Fahmi berkeluh kesah. Sudah sebulan dia dipenjara. Dia sendiri pun tidak faham, kenapa ada manusia sanggup memfitnahnya hingga dia di penjara.
Di balik jerigi besi itu dia duduk sambil memegang dua lututnya. Badannya disandarkan di dinding tebal penjara itu.
"Apa dosa aku? Apa salah aku kepada kamu? Kenapa kau sanggup mendustai dan memfitnah aku?! Ya Tuhannnnn!!!" Fahmi menghantuk-hantukkan belakang kepalanya ke dinding. Mulanya perlahan sekarang bertambah kuat pula. Seperti dia tidak merasa apa pun. Dihantuk-hantuk ke dinding itu sehingga bergegar jerigi besi penghalang antara dua dunia; dunia bebas dan dunia terkurung.
Fahmi cuba mencari jawapan sendiri. Mahu memahami situasi. Semakin dicari jawaban semakin banyak pula persoalan. Adakalanya dia berasa amat lemah dan berputus asa.
Sekarang Fahmi mengadap dinding. Dia hadapkan muka dan sekujur tubuhnya ke batu-bata keras itu. Lantas Fahmi terus menghanggul-hanggulkan kepalanya. Dia mahu keluarkan masalah yang berkampung di dalam otak semakin bening dengan permasalahan dihadapinya.
"Hei Fahmi, apa yang kau cuba lakukan?" Salam menegur Fahmi. Dia meluru mendapatkan Fahmi. Dia cuba menahan perbuatan Fahmi. Salam merasakan perbuatan sia-sia itu sudah terlalu melampau. Kalau dibiarkan mungkin otak Fahmi akan bertaburan di situ. Atau Fahmi akan terus gila dalam saat menghadapai cubaan dunia.
Salam memegang kepala Fahmi. Dia cuba menghentikan kelakuan Fahmi yang sudah naik hantu. Dipeluknya Fahmi agar berhenti melakukan kerja bodoh tersebut. Didakap erat hingga terkunci semua pergerakan. Akhirnya Fahmi tidak berdaya lalu menyerah.
"Apa yang kau cuba lakukan ini Fahmi?" Salam menyergah. Salam memegang kuat bahu Fahmi sambil menggoncang-goncangkannya. Salam berharap ia dapat menyedarkan Fahmi yang sudah kemaruk itu.
Fahmi terus menangis. Dia tenggelam dalam esakannya. Fahmi sudah dirasuk, semakin hilang pertimbangan waras. Dia hampir-hampir lemas dengan penderaan kezaliman ini.
Sebulan yang lalu tatkala Fahmi bersama Aisyah, isterinya yang baru dikahwini tiga bulan sudah. Mereka sedang mengecapi erti kebahagian rumah tangga yang baru dibina. Semuanya hasil dari pertemuan tidak disengajakan di sessi taaruf (pengenalan) yang diadakan di sebuah majlis usrah setahun lalu.
Ayah Aisyah beriya benar menjodohkan mereka dengan segera sebelum meninggalkan mereka untuk pergi ke Mekah sana.
Tiba-tiba pintu rumahnya bergegar. Ketukan itu amat kuat dan bertalu-talu sambil salam diluangkan dengan keras. Nasib baik daun pintu itu dibina kukuh daripada kayu jati yang diimport dari tanah seberang. Ayah Aisyah seorang ahli perniagaan berjaya. Dan Aisyah anak tunggal pula. Banglo kecil itu adalah hadiah perkahwinan mereka oleh ayah Aisyah.
Fahmi pun bergerak ke muka pintu. Sambil menjawab salam Fahmi memulas tombol untuk membuka pintu. Di muka pintu itu segera terpacul lima orang soldadu; mata-mata yang menjaga keamanan negeri ini.
"Awak Fahmi bin Abdul Muthalib?" tanya salah seoraang soladadu yang berpangkat sarjana.
"Ya. Saya Fahmi bin Abdul Muthalib. Kenapa sarjana? Ada apa? Boleh saya bantu?" soal Fahmi yang tergamam melihatkan tetamu yang tidak disangka-sangkanya itu.
Tiba-tiba empat orang soldadu bersama sarjana tadi menyerbunya serentak. Mereka merampas tangan Fahmi lalu mengilaskannya ke belakang. Fahmi digomoli kasar oleh mereka.
"Eh kenapa ini tuan? Apa salah saya tuan? Kenapa saya diperlakuan sebegini?"
"Ini surat pertuduhan. Kamu ditanggap di atas pertuduhan meroggol Noura binti Ibrahim. Mata-mata! Bawa tertuduh ini ke rumah pasung!"
Aisyah masih tergamam di balik pintu. Di tangannya masih ada sisa makanan yang baru sebentar tadi dijamahinya. Dari mata kepalanya, Aisyah menyaksikan sendiri bagaimana suaminya diperlakukan oleh empat orang soldadu itu. Dia sendiri tidak sempat menyambar tudung untuk menutupi auratnya. Dan sekarang bukan sahaja aurat rambutnya sudah rebah ke bumi, kini seluruh maruahnya sudah tercabut direntap. Di depan matanya dia mendengar sarjana menuduh suaminya PEROGOL!
Aisyah tersentak. Terperanjat yang cukup besar hingga terkunci bibirnya. Dia tidak percaya apa yang disaksikan itu. Mulutnya ternganga besar. Dia masih keliru. Di hatinya berbolak-balik sama ada mahu percaya tuduhan tersebut atau mempertahankan suaminya yang sedang diheret kasar.
"Fitnah! Fitnah! Ini semua fitnah! Tuan saya difitnah. Aduhhh ..." tangan Fahmi terus dipulas keras, tubuhnya ditolak ganas hingga dia rebah ke lantai. Gari segera dikenakan. Dan Fahmi diheret ke dalam kenderaan yang sedia menanti di luar sana.
Fahmi merasa sakit. Bukan sahaja sakit di lengan itu, jiwanya turut sakit. Fikirannya berkecamuk bersama debaran jantung tidak putus-putus. Dia tidak percaya apa yang sedang berlaku. Fahmi sendiri keliru. Bingung dengan kejadian yang tiba-tiba menerjah!
Fahmi terpandangkan isterinya yang tercegat di balik pintu. Fahmi meneriak isterinya itu, "Aisyah! Ini fitnah. Ini fitnah! Demi Allah, abang bersumpah ini fitnah. Percayalah abang tidak melakukannya. Percayahlah. Ini fitnah, fitnah ..." Fahmi terus berteriakan hingga suaranya hilang ditarik pergi dari hadapan pintu itu ke dalam kenderaan mata-mata.
Sekarang Fahmi mulai sedarkan diri. Tangisan dan teriakkannya sudah berubah menjadi sendu-sendu perlahan. Salam yang menjadi satu-satunya teman sebilik kecil bersaiz 5 x 7 meter ini melepaskan lengannya perlahan-lahan. Dan Salamlah yang selalu menenangkan keadaan gelora di hati Fahmi di hari-hari yang mencabar ini.
Adakalnya Salam membacakan ayat-ayat suci Al Quran dengan lunak sekali. Atau meniru gaya Fahmi berzikir. Adakalnya Salam bersyair sambil berbaring dan menggoyang-goyangkan kakinya. Adakalanya Salam tertawa galak. Adakalanya Salam bercerita tentang kisah-kisah silam.
Tetapi Fahmi tidak pernah hiraukan perilaku Salam. Apa sekali pun Salam lakukan Fahmi tetap sugul. Tetap murung. Fahmi memilih untuk menyendiri. Menangis di balik jerigi dan dinding hitam jelek itu. Fahmi tidak dapat menerima tragedi yang berlaku ke atasnya.
Fahmi terus-terusan mencari jawapan yang membingungkan. Dia tidak percaya Noura sanggup memfitnahnya. Walhal dia tidak pernah berniat jahat terhadap Noura. Apatah lagi mahu mengganggu sebegitu!
Bila hati Fahmi mulai tenang. Bila sampai waktu untuk solat, Fahmi akan menganggkat takbiratulihram, rukuk dan sujud di dalam bilik sempit itu sambil diperhatikan oleh Salam. Di mulut Fahmi sentiasa meniti zikir-zikir memuji Tuhan. Dari zikir inilah dia mendapat kekuatan dan ketenangan.
Zikir itu bukan baru diamalkan, tetapi sedari kecil lagi sudah menjadi amalannya. Itulah makanannya sehari-harian terutama seusai solat. Sememangnya Fahmi orangnya suka berzikir, mendalami ilmu hukum-hakam dan mengaji tentang Islam yang dianutinya itu.
Fahmi dari kecilnya memang disenangi oleh kedua ibubapanya. Dia tidak pernah menyusahkan malah selalu ringan tulang. Fahmi seorang yang taat kepada orang tuanya.
Kawan-kawan di sekeliling seperti Zaid, Syahib, Zahri, Bakri semuanya senang terhadap Fahmi. Adakalanya mereka mendapatkan nasihat Fahmi dalam soal agama dan kehidupan dunia. Fahmi memang cerdik orangnya. Kalau tidak masakan dia mampu memperoleh Ijazah Sarjana Muda jurusan Usuluddin.
Cuma sekarang jiwa, hati dan fizikal Fahmi dibelenggu. Dia berasa kurang mempercayai dengan apa yang terjadi. Lantas menyebabkan apa yang dianuti selama ini hampir-hampir pudar. Hampir kalis dek asakan fitnah hebat yang melanda dirinya.
“Apa salah saya? Apa salah saya? Katakanlah. Saya tidak pernah menyakiti sesiapa. Saya taat dan lakukan apa-apa yang di suruh oleh Tuhan.” Fahmi menyuarakan kata hatinya di hadapan Salam.
Fahmi tunduk sayu beralaskan lengannya yang diampu oleh kedua kepala lututnya. Di bawah sendu yang semakin menghilang itu dia cuba mengaturkan nafas. Dia masih duduk bersandarkan dinding. Tetapi kini lebih tenang dari tadi.
“Dari riak wajahmu aku tahu kau orangnya baik. Dari tuturmu, aku tahu kau orang yang terpelajar. Pintar orangnya. Kau tahu tentang Ilmu Qalam? Nah, sekarang ini Tuhan mahu sahaja berbicara dengan kamu. Mahu sahaja menunjukkan kamu tentang erti kehidupan ini.”
“Kehidupan apa ini? Ini musyibah. Ini menyakitkan. Saya tidak mengerti! Saya tidak mengerti! Arghhhh … pedihnya, peritnya! Apakah selama ini saya orang yang jahat maka selayaknya saya diperlakukan sebegini?! Apa dosa saya sehingga saya didustai, dizalimi?!” jiwa Fahmi kembali menekan hatinya.
“Tuhan mahu menunjuki kamu, bahawa di hati kamu itu masih ada sombong. Masih ada sakitnya. Masih belum suci, masih belum bersih. Belum mencapai keredhaan Islamiyah yang Allah kehendakkan. Sekarang ini Tuhan mahu menguji kamu. Tuhan mahu memberi peluang kepada kamu untuk Dia tingkatkan darjatmu di sisi-Nya. Jika kamu melepasi dugaan ini maka darjat kamu akan dipertingkatkan di sisi-Nya. Ini peluang kamu! Jangan kamu mengalah. Jangan kamu mencela di atas segala ujian ini.”
“Selama ini saya tidak pernah mengangkat muka atau mendabik dada kepada sesiapa. Dan saya tidak pernah pun melakukan sumbang dengan mana-mana wanita bukan mahram saya!”
“Nah di sini kelemahan kamu. Kamu fikir kamu terpelihara daripada dosa? Kamu tidak pernah melakukan kealpaan dari kesalahan sedari celik mata atau hirupan nafas pagi di kedinginan subuh? Sedangkan Nabi Muhammad Rasulullah SAW tidak putus-putus memohon keampunan dan sentiasa dia beristighfar terhadap Tuhan. Itu manusia agung yang sudah dijamin dan dipelihara oleh Tuhan akan dirinya dari sebarang dosa. Itu manusia yang maksum dari kesalahan dan mendapat didikan langsung dari Tuhan Rabul Alamin. Tetapi engkau ini siapa di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu pernah terbaca perihal Tuhan berfirman bahawa kamu itu tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan yang tidak punya nilai bagi-Nya. Begitu kerdil dan hinanya sekali engkau ini di sisi-Nya, kecuali mereka yang ditingkatkan darjat oleh-Nya. Kecuali mereka yang beramal soleh mencari keredhaan dan kecintaan Tuhannya. Maka mereka inilah mutiara di sisi Allah aza wajalla!”
Mendengarkan kata-kata Salam itu Fahmi tersentak. Salam menambah lagi; “Sekarang ini musyibah fitnah yang dihadirkan kepada kamu sebagai satu cubaan dan dugaan untuk kamu. Kamu juga berkata kamu seorang Muslim yang sejati. Nah sekarang buktikan kemusliman kamu. Seorang Muslim itu bersangka baik terhadap Tuhannya, beramal soleh dan banyak sabarnya.”
“Apa yang harus saya lakukan? APA YANG HARUS SAYA LAKUKANNNN?!!” semakin deras pula air mata Fahmi. Dia seolah-olah hilang pedoman seketika. Dia binggung tidak tahu mahu berbuat apa. Dia tidak faham. Dia mati akal! Fahmi menekup mukanya dengan kedua belah tangan.
“Pernah kau dengar cerita Yusuf dan Zulaikha?”
Fahmi mengangkat muka lalu memandang tepat wajah Salam yang kusut masai itu dengan pandangan yang satu macam.
“Ya, Yusuf yang tampan menjadi kegilaan wanita. Antaranya Zulaikha isteri pembesar negeri Mesir tempat Yusuf bernaung itu. Di atas kekecewaan Zulaikha gagal menggoda Yusuf lalu difitnahnya Yusuf hendak mencemarkan diri Zulaikha. Kemudian Yusuf dipenjara oleh pembesar negeri. Tetapi Yusuf tidak pernah mengeluh kesah. Bahkan tidak pula dia bersusah hati. Dia tetap redha. Kau tahu apa Yusuf doakan tatkala dia menghadapi ujian yang hebat dari golongan pendusta wanita itu?"
Fahmi masih lagi mendiamkan diri dan menantikan kata-kata Salam seterusnya.
“Yusuf berdoa: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Engkau hindarkanlah daripadaku tipu daya dustaan mereka. Jika tidak tentulah aku ini akan cenderung untuk (memenuhi keinginan nafsu mereka) dan tentulah aku akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang bodoh. (surah Yusuf: 33).
Tatkala Yusuf di penjara dia mengambil peluang hebat ini untuk terus mendekati Tuhan, mengenali diri dan terus-terusan menyampaikan kebaikan. Yusuf menyampaikan risalah dan dakwah kepada mereka yang sebenarnya memerlukan, iaitu mereka dalam kalangan penjenayah dan orang-orang yang dizalimi.”
Otak Fahmi ligat mencari makna disebalik kata-kata Salam tadi.
“Sedarlah Fahmi. Sekarang ini Tuhan kamu mahu bicara sama kamu. Tuhan kamu mahu mengajari kamu tentang kehidupan yang sebenarnya. Tentang hakikat keredhaan dan kasih-Nya. Apakah segala kesusahan Nabi kamu dahulu itu sia-sia? Apakah segala ujian yang dihadapi oleh mereka tanpa sangka-sangka itu tidak membawa sebarang makna? Tidakkah kamu mahu mengambil pengajaran bagaimana sikap positif hingga membawa ketakwaan dan kasihnya Tuhan terhadap mereka?
Ingat Fahmi. Sekarang ini Tuhan sedang berbicara dengan kamu tentang kesabaran dan keikhlasan. Tentang iman yang terbuku itu. Ya! Tentang sabar dan ikhlas. Kerana Islam itu SABAR dan IKHLAS!”
Fahmi terhenyak mendengarkan kata-kata itu. Lantas hatinya menjadi tenang kembali. Setenang heningnya subuh pagi. Sedikit demi sedikit dia mulai menjejak dirinya sendiri. Dia mulai faham tentang apakah yang sedang dia lalui. Cengkaman bungkam di hatinya mulai terburai satu persatu walaupun ada resah di jantungnya.
Sekarang ini Fahmi mampu bertenang walaupun hatinya pedih namun dia utuhkan dengan kesabaran. Malam yang soldadu berlima itu mengheretnya lalu dihumbannya ke dalam lokap ini adalah malam percubaan tentang imannya. Selama ini dia tidak pernah diuji sebegini hebat walaupun dia mendakwa dirinya sebagai seorang Muslim yang suci lagi bersih tanpa ada secalit dosa kepada manusia.
Di malam itu buat pertama kalinya dia tidur di atas simen sejuk. Tidak ada tilam mahupun tikar buat pengaalas. Dia duduk dan baring di atas lantai lusuh itu. Dinginnya mencengkam hingga ke tulang sum-sum. Saat ini air matanya tidak habis-habis berjuraian dan dadanya bagai dipalu gendang tak karuan. Jatungnya berdegup pantas mahu mencari jawapan di sebalik musyibah maha dahsyat ini: fitnah!
“Kamu Fahmi bin Abdul Muthalib, keluar!” keras suara soldadu yang membuka pintu sel di malam itu. Bunyi daripada selak yang dibuka memecah sunyi malam yang sekali sekala bersulamkan teriakan manusia yang entah apa yang dijertikan. Tetapi jeritan itu membuatkan Fahmi terasa meremang dan ketakutan seketika.
Fahmi yang masih tidak mengerti, masih gugup dengan suasana di dalam penjara yang gelap itu. Selnya itu hanya dilimpahi cahaya daripada sebiji mentol filamen yang letaknya di luar. 10 meter jauhnya lantas membuatkan sel tempat Fahmi menghuni menjadi suram dan gelap. Kalau ada pun tingkap cuma lubang angin sebesar dua belas inci di atas dinding sana.
Lampu suluh dihalakan ke muka Fahmi. Kemudian seorang lagi soldadu segera mendapatkan Fahmi lalu menerajang ke perut Fahmi. “Ya Allah. Sakitnya. Kenapa ini tuan. Kenapa diperlakuan saya seperti ini?”
Belum sempat mendapat jawapan pasti sekali lagi penerajang hinggap di perutnya. Kali ini berserta penumbuk. “CEPAT!” jerit soldadu itu. Kemudian Fahmi diheret ke luar bilik sel itu tanpa banyak bicara.
Ke manakah Fahmi dihela? Ke manakah Fahmi akan dihumban dan bagaimanakah nasib fahmi? Semuanya akan terjawab dalam sambungan seterusnya. Jadi kengkawan, tungguuuuu...
Jangan marah aah.. hehehe
.... bersambung.....
*** Lagi sebuah cerpen karangan entah apa-apa entah tahap lantun-lantun maza. huhuhu
*** opss sebelum terlupa, kepada Cik CMA DESIGN dan Puan Chybee, terima kasih kerana jadi pengikut setia kepada blog GKKJ maza yang selalu melantun dan entah apa-apa entah... hehehhee