‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 8 Jun 2011

Salam Berbicara Cinta ... episod kedua


Mereka harus melalui tiga pintu utama sebelum tubuh Fahmi diseret. Tidak habis-habis mereka menendang punggung Fahmi sebelum dia dihumban ke sebuah kerusi yang terletak betul-betul di bawah sebiji mentol filamen.

Bilik sempit ini hanya diterangi oleh cahaya mentol itu. Fahmi tidak dapat melihat muka mereka yang di sekeliling kecuali gerakan-gerakan yang samar-samar. 

Fahmi kemudiannya diarahkan duduk di atas kerusi itu. Lambat sedikit dijerkahnya dan penerajang akan hinggap ke tubuh. Kini tahulah Fahmi bahawa sekarang dia berada di dalam bilik soal siasat!

Selesai Fahmi duduk tangannya terus digari. Lampu yang satu itu betul-betul tegak terpancar di atas umbun-umbun kepalanya. Selesai menggari tangan dan kaki, dua orang soldadu tadi meninggalkan Fahmi di situ.

Hampir setengah jam Fahmi berkeadaan demikian rupa. Dia sudah lama separuh bogel. Semenjak ditangkap dan dicampak ke dalam penjara dia sudah berkeadaan begitu. Yang tinggal hanya seluar panjang yang masih melekap menutup aurat. Baju dan seluar dalam sudah lama dirampas oleh pengawal penjara.

Keadaan bilik soal siasat sungguh menyeramkan. Jiwanya tertekan. Sejuk mula menerjah sepelusuk tubuh. Malangnya dia tidak dapat memeluk tubuh untuk memanaskan badan yang sudah separuh togel itu. Kaki dan tanggannya sudah dibelenggu, dipasung di atas kerusi.

Tidak lama kemudian empat orang pegawai menolak pintu bilik soal siasat itu. Seorang demi seorang masuk ke dalam bilik yang menempatkan Fahmi.

Salah seorang pegawai itu memberi salam. Mulanya dia berkata lembut, tersusun dan baik sekali. Beliau menerangkan pertuduhan yang dikenakan ke atas Fahmi.

“Saya Inspektor Kamal. Ini Inspektor Zakri. Awak Fahmi bin Abdul Muthalib dituduh telah merogol Noura Binti Ibrahim. Adakah awak mahu mengaku salah di atas jenayah merogol Noura?” Sungguh pun mereka memperkenalkan diri, tetapi muka masing-masing tidak dapat dilihat. Wajah mereka tidak kelihatan di balik kesamaran bilik itu. Entah betul atau tidak nama yang diperkenalkan tadi, Fahmi tidak tahu. Yang pasti, mereka semua sudah menggelilingi Fahmi di setiap empat penjuru.

“Tidak tuan. Saya tidak melakukannya. Bahkan tidak pernah menganiaya mana-mana wanita.”

“Awak kenal Noura?” seorang lagi pegawai bertanya. Kali ini dari arah belakang.

“Ya. Saya kenal. Kami tinggal satu lorong dan sama-sama belajar di kolej tuan.”

“Tetapi awak telah menodainya? Awak sudah merogolnya!!” sergah seorang lagi pegawai lain.

“Tidak tuan. Saya tidak pernah pun menyentuhnya. Apatah lagi merogol.”

“Beginilah untuk memudahkan kerja saya, baik awak mengaku sahaja. Lagipun jika awak mengaku, awak berpeluang mendapat keringanan hukuman. Bagaimana?” seorang pegawai di sebelah kanan memberi cadangan pula.

Pegawai yang mengusulkan cadangan itu sedang merokok. Bukan dia sahaja, tiga daripada empat orang pegawai penyiasat itu merokok. Sudahnya bilik kecil ini dipenuhi dengan asap. Ia melemaskan Fahmi yang tidak pernah merokok.

“Bagaimana saya mahu mengaku tuan. Saya sendiri tidak pernah melakukan pekerjaan terkutuk itu!” tegas Fahmi.

“Pang!!” satu penampar hinggap ke pipi kanan Fahmi. Berdengsing telinga. Dengungannya cukup lama. Perit dirasakan sukar digambarkan. Entah dari mana arah penampar itu melayang Fahmi sendiri tidak sedar.

“Saya bercakap baik dengan awak. Tapi awak pula banyak berdalih. Kami ada banyak bukti untuk mengaitkan awak dengan kes rogol ini. Awak fikir selama ini awak berkupiah ke hulu ke hilir awak sudah bagus!? Sudah baik sanagt!? Ambil pen ini dan tandatangan di sini. Awak mengaku sahaja bahawa awak telah meroggol Noura! CEPAT!!!!” tengking Inspektor Zakri pula.

“Tidak tuan. Saya tidak mengaku. Saya seorang Muslim sejati. Haram bagi saya menyentuh mana-mana wanita yang bukan mahram, apatah lagi merogolnya. Dilaknat Tuhan!”

“Debuk!” penumbuk hinggap ke perut Fahmi pula. Senaknya bukan main, sampai ke hulu hati. Tidak cukup dengan itu, pipi Fahmi ditampar di kiri dan kanan bertalu-talu. Bibir Fahmi mulai berdarah seperti kicap cair yang mula mengalir.

“Awak tahu. Jika awak tidak mengaku sekarang, peluang mahkamah meringankan hukuman awak sudah tidak ada. Awak akan dipenjara selama dua puluh tahun dan sebatan dua puluh kali! Awak mahu?! Baik awak mengaku sekarang! Kami ada banyak bukti untuk menyabitkan awak sebagai pelakunya!” Inspektor Kamal mula mengeraskan suara.

Sekarang kepala Fahmi pula ditarik ke belakang. Kini matanya mengadap lampu filamen tersebut. Silau bukan kepalang. Menyucuk-nyucuk mata.

“Tidak tuan. Saya tetap tidak mengaku. Saya tidak bersalah. Saya difitnah!”

Entah datang dari mana satu penerajang tepat mengenai dada Fahmi. Fahmi tersandar dan jatuh ke belakang bersama kerusi tersebut. Kemudian digasaknya Fahmi cukup-cukup sehingga lembik.

Sungguh diperlakukan sedemikian rupa, Fahmi masih berdegil tidak mahu mengaku. Dia masih tetap mengatakan yang dia difitnah.

Hingga dibelasah hampir pengsan Fahmi masih juga tidak mengaku salah. Pegawai-pegawai itu mulai bosan. Di dinihari itu sekali lagi Fahmi diheret ke dalam lokap sempitnya. Di humbannya ke satu sudut. Soldadu itu tidak menghiraukan langsung erangan dan kesakitan yang di alami Fahmi. Muka Fahmi sudah bengkak-bengkak. Sekujur tubuhnya terasa sakit sekali. Namun di mulut Fahmi tak putus-putus menyebut nama-nama Tuhan.

Tatkala inilah Salam bersuara. Ketika inilah Fahmi mengenali Salam. “Bersabarlah! Tahanlah sedikit. Kau mengerang mengalahkan perempuan mahu beranak ... ha ha ha … kau baru merasai sakit di dunia, belum lagi seksaan di sana.”

Fahmi tidak mempedulikan Salam. Tidak lama kemudian Fahmi terlelap di atas lantai yang dingin itu tanpa sebarang alas. Dia masih dalam keadaan separuh bogel.

Keesokan malam sekali lagi Fahmi didera. Kali ini kakinya diikat dan dijulurkan ke hadapan. Tapak kakinya disebat bertalu-talu. Getah paip itu tidak jemu-jemu meratah kesekian kalinya tapak kaki Fahmi. Kesakitan yang diterima tidak terkata. Fahmi tidak tertahan, sampai terkencing-kencing dibuatnya.

Fahmi masih juga enggan mengaku. Di hatinya berkata, aku tidak bersalah, perlu apa aku mengaku. Kalau mengaku salah sudah tentulah nantinya akan merosakan nama keluarga, Aisyah dan dirinya!

Lima hari kemudian sekali lagi Fahmi disoal siasat. Kali ini lagi hebat. Dia ditelanjangkan bulat. Kemudian dipaksanya duduk di atas timbunan ais yang sejuk itu. Bungkah-bungkah ais ditaburkan di serata tempat duduknya.

Sengaja mereka melambakan ketulan air batu itu di dubur dan kubul. Di acuh-acuhnya di situ. Di tepam-tepamkan ke anu. Sedangkan tangan dan kaki Fahmi dipasung, digari utuh. Fahmi pasrah. Fahmi bertahan hinggalah hampir dua jam didera sedemikian rupa.

Pun begitu Fahmi tetap tidak mahu mengalah. Dia masih tidak mengaku. Kental sungguh anak muda ini. Dia tidak menghiraukan kesakitan itu. Apa yang perlu diperkatakannya ialah kesucian dirinya daripada jenayah yang dituduh ke atasnya. Ya, kesucian dan kebenaran yang sering diagungkan oleh Fahmi.

Pernah seorang guru pondok tempat dia mengaji ilmu tasauf berkata, berani kerana benar, takut kerana salah! Dan itulah pegangannya sekarang.

Selepas dua minggu menghadapi tekanan hebat, barulah Fahmi dihadapkan ke mahkamah. Saat inilah kali pertama Fahmi dapat menatap wajah isterinya, Aisyah. Di mata Aisyah, Fahmi dapat mengesani ada kebasahan di situ. Ada tanda-tanda kebiruan dan lebam-lebam di mata isteri kesayangannya. Fahmi hanya mampu memandang sayu dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Fahmi dikelilingi oleh soldadu sebelum dimuatkan ke dalam sebuah kandang tertuduh yang tidak ubah seperti sangkar burung. Fahmi sekali lagi terpasung di situ.

Perbicaraan demi perbicaran dilalui oleh Fahmi. Hari demi hari berlalu. Saksi demi saksi dipanggil dan ianya semakin mencengkam jiwa Fahmi. Adakalanya dia gagal mengawal emosi. Pada hari-hari berlalu itu dia terus-terusan dihenyak dan dilumatkan oleh kata-kata nasihat Salam yang tidak pernah pun dia pinta.

Semenjak dari hari dia dirasuk dengan menghantukkan kepalanya, Fahmi mulai merapatkan diri dengan Salam. Dia mulai mahu mendengar kata-kata Salam yang sebelum ini Fahmi menganggap Salam tak ubah seperti seorang gila yang hanya suka tertawa dan menyindirnya. Perwatakan Salam yang kusut masai tak ubah seperti orang sakai yang sudah berbulan tidak menyentuh air!

Pernah Fahmi hilang sabar. Mahu diterajangnya si Salam itu. Tetapi kakinya seolah kaku dari melakukannya. Dia hanya memandang tajam kepada Salam. Pandangan penuh amaran.

Itu belum lagi memperkatakan tentang penjara yang memasungkan mereka. Di sel itulah juga tempatnya kencing dan berak. Memang ada sebuah mangkuk tandas di situ tetapi air yang disediakan selalu tidak cukup. Kadang-kadang terpaksa bergelumang seharian dengan bau busuk dari tahinya sendiri akibat ketiadaan air.

Tikus pula menjadikan bilik kecil ini sebagai lebuh raya tempat mereka lalu-lalang. Kadang-kadang makanan lokap yang tawar lesei, hampir basi itu dicuri oleh binatang kecil pengotor ini. Adakalanya Fahmi terpaksa berkongsi makanan dengan sang tikus dan lipas. Kebersihan penjara ini jauh sekali terjaga.

Kalau ada selimut pun jarang-jarang diberikan. Hari ini diberi, besok atau lusa tidak ada. Kadang-kadang sampai empat hari tidak berselimut. Sejuknya Tuhan sahaja yang tahu tatkala dihimpit dinihari di musim dingin begini.

Pernah tatkala Fahmi berbaring menghadap bumbung tanpa wajah itu tiba-tiba Salam mula merapu. Kali ini racauan Salam semakin menjadi-jadi pula. Ketika ini Fahmi sedang melayan khayalan perasaan yang adakalanya bungkam, adakalanya panas, sebal, riang, tawa, suram.

Tiba-tiba Salam tertawa galak; “Kau fikir kau sudah hebat? Kau fikir kau sudah handal dengan ilmu yang kau ada. Kau fikir dada yang sebidang itu sudah penuh dengan segala ilmu lalu mahu berlagak! Ha ha ha ... sudahlah!!! Jangan kau perasan sendirian! Mendabik dada sombong dengan pengetahuan yang sekelumit itu. Ilmu yang setampuk pinang dicungkil dari pondok-pondok yang tidak ketahuan. Hei! Jika kau mahu tahu, ilmu yang ada perlu diuji! Baru kebenarannya terbukti. Ha ha ha....”

Kata-kata itu membuatkan Fahmi terasa durinya. Sinis sekali. Namun Fahmi buat tidak tahu. Buat-buat tidak dengar. Dia tidak mahu melawan gilanya si Salam itu.

Kemudian Salam menyambung rapuannya, “Kau fikir kau sudah alim sangat, hah?! .... ha ha ha.... Hoi, ingatlah! Tatkala mereka datang kepada kamu lalu berbicara, kami ini orangnya beriman! Hei ... manusia, kamu fikir kamu sudah benar-benar beriman? Sedangkan Tuhan tidak pernah lagi menguji kamu dengan ujian yang sebenar sebagaimana orang-orang yang terdahulu yang pernah Dia mengujinya. Dan sesungguhnya Tuhan kamu tahu siapakah di antara kamu yang benar-benar lulus dan beriman. Dan Dia juga tahu siapakah di antara kamu yang berdusta! Ah, pendusta lagi! Ha ha ha.....”

Selepas itu Salam terus berbicara sendirian. Gomelannya tidak tertangkap oleh Fahmi. Salam membebel sendirian yang tidak ketahuan butirannya. Cuma ayat-ayat yang dilemparkan oleh Salam mendetikan hati Fahmi. Ayat itu dirasakan pernah didengarinya. Kalau tidak silap dari surah Al Ankabut ayat kedua!

HUKUMAN SUDAH TIBA

Hari menjatuhkan hukuman pun tiba. Noura mencuri pandangan ke arah Fahmi sekali-sekala dari kejauhan. Noura tidak berani hendak bertentangan mata dengan Fahmi.

Hakim mula membacakan keputusannya. Debaran jantung semakin deras terasa. Baik Fahmi mahupun Aisyah. Fahmi hanya mampu memegang jerigi besi bahagian bawah yang memisahkannya dengan dunia merdeka di luar kandang sana.

“Setelah mahkamah meneliti semua pendakwaan dan pembelaan. Dengan ini mahkamah berpuas hati dan membuat keputusan. Fahmi bin Abdul Muthalib ... mahkamah mendapati kamu bersalah!”

Degupan jantung Fahmi terhenti seketika. Terasa seolah direntap ganas. Tidak semena-mena Fahmi menjerit, “Tidakkkk!! Ini fitnah!! Ini fitnah besar! Ya Tuhan Maha Benar tolonglah aku!!”

Sebaik mendengarkan keputusan itu dan mendengarkan jeritan Fahmi terus Aisyah pengsan tidak sedarkan diri.

Kawan-kawan Fahmi yang sedari awal tidak mempercayai yang Fahmi seorang perogol mulai bercakap-cakap. Kawan-kawan Fahmi turut mengalirkan air mata melihatkan nasib sahabatnya itu. Ada yang resah tak bertempat dan mengepal-ngepalkan tangan. Mereka merasakan ini tidak adil. Ada sesuatu tidak kena!

“... dengan ini mahkamah akan menjatuhkan hukuman. Kamu, Fahmi bin Abdul Mutalib akan ....” suara hakim kembali kedengaran mahu melafaskan hukuman yang bakal dihadapi oleh Fahmi. Namun kata-kata hakim tersekat dengan jeritan suatu suara deras merempuh dari pintu masuk mahkamah.

“Nanti! Nanti! Nanti Yang Arif?!” tiba-tiba pintu mahkamah ditolak kuat. Pembantu peguam pembela menjerit sambil menyorong kerusi roda. Di atas kerusi roda itu diduduki oleh seorang makcik tua.

Suasana di dalam mahkamah menjadi gempar. Orang ramai bersuara di sana sini. Ada yang tercengang dan ada yang berbisik sesama sendiri.

“Diam! Diam! Diam! Ini bukan pasar! Diam!!!” teriak hakim cuba mengawal keadaan sambil mengetuk-ngetuk tukul kata pemutusnya itu.

Beberapa saat kemudian keadaan dapat dikawal. Ia semakin reda kecuali pembantu peguambela semakin rapat ke hadapan. “Yang Arif, saya membawa seorang lagi saksi penting. Saya merasakan saksi ini dapat mengubah keputusan penghakiman. Tolonglah Yang Arif, dengarkanlah kata-kata makcik Musalmah ini di atas nama keadilan.”

Hakim menggaru kepala sebentar lalu memanggil peguambela dan pendakwaraya ke hadapan. Setelah berbincang seketika dengan keduanya, hakim memanggil Musalmah ke hadapan lalu berkata: “Kenapa kamu tidak tampil ke hadapan sebelum ini?”

“Yang Arif. Sebenarnya saya baru balik daripada hospital di luar daerah ini. Saya ditimpa kemalangan semenjak dua bulan lalu. Hari ini barulah saya mendapat kesihatan lalu menggagahkan diri untuk ke sini di atas nama kesucian dan keadilan.”

“Apa yang kamu hendak beritahu kepada mahkamah?”

“Yang Arif. Saya hendak menjadi saksi dan menegaskan bahawa ini semua fitnah. Fahmi difitnah. Pada malam kejadian itu saya ada di rumah. Rumah saya setentang dengan rumah keluarga Noura. Orang yang sebenarnya merogol Noura bukanlah Fahmi! Tetapi Bongek, Yang Arif. Bongek ialah sepupu Noura,” lurus telunjuk makcik Musalmah ke muka Noura.

“Tidak! Tidak! Tidak!!!” tiba-tiba Noura meluru. Semua orang tergamam. Noura mula menangis teresak-esak. Dia menutup mukanya dengan ke dua belah tapak tangan. Noura cuba selindung tumpahan linangan air matanya.

Sambung Muslamah dengan berkata lemah kepada Noura: “Kenapa kau bercakap dusta Noura? Kenapa kau mahu menzalimi orang yang tidak berdosa dan berbuat baik kepadamu? Fahmi pada malam itu sekadar menolongmu. Dia menghantarkan kamu ke rumah sahabatmu Khadijah. Walhal Fahmi tidak tahu pun kau dinodai. Menyentuh kau pun tidak. Dan aku nampak dengan mata kepalaku sendiri sebelum aku diserang lelah yang teruk dan dirawat di luar daerah ini.”

Dalam esakan tertahan-tahan Noura mula berkata: “Sebenarnya saya cintakan Fahmi sedari awal lagi. Tetapi sebaik mengetahui Fahmi sudah pun bernikah saya menjadi kecewa. Malam itu Bongek datang ke rumah. Katanya mahu menemui ayah. Saya menyuruhnya menunggu ayah di ruang tamu sedangkan ayah tiada di rumah. Ayah pergi mendengar ceramah politk sempena pilihanraya.”

Suara Noura tertahan. Noura membetulkan suaranya dari celahan sendu kemudian kembali menerangkan: “Tetapi tidak disangka pula dia datang dan menodai saya. Selepas saya dinodai, Bongek mengancam saya. Dia mengugut akan membunuh saya dan keluarga saya jika rahsia ini terbongkar. Bongek itu keras orangya. Kasar perilakuannya.”

“Setelah Bongek meninggalkan saya, lalu saya menefon Fahmi pinta dia menghantarkan saya ke rumah Khadijah. Tiga minggu selepas itu saya muntah-muntah dan mendapati saya mengandung. Ayah mendesak mahu tahu siapakah bapa kepada anak dikandungan ini. Saya terputus kata. Saya tidak tahu hendak berkata apa. Saya bingung. Saya keliru. Dan saya ketakutan. Ayah menyelongkar barangan saya. Lalu dia mendapati Diari Islamiah saya yang terkandung nota-nota cinta-hati saya. Lalu ayah terus melulu membuat laporan ke pejabat mata-mata. Saya diheret, didesak dan akhirnya saya menganggukkan kepala, mengiyakan pertuduhan terhadap Fahmi. Perkiraan saya, jika Fahmi didesak mengahwini saya, saya rela daripada berkahwin dengan orang seganas Bongek. Lagipun saya takut tuan. Saya takut tuan!.. uhuk hu hu hu ... sekarang saya mahu menarik kembali pertuduhan saya terhadap Fahmi”

Seluruh alam menjadi gempar. Hakim hanya menggelengkan kepala. Sudah nyatalah Fahmi tidak bersalah.

“Dengan kesaksian ini. Maka mahkamah melepas dan membebaskan Fahmi bin Abdul Mutalib. Dum ... dum ... dum ...” tukul keputusan hakim dilepaskan tiga kali. Ini bermakna putuslah sudah Fahmi terlepas daripada hukuman merogol.

Segera Fahmi sujuk kesyukuran di dalam kandang sempit itu. Aisyah menerima berita gembira ini dengan terus menerpa ke arah Fahmi. Aisyah mendakap Fahmi erat dan air mata mereka bergenangan di situ juga. Ya, air mata kesyukuran berbaur kegembiraan.

Noura terjelepuk di atas lantai mahkamah. Tiada siapa yang menghiraukannya. Kawan-kawan dan sanak-saudara Fahmi semuanya bersorak gembira. Di luar mahkamah terdengar laungan Allahuakhbar! Alhamdulillah! Allahuakhbar, Alhamdulillah!...

Fahmi kembali ke penjara yang menempatkan beliau hampir setahun di situ. Dia perlu mendaftar keluar sebelum bebas sebenar-benarnya. Di kaunter pendaftaran penjara dia meminta izin mahu bertemu Salam.

“Tuan. Boleh saya bertemu Salam?”

“Salam? Salam yang mana?”

“Salam teman satu sel dengan saya.”

“Eh! Tidak ada sesiapa yang bernama Salam di sini. Sepanjang awak ditahan, awak memang bersendirian di dalam sel itu. Sekiranya awak dicampurkan dengan penjenayah lain, kami khuatir awak tidak hidup sampai ke hari ini. Lebih-lebih lagi kes yang melibatkan kes rogol!” pegawai soldadu itu melirik sambil memberi senyuman kambingnya. 

Fahmi kebingungan. Habis selama ini yang bersama dengannya itu siapa?! 

Patutlah selama ini hanya sepinggan makanan yang dihulurkan dari celah pintu jerigi besi itu. Dan air pula hanya tiga gayung untuk sehari! Fahmi juga tidak pernah mendengar mana-mana soldadu atau mata-mata datang memanggil nama Salam untuk disoalsiasat ataupun membuat hitungan harian.

Sebentar tadi Fahmi baru perasan, sungguh pun Salam kusut masai tidak terurus dengan rambut dan janggutnya panjang, tidak pernah pula si Salam ini berbau hamis. Jauh sekali busuk menusuk hidung mancungnya. Lebih-lebih lagi bila mana Salam datang memujuk atau memeluk Fahmi, tidak ada pun bau kurang menyenangkan terbit dari Salam!

Sekarang ini Fahmi tergamam sendirian. Di kotak fikirannya ligat mencari jawapan. Siapakah Salam?! 

Sekian, cerpen maza ala-ala novel yang lantun entah apa-apa entah itew...


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails