Pak Mat bukanlah buta huruf, cuma bila sampai bab Bahasa Inggeris dia terkial-kial sedikit. Borang pinjaman yang dipegang oleh Pak Mat sekarang semuanya bertulisan rumi. Bukan dia tidak mengenal huruf rumi, cuma kurang lancar. Tergagap-gagap.
Sekarang, Pak Mat terpaksa mengisi borang permohonan bantuan pinjaman projek pertaniannya. Kalau tulisan jawi, Pak Mat cukup handal. Dulu-dulu masa zaman remaja, Pak Mat pernah menggarang surat cinta dalam tulisan jawi. Siap bersyair dan berpantun lagi. Lepas dilipat kemas ke dalam sampul surat, Pak Mat akan letakkan bedak sebelum dikirimkan kepada buah hatinya. Tapi kali ini sudahlah tulisan rumi, berbahasa Inggeris pula. Pak Mat mencongak-congak sendirian.
Dahulu Pak Mat bersekolah sekadar sekolah Melayu darjah 5. Selepas itu dia terpaksa berhenti sekolah gara-gara perang dunia kedua.
Pak Mat terkais-kais. Dia berasa agak janggal sedikit. Tergaru sana, tergaru sini. Kejap-kejap membetulkan kupiah putihnya. Sekejap-sekejap Pak Mat toleh ke sana, toleh ke sini dalam pejabat yang hampir kosong itu. Pak Mat cuba mencari kalau-kalau ada anak muda yang mampu menolong. Atau sekurang-kurangnya tempat untuk tumpang tanya.Tetapi pada hari itu tiada pula. Kalau ada pun masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
Kecuali di sisi Pak Mat, Che Kembang Lenggang, isteri Pak Mat. Che Kembang Lenggang pun dua kali lima macam Pak Mat juga. Che Kembang Lenggang cuma habis sekolah Melayu darjah 3. Lepas lima tahun tamat sekolah, terus dia berkahwin dengan Pak Mat.
Terpaksalah Pak Mat menggagahi juga untuk mengisi borang pinjaman pertanian itu. Dia mengeja satu persatu. Kemudian Pak Mat cuba menyebutnya. Sambil-sambil itu dia mengacu-acukan perkataan tersebut kalau-kalau dia faham, atau barangkali ada keserupaan bunyi dengan bahasa Melayu. atau sekurang-kurangnya dia mampu meneka akan maksud perkataan itu.
"N. A. M. E. Aku rasa bendalah ni perkataan 'nama' ni. Hmm .. dah serupa macam bahasa orang Peraklah pulak, name'." senyum Pak Mat sendirian.
"A'ah betullah tu abang aji. Dia nak nama abang aji lah tu. Dah tulis aje ler.." Che Kembang Lenggang bersetuju.
"A. D. D. R. E. S. S, alamat rumah agaknya ni" Pak Mat meneka lagi, kemudian terus menuliskan alamat tempat tinggalnya di Rumah Papan Tanpa Nombor, Jalan Kubur, Kampung Seri Kenangan.
Selesai mengisi alamat rumah, Pak Mat beralih kepada soalan lain pula. Kali ini tertera perkataan A.G.E. Berpinor mata Pak Mat cuba memahaminya. Berkali-kali dia cuba menyebut perkataan itu.
"A.G.E ... A. Ge. Aji. Mungkin dia tanya kita bila naik haji. Tak gitu emaknya? Gamaknya dah berapa lama kita naik haji iya?"
"Kita naik haji dah dekat 25 tahun dah ni." Che Kembang Lenggang mengiyakan telahan Pak Mat. Lalu Pak Mat pun menuliskan angka 25 di kotak yang disediakan.
Dalam diam tak diam habis juga borang itu diisi oleh mereka berdua. Setelah selesai Pak Mat pun menyerahkan borang permohonan pinjaman pertanian itu ke kaunter. Gadis kaunter yang cantik molek menyambut dengan sopan beserta senyuman paling manis.
Gadis kaunter bernama Ayu membaca sekali imbas borang tersebut. Pak Mat masih tercegat di hadapan kaunter itu. Sekali sekala Pak Mat mencuri pandang ke wajah Ayu yang jelita.
Tiba-tiba Ayu membalas pandangan Pak Mat dengan renungan tajam. Pak Mat yang masih berdiri tegak di situ tak putus-putus melemparkan senyuman. Adakalanya Pak Mat mengulum-ngulum gigi palsunya itu agar tidak tersembam ke tanah.
Muka Ayu serta merta berubah. Bertukar menjadi merah padam. Dari tersenyum bertukar ganas seperti singa lapar mahu menelan mangsa. Segera Ayu memaling wajahnya dan bergegas mendapatkan Pengurus di dalam bilik sana.
Tidak lama kemudian Pengurus datang sambil membawa borang tadi. Dia bergegas mendapatkan Pak Mat. Bukannya senyuman yang dilemparkan tetapi bermuka bengis. Seperti ada sesuatu yang dia tidak puas hati.
"Pak Mat! Apa Pak Mat tulis ni? Saya akan dakwa Pak Mat kerana melakukan gangguan seksual terhadap kerani saya" sergah Pengurus itu tak semena-mena.
Pak Mat segera menelan senyuman manisnya. Yang tinggal di muka Pak Mat ialah sebuah tanda soal! Melopong mulut Pak Mat. Di benak Pak Mat diterjah kekosongan. Pak Mat tak mengerti apa yang dimaksudkan. Pak Mat tercenggang, kaku pinta penjelasan.
"Apa salah saya tuan?"
"Ni. Apa ni Pak Mat? Apa Pak Mat cuba lakukan? Pak Mat hendak menggoda kerani saya ya?"
"Tak lah. Ini fitnah. Tuan jangan main tuduh-tuduh sebarangan"
"Habis ini apa maksudnya?" lurus jari telunjuk Pengurus itu menunjuk ke salah satu ruangan soalan dalam borang tadi yang dihempaskan ke hadapan muka Pak Mat.
"Di ruang sex ni. Apa Pak Mat tulis?"
"Errr.... (Pak Mat cuba mengeja sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu) ... sekali-sekala."
"APA?!!"
"Eh ... yalah! Hal dalam kelambu yang tuan suruh kami jawab. Itulah jawapan sebenar kami. Kami dah tua tuan. Tak larat dah."
Mata Pengurus dan kerani yang ada di pejabat itu semuanya terbelalak. Pak Mat pula tercenggang-cenggang tanpa tahu apa salahnya dengan jawapan itu.
"Gini tuan, kalau tak percaya tanyalah isteri saya sendiri. Masa Pak Mat terkial-kial hendak menjawab soalan dalam kelambu ni, Pak Mat berbincang dulu dengan isteri Pak Mat. Pak Mat cakap kat isteri Pak Mat; Sex. Ishh! Apa buruk bebenor tanya soalan ghupa gini? Apa ke halnya sampai dema nak tahu aktiviti kelambu kita. Nak tulis apa ni?. Kemudian isteri Pak Mat pun jawab; Kita tulis ajelah sekali-sekala, udah ler abang aji. Jadi Pak Mat pun tulis ler. Salah ke kami tuan?..."
Pengurus itu pun menjawab seraya menahan suara: "Memang salah jawapan tu Pak Mat. Dalam borang tu bukan nak tahu tentang hal kelambu. Maksud SEX kat sini ialah jantina. Jenis jantina..."
"Allah! Pak Mat ingatkan yang itu. Sebab yang selalu keluar kat TV, berita pasal sex, gangguan sex & rogol. Tak ada pulak dia cerita sex pasal jantina. Oooo ... kalau gitu, maafkanlah kami nak ... kami orang lama, kurang faham..."
Moral: Isi borang kena hati-hati dan gunakan huruf besar!
Hari ini hari Khamis malam Jumaat. Banyak pula jemputan kenduri arwah dan doa selamat. Selamat beramal ya kengkawan. hehehehe...