‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 4 Jun 2009

Rampasan Kuasa

(Gambar: Istana Kenangan, Bukit Chandan)

Alkisah tersebutlah kisah di alam buana ini. Terdapatlah sebuah negeri di atas angin dengan bersultankan Maharaja Singgahsana.


Maharaja Singgahsana mempunyai seorang putera yang diberi gelaran Sang Sakti Purba. Usianya baru mencecah darah setampuk pinang.


Syahdan suatu hari Maharaja dan kaum kerabatnya telah berangkat berburu di pusat beli belah yang tidak kurang ternama juga.


Ada pun pusat beli belah itu diberi nama Gedung Gergasi.


Arakian diberikan nama Gedung Gergasi menyebabkan Doremone dan Nobita dari negeri matahari terbit tidak mahu berkunjung tiba ke negeri atas angin ini.


Dikatakan orang Doremone dan Nobita terlalu phobia dek kerana selalu dibuli oleh Sang Gergasi. Jadi disebabkan itulah Doremone dan Nobita tidak mahu singgah ke sini menjalinkan hubungan siasah dan diplomatik.


Dalam pada berjalan dari hujung sana hingga ke hujung sana, tiba-tiba Maharaja Singgahsana berkenan pula dengan sebuah kerusi ajaib berwarna merah. Ia boleh dilipat dan mudah dibawa ke sana sini.


“Elok beta letakkan aje kerusi ajaib ini di hadapan anjung Istana Mahligai kita, ya dinda. Sambil kita kudapan petang dan menjamu selera melihatkan putera-putera kita, atau kita membaca buku, kita duduk di atasnya. Ah! Beta dapat bayang betapa selesanya.”


“Molek benar wahai kekanda. Adinda pun bersetuju”, Permaisuri membenarkan kata-kata suaminya.


Setelah membayarnya dengan wang plastik, khadam raja pun angkutlah kerusi ajaib berwarna merah itu ke Istana Mahligai. Lalu ditempatkanlah ia di anjung istana sebagaimana dititahkan oleh baginda Maharaja.


Hati Maharaja Singgahsana cukup ceria, riang sekali melihatkan kerusi barunya itu. Syahdan baginda mahu mencubanya buat kali pertama.


Tetapi niat Maharaja Singgahsana terbantut. Baginda telah diserang bertubi-tubi. Niat bangida dihalang. Seseorang telah datang hendak merampas kuasa. Kerusi merah ajaib itu telah ditarik ke tepi.


Baginda Maharaja hanya mampu mengerdipkan mata. Seolah-olah baginda telah dipukau. Onar yang mencucuk mata dibiarkan berlalu sahaja.


Tidak semena-mena Maharaja Singgahsana menjadi lemah. Baginda tunduk dan akur sahaja dengan perempas kuasa itu.


“Tepi-tepi. Anaknda punya. Lalu ayahnda. Lalu...”, titah betah Sang Sakti Purba kepada ayahndanya Maharaja Singgahsana.


“Eh! Itu kan ayahnda. Kerusi ini ayahnda yang punya?!”, Permaisuri Maharaja Singgahsana menyanggah kata-kata Sang Sakti Purba.


“Tepi-tepi. Anaknda punya. Lalu ayahnda. Lalu...”, Sang Sakti Purba terus tidak mempedulikan kata-kata bondanya.


(Gambar: Permaisuri dan Sang Sakti Purba)


Maharaja Singgahsana tidak terkata apa, melainkan mengeluh sambil menggaru-garukan pundaknya yang tidak gatal, “Hmm.. Biarlah dinda. Haii...kerajaan kekanda telah dirampas oleh Sang Sakti Purba. Duduklah anaknda, duduklah...”


Akhirnya Maharaja Singgahsana mengambil kerusi yang lain dan duduk memerhatikan sahaja si Sang Sakti Purba merasmikan kerusi ajaib merah itu.


Sang Sakti Purba pula tidak sedikit pun merasa bersalah. Jauh sekali untuknya merasa sesal. Sang Sakti Purba hanya membuat muka toya sambil bermain straw. Lihat sahajalah mukanya itu. Aderkkk...


(Gambar: Sang Sakti Purba Di atas Singgahsana Rebutan)


Pinggan Ayan: adakalanya kita terpaksa juga mengalah dengan anak-anak. Huhuhu. Tetapi jangan sampai terlalu sangat mengikut katanya. Terlalu manjakan nanti bisa memusnahkan masa depan mereka... eemmm hemmm!!!!



Selasa, 2 Jun 2009

Bangkitlah...


BERMULALAH kisah ketika aku tingkatan empat dan lima. Ketika itu sesi persekolahan tahun 1990-1992.

Aku bersekolah di sebuah pekan terhampir dari kampung. Sekolah Menengah Kahang, Batu 23 itulah menyaksikan aku menimba ilmu selama lima tahun di situ.

Sepanjang sejarah Sekolah Menengah Kahang, jarang sekali para pelajarnya skor SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Paling cemerlang pun seorang atau dua yang memperoleh pangkat dua.

Ketika itu kelas SPM baru berusia sekitar enam atau lima tahun. Kiranya ia baru dibentukkan di sekolah itu. Sebelum ini sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Rendah Menengah Kahang. Pada zaman itu mereka yang hendak menyambungkan pelajaran dari SRP (Sijil Rendah Pelajaran - tingkatan tiga) ke SPM perlu ke bandar Kluang. Atau berpindah ke sekolah-sekolah yang menawarkan kelas tersebut.

Mereka yang skor itu pula bukan datangnya dari kampung atau dari kalangan budak-budak Melayu. Tetapi anak-anak Cina yang tinggal di pekan Kahang.

Selebihnya pelajar mendapat pangkat tiga. Tetapi kebanyakkannya hanyalah sekadar lulus. Kebiasaanya pula yang gagal lebih ramai daripada yang lulus. Kira seperti majoriti tidak lulus.

Almaklumlah budak-budak kampung, tidak banyak pendedahan. Ada tu tidak tahu lepas tamat persekolahan hendak buat apa.

Akhirnya mereka mewarisi kerja bapa masing-masing antaranya sebagai penoreh getah, pekerja di sawmill (kilang papan) atau nelayan sungai (nelayan darat)!

Bukan tidak ada anak-anak kampung yang menyerlah. Ada. Tetapi terlalu segelintir.

Kebanyakkan mereka yang cemerlang itu telah ditapis dan dihantar oleh emak bapak ke sekolah-sekolah di bandar besar. Seperti di Sekolah Agama Madhad Johor Bahru, Sekolah Politeknik JB, MRSM Muar, STK (Sekolah Tinggi Kluang), Sekolah Agama Segamat dan lain-lain lagi.

Ketika itu sekolah kami dikira sekolah luar bandar yang sungguh terpencil. Dari Kluang kira-kira 45 minit. Sepanjang laluan ke sekolah pula di kiri-kanan jalan dipenuhi dengan hutan tebal. Hutan dara. Boleh dikatakan agak mencabar bagi guru-guru yang berulang alik dari Kluang ke Kahang.

Pernah ada orang yang lalu-lalang jalan tersebut terserempak dengan gajah, harimau dan segala binatang buas duduk di tengah-tengah jalan.

Kalau cerita langsuir, hantu, pontianak, orang bunian, si kain terbang, pucung dan sebagainya memang kerap benar terdengar. Pendek kata, selepas jam 11 atau 12 malam memang lenganglah jalan raya itu.

Akhirnya sampailah ke giliran kumpulan aku untuk menduduki SPM. Serius aku katakan, ketika itu aku memang tidak tahu hendak buat apa selepas tamat persekolahan ini nanti.

Yang aku tahu sambung belajar sampai masuk universiti. Tetapi bagaimana?! Di mana hendak memohon? Macamana hendak mohon? Subjek apa perlu diberikan perhatian lebih?

Aku hanya tahu mesti lulus mendapat pangkat satu barulah peluang masuk ke universiti cerah. Oleh itu mata pelajaran teras perlu dititikberatkan. Masalahnya, mata pelajaran teras itu apa?!

Pendek kata aku tidak mempunyai sebarang strategi yang khusus. Yang aku tahu belajar untuk lulus dan sambung belajar lagi dan lagi.

Nak tanya pada emak, emak sudah pasti tidak tahu. Nak tanya kawan-kawan lain, lebih kurang macam aku juga!

Pada awalnya kumpulan kami bukanlah kumpulan harapan cikgu-cikgu di sekolah itu.

Kelas SPM hanya dua kelas sahaja. Kelas A dan B. Aliran pula sastera dan perdagangan.

Kebanyakan guru-guru kami ketika itu terdiri daripada guru-guru yang dipindahkan sekolah. Mereka ialah guru-guru yang dikenakan tindakan displin dan antaranya berpestasi rendah. Jadinya sekolah itu dulunya merupakan sekolah tempat membuang cikgu yang bermasalah!

Ketika itu aku dan kawan-kawan bersemangat tinggi. Berkobar-kobar untuk menunjukkan bahawa kami boleh membawa perubahan! Kami mampu menjadi generasi cemerlang!Kami mampu mengharumkan nama kampung! Akhirnya kami mampu bersama-sama membangunkan kampung hingga ternama di kemudian hari!

Dengan kemudahan pembelajaran yang begitu terhad. Tanpa kelas tuisyen, tanpa kelas tambahan. Emak bapak kami bukanlah kategori orang kaya yang mampu menghantar kami ke sekolah swasta di bandar sana untuk kelas tuisyen.

Kami hanya belajar dengan mengikuti setiap apa pelajaran yang diajarkan oleh cikgu di sekolah itu sahaja.

Bunga menjadi putik, dari putik menjadi buah. Peperiksaan SPM kami tempuhi jua bersama secebis harapan dan doa dari ibu ayah dan orang-orang kampung.

Akhirnya pada tahun 1992 kumpulan kami menjadi perintis kecemerlangan. Seramai sebelas orang mendapat pangkat satu, berpuluh-puluh yang lain pangkat dua dan segelintir dari kami pangkat tiga. Yang tidak lulus hanya beberapa kerat orang sahaja.

Alhamdulilah! Ia merupakan pencapaian rekod yang cemerlang, begitu mendadak di sebuah sekolah kampung ini; Sekolah Menengah Kahang.

Ramai cikgu yang dahulunya tidak menaruh harapan dan mencebik mulut akhirnya ternganga, seolah-olah tidak percaya.

Kami apatah lagi. Mengalir air mata gembira. Syukur yang teramat sangat. Segala onar dan duri, fitnah dan badai kami berjaya harungi. Emak di rumah termanggu-manggu tidak tahu hendak terkata apa. Hanya senyuman manis bergenang air mata menjadi saksi kegembiraannya. Alhamdulillah!

Kami pernah lakukan qaimulail pada malam hari. Ibu bapa kami turut bergotong royong menjayakan majlis tersebut. Ada antara mereka turut bersengkang mata bermunajat kepada Ilahi. Kami bertawakal. Akhirnya inilah keputusan yang kami terima. Inilah balasannya. Lihatlah dunia!!! Syukur alhamdulilah.

Semenjak itu PPD Kluang mulai perasan kehadiran dan potensi anak-anak kampung ini. Pelbagai bantuan dan kemudahan mulai mendapat perhatian. Blok sekolah baru juga turut dibina. Dengar kata kelas sains juga akan dibangunkan. Alhamdulilah.

Tetapi kecemerlangan kami itu tidak pula bersambut pada tahun-tahun seterusnya. Kemerosotan pula timbul dari adik-adik generasi kami.

Malah pernah tidak ada seorang pun mendapat pangkat satu. Pangkat dua hanya boleh dibilang dengan jari! Pelajar Cina di pekan juga yang berjaya mendapat manfaat semuanya.

Kami rasa amat terkilan. Namun terus berharap agar mereka bangkit dan memajukan diri serta kampung yang dicintai ini.

Namun hari ini aku dengar dari Cikgu Faizal prestasi anak-anak kampung semakin pulih. Mereka semakin meningkat. Paling tidak pun bersemangat untuk memajukan diri!

Wahai anak bangsaku, teruskanlah berjuang. Penuhkan di dadamu dengan semangat yang kental, demi ilmu dan Tuhanmu!

Selamat berjuang adik-adik! (erk! ada ke dia orang baca blog aku ni? hmm ... hentam ajelah!)

Cikgu Faizal ini ialah sahabatku ketika kami sama-sama menuntut di SSAJ (Sekolah Sultan Abdul Jalil).



Sabtu, 30 Mei 2009

Layang-layang: Terbanglah Tinggi




Mei 30, 2009 (Sabtu) - Hari ini kami sekeluarga bersantai. Kuda silver ditambat di bawah rumah. Si Silver direhatkan untuk dua minggu setelah ber- equestrian ke luar kawasan selama berminggu-minggu yang lalu.

Sebaik melalui sebuah padang di kawasan taman perumahan, kelihatan kelibat peniaga layang-layang sedang memperagakan barangannya.

Angin petang yang redup dan nyaman menolak-nolak layang-layang itu ke angkasa raya. Seolah-olah melambai-lambai kami yang lalu lalang di jalan tersebut.

Sementelah itu si anak dan ibu mulalah rasa teruja. Meronta-ronta hendak bermain layang-layang.

Sebaik mempakirkan kenderaan, terus sahaja mereka terjun dan memilih layang-layang kegemaran masing-masing.

Untung layang-layang yang menjadi 'gamaman mata' dua anak maza itu ialah layang-layang yang bersaiz kecil. Kebetulan pula mereka mengemari watak Siperdeman yang juga terpapar di layang-layang itu.

Jadi, jimatlah duit kami untuk menghiburkan hati mereka. Kalau tidak, jika salah perkiraan, ada harapan dua buah layang-layang yang mahal harganya menjadi tuntutan si anak.

(Gambar: Terus Mencuba dan Mencuba Agar Tidak Menjadi Seperti Layang-layang Terputus Talinya)

Kala itulah nantinya sinema pertarungan antara ayah dan anak akan berlaku. Tawar menawar dan pujuk memujuk agar si anak mengikut keputusan wallet dan kata-kata ayahnya menjadi drama swasta di tepi padang!

Sebaik layang-layang di tangan, segera mereka menuju ke padang dan cuba menaikannya.

Petang nyaman di padang awam itu mengalu-alukan ramai orang datang bersama layang-layang masing-masing. Anak-anak kecil keriangan berlari sana sini. Petang ini diperindahkan lagi dengan kelibat ungas-ungas yang bermigrasi melintasi kami.

Oleh kerana anak-anak maza masih belum 'mumayyiz' jadi panduan dan tunjuk ajar dari ayah dan ibu diperlukan.

Puas mencuba beratus kali namun layang-layang kami masih gagal dinaikkan ke ruang atmosfera. Penat sudah berlari, berjalan, menggulung, menarik, melepas benangnya tetapi masih gagal.


(Gambar: Layang-layang Tinggi Melangit)

Akhirnya anak-anak menjadi bosan. Lalu mereka memilih untuk bermain buaian pula di taman permainan yang ada di situ.

Sebenarnya angin ketika itu tiba-tiba berubah arah. Angin bertukar berhembus perlahan. Adakalanya ia menghilang begitu sahaja.

Hanya beberapa buah layang-layang antara ratusan di situ berjaya dinaikkan. Rasanya mereka tentunya mempunyai skill yang tinggi. Atau nasib memang menyebelahi mereka.

Hilang anak-anak yang hendak main, sekarang si ibu dan ayah pula yang geram lalu terus mengerjakan layang-layang tersebut! Kiranya ayah satu dan ibu satu layang-layang. hehehehe

Ah! pedulikan sejuta pasang mata yang menikam dua pasang merpati sejoli ini yang sedaya upaya cuba menaikan layang-layang anak-anaknya itu! huhuhuhu

Akhirnya dengan pengalaman lampau dan kemahiran paling berharga, si ibu telah berjaya menaikan layang-layangnya. (memang orang kampung betullah dia nie. Uhuk! Jelesnya den.. huhuhu).




(Gambar: Kejayaan Menaikkan Layang-Layang Di Kala Deruan Angin Melemah Sesuatu Yang Amat Memuaskan)



Si ayah pulak, ahak! Malu betul, sampai nak masuk maghrib masih terkulat-kulat tidak berjaya menaikkan walau sebuah layang-layang pun. huhuhuhu




Pinggan ayan: sekali-sekala beriadah secara ini dapat menyihatkan badan disamping mengeratkan erti kasih kekeluargaan! Erk! Lagipun elok juga mengulangkaji skill-skill masa kita kanak-kanak dulu. Perasaan seronok dapat menaikan layang-layang masih tidak ubah ketika zaman kanak-kanak! wakakakaka



Rabu, 27 Mei 2009

Menanti Berseri Seri Menanti


Mei 24, 2009 (Ahad) - Hari ini terpaksalah maza balik awal ke Kuala Lumpur daripada waktu biasa. Waktu petang jam 5.00 petang terasa masih awal lagi.

Kebiasaanya maza bertolak dari Bahau ke Kuala Lumpur selepas menunaikan solat Maghrib atau Isyak. Tetapi kali ini berlainan. Sesuatu diluar perancangan pula berlaku.

Kami sekeluarga berpakat untuk melawat rumah pusaka Uwan di Kampung Parit, Kuala Pilah. Uwan baru sahaja meninggal dunia dua minggu sudah.

Dua minggu sebelum Uwan meninggal, Uwan sempat pergi ke rumah kami di Pahang yang ketika itu kami sekeluarga sedang jatuh sakit (seisi keluarga demam sebagaimana diceritakan di entry sebelum ini).

Petang yang cerah itu, Maza telah bertolak bersama kuda kelabu dari rumah Uwan melalui jalan lama Kuala Pilah - Seremban. Sepanjang perjalanan itu maza telah merentasi beberapa buah kampung tradisional.

Setelah menghampiri simpang Tanjung Ipoh, maza terserempak dengan satu papan tanda. Papan tanda pelancongan itu telah memaut hati maza untuk singgah ke Seri Menanti.

Jelas di papan tanda tersebut menyebut Istana Seri Menanti dan Muzium Diraja Seri Menanti.


(Gambar: Papan tanda ke Seri Menanti)


Sememangnya sudah sekian lama maza mengidamkan untuk pergi ke Seri Menanti.

Rasanya inilah masa yang sesuai singgah dan melawat Seri Menanti. Walaupun berpergian sendirian, itu bukanlah masalah besar buat maza.

Tanpa membuang masa, maza terus membelok ke kiri memasuki simpang tersebut. Dari simpang itu, betul-betul di tepi jalan terletaknya Masjid Jamek Tanjung Ipoh.

Selain melalui jalan kampung di Tanjung Ipoh ini, kita juga boleh gunakan jalan di Pintu Gerbang Seri Menanti. Ianya tidak jauh dari simpang Tanjug Ipoh. Iaitu kira-kira lapan atau sembilan kilometer dari sini. Jalan Seri Menanti tersebut lebih lebar, luas dan selesa berbanding menyelusuri jalan dari simpang Tanjung Ipoh.

Maza terus menyelusup masuk ke simpang Tanjung Ipoh tersebut. Jalannya berturap tar, rata tetapi agak sempit serta bengkang bengkok. Selekohnya memang seronok untuk dilayan oleh riders.

Cuma para riders perlulah lebih berwaspada ketika melayan selekoh-selekoh yang mengasyikkan itu. Ini berikutan kehadiran binatang-binatang peliharan seperti lembu, kerbau, ayam dan kambing yang berkeliaran di tepi dan tengah jalan sewenang-wenangnya.

Walaupun binatang-binatang ini tidak pernah sekalipun membayar cukai jalan, mereka tanpa segan silu akan berlenggang-kangkung sambil mengoyang-goyangkan pinggul 'Inur' beserta melibaskan ekornya ke punggung. Kemudian ia berdiri tegap; diam membisu di tengah-tengah jalan raya itu.

Mereka dilepas bebas. Binatang-binatang tersebut tidak pernah bertambat!

Jangan terperanjat pula, ya! Fenomena ini menjadi lumrah di Kuala Pilah. Malahan tidak melampau jika ia dikatakan ia ialah ikon di kawasan itu.

Namun begitu apa yang lebih berbahaya ialah ia bukannya terletak kepada binatang-binatang peliharaan tersebut. Tetapi 'bom-bom' hasil bahan kumuhan binatang-binatang ini tadi.

'Bom' tersebut umpama jerangkap samar. Atau lebih tepat lagi periuk api yang diletakkan di tengah-tengah jalan raya yang kemudiannya memerangkap mangsa.


(Gambar: 'Jerangkap Samar' Tanda-tanda Merbahaya Menanti Kepada Para 'Riders')

Pernah ada riders terpelosok ke dalam parit dan merangkak keluar dari semak. Ada juga terus 'mencium' pembahagi jalan.

Mereka ini terperanjat lalu cuba mengelak. Gagal mengelak atau dek kerana terperanjat beruk itu, maka destinasi yang tidak diingini menjadi singgahan mereka; mendarat di dalam longkang atau terbabas atau bersila di atas jalan raya (Erk! kira macam orang buat kendurilah jawabnya).

Mana yang tidak sempat akan terus melenyek 'jerangkap samar itu'.

Kalau bom itu sudah meletup dan mengenai sasaran di bahagian kuda masing-masing, huh! Anda sediri sedia maklumlah. (Harumannya akan melekat likat-pekat membawa ke tekak wooo.. huhuhu)

Jarak perjalanan dari simpang Tanjung Ipoh ke Seri Menanti ini ialah tujuh kilometer. Sepanjang perjalanan tersebut kita akan melalui beberapa buah kampung tradisi di kiri kanan jalan.

Terdapat juga sawah yang masih diusahakan. Tetapi tidaklah se-intensive di negeri jelapang padi, Kedah sana.

Para riders dinasihatkan agar tidak memecut sebarangan di kawasan ini. Ditakuti terlanggar anak-anak orang kampung yang acapkali bersidai di tepi-tepi jalan sambil bersantai.

Atau ter'lelan' (khayal) melihatkan anak-anak dara sunti berkemban sedang menyidai pakaian di ampaian. Atau mereka sedang pulang dari mengaji! (uik! bapa-bapa sekalian jangan fikir yang bukan-bukan ya. Jaga air liur jangan sampai jatuh lalu ketahuan. Den cucuk mato ekau baru tau! huhuhu)

Secara ringkasnya apa yang maza boleh gambarkan ialah sepanjang perjalanan ini nanti, kita akan dapat menyelusuri senario suasana kampung yang tiada tolok bandingnya. Aman, damai, segar dan hutan kampung yang nipis menambahkan lagi suasana tenang. (best woo. Sejuk, nyaman, santai dan relaks aje).

Di sini juga terdapat perusahaan Homestay. Jadi sekiranya teringin benar hendak merasa kehidupan, adat dan budaya Minangkabau, anda bolehlah mengambil bahagian dan menginap di sini.

Bandar Diraja Seri Menanti

(Gambar: Batu Arah Tunjuk, Seri Menanti)

Setelah hampir sepuluh minit, akhirnya maza sampai juga ke Seri Menanti. Seri Menanti telah diiktiraf, dinaikan taraf dan dikenali sebagai Bandar Diraja Seri Menanti.

Pekan di Bandar Diraja Seri Menanti ini tidaklah besar mana. Seperti pekan koboi sahaja lagaknya. Hanya terdapat sederat kedai papan sepanjang dua puluh atau tiga puluh meter.

Sebaik tiba di Bandar Diraja Seri Menanti ini kita akan disambut dengan sebuah pintu gerbang yang tersergam indah! Besar menaungi perjalanan anda.

(Gambar: Pintu Gerbang Seri Menanti Yang 'Mencongkam Giteww'.
Berlatar Belakangkan Sebuah Gunung)


(Gambar: Pintu Gerbang Bandar Diraja Seri Menanti Berlatar Belakangkan
Pekan Seri Menanti)


Elok sahaja melintasi pintu gerbang tersebut maza diingatkan pula tentang kebesaran dan kehebatan Tuhan Rabul Alamin. Maza menjadi kecut seketika.

Kala ini maza terus sahaja bersua dengan Makam Diraja Seri Menanti.

Di sinilah Yam Tuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar disemadikan jasadnya.


(Gambar: Makam Diraja Seri Menanti)

Perlahan-lahan maza berkayuh ke hadapan. Hanya beberapa ratus meter dari Makam Diraja Seri Menanti itu kita akan ketemukan satu bulatan (roundabout).

Di tengah-tengah bulatan tersebut terpacak sebuah batu tanda. Batu tanda ini menandakan di sinilah bermula segala-galanya sejarah berdiri lengkap sebuah kerjan Adat Perpatih.

Di sini jugalah bermulanya kisah Seri Menanti bersama kedaulatan Yam Tuan Besar, Negeri Sembilan.


(Gambar: Batu Tanda Seri Menanti, Kosong Kilometer)

Batu tanda ini telah memberi isyarat bahawa sempurnalah sudah episod pencarian tempat bernama Seri Menanti. Batu yang terpacak tegak berdiri itu padanya terpatri perkataan Seri Menanti kosong kilometer.

Maza anggarkan ketingginya lebih kurang empat atau lima meter dari aras tanah.

Sebelum sampai ke bulatan tersebut iaitu kira-kira lima puluh meter dari batu tanda itu, terdapat sebuah simpang. Simpang tersebut menghala ke Kampung Tanah Datar.

Mengikut Uwan sebelah emak, suku kami berasal dari situlah. (Ehem! Ehem!.. tumpang banggo jolah!.. hehehe).

Dalam jarak yang begitu hampir, tidak sampai sepuluh meter dari bulatan tersebut pula, terdapat sebuah pintu gerbang zaman silam empayar Melayu.



(Gambar: Pintu Gerbang Istana Seri Menanti)

Pintu gerbang ini asalnya diperbuat dari kayu. Kemudian ia diperbaiki binaanya dan diperkukuhkan dengan batu bata dan simen.

Pintu gerbang ini sebenarnya ialah pintu gerbang istana lama, Istana Seri Menanti.

Tetapi pada hari ini Istana Seri Menanti yang lama telah berubah wajah. Ia dijadikan tinggalan warisan dan muzium Diraja.


(Gambar: Istana Seri Menanti)

Jika kawan-kawan masih ingat, maza pernah bercerita tentang Yam Tuan Besar Pertama Negeri Sembilan iaitu Raja Melewar di entry lalu (maklumat lanjut sila klik di sini).

Sorotan Al Kisah

Setelah pertabalan dan naik kerjan oleh Raja Melewar sebagai Paduka Yam Tuan Besar yang Pertama di Rembau itu, maka diperbuatkanlah oleh orang sebuah istana.

Istana pertabalan di Rembau itu tidak sesuai kerana agak kecil dan tidak strategik untuk permerintahan.

Istana yang lebih besar, tempat sidang yang lebih luas dan tempat bersemayam Diraja yang baru diperlukan. Istana yang kukuh dan strategik amat diperlukan sebagai lambang kedaulatan , pemerintahan dan pemaufakatan rakyat.

Setelah melalui proses pencarian kawasan dan rundingan, maka tanah yang tinggi lagi molek ini ditemukan orang. Lalu diperbuatkanlah istana di sini.

Sempena lamanya menantikan istana tersebut siap (memakan masa bertahun-tahun). Begitu juga penantian berakhirnya usaha mendapatkan anak raja Minangkabau dari Istana Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia itu. Kemudian kepada menantikan berakhirnya persengkataan antara Demang dan Datuk-datuk pemerintah daerah di Negeri Sembilan. Sehinggalah kepada kembalinya pemaufakatan rakyat dan kerajaan. Lalu istana baru ini telah diberikan nama Seri Menanti.

Puas membedek dan menilik istana lama Seri Menanti, maza beralih pula ke Istana Besar Seri Menanti. Ia terletak tidak jauh dari istana lama Seri Menanti.


(Gambar: Batu Tanda Balai Pengawal Istana Besar (kiri) dan Perkarangan Hadapan Istana Besar Seri Menanti)

Di Istana Besar Seri Menanti inilah tempat bersemayamnya Yam Tuan Besar sekarang. Di sini jugalah dijalankan upacara pertabalan Yam Tuan Besar dan naik takhta Tuanku Yam Tuan Besar.

Siri Salingan

Sebaik menghampiri pintu gerbang Istana Besar Seri Menanti ini, maza terserempak pula dengan jurugambar bersama sepasang pengantin.

(Gambar: Pengantin Sedang Menyelami Hari Bahagia)

Terdapat empat orang jurugambar kesemuanya. Mereka sedang tertongeng-tongeng, terbidik-bidik menangkap gambar pengantin yang berlatar belakangkan Istana Besar yang indah ini. (Sebenarnya di pintu gerbang sahaja. heheheh).

Sebaik mereka terpandangankan maza, mereka pula menjadi agak cemas.

Mulanya mereka sangkakan maza ini ialah orang istana. Mereka berebut-rebut ketepi dan memohon izin untuk menangkap gambar di situ.

(Gambar: Kenangan Kuda Di Pintu Gerbang Istana Besar)

Dalam topeng dan helmet bertutup-penuh (full face helmet) maza tersenyum sendirian.

Setelah menerangkan kedudukan sebenarnya yang maza juga ialah pengunjung seperti mereka, barulah mereka tenang dan kembali menyambung urusan yang tergendala tadi.

Entah bagaimana tiba-tiba salah seorang jurugambar tersebut mendapat ilham. Lalu dia meluahkan kepada maza dengan meminta izin untuk menjadikan kuda peliharaan maza ini dijadikan model mereka. Di dalam hati maza, "aik! kuda aje ke? Tuan kuda ni pun terasa nak jadi model gak. Kalau model sabun mandi, aderkk ya ampunnnn!"

Tanpa syak wasangka, maza mengizinkan mereka untuk berpelesaran, bermanja dan ber'posing' dengan kuda kesayangan lagi jinak maza ini. (Tak dapat tuannya jadi model, kudanya pun boleh lah... huhuhu).

Maza biarkan mereka sibuk dengan bayangan urusan mereka. (Jangan sampai kudo den meragam, cedera, meradang udah lah! huhuhu). Maza kembali kepada niat asal dengan merakamkan gambar Istana Besar itu.

Usai mereka selesai bergambar, tiba-tiba mereka menjemput maza untuk sama-sama bergambar dengan si pengantin (Akhirnya! Lihatlah duniaaaa.... hehehehe).

(Gambar: Di Pintu Gerbang Istana Besar)

Wisata kali ini berakhir kira-kira jam 6.30 petang. Maza pun meninggalkan perkarangan Seri Menanti dan berkelana pulang dengan satu senyuman. Puas!

Isnin, 25 Mei 2009

Ahli Nujum Negara


"Wahai Ahli Nujum Negara. Hamba ada sebuah kemusykilan yang amat sangat.", adu seorang wanita kepada Ahli Nujum Negara.

"Katakanlah wahai pertiwi. Agar hamba boleh membantu tuan hamba", jawab si Ahli Nujum Negara.

"Begini tuan hamba, ia tentang ternakan dan tanaman padi kita. Jadi hamba ingin tahu sekali, apakah ramalan cuaca pada esok hari?"

"Hmm, Ah! Senang sahaja. Sebentar. Hamba lihat di dalam geluk ajaib ini ", Ahli Nujum Negara melihat ke dalam geluk itu yang berupa belanga hitam legam, penuh warna arang.

Puas Ahli Nujum Negara membelek-beleknya, tiba-tiba sahaja dia menyergah, "Ha! Hamba sudah tahu jawapannya!"

Mereka yang hadir di situ habis terperanjat. Ada yang melompat katak, ada yang melatah, ada yang hampir-hampir tertelan gigi palsu. Tidak kurang juga tersedak cengkodok buatan si Tie dari Ulu Terengganu.

"Begini, ramalan cuaca esok ialah siangnya cerah sepanjang hari, disinari matahari. Malamnya pulak akan hitam gelap-gelita!!!"

"Wah! Hebat sungguh Ahli Nujum Negara ini! Begitu hebat sekali", wanita dan beberapa orang rasa kagum dan gembira sekali. Ada yang bertepuk tangan dan melompat-lompat di tanah sebaik mendengarkan jawapan Ahli Nujum Negara yang hebat itu.

"Ah! Itu perkara mudah sahaja.", tambah si Ahli Nujum Negara dengan sedikit riak.

Lalu dia menyambung kembali, "Hamba cuma dengarkan remalan cuaca di KLFM. Setiap hari di radio interaktif kota itu. Azlan Omar penyampainya"

Mereka yang lain semua saling berpandangan. Ternganga-nganga, sampai ada yang meleleh air liur!

"Opss!", kata si Ahli Nujum Negara yang kekantolan...

Melihatkan keadaan itu, silalah sapu air liur tuan-puan yang meleleh itu ya. Erk! Dengan air mata sekali tau... hhehehheheh


Glosari:
Kekantolan: pecah rahsia.

Psst: Cerita ini ada tauladan dan mesej yang hendak disampaikan. Cuba-cubalah fikir-fikirkanlah.

hehehe.. mari berkongsi bersama...



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails