‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 11 Disember 2013

Dinginnya Malam Itu

Aqlan Sholehin: Lena bersama hanyutnya kerinduan mendalam

Seorang anak berusia 3 tahun, di rumah anak-anak yatim telah melukis sebuah lukisan besar menggunakan kapur tulis di atas lantai bersebelahan katilnya. Setelah siap, dia berbaring merengkuk menghadap lukisan tersebut.

Malam semakin larut, dingin menggigit sepelusuk sendi. Di luar bertemankan bulan purnama. Bilik itu cuma diterangi cahaya pelita yang meliang-liuk dihembus angin. Tidak pula pelita itu dapat menghangatkan suhu, kecuali dingin yang kejam tetap menerjah setiap penjuru sudut.

Seorang penjaga datang memeriksa asrama anak-anak yatim. Sebaik penjaga asrama terlihatkan lukisan yang mencomotkan lantai, dia terus mengherdik, "Apa yang engkau buat ini, hah?! Kau kotorkan lantai, ya?! Lap sekarang!!! LAPPP!!!"

Anak itu tersentak. Dia bangkit sambil menggosok-gosokkan pelipis mata; menangkis silau yang menerjah ganas ke retina tanpa belas kasihan.

Dalam keadaan mamai, dia berkata, "Munir tak dapat tidur tadi. Munir lukis gambar ibu. Munir baring sebelah ibu. Tiba-tiba Munir rasa hangat seperti dalam dakapan ibu. Munir tertidur. Maafkan Munir ya kakak."

Suara lembut kanak-kanak itu menerbos perlahan. Cengkerik tidak habis-habis menodai sunyi malam, seolah-olah sedang mengejek.

Munir tidak putus-putus menyesali dan memohon ampun, "maaf kakak, Munir rindukan ibu . . . tapi ibu takkan kembali untuk Munir. Maafkan Munir . . ."

Penjaga asrama terkedu lantas merangkul anak itu tanpa ada sekelumit suara. Akhirnya anak itu lena di bahunya. Kakak penjaga hanya mampu memujuk. Memujuk si Munir dan memujuk hatinya yang diserang rasa bersalah, rasa simpati paling dalam.

Lantaran itu,
CINTAILAH IBU, EMAK, UMMI, MAMA, MUMMY,
KERANA IBU; KITA LAHIR KE DUNIA
KERANA IBU; KITA BERASA HANGAT DARI KEDINGINAN
KERANA IBU; KITA BERASA SELAMAT....

Nukilan

07.10.2013

nota: selsema pulak hidung ini... huhuhu 




Selasa, 10 Disember 2013

Menjelajah Masa Mengharungi Zaman



Aqlan (3 tahun) & Aqilah (5 bulan)
1995 – Hati terus kekal berbunga-bunga walaupun sudah dua bulan selesai menghadapi Haluan Siswa di Universiti Malaya. Bermula bulan Julai itu, maka termaktub sudah maza bergelar mahasiswa.

Pulang dari dewan kuliah sejauh 2 km, terus ke dewan makan di Kolej Kediaman Kinabalu. Demikianlah hari-hari berjalan kaki demi menuntut ilmu. Jiwa begitu membara. Dalam masa sama, hati remaja begitu bergelora. Orang mudalah katakan.

Hari-hari yang berlalu disambut penuh keceriaan dan keriangan. Cabaran hidup seorang siswa dirempuh dengan semangat tegar!

Sampai di kolej kediaman, maza beratur panjang untuk mengambil ‘tray’ sebelum menyenduk nasi dan menceduk lauk. Dua lauk sahaja dibenarkan, sekali sekala terlajak juga menjadi tiga atau empat.

Punggung dihempuk di atas kerusi. Sisa makanan dilahap. Sambil itu mendengar halwa telinga yang bergema dari setereo terpasang. Ajaibnya bukan lagu-lagu biasa, tetapi lagu-lagu nasyid. Lebih tepat lagi lagu kumpulan Raihan album Puji-pujian.

Demikianlah kaset itu berulang-ulang dimainkan. Berbulan-bulan lamanya begitu. Cuma sekali sekala diselang selikan dengan lagu-lagu rancak berbentuk kepahlawanan seperti Mentera Semerah Padi (M. Nasir).

Setelah maza sendiri dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Siaraya & Teknikal di bawah JKP Kebajikan dan Kemasyarakatan, semakin rancak pula lagu Puji-pujian dikumandangkan.

“Ash hadu anla ilaha Illallah,
Wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah
Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semuanya dari Allah . . .

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah”
 (sebahagian lirik lagu Puji-Pujian, Raihan)

Pernah sewaktu makan dan pada malam jam perdana, kedengaran beberapa rakan Tionghua kecoh bernyanyi-nyanyi. Adakalanya riuhnya suara mereka itu bertingkah-tingkah. Lagu yang mereka nyanyikan itu ialah lagu Puji-pujian. Mereka berselawat, bertasbih dan bertahmid sama. Walhal, kaum bukan Muslim ini haram tidak mengerti maksud di sebalik lagu nasyid Raihan itu.

Begitu juga yang berlaku dengan beberapa rakan seperjuangan maza dari kaum India dan bumiputera. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil inisiatif untuk menyalin dan menghafal. Kata mereka, lagu-lagu tersebut sangat menarik. Melodinya terasa begitu hampir dengan jiwa. Apatah lagi saban hari dihidangkan lagu-lagu nasyid seperti itu. Sehari tidak kedengaran terasa hidup ini janggal.

Apabila diterangkan maksud lagu-lagu tersebut, mereka sekadar melemparkan senyuman. Sedikit pun tidak mengurangi rasa untuk terus menggemarinya. Mereka tidak menolak, malah berkata bahawa bait-bait lagu itu amat baik. Menyentuh hati kecil sanubari.

Jangan tidak percaya, ada dalam kalangan mahasiswa bukan Muslim begitu tertarik daripda lagu tersebut lalu mempelajari Islam. Malah, maza sendiri dihadapkan dengan beberapa kes siswa bukan Islam mahu memeluk Islam!

Lamunan maza terhenti, dikejutkan dengan deringan telefon di kocek. Panggilan itu datangnya dari isteri. Terkedek-kedek tiga orang anak maza mendapatkan ayahnya ini sambil membawa telefon ibunya itu. Darling mengelek anak kami yang baru berusia lima bulan berjalan di belakang. Sekali sekala riuh suaranya mengawal anak-anak kami. Maza duduk di atas sebuah bangku di gedung pasar raya. Di tangan tergenggam akhbar. Melihatkan mereka berteriak-teriak, maza melemparkan senyuman lalu melambai-lambaikan tangan.

Di dalam gedung ini terhias indah pokok ru. Tinggi pokoknya itu hampir mencecah empat tingkat bangunan. Di pangkal pokok berserakan hadiah melambak. Pokok itu juga menjadi pengganti pokok krismas. Sebuah kereta rusa bersama patung manusia tua berpakaian merah menyala, bertopi ahli sihir menyerlahkan lagi hiasan tersebut.

Gedung yang sarat dengan umat itu dilantunkan dengan lagu “Jinggle bell”, “Marry Chirstmas” dan banyak lain-lain lagi. Pita lagu itu seolah-olah tidak jemu dan penat berlari dari terus berkumandangan bertalu-talu tanpa berhenti.

Anak-anak maza berkeliling sambil memeluk ayahnya. Maza pun bangkit meninggalkan bangku itu kembali sendirian. Dalam perjalanan menuruni tangga bergerak Daniel (7 tahun) dan Nasrul (9 tahun) berkata, “cantiknya Santa Klaus. Tu ada rusa besar tu ayah. Besarnya . .  . ada banyak hadiah. Bestkan kalau dapat hadiah Hari Krismas nanti!?”

“We wish you a Merry Chirstmas. We wish you a Merry Chirsmas. We wish you a Merry Chirtmas and happy new year” tiba-tiba Aqlan Sholehin (3 tahun) memecahkan suasana kecoh kami. Aqlan Sholehin mengajuk lagu yang sedang berkumandang itu sedari kami sampai di sini.

“Pandainyaaa . . . Happy Chirtsmas Day, my dear,” sampuk seorang wanita China yang di lehernya melekat lambang salib kebetulan berada di sisi.

Isteri maza menggangguk-angguk sambil melemparkan senyuman riang. Entah apalah maksud di sebalik senyuman itu, maza kurang pasti.

Maza sekadar menggarukan kepala yang tidak gatal. Di hati tertanya-tanya, gedung ini diamnya di tanah mana?


Lantun-lantun sayup
 


Selasa, 3 Disember 2013

Penumpang RAPID KL Merusuh


RAPID KL

Bertahun lama tidak menggunakan pengangkutan awam RAPID KL rasanya. Hari ini tidak semena-mena terpaksa menjejakkan kaki ke dalam perut bas itu. Agak canggung juga.

Setelah membayar tiket, maza terus melangkah mencari tempat duduk sambil melontarkan senyuman pagi hari yang indah. Namun sedekah jenis ini tidak pula berbalas. Tiada siapa yang sudi membalasnya.

Para penumpang semua bermuka ‘ketat’. Bungkam jelas ketara. Barangkali terkesan dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik malam tadi yang akan bermula pada 1 Januari 2014. Ketat bertambah sendat apabila mengenangkan cukai GST (VAT) sedang menanti di ambang muka pintu pada 1 April 2015. 

Maza cuba memujuk diri, ini semua untuk menyelamatkan negara. Mahu progres perlu berjuang dan berkorban. Tiba-tiba terkenangkan pula bahawa sebelum ini mereka telah dihenyak dengan pelbagai kos kehidupan. Cuma lewat hari ini kos harga diri tampak murah. Harga nyawa sudah pun jatuh. Masakan tidak, di dada akhbar buntang memaparkan remaja membunuh tiga orang remaja seusia mereka. Maza hanya mengusap-usap janggut yang sejemput.

Ah . . .  persetankan itu semua, bosan dengan alasan itu mulai menguasai diri. Ubah cara hidup, kata mereka. 

Tempoh hari kata teman senior sebangku sekolah, ubah kepemimpin juga adalah langkah untuk ubah cara hidup kita, demi progress. Hmm . . . maza hanya membisu sambil cuba memikirkan setiap bait patah perkataannya. Setelah puas mencari rasionalisasi, sebagai tanda menghormati beliau, maza angguk-anggukan sahaja kepala.

Setelah penumpang membayar harga tiket yang juga diperkira akan berlaku kenaikan harga, bas itu pun bergerak. Masing-masing terus khusyuk. Mata pantas tertancap ke skrin berukuran pelbagai saiz di tangan. Penumpang-penumpang ini tidak menghiraukan sesiapa pun di dalam bas mahupun teman sebangku di sisinya. Konsep nafsi-nafsi jelas ketara. Ada yang melayari akhbar dalam talian, mendengar muzik dari telefon pintar dan ramai yang menyemak kisah suka-duka “muka buku” masing-masing. Mereka yang tidak mempunyai telefon ajaib itu segera melontarkan diri jauh-jauh dengan mengamati pemandangan di luar tingkap. Membawa hati dan fikiran ke dunia peribadi.

Puas memerhati berkeliling tanpa ada sesiapa yang peduli, akhirnya maza hanyut sendirian. Menerawang tanpa sempadan. Khayal entah ke mana. Mujur juga tersedar dari lena sebelum sampai ke destinasi (pejabat). Harap-harap tatkala terlena itu, maza tidak melepaskan dengkuran. Jika suara-suara garau itu terpacul jua, maza yakin tiada siapa mengendahkannya, hahaha . . . .


lantun-lantun   

Rabu, 13 November 2013

Asyura di Masjid Jamek Kampung Sri Lukut

Esok 10 Muharam 1345 . . .

Apabila tiba tarikh keramat ini segera muncul di minda maza tentang bubur Asyura. Suatu ketika dahulu di kampung maza, suasana Hari Asyura memang terasa. Masing-masing akan sibuk mengambil kesempatan untuk berpuasa dan meningkatkan amal ibadah. 

Petang Hari Asyura di Masjid Jamek Kg. Sri Lukut, Kahang Bt. 28 mulai sibuk dengan persediaan juadah berbuka puasa. Antara hidangan yang disediakan secara gotong royong ialah bubur lambuk. Usai solat Maghrib atau Isyak, ceramah ugama daripada ustaz jemputan mula berkumandang.

Masjid Maran, Pahang.


Ustaz Shafie (guru sekolah agama) bersungguh mengingatkan peristiwa dan keistimewaan Hari Asyura. Antara amalan yang disuruh kami lakukan ialah perbanyakkan sedekah; paling tidak memberikan senyuman dan salam. Kemudian mencari anak-anak yatim untuk dipeluk dan diusap-ucap kepalanya. Tindakan itu bermaksud menyampaikan rasa kasih sayang terhadap insan tersebut sebagaimana yang Rasulullah SAW pernah lakukan. Malah Nabi SAW sendiri seorang anak yatim piatu. 

Kebetulan pula ketika itu maza sudah menjadi yatim (tanpa ayah). Maka ada rakan yang mengambil kesempatan untuk mengusap-usap kepala ini. Ada yang melakukannya dengan ikhlas dan tidak kurang pula sekadar tindakan nakal.

Pada mulanya, hati maza menggerutu juga. Masakan tidak, kepala ialah lambang mahkota, maruah dan dibayar zakat fitrah. Tidak boleh sewenang-wenangannya diperlakukan begitu.

Sementelah lagi, pantang orang Melayu membiarkan orang lain mempermain-main dan memperolokan kepala kita. Pelanggaran patang larang itu boleh membawa kepada perkelahian walaupun tidak sengaja menyentuh kepala. Hahaha . . . .

Adakalanya Hari Asyura disambut dengan cukup sederhana. Setidak-tidaknya kami akan membaca tahlil dan doa selamat untuk seisi kampung serta keluarga di masjid yang sama. 

Begitulah seputar masa yang lalu. Dewasa ini maza tidak mengetahui sama ada hari Asyura disambut atau terus sepi daripada perhatian penduduk desa itu.






Nukilan lantun-lantun

Khamis, 7 November 2013

Eksekutif Planner Islamiah 2014

Planner Islamiah 2014, terbitan Sterling Crown Sdn. Bhd.

Posting yang lalu maza telah menulis tentang Diari Islamiah 2014 (klik sini). Kali ini maza tertarik pula hendak menulis berkenaan Perancang Eksekutif Islamiah 2014 terbitan Sterling Crown Sdn Bhd.

Alhamdulilah, maza dapati buku rancangan tahunan ini amat berguna disamping disulami dengan info-info yang dapat mengingatkan kita tentang akhlak, ibadah, akidah dan cara hidup seorang Muslim yang sejati.

Planner Islamiah 2014: Antara info berbentuk susun letak (layout/grapik) majalah.
Mengikut poster yang maza rakamkan itu, Planner Islamiah 2014 ini didatangkan dengan empat warna iaitu hitam, hijau, coklat dan kebiru-biruan. 

Harga pasaran pula ialah RM14.00 sebuah dan boleh didapati di gedung serta toko-toko buku. Antara toko buku yang maza sempat tinjau dan terserempak dengannya ialah MPH, Popular, Times Bookstore, Borders, Syarikat Muda Osman, Pustaka Sri Intan dan Pustaka Sri Tanjung.

Planner Islamiah 2014: Rupa bentuk ruang Rancangan Bulanan.

Maza kira, dengan memiliki dan menggunakannya, kengkawan dapat memanfatkan Planner Islamiah 2014 ini untuk menjadikan hidup ini lebih terancang, terfokus dan mengatur strategi berkenaan bagi mencapai objektif atau azam tahun tersebut. 

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam benar-benar kerugian, kecuali mereka yang BERIMAN dan BERAMAL soleh dan berpesan-pesan (nasihat menasihati) pada kebaikan, dan berpesan-pesan pada kesabaran." (al-Quran, al-Asr:1-5)


Planner Islamiah 2014: Antara cerita dan tauladan yang menarik perhatian maza.



Mengembangkan syiar Islam . . .






LinkWithin

Related Posts with Thumbnails