‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.
Hari ini terukirlah kembali lembaran sejarah. Seorang kawan dan teman sekerja akhirnya meninggalkan kami semua.
(Gambar: Hakimi dalam kenangan)
Beliau telah berkhidmat hampir tiga tahun dan selama itu jugalah banyak usaha-usaha yang beliau lakukan untuk memajukan syarikat kami.
Tanggal 14 Ogos 2009 (Jumaat) bermulalah episod baru dalam kehidupan dia dan kami. Beliau akan berhijrah ke tempat kerja yang lebih memerlukan perkhidmatan beliau. Hari ini juga beliau memperoleh kerjaya yang terjamin.
Ahmad Hakimi bin Tajol Arus (Graduan Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir) akan berkhidmat pula kepada masyarakat umum. Beliau akan melaporkan diri untuk menjadi pegawai JAKIM pada 17. Ogos. 2009.
Untuk teman yang seorang ini maza ingin ucapkan selamat berjuang di jalan Allah dan teruskan berdakwah. Sesungguhnya jalan untuk kamu berbakti kepada Tuhan dan masyarakatmu sudah melebar luas.
Selamat jalan sahabat dan selamat berjuang! Allahu akhbar..
Pinggan ayan:rasa cemburu seakan menyentak hati juga. Maza kira, bilakah pula nasib kerjaya maza akan berubah dan bersinar gemerlapan! Sekurang-kurangnya berbakti kepada keluarga dan masyarakat banyak kalau tidak boleh kepada nusa dan tanah air! huhuhuu
Sambil menghirup kopi panas dan menghayunkan kaki yang terjuntai di atas pangkin di bawah pokok cempedak. Sesekali angin semilir datang menampar muka. Dan sekali sekala angin bayu layu menyikat rerambut dan jambang Pak Mat.
Mata hitam Pak Mat bundar. Dia memandang tepat ke tanah luas terbentang. Saujana mata memandang. Hijau di sana-sini berselang-selikan kilauan libasan cahaya matahari akibat pantulan jaluran air bersatu kelibat matahari.
Batas-batas sawah tersusun rapi. Ada yang lurus ada yang bengkang bengkok. Air dari taliair mengalir lemah. Sejuk kalau direndamkan kaki ke dalamnya. Terasa nyaman hingga menyentak ke umbun-umbun kepala.
Pak Mat di temani teman lamanya Azhan. Semalam baru sahaja mereka selesai kerja-kerja "mengubah padi' - dari tapak semai ke petak-petak sawah. Di kampung Kahang ini mereka masih menggunakan kaedah tradisi. Kuku kambing alat yang begitu berkesan membantu pesawah melunaskan segala kerja-kerja itu.
"Dah berapa orang anak kau Mat?"
"Hmm .. baru lapan." Pak Mat mengalih pandangan ke Azhan sambil menyuakan kuih kuaci ke mulut.
"Eh! Ramai juga anak kau, iya Mat."
Dengan selamba dan tanpa berfikir panjang, Pak Mat menjawab, "Apa guna berbini lawa tapi tak produktif. Buat rugi aje 'tanah sawah'. Tak dicucuk tanam dengan optima! Tak beroperasi secara kapasiti penuh."
" ... ", Azhan menggaru kepala tanda tidak mengerti.
"Masa lawalah kita guna betul-betul. Masa lawalah ada banyak selera. Takkan ler yang kerepot tu baru kita terbuka berselera. Hmm ... Takkan lah nak tunggu dah tak lawa, dah kendur sana sini baru nak berkira-kira produktif. Masa tu menyesal pun tak guna. Apa kata orang tu, mengurat punyalah payah, duit hantaran punyalah beribu tapi produktiviti .. hmm?!". Pak Mat mengangkat kedua belah tangannya sambil memutar-mutarkan pergelangan tangan, berbolak-balik tanda 'tiada'.
Pinggan ayan - Jangan takut untuk bersalin melahirkan anak ramai. Banyak pahalanya itu. hehhehe
Maza tercari-cari punca seseorang pekerja itu kurang motivasi untuk berkerja bersungguh-sungguh.
Kenapa pula mereka hilang punca dan hilang komitment terhadap organisasi yang diwakilinya?
Dan bagaimana pulakah hendak mendorong mereka agar terus bersemangat dan memberikan komitment tinggi kepada organisasi tersebut?
Adakah dengan faktor pemberian ganjaran dan wang sahajakah mampu menaikkan semangat seseorang pekerja? Atau terdapat faktor lain atau gambungan-gambungan beberapa faktor boleh mendorong mereka untuk pulih dan kembali berkomitment tinggi?
(Ilustrasi : Mampukan angan-angan membuah hasil lumayan?)
Kata seorang pekerja di sini mencadangkan bahawa pekerja juga mempunyai kehendak-kehendak terhadap organisasi. Mereka mengidamkan sesuatu.
Seperti agenda objektif untuk dirinya, keluarga. kerjaya, masa depan dan hari tua.
Lalu pekerja itu menyimpulkan bahawa kehendak pekerja terdiri seperti berikut;
1. "Need of Acchievement", 2. "Need of Appreciation" 3. "Need of Recognition". 4. Feel safe and Challange in Occupation 5. Healthy Environment. 6. Condusive Environment. 7. Appraisal 8. Training & Skill Improvement 9. Ceramah agama! hmm?!
Jika majikan faham dan tepat menyentuh apa yang diingininya, pastinya segala kederat pekerja tersebut menjadi milik majikan itu.
Lantas para pekerja tanpa segan dan rungutan akan berdiri teguh dan berjuang bersama-sama majikan mereka.
Namun maza percaya, faktor tersebut masih tidak mencukupi untuk meningkatkan semangat pekerja-pekerja yang bermalas-malasan itu (erk! maza ler tu hehehe).
Jadi, tindak balas dan jawapan daripada kawan-kawan yang baik-baik itu, amatlah maza hargai. Dan insyallah menjadi input yang berguna untuk jamaah manusia buruh seperti maza ini.
Diriwayatkan daripada Nabi SAW baginda bersabda; Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Empat kalangan yang waktu pagi mereka dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah.” Abu Hurairah bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Orang lelaki yang berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis (homoseks dan lesbian).” (H.R. At Tabrani & Baihaqi)
Di sini kita boleh senaraikan secara ringkas empat golongan tersebut.
1. Lelaki yang berlagak seperti wanita 2. Wanita yang berlagak seperti lelaki 3. Bersetubuh dengan haiwan 4. Hubungan sejenis.
Tiga perkara di atas iaitu:-
1. lelaki yang berlagak seperti wanita 2. Bersetubuh dengan haiwan 3. Hubungan sejenis,
Ia amat jelas difahami. Perbuatan mungkar itu dapat dikesani dan difahami oleh sesiapa pun jua.
Apa yang menjadi kerisauan maza ialah tentang yang satu ini iaitu wanita berlagak seperti lelaki.
Perkara wanita berlagak seperti lelaki acapkali terlepas pandang. Malah ada antara mereka terang-terangan menyerupai lelaki; baik dari segi pakaian, kelakuan dan ketatasusilaan. Adakalanya kita sendiri keliru sama ada si polan itu perempuan atau lelaki.
Malangnya hari ini terdapat sesetengah masyarakat kita atau diri kita sendiri mendiamkan diri! Mereka tidak mengendahkan perihallaku tersebut. Mungkin masing-masing telah tertanam sikap 'indivilistik', atau lebih tepat lagi; aku-aku, engkau-engkau. Atau barangkali kefahaman tetang 'jaga tepi kain orang' sudah salah dimengertikan, lalu dianggap terlalu negatif!
Hari ini seolah-olah kita boleh menerima wanita berakhlak dan bertabiat seperti itu. Walhal, di dalam Islam batasan antara lelaki dan wanita itu harus jelas dan diperjelaskan melalui akhlak dan perbuatan. Iaitu melalui kata, perbuatan, sikap dan akhlak.
Ini kerana kedua genda tersebut mempunyi fungsi dan agenda tersendiri untuk melayari bahtera bahagia, iaitu kebahagian yang ditagih oleh insan.
Hari ini dua garisa pemisah itu semakin kabur. Apatah lagi seruan-seruan suara lantang 'Penyamaan Hak Gender" mengambil banyak tempat di fikiran sosial sekarang. Bahkan ada antara perbuatan yang melampaui batasan agama kononnya demi "kesamarataan hak gender".
Sedar atau tidak, hampir di mana-mana sahaja kita dapat melihat wanita menyerupai lelaki. Lihat sahajalah di sekeliling anda. Pasti dengan mudah anda akan ketemukan. Baik di pejabat, pasaraya, taman, perkarangan masjid dan surau, majlis-majlis kenduri kendara, parti bahkan sejenak di luar rumah sekali pun.
Seumpama wanita yang memakai seluar ketat dan jalan terkangkang-kangkang seperti lelaki. Bersuara kasar dan berjalan mendonggakkan dagunya. Berpakaian seperti lelaki. Itu belum lagi termasuk kategori berpakaian tetapi berbogel!
“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai-bagai nikmat bagimu. Engkau tidak akan lapar di dalamnya (syurga itu) dan tidak akan BERTELANJANG” (Al Quran, Taha : 118)
Hmm! Di dalam syurga pun Allah SWT menjaga aurat manusia. Mereka tidak bertelanjangan. Syurga yang indah itu digambarkan sedemikian rupa. Tetapi kenapa kita tidak mahu menjejaki manusia-manusia yang di dalam syurga itu. Walhal di syurga penuh dengan kesenangan.
Tetapi sebaliknya kita yang hdiup di dunia ini masih lagi sombong. Bahkan berani menempah seksa baik di dunia mahupun di akhirat. Iaitu berpakaian lelaki menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki malah berpakaian tapi bogel!
Lantaran itu, maza menyeru kepada kaum muslimin dan muslimat, awasilah tingkah laku, pakaian dan penampilan kita agar tidak menyerupai apa yang dilarang itu.
Begitu juga halnya, anak-anak gadis kita seharusnya dilatih semenjak kecil untuk memakai pakaian yang sempurna. Pakaian wanita yang soleh bukan berpakaian menyerupai lelaki; seperti berseluar ketat, senteng, baju sendat, rambut pendek menyerupai lelaki dan sebagainya!
Kita perlu perbetulkan dan berikan perhatian perkara ini agar masing-masing tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dimurkai oleh Tuhan!
Mudah-mudahan kita menjadi ibubapa, anak dan masyarakat yang soleh dan terhindar dari kemurkaan Allah SWT yang berpanjangan dari PAGI hingga ke PETANG!
“Begini”, Pak Mat ingin memulakan ceritanya yang tersekat tadi.
“Ilmu saka Pak Mat ini ilmu yang cukup istimewa. Sejak kecil lagi. Ha! Baya si Latip ni lah Pak Mat dah ada ilmu itu. Ketika tu kalau tak silap Pak Mat, umur Pak Mat dalam lingkungan dua belas tahun atau tiga belas tahun.”, Pak Mat membuat muka yang begitu serius. Dia memandang setiap orang yang berada di dalam warung itu. Seketika dia mencuri pandang ke luar sana. Ke bendang yang luas itu di dalam malam yang gelap.
Masing-masing terus memegunkan diri. Tidak ada suara yang keluar untuk memangkah kata-kata Pak Mat. Kalau ada bunyi pun hanyalah dari pelangan yang cuma membetulkan tempat duduk agar lebih selesa.
(Ilustrasi: Kopi istimewa Warong Banon membuntangkan mata ngantuk di malam hari dan merancakkan siri bualan orang-orang kampung)
“Tapi ilmu ini ada syaratnya. Tidak boleh main-main. Bahaya! Boleh Makan diri nanti!”
“Eh! Apa rahsianya Pak Mat? Cepatlah bagi tahu kami!”, gesa Tok Siak yang sudah dirasuk dengan cerita Pak Mat itu.
“Ilmu ini hanya mujarab dan bertambah kuat apabila Pak Mat berkahwin sahaja. Dan sekarang ni pun, dalam sikit masa lagi Pak Mat akan perturunkan segala ilmu itu kepada anak-anak Pak Mat. Si Samad dengan Si Salehin tu ha. Jadi, mudah-mudahan mereka dapat berbakti kepada kampung dan kamu semua. Terutama setelah Pak Mat tak ada lagi”, air muka Pak Mat bertukar menjadi sedih pula.
“Eh! Pelik benar bunyinyer Pak Mat. Tak pernah lak saya dengar ilmu saka macam Pak Mat punya ini? Siap syaratnya mujarab apabila dah berkahwin. Biar betul Pak Mat. Seram saya ni.”, tingkah Jemari pemuda bujang terlajak di kampung itu.
“Ha tu lah korang ... Kan Pak Mat dah bagi tahu. Ilmu ini ilmu yang cukup istimewa. Tapi korang jangan risau. Ilmu saka Pak Mat ini tak menyusahkan sesiapa. Termasuklah orang kampung ini.”
“Alamak korang ni ... Dengar ajelah cerita Pak Mat tu dulu. Hish! Lepas tu apa Mat? Err ... Apa nama ilmu saka kau tu?”, Pak Mail mula teruja sambil mengelap beberapa pinggan di hadapannya.
Sambil muka toya dan menyuakan pisang ke dalam mulutnya, Pak Mat menyambung kembali ceritanya yang tergantung itu. Kakinya diangkat ke atas kerusi panjang. Pak Mat menungkah lutut dengan kelopak matanya diredahkan ke bawah dan keningnya dinaikan tinggi ke atas, setinggi yang mungkin. Lagaknya seperti gengster di Kampung Dusun. Kerusi panjang itu pula boleh memuatkan empat bontot orang dewasa!
“Ilmu saka Pak Mat dipanggil Ilmu Saka Baka!’
“Ilmu Saka Baka!!!”, masing-masing di dalam warung itu terbeliak biji mata. Melopong mulut masing-masing.
“Tak pernah pulak aku dengar ilmu ini. Err ... macam mana rupanya Pak Mat?”, tanya Tok Ketua Kampung sambil memagut janggutnya yang nipis itu.
“Sesuai dengan namanya, ilmu ini hanya berguna selepas kita berkahwin sahaja.” Sekali lagi Pak Mat memandang muka-muka tidak bersalah di dalam warung tepi jalan itu. Di tatapnya seorang demi seorang anak mata mereka.
“Iaitu saka baka aku ini ialah ilmu untuk menurunkan baka-baka baik. Yalah, baka yang baik untuk masa depan kita!”
“Eh! Macam mana pula tu Pak Mat”
Muka Pak Mat terus serius, sejurus selepas itu dia menguntumkan senyuman; senyuman yang tertahan, “Hmm ahem .. (sambil Pak Mat menelan pisang tersebut dan cuba melegakan kerongkong sebelum mula bersuara) ... macam ni, alahai, ilmu saka keturunan datuk nenek moyang kita juga. Ilmu yang diperturunkan untuk mendapatkan zuriat! Kira macam ilmu saka nak dapatkan anaklah. Erk! Macam kaedah Malam Pertama Pengantin Baru gitu. Bukan senang ooo.. Salah hemat korang tak berzuriat!”
Anak muda belia di situ mulanya tidak faham. Mengaru-garu kepala. Termasuklah Tok Penghulu, Tok Ketua Kampung, Tok Siak dan juga Imam.
“Haammmpeh!!! Pak Mat. Itu pun kami tahu cara-cara nak dapat anak! ... Siapa-siapa pun ada ilmu saka baka tu Pak Mat. Ni Ha si Leman yang baru bersunat, silap-silap dah tahu ilmu saka tu. Cuma tempatnya tak ada!”, radang Pak Ismail sambil menghempaskan kain buruk yang digenggamannya.
(Ilustrasi: Senda, gurau dan ketawa tanda hati bahagia.)
Pak Mat terus tersenyum lebar lalu pecah ketawa terkekeh-kekeh. Beberapa orang tua yang ada di situ turut gelak sakan hingga terasa senak perut bagai hendak terburai.
Tidak kurang juga Tok Penghulu tertawa sambil menepuk songkoknya yang tertengek di atas kepala.
Tok Penghulu sempat mengulum gigi palsunya itu seraya berkata, “Aduhai, terkena juga aku lagi, Double kali ini. Rugi-rugi. Dah lah kena belanja orang tua ni, lepas tu aku pulak yang dikenakan balik. Hahahahahaha...” air mata suci Tok Penghulu akhirnya tertumpah mengalir. Ia meleleh ke pipi sambil Tok Penghulu membetulkan kain pelikatnya.
Pemuda innocent yang di luar sana, yang masih tidak faham, terus tercengang-cengang meninggalkan kisah Pak Mat dengan Ilmu Saka Bakanya itu tidak berungkai.
Manakala mereka yang sudah cukup baligh sudah pasti akan menghempaskan songkok atau topi yang dipakainya di atas meja dan berkata, “Apa daaa Pak Mat! Kah kah kah kah...”