‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 2 Jun 2009

Bangkitlah...


BERMULALAH kisah ketika aku tingkatan empat dan lima. Ketika itu sesi persekolahan tahun 1990-1992.

Aku bersekolah di sebuah pekan terhampir dari kampung. Sekolah Menengah Kahang, Batu 23 itulah menyaksikan aku menimba ilmu selama lima tahun di situ.

Sepanjang sejarah Sekolah Menengah Kahang, jarang sekali para pelajarnya skor SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Paling cemerlang pun seorang atau dua yang memperoleh pangkat dua.

Ketika itu kelas SPM baru berusia sekitar enam atau lima tahun. Kiranya ia baru dibentukkan di sekolah itu. Sebelum ini sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Rendah Menengah Kahang. Pada zaman itu mereka yang hendak menyambungkan pelajaran dari SRP (Sijil Rendah Pelajaran - tingkatan tiga) ke SPM perlu ke bandar Kluang. Atau berpindah ke sekolah-sekolah yang menawarkan kelas tersebut.

Mereka yang skor itu pula bukan datangnya dari kampung atau dari kalangan budak-budak Melayu. Tetapi anak-anak Cina yang tinggal di pekan Kahang.

Selebihnya pelajar mendapat pangkat tiga. Tetapi kebanyakkannya hanyalah sekadar lulus. Kebiasaanya pula yang gagal lebih ramai daripada yang lulus. Kira seperti majoriti tidak lulus.

Almaklumlah budak-budak kampung, tidak banyak pendedahan. Ada tu tidak tahu lepas tamat persekolahan hendak buat apa.

Akhirnya mereka mewarisi kerja bapa masing-masing antaranya sebagai penoreh getah, pekerja di sawmill (kilang papan) atau nelayan sungai (nelayan darat)!

Bukan tidak ada anak-anak kampung yang menyerlah. Ada. Tetapi terlalu segelintir.

Kebanyakkan mereka yang cemerlang itu telah ditapis dan dihantar oleh emak bapak ke sekolah-sekolah di bandar besar. Seperti di Sekolah Agama Madhad Johor Bahru, Sekolah Politeknik JB, MRSM Muar, STK (Sekolah Tinggi Kluang), Sekolah Agama Segamat dan lain-lain lagi.

Ketika itu sekolah kami dikira sekolah luar bandar yang sungguh terpencil. Dari Kluang kira-kira 45 minit. Sepanjang laluan ke sekolah pula di kiri-kanan jalan dipenuhi dengan hutan tebal. Hutan dara. Boleh dikatakan agak mencabar bagi guru-guru yang berulang alik dari Kluang ke Kahang.

Pernah ada orang yang lalu-lalang jalan tersebut terserempak dengan gajah, harimau dan segala binatang buas duduk di tengah-tengah jalan.

Kalau cerita langsuir, hantu, pontianak, orang bunian, si kain terbang, pucung dan sebagainya memang kerap benar terdengar. Pendek kata, selepas jam 11 atau 12 malam memang lenganglah jalan raya itu.

Akhirnya sampailah ke giliran kumpulan aku untuk menduduki SPM. Serius aku katakan, ketika itu aku memang tidak tahu hendak buat apa selepas tamat persekolahan ini nanti.

Yang aku tahu sambung belajar sampai masuk universiti. Tetapi bagaimana?! Di mana hendak memohon? Macamana hendak mohon? Subjek apa perlu diberikan perhatian lebih?

Aku hanya tahu mesti lulus mendapat pangkat satu barulah peluang masuk ke universiti cerah. Oleh itu mata pelajaran teras perlu dititikberatkan. Masalahnya, mata pelajaran teras itu apa?!

Pendek kata aku tidak mempunyai sebarang strategi yang khusus. Yang aku tahu belajar untuk lulus dan sambung belajar lagi dan lagi.

Nak tanya pada emak, emak sudah pasti tidak tahu. Nak tanya kawan-kawan lain, lebih kurang macam aku juga!

Pada awalnya kumpulan kami bukanlah kumpulan harapan cikgu-cikgu di sekolah itu.

Kelas SPM hanya dua kelas sahaja. Kelas A dan B. Aliran pula sastera dan perdagangan.

Kebanyakan guru-guru kami ketika itu terdiri daripada guru-guru yang dipindahkan sekolah. Mereka ialah guru-guru yang dikenakan tindakan displin dan antaranya berpestasi rendah. Jadinya sekolah itu dulunya merupakan sekolah tempat membuang cikgu yang bermasalah!

Ketika itu aku dan kawan-kawan bersemangat tinggi. Berkobar-kobar untuk menunjukkan bahawa kami boleh membawa perubahan! Kami mampu menjadi generasi cemerlang!Kami mampu mengharumkan nama kampung! Akhirnya kami mampu bersama-sama membangunkan kampung hingga ternama di kemudian hari!

Dengan kemudahan pembelajaran yang begitu terhad. Tanpa kelas tuisyen, tanpa kelas tambahan. Emak bapak kami bukanlah kategori orang kaya yang mampu menghantar kami ke sekolah swasta di bandar sana untuk kelas tuisyen.

Kami hanya belajar dengan mengikuti setiap apa pelajaran yang diajarkan oleh cikgu di sekolah itu sahaja.

Bunga menjadi putik, dari putik menjadi buah. Peperiksaan SPM kami tempuhi jua bersama secebis harapan dan doa dari ibu ayah dan orang-orang kampung.

Akhirnya pada tahun 1992 kumpulan kami menjadi perintis kecemerlangan. Seramai sebelas orang mendapat pangkat satu, berpuluh-puluh yang lain pangkat dua dan segelintir dari kami pangkat tiga. Yang tidak lulus hanya beberapa kerat orang sahaja.

Alhamdulilah! Ia merupakan pencapaian rekod yang cemerlang, begitu mendadak di sebuah sekolah kampung ini; Sekolah Menengah Kahang.

Ramai cikgu yang dahulunya tidak menaruh harapan dan mencebik mulut akhirnya ternganga, seolah-olah tidak percaya.

Kami apatah lagi. Mengalir air mata gembira. Syukur yang teramat sangat. Segala onar dan duri, fitnah dan badai kami berjaya harungi. Emak di rumah termanggu-manggu tidak tahu hendak terkata apa. Hanya senyuman manis bergenang air mata menjadi saksi kegembiraannya. Alhamdulillah!

Kami pernah lakukan qaimulail pada malam hari. Ibu bapa kami turut bergotong royong menjayakan majlis tersebut. Ada antara mereka turut bersengkang mata bermunajat kepada Ilahi. Kami bertawakal. Akhirnya inilah keputusan yang kami terima. Inilah balasannya. Lihatlah dunia!!! Syukur alhamdulilah.

Semenjak itu PPD Kluang mulai perasan kehadiran dan potensi anak-anak kampung ini. Pelbagai bantuan dan kemudahan mulai mendapat perhatian. Blok sekolah baru juga turut dibina. Dengar kata kelas sains juga akan dibangunkan. Alhamdulilah.

Tetapi kecemerlangan kami itu tidak pula bersambut pada tahun-tahun seterusnya. Kemerosotan pula timbul dari adik-adik generasi kami.

Malah pernah tidak ada seorang pun mendapat pangkat satu. Pangkat dua hanya boleh dibilang dengan jari! Pelajar Cina di pekan juga yang berjaya mendapat manfaat semuanya.

Kami rasa amat terkilan. Namun terus berharap agar mereka bangkit dan memajukan diri serta kampung yang dicintai ini.

Namun hari ini aku dengar dari Cikgu Faizal prestasi anak-anak kampung semakin pulih. Mereka semakin meningkat. Paling tidak pun bersemangat untuk memajukan diri!

Wahai anak bangsaku, teruskanlah berjuang. Penuhkan di dadamu dengan semangat yang kental, demi ilmu dan Tuhanmu!

Selamat berjuang adik-adik! (erk! ada ke dia orang baca blog aku ni? hmm ... hentam ajelah!)

Cikgu Faizal ini ialah sahabatku ketika kami sama-sama menuntut di SSAJ (Sekolah Sultan Abdul Jalil).



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails