.
Zali terhenti daripada menyuakan air kopi ke mulutnya. "Maaf Tok Aki. Saya tak sengaja. Tapi apa ke benda tu tok?"
Tok Aki mendapatkan mereka di anjung itu. Tok Aki berjalan perlahan-lahan sambil menahan desahan. Tok Aki mengemaskan duduknya di atas pangkin di anjung itu. Tak habis-habis dia menekup bengkung merah yang melilit di perutnya itu.
Sekali imbas seperti Tok Aki dalam kesakitan. "Eh, kenapa tok?" tanya Midah yang mula kaget.
"Yang semalam kau nampak tu adalah Pendekar Rimau Awang Hitam dari Bukit Si Guntang. Dia tu sahabat atok. Sudah lama benar kami tidak bersua. Semalam dia minta tolong atok mempertahankan kampungnya. Ada Feringgi (Portugis) menceroboh. Feringgi kurang ajar itu mahu menjajah tanah ini. Jadi sebelum Feringgi masuk dan menyampaikan dakyahnya ke sini, atok berasa bertanggungjawab untuk menjaga anak cucu atok. Aduh!"
"Tok Aki, kenapa ni?" Zali menyerbu mendapatkan Tok Aki yang hampir mengelangsar dari tempat duduk dan terbaring di situ sambil menahan sakit yang berat.
"Malangnya aku terkena tombak. Aku tak sangka ada juga orang kita yang belot dan membongkarkan rahsia orang-orang Melayu. Zali sekiranya malam nanti Pendekar Rimau Awang Hitam datang lagi katakan padanya atok cedera parah dan kau pergilah menggantikan atok menjaga keamanan kampung ini."
Seminggu selepas itu kembalilah Tok Aki ke rahmatullah. Dan semenjak dari hari itu Zali menjadi sahabat kepada Pendekar Rimau Awang Hitam menggantikan Tok Aki. Gunanya bersahabat dengan harimau jadian ini ialah untuk melindungi keluarganya dari ancaman bahaya terutama Feringgi dan lanun-lanun yang semakin bermaharajalela.
Hingga ke hari ini keturunan inilah yang menjadi penjaga kepada kampung dari ancaman luar. Namun dunia semakin moden, ramai pula harimau yang menjadi sahabat alam ini menjadi konfilik pertembungan antara perjanjian lama dan baru. Ia semakin kesempitan dan sesak. Pembawa malang kepada harimau ini bermula yang acapkalinya adalah manusia melanggar perjanjian mereka.
Akhirnya sebelum harimau malaya jadi-jadian ini pupus ditelan pertelingkahan tidak menguntungkan, harimau tersebut ditangkap dan dipelihara di dalam sangkar.
Akhirnya sebelum harimau malaya jadi-jadian ini pupus ditelan pertelingkahan tidak menguntungkan, harimau tersebut ditangkap dan dipelihara di dalam sangkar.
Jika anda ingin menyaksikan harimau malaya tersebut, silalah ke Zoo Negara, Zoo Taiping, Zoo Johor, Zoo Pahang ya. Lagipun sekarangkan musim cuti sekolah, tak gitew....
Sebuah cerita ciptaan maza yang lantun-lantun gitew, ahaks! Jangan marah.. hehehhe