‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 7 Disember 2015

MENATANG ANAK, MEMBELAI SAYANG: MELANKOLIA SEORANG AYAH

Abu Muaz (24 hari)  sedang nyenyak tidur di bawah belaian tangan kasar ayah

Si kecil Abu Muaz dalam telapak tangan ayah. Dibelai. Dimanja. Disayangi. Dirindui. Dilindungi.

Dewasa nanti, belailah ayahanda dan bonda mu dengan jiwa dan genggaman jejari lembut kasih sayangmu.

Salah silap ayahanda dan bonda dalam melindungimu, ayahanda dan bonda mohon ampun dan perlindungan daripada Allah SWT jua.

Ya Allah, peliharalah Abu Muaz sebagaimana Engkau pelihara para ambia dan para solehin. Perelokkanlah akhlak Abu Muaz sebagaimana Kau memperelok dan memperindahkan akhlak kekasih-Mu, Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

Selamat datang ke alam dunia wahai Abu Muaz (4 jam dari masa kelahiran)
 Abu Muaz dilahirkan pada 4 November 2015. 

Lahirnya Abu Muaz ketika keluarga sedang menghadapi cabaran hebat. Ayahanda dan bonda yakin setiap anak yang dilahirkan ada rezeki bersamanya. Firman Allah SWT dalam surah Al Isra': 31, "
“Dan janganlah kalian membunuh anak kalian kerana takut miskin Kami adalah memberi rezeki mereka dan kepada kalian sungguh membunuh mereka adalah dosa besar."

"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (At Thalaq: 2-3)/ayat seribu dinar

"... Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Taha: 132)


Abang Long Nasrun menyantuni Abu Muaz yang baharu kembali dari hospital.

Nukilan ayahanda

Sabtu, 17 Oktober 2015

Peristiwa Sehari Sebelum Majlis Konvokesyen Universiti Malaya 2015

16 Oktober 2015, UMKL - maza berkesempatan untuk menghadiri taklimat konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2015. Sudah lama benar maza tidak menjejakan kaki ke Dewan Tuanku Canselor ini. Kalau tidak silap, maza telah meninggalkan majlis yang sama hampir lima belas tahun yang lalu.

Univeristi Malaya: Saat di kemuncak


Sessi taklimat ini membawa maza terimbau kembali peristiwa pertama kali maza menjejaki kaki ke Universiti Malaya sehingga bergelar graduan. Di varsiti inilah susah senang, jerit perih, bertekelumus lumur berjuang demi ilmu, segunung harapan dan segulung ijazah.

Dewan Tuanku Canselor: Sessi taklimat sedang bermula


Dewan Tuanku Canselor: barisan lampu sorot

Seperti biasa, setiap kali melibatkan kehadiran Canselor (bagi Universiti Malaya ialah Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak) akan melibatkan protokol yang ketat. Justeru sebagaimana lazim, majlis keraian penganugerahan ijazah ini akan didahului dengan perbarisan hormat dan pemeriksaan perbarisan ke bawah duli Sultan. Kadet dari pasukan PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) Universiti Malaya akan melaksanakan upacara kehormat ini dengan diiringi oleh pasukan pancaragam askar Renjer.




Selepas upacara pemeriksaan ini, Tuanku Canselor bersama-sama Pro Cancelor, Senat, Sarjana, Ilmuan, Pegawai Akademik, Pegawai Univerisiti akan berarak masuk. Majlis gilang gemilang akan bermula di dalam dewan mulia tersebut.

Ketika taklimat disampaikan, pegawai majlis, aturcara dan protokol menunjukkan cara memakai pakaian akademik atau dikenali juga sebagai jubah. Setiap fakulti mempunyai warna jalur 'hood' masing-masing. Sebagai contoh Fakulti Pentadbiran Perniagaan berwarna perak, Fakulti Sains; kuning, Fakulti Pergigian: merah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial; merah jambu, Fakulti Akademik Islam; hijau tua, Fakulti Perakaunan; biru muda.

Pakaian Akademik Univeristi Malaya: Bermula dari kiri Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah


Jubah akademik Universiti Malaya bagi sarjana muda dan sarjana (master) hanya terdapat sedikit perbezaan iaitu pada lengannya. Manakala bagi ijazah kedoktoran falsafah jubah yang dikenakan berbeza dengan pemengang ijazah sarjana. Jubah ijazah kedoktoran mempunyai dua tone warna yang ketara iaitu biru dan hijau selain warna 'lining' di hood berbeza warna mengikut fakulti. Topi yang dikenakan bagi pemegang ijazah sarjana muda dan sarjana dipanggil "mortar board", manakala ijazah kedoktoran dipanggil "bonnet".

Selesai majlis taklimat tersebut, maza mula membuat hal (hik hik). Maza cuba merakamkan detik-detik manis para graduan dengan mendorong mereka untuk melakukan aksi pengambaran (yang senonoh aje tau... hik hik hik).

Abang besar bikin hal. (hik hik)

Pada awalnya adik-adik graduan ini malu-malu hendak berkomunikasi sesama rakan graduan daripada fakulti yang lain. Masing-masing membuat hal dengan kumpulan masing-masing atau dengan keluarga dalam merakamkan gambar.


Kasihankan keadaan itu, maza mendapat idea dan bertindak untuk menggabungkan mereka bagi mendapatkan shot penggambaran yang terbaik. Rupanya cempedak menjadi nangka, tanpa disangka-sangka ilham lantun-lantun maza itu disahut dengan baik oleh adik-adik, pakcik dan abang-abang termasuklah graduan berasal dari luar negara (Iran, Pakistan dan China).



Pada awalnya mereka kelihatan malu-malu dan "keras kejung" ketika mula-mula diminta berbaris dan bergambar. Antara graduan yang terlibat ialah dari Fakulti Akademik Islam, Pergigian, Sastera, Sains, Kejuteraan, Pusat Pengajian Kebudayaan. Namun setelah beberapa rangsangan dan rakaman foto dilakukan, semua tembelang, keghairan dan kegembiraan terzahir. Aksi-aksi kegembiraan begitu ketara dan sesetengahnya menampakan kejantanan yang terserlah (hik hik hik).


Sebagai imbuhan pengaturan pengambaran tersebut, maza pun mengambil kesempatan untuk bergambar sama. Kata orang melepaskan gian, meraikan dan mengambil semangat mereka (alo lo lo kanzzz?)


I'm the best, I'm the best, 1'm the best; yes you are the best!
hik hik hik

Rabu, 7 Oktober 2015

KEMBARA JALANAN: EKSPERIMENTASI BERKELANA SIRI ANAK BERANAK

Sudah lama juga Cik Silvy si kuda besi itu tertambat di bawah rumah. Terbiar begitu sahaja semenjak beberapa bulan lalu gara-gara kesibukan melanda mengalahkan pak menteri keluar masuk ‘oversea’ (hik hik). Jadinya, pada hujung minggu ini yang penuh dengan kabus asap maza cuba-cubalah membawa Cik Silvy merenggangkan kaki, tulang dan otot. Biarkan dia melompat-lompat, terkinja-kinja sana sini.

Berehat di Genting Sempah aje. hik hik
Dalam masa sama, maza juga berangan-angan untuk meneruskan kembara yang entah berapa plohratus ribu kali tertangguh dan tak menjadi ke seantero Malaya. Biarlah kali ini maza berpetualang dengan anak yang semakin meningkat remaja. Paling tidak pun sebagai peneman dan memberinya pengalaman sebagai seorang ‘jantan sejati’ (uhuk, ihik, ahaks). 



Sebagai persediaan awal bagi memenuhi misi pengembaraan yang lebih jauh, maza mula melatih anak sulung maza menunggang sebagai pembonceng (pilion rider) terlebih dahulu. Sengaja maza mahu menguji ketahanannya. Maza mahu melihat sejau manakah kemampuan, kekuatan, keazaman, displin dan stamina Nasrun menghadapi cabaran kembara ini. Dari pemerhatian maza yang melihat perkembanganya dari semasa ke semasa, Nasrun sukakan adiwira dan kisah-kisah kembara. Kali ini, maza mahu biarkan Nasrun merasai erti sebenar kehidupan seorang pengembara dan adiwira yang penuh cubaan, ujian, galangan, kerukunan; semua ini memerlukan kesabaran, keberanian, ketabahan, strategi, bijak, pantas, tangkas dan cerdas (hik hik).



Destinasi kembara singkat ini hanyalah di Genting Sempah. Perjalanan dari rumah maza ke sini lebih kurang tiga puluh minit. Nampaknya Nasrun mempunyai ciri-cir daya ketahanan sebagai pengembara dan begitu teruja.

Ini memberi petunjuk memberangsangkan yang misi 'Kembara Jalanan Anak Beranak' sudah boleh direalisasikan tidak lama lagi (ahaks, sila muntah ijaw iya).






Satu kesimpulan yang boleh maza gambarkan untuk kembara jalanan ini ialah berkongsi minat, hobi dan mengembara dengan anak-anak adalah satu nikmat. Hik hik hik...


Nukilan lantun-lantun ammak satu kali,

Selasa, 29 September 2015

Bila Ikan Gelama Kering Bakar, Ubi Kayu Bakar dan Sambal Tumis Ikan Bilis Menyengat, Baru Padan Muka

Ikan glama kering bakar


Kota Damansara hujan. Sejuk menyelinap ke tulang sumsum hitam.

Perut berkeriuk, kelaparan. Mulut minta disuap makanan. Saya jengah sana sini, terlihat akan ikan masin gelama. Bawah dapur pula ada ubi kayu. Saya tersenyum. Ada projek yang boleh dijalankan.

Mendung di luar masih pekat. Awan gelap menyelimuti langit. Dahulu di musim tengkujuh di Kampung Sri Lukut, Jalan Temiggol keadaan seperti ini petanda bah bakal menyapa.

Hujan-hujan sebegini orang kampung diam berkurung. Duduk di anjung atau bersila panggung di atas tangga melihat titis-titis hujan menerpa atap dan menitis di bumbung. Air hujan yang mencurah-curah dari rabung terbiar mengalir membasahi bumi kampung. Tiada seorang pun yang berdaya menahan ketentuan Illahi.

Ayah menggaru kepala. Tidak menoreh atau ke sawah lagi hari ini. Hati penuh resah. Perut dan tekak anak-anak perlu dibasah dengan minuman dan menjamah makanan. Ligat memikirkan mulut dan perut si kecil mungil. Mudah-mudahan hari ini tidak kembung dek angin, kelaparan atau kesejukan.

Ayah tak cepat mengalah. Otak menderu mencari akal. Jaring dan gombang segera dibentang bidang. Rezeki banjir siapa yang boleh sangka atau diseka. Ayah tersenyum, rusuh di hati tenang seketika. Tampak bibirnya kembali menguntum senyuman. Mungkin rezeki dari Sungai Teminggol, Parit Mengkarong, Sungai Madik, Sungai Lanjut, Sungai Kahang, Lubuk Jambu, Sungai Lenggor akan membuahkan hasil. Sepat, lampam, sebarau, tapah, jelawat, putih, lais, inggil-inggih atau pun inang dan seluang, itu semua rezeki yang tempat keluarnya dari bumi Kahang. Lebih untung dapatlah menjamah undang galah.

Sambil memasang jaring atau menahan gombang di pondok, ayah boleh memasang jebak dan jerat. Biasanya binatang akan keluar dari hutan dara ini untuk menyelamatkan diri atau berkeliaran mengisi perut menyambung nyawa. Kalau jerat mengena, merasalah seisi rumah daging landak, napuh, kancil, kijang, ayam hutan dan rusa. Pesan ayah, jika jerangkap mengena lembu, kambing atau kerbau di pinggir hutan itu jangan diambil. Panggil Tok Ketua Kampung. Jika bernasib baik dan Tok Ketua Kampung izikan, kita boleh kenduri sekampung. Kalau sebaliknya, kenalah pulangkan binatang al-an'am tu kepada empunya nya. Entah milik Pak Lebai Talib, Imam Salehan, Tok Noja Tompang, selain tuannya ialah Tok Ketua Kampung.

Ikan gelama kering bakar: Tak ada kayu api, bakar atas dapur gas pun jadilah

Musim monsun baru bermula. Jadi, pesta seperti itu belum tiba. Biasanya tatkala seperti ini atau di saat rabak, sesak duit di poket, emak panjang ilhamnya. Ubi kayu dilonggokkan di atas dapur. Kemudian, kayu api dihimpunkan menimbun. Api dinyalakan membakar ubi kayu. Tungku diletak beralaskan batu bata. Kemudian kuali ditenggekkan. Setelah minyak cukup panas, bawang, ikan bilis dan lada kering giling dihumban ke dalamnya. Selepas pecah minyak, air asam jawa, garam dan gula dimesrakan bersama. Selesai masak sambal tumis itu, kini giliran ikan kering pula. Ikan gelama tadi dilayur di atas bara. Dibakar hingga harumannya memenuhi ruang dapur. Baunya dapat dihidu sepelusuk rumah menyebabkan perut kecil kami memalu bertalu-talu tidak dapat menahan gelodak 'asmara' itu.

Cerek hitam berbontot arang ditonggeng menuangkan air panas ke dalam teko. Dua teko, satu teh o dan satu kopi o kaw.

Hidangan pun dibawa ke hadapan, ke pangkin atau ke tempat ayah mengelamun sambil memerhatikan deruan hujan. Ayah menyambut kehadiran emak dengan leret senyuman acuh tak acuh. Emak membalasnya dengan perasaan bangga. Kami adik beradik sudah lama berkerumun, semenjak haruman ikan gelama memenuhi ruang hidung dan paru-paru. Kami tahu, pasti emak akan cari ayah.

Sebaik dulang terletak, emak dan ayah menyiang ubi kayu bakar hitam untuk kami santap bersama sambal tumis dan ikan gelama bakar. Kami adik-beradik berebut-rebut menerkam, tak tahan sabar menikmatinya. Emak kecuh mengurus satu persatu. Becok mulutnya hingga menenggelamkan riuh hujan menimpa atap. Sekali lagi ayah melemparkan senyuman. Inilah bahagia, "makanlah anak..., alhamdulillah."

Jumaat, 25 September 2015

Barisan Pahlawan Lama dan Masa Depan

Beberapa bulan lepas maza dan keluarga sempat melawat Muzium Negara. Ketika ini ada pameran berkenaan Senjata dan Perang.

Kebetulan pula ada sebuah gambar pahlawan Melayu yang besar kedabak. Teringin pula menyelusuri kehebatan mereka. Dapat rasa aura mereka dengan bergambar di sisi pemerintah dan pahlawan itu pun jadilah (hik hik).

Sultan Ahmad bersama pengikutnya lengkap bersenjata lembing dan tombak semasa Persidangan Durbar di Kuala Kangsar, 1897. Bersama-samanya kelihatan tiga orang anak muda yang sedang menyerap aura pendekar dan pahlawan Melayu masa silam iaitu sebelah kiri sekali Nasrun Hakim, Tengah Aqlan Sholehin dan kanan Daniel Hakim.


Gambar di atas merupakan rakaman peristiwa di Persidangan Durbar Pertama di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1897 iaitu Sultan Ahmad (Sultan Negeri Pahang) bersama-sama pengikutnya.


Persidangan Durbar juga dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu yang bermesyuarat bersama-sama Gabenor dan Residen Inggeris.

Kesengsaraan vs Keamanan, mana satu pilihan?

Syukur kita hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini janganlah digalang ganti dengan kesengsaraan akibat daripada sikap sombong, penting diri, dengki, rasuah, gelojoh dan berpuak-puak. Tanganilah segala permasalahan dengan semangat perpaduan, keinsafan, dan keadilan.

Maza pula bukanlah pendokong tegar pahlawan Jamal Pak Tongkol merusuh sana sini...hik hik hik


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails