‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 26 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 3


(Klik di sini untuk mengikuti episod pertama & episod kedua)


Aroy cuba mencari simpang yang sepatutnya dia lalui. Tetapi dia masih tidak menemukan simpang ke jalan Kuala Pilah – Bahau itu.

“Aku dimana? Ya Allah! Aku di mana?”

Belukar bertukar semak, kemudian ternampak pula pepohon rimba yang pakalnya sebesar pemeluk. Jalan menjadi gelap gelita dan hanya bertemankan lampu sorot dari motornya.

Entah bagaimana di penghujung jalan itu Aroy menemui sebuah kampung. Lega rasa hatinya. Di sepanjang jalan itu pula dilimpahi oleh lampu limpah jalan.

Tetapi masalahnya kampung itu juga Aroy tidak pernah kenal. Tidak pernah dia lihat sebelum ini. Dari celah helmet bertutup litup itu, dia menjeling. Ada sebuah gerai makan di tepi jalan.

Pengunjung warung hanya mengerdipkan mata memandang motor Aroy berlalu. Ada pula yang buat tidak tahu sebaik kelibat Aroy melepasi mereka.

Aroy tetap meneruskan perjalanannya. Hampir dua puluh minit kemudian, Aroy masih tidak dapat mencari simpang Kuala Pilah – Bahau.





(Gambar: laju kudaku laju)



“Macam ni tak boleh jadi. Macam mana aku boleh sesat balik ke kampung sendiri? Subahan Allah. Mungkin orang-orang di warung tadi boleh membantu aku.”, Aroy berpatah balik.

Akhirnya gerai yang ditinggalkan oleh Aroy ditemui lagi. “Pak cik, camno nak poie ko Bahau? Den dah terlangsung nie ha.”

Mulanya mereka ternganga sesama sendiri. Selepas itu mereka berbisik. Sesekali menjeling ke arah Aroy.

Lalu salah seorang dari mereka itu bangkit dan menunjukkan arah.

Canggini, ekau patah balik. Dokek sinin iyo. Adolah dalam beberapo rantai kek sinin ni ha. Ingat adolah dalam 20 rantai yo. Ado simpang. Ekau masuk simpang ke kanan. Ha, ikut sinun. Toghuih yo (terus aje). Kendian ekau jumpo simpang tigo. Belok ke kanan. Tulah jalan eh ko Bahau.”

“Terima kasih pak cik. Den beransurlah dulu yo.”

Aroy menuruti apa yang ditunjukkan itu. Tetapi hampir lima belas minit menungang, malangnya simpang yang dimaksudkan itu masih tidak diketemukan!

“Macam ini tidak boleh jadi!. Aku kena patah balik lagi ni.”

Aroy berpatah balik lalu bertemu sekali lagi warung tersebut. Kali ini semua orang yang ada di situ sudah berbeza.

“Maaf pakcik. Den cubo cari jalan eh ko Bahau. Tapi tak jumpolah. Boleh tolong den laie tak pak cik?”

Setelah mereka yang ada di warung itu berbincang sesama sendiri untuk kesekian kalinya, salah seorang daripada mereka itu bangkit dan menyatakan persetujuan untuk membantu Aroy.

Ekau ni dah terlangsung, tersosek kek kampung kami. Mari essey tunjukan ekau, yo!" Pak cik itu menunggang moto kapchainya lalu menyuruh Aroy mengekorinya.

Tanpa banyak soal, Aroy menuruti pak cik tersebut. Hanya beberapa meter di sebalik lori yang berhenti di tepi jalan berhampiran warung tadi terdapat sebuah simpang. Terlindung di situ rupanya.

Tetapi simpang itu bukanlah simpang yang biasa Aroy lihat. Simpangnya sempit. Malah melalui jalan yang gelap. Kiri-kanan semak samun, ditumbuhi lalang, senduduk dan resam.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Aroy hanya diam dan tidak membantah sedikit pun. Aroy terus membontoti pak cik tersebut.


(Gambar: Langit dan bumi tidak menerima manusia yang durhaka kepada Tuhan)


Agak jauh juga mereka menunggang. Dari belukar mereka bertemu pula beberapa buah rumah. Kemudian semak samun kembali. Selepas itu tanah sawah yang baru dibajak. Di situ juga Aroy sempat memerhatikan ada beberapa buah simpang lain. Tetapi pak cik tadi terus membawanya ke jalan lurus.

Jalan menjadi semakin sempit. Adakalanya terpaksa melanggari bonggol yang tiba-tiba muncul. Lubang di sana sini. Aroy terus membatukan diri. Tidak mahu membuat apa-apa aduan. Diam seribu bahasa seolah-olah mulutnya sudah terkunci.

Pak cik itu akhirnya membawa Aroy sampai di hujung jalan. Di hujung jalan simpang tiga itu Aroy ditemukan jalan yang besar. Aroy menarik nafas lega. Jalan tersebut ialah jalan yang dicarinya. Jalan ke Bahau.

“Ha! Inilah jalan eh. Ekau toguih yo ikut sinin. Bawak motor tu elok-elok yo.”, pak cik tadi memberikan senyuman kepada Aroy, kemudian dia memandang ke arah tempat duduk belakang Aroy. Mukanya berubah seketika menjadi serius. Setelah itu dia berkata sesuatu seolah-olah kepada orang di belakang Aroy. Tapi tidaklah Aroy jelas mendengarkan butir bicaranya. Pak cik tersebut seperti berbisik-bisik. Aroy hanya sempat merakam beberapa patah perkataan sahaja.

“Ekau jangan buek tak tontu arah yo! Toguih balik.”, itulah kata-kata akhir dari pak cik tersebut.

Selepas mengucapkan terima kasih dan salam, Aroy terus meninggalkan pak cik itu sendirian dan meneruskan perjalanan ke Palong.

Kali ini perjalanan Aroy lancar.

Cuma sebaik menghampiri simpang masuk ke rumahnya itu dia sedikit terlajak.


Bersambung ke episod keempat.

(Klik sini ke episod pertama, kedua, ketiga dan keempat)

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails