‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 12 Oktober 2010

Taman Rekreasi Kampung Temigol, Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor



10.10.2010 (Ahad) - Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor mempunyai taman rekreasi yang bernama Taman Rekreasi Kampung Temigol.

Nama Taman Rekreasi Kampung Temigol diambil sempena nama sungai, kampung dan jalan Temigol yang membentuk salah satu gugusan kampung-kampung di Kampung Sri Lukut.

Kampung Sri Lukut berada dalam kawasan Parlimen Sembrong di bawah pimpinan YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Malaysia (2010).



Bagi penduduk setempat Taman Rekreasi Temigol lebih dikenali sebagai Jambatan Biru (JB).

Ini disebabkan jambatan lama yang merupakan jambatan kayu telah digantikan dengan jambatan konkrit. Penghadang kiri dan kanan jambatan ini telah diwarnakan biru. Warna biru itulah Taman Rekreasi Kampung Temigol mendapat jolokan nama Jambatan Biru.

Jambatan yang merintangi Sungai Temigol ini menghubungkan kampung dan pintu kunci air Sungai Madek, Kahang. Orang kampung memanggil pintu kunci air ini sebagai 'gate'.

Gate atau empangan kecil di Sungai Madek telah dibina sebelum perang dunia kedua lagi. Kegunaannya ialah untuk pengairan sawah Kahang (sawah Kampung Sri Lukut juga dikenali sebagai Sawah Kahang).

Sungguhpun begitu, kawasan gate merupakan kawasan larangan bagi orang awam masuk.

Dahulu, Sungai Madek menjadi tempat punca pendapatan nelayan sungai. Pertemuan kuala dan persisiran sungai Madek inilah yang membentuk kampung Kahang; sebelum wujudnya Felda Kahang Timur dan Felda Kahang Barat.

Sebelum pembinaan gate, kawasan berhampiran Sungai Madek merupakan kawasan penempatan Orang Asli. Hari ini penduduk asal itu sudah dipindahkan ke kawasan baharu. Antara penempatan Orang Asli yang berhampiran dan masih boleh ditemui ialah di Kampung Peroh Batu 26, Kampung Orang Asli Batu 25 serta sekitar lembah dan sungai Lenggong-Madek.


(Gambar: Sebahagian palang penghadang jambatan yang berwarna biru)

Kawasan rekreasi Temigol dilengkapi dengan tapak perkhemahan, tandas dan beberapa buah pondok (wakaf). Kawasan ini siap dibina prasarananya pada tahun 2005 (kalau tak silap maza).

Tidak jauh dari taman rekreasi ini (sekitar 300 meter) terdapat chalet untuk disewa. Letaknya berhampiran sawah yang terbentang luas saujana mata memandang. Dari sini anda boleh melihat panorama indah tatkala matahari terbenam atau terbit.

(Gambar: Kanak-kanak keriangan bermain di pelantar sungai)

Taman Rekreasi Kampung Temigol yang jauh daripada hiruk-pikuk dan kesibukan bandaraya amat menenangkan fikiran. Pokok-pokok hutan mengelilingi kawasan taman rekreasi memberikan anda udara segar, nyaman dan bersih.

Jika anda menginap lama dan seorang kaki pancing, anda boleh mencuba untuk melabuhkan joran. Dalam musim-musim tertentu anda boleh mengail udang galah, lampam, sebarau, tapah, keli, haruan, baung dan macam-macam lagi spesis hidupan merin sungai.

Suasana pagi di sini sungguh dingin, nyaman dan segar. Keadaan kampung yang damai disulami dengan keramahan penduduknya mampu mengembalikan nostalgia anda ke alam desa permai.

(Gambar: ebahagaian dari kehidupan di kampung.
G
adis kampung menungang motosikal bersahaja.)

Kawasan chalet itu nanti akan maza paparkan pada entry yang akan datang.

Bersesuaian sebagai taman rekreasi kampung, ia sentiasa dipenuhi oleh pengunjung yang terdiri daripada anak-anak kampung dan orang luar.

Taman Rekreasi Kampung Temigol semakin dikenali sehingga keluar negara kerana kedamaian, alam semulajadi yang masih terpelihara dan amalan pertanian padi organik.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya anda terserempak dengan pelancong asing dari negara barat seperti Australia, German, Sweeden, England dan sebagainya. Juga pelancong-pelancong dari negara Asia seperti Bangladesh, Indonesia, India, Jepun, China, Pakistan, Kompucha, Vietnam, Thailand dan Singapura. Pendek kata seperti catatan dalam Hikayat Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang; taman rekreasi ini dilawati pelawat dari 'negeri atas angin' dan 'negeri bawah air'.


(Gambar: Airnya yang sejuk, jernih dan mengalir lesu menambahkan kesegaran kepada tubuh badan jika berendam di situ. Terutama tatkala musim kemarau atau panas, ramai penduduk kampung akan bermandi manda di sini)

Taman Rekreasi Kampung Temigol diserikan lagi dengan beberapa acara tahunan seperti perkemahan pengakap, pertandingan sukaneka anjuran penduduk kampung atau gerakan belia, pertandingan karaoke dan sebagainya.

Untuk ke sini, anda perlu melalui Bandar Kluang atau Mersing. Kampung Sri Lukut terletak 45 km dari Bandar Kluang menghala ke Mersing. Dari simpang Kampung Temigol di Kampung Sri Lukut, anda perlu berkenderaan sejauh 3 km untuk sampai ke destinasi Hutan Simpan Kekal Lenggong yang menempatkan Taman Rekreasi Temigol ini.

(Gambar: Antara pelancong dan penduduk kampung yang
bersantai di taman rekreasi ini)

Sepanjang 3 km itu anda akan menempuhi kawasan perkampungan tradisional dan sawah padi.

Kampung Sri Lukut dahulunya dikenali sebagai Kampung Kahang Bt.28 atau Kampung Melayu Kahang.

(Gambar: Sungai ini tidak mempunyai lintah yang merbahaya
kepada pengunjungnya, terutama wanita lorr ... heheheh)

Sekiranya anda berminat hendak berkunjung ke sini, anda bolehlah berhubung dengan maza ataupun Ketua Kampung, Kampung Sri Lukut.

(Gambar: Jejaka berbaju hijau, tanda pencinta alam [wanita!?])

Akhir kalam, selamat beristirahat. Luas mengembara, luas pandangan, banyak pedoman dan berkembanglah fikiran.


Tinta emas: terima kasih kepada sedara Airi Rahim kerana sudi menjadi pengikut blog maza yang tak fofular ini... hehehe


entry promote kampung sendurik.... hehehe


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails