‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 13 November 2013

Asyura di Masjid Jamek Kampung Sri Lukut

Esok 10 Muharam 1345 . . .

Apabila tiba tarikh keramat ini segera muncul di minda maza tentang bubur Asyura. Suatu ketika dahulu di kampung maza, suasana Hari Asyura memang terasa. Masing-masing akan sibuk mengambil kesempatan untuk berpuasa dan meningkatkan amal ibadah. 

Petang Hari Asyura di Masjid Jamek Kg. Sri Lukut, Kahang Bt. 28 mulai sibuk dengan persediaan juadah berbuka puasa. Antara hidangan yang disediakan secara gotong royong ialah bubur lambuk. Usai solat Maghrib atau Isyak, ceramah ugama daripada ustaz jemputan mula berkumandang.

Masjid Maran, Pahang.


Ustaz Shafie (guru sekolah agama) bersungguh mengingatkan peristiwa dan keistimewaan Hari Asyura. Antara amalan yang disuruh kami lakukan ialah perbanyakkan sedekah; paling tidak memberikan senyuman dan salam. Kemudian mencari anak-anak yatim untuk dipeluk dan diusap-ucap kepalanya. Tindakan itu bermaksud menyampaikan rasa kasih sayang terhadap insan tersebut sebagaimana yang Rasulullah SAW pernah lakukan. Malah Nabi SAW sendiri seorang anak yatim piatu. 

Kebetulan pula ketika itu maza sudah menjadi yatim (tanpa ayah). Maka ada rakan yang mengambil kesempatan untuk mengusap-usap kepala ini. Ada yang melakukannya dengan ikhlas dan tidak kurang pula sekadar tindakan nakal.

Pada mulanya, hati maza menggerutu juga. Masakan tidak, kepala ialah lambang mahkota, maruah dan dibayar zakat fitrah. Tidak boleh sewenang-wenangannya diperlakukan begitu.

Sementelah lagi, pantang orang Melayu membiarkan orang lain mempermain-main dan memperolokan kepala kita. Pelanggaran patang larang itu boleh membawa kepada perkelahian walaupun tidak sengaja menyentuh kepala. Hahaha . . . .

Adakalanya Hari Asyura disambut dengan cukup sederhana. Setidak-tidaknya kami akan membaca tahlil dan doa selamat untuk seisi kampung serta keluarga di masjid yang sama. 

Begitulah seputar masa yang lalu. Dewasa ini maza tidak mengetahui sama ada hari Asyura disambut atau terus sepi daripada perhatian penduduk desa itu.






Nukilan lantun-lantun

Khamis, 7 November 2013

Eksekutif Planner Islamiah 2014

Planner Islamiah 2014, terbitan Sterling Crown Sdn. Bhd.

Posting yang lalu maza telah menulis tentang Diari Islamiah 2014 (klik sini). Kali ini maza tertarik pula hendak menulis berkenaan Perancang Eksekutif Islamiah 2014 terbitan Sterling Crown Sdn Bhd.

Alhamdulilah, maza dapati buku rancangan tahunan ini amat berguna disamping disulami dengan info-info yang dapat mengingatkan kita tentang akhlak, ibadah, akidah dan cara hidup seorang Muslim yang sejati.

Planner Islamiah 2014: Antara info berbentuk susun letak (layout/grapik) majalah.
Mengikut poster yang maza rakamkan itu, Planner Islamiah 2014 ini didatangkan dengan empat warna iaitu hitam, hijau, coklat dan kebiru-biruan. 

Harga pasaran pula ialah RM14.00 sebuah dan boleh didapati di gedung serta toko-toko buku. Antara toko buku yang maza sempat tinjau dan terserempak dengannya ialah MPH, Popular, Times Bookstore, Borders, Syarikat Muda Osman, Pustaka Sri Intan dan Pustaka Sri Tanjung.

Planner Islamiah 2014: Rupa bentuk ruang Rancangan Bulanan.

Maza kira, dengan memiliki dan menggunakannya, kengkawan dapat memanfatkan Planner Islamiah 2014 ini untuk menjadikan hidup ini lebih terancang, terfokus dan mengatur strategi berkenaan bagi mencapai objektif atau azam tahun tersebut. 

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam benar-benar kerugian, kecuali mereka yang BERIMAN dan BERAMAL soleh dan berpesan-pesan (nasihat menasihati) pada kebaikan, dan berpesan-pesan pada kesabaran." (al-Quran, al-Asr:1-5)


Planner Islamiah 2014: Antara cerita dan tauladan yang menarik perhatian maza.



Mengembangkan syiar Islam . . .






Rabu, 16 Oktober 2013

Diari Islamiah 2014

Alhamdulilah, maza sudah mendapatkan Diari Islamiah 2014 terbitan Sterling Crown Sdn. Bhd. Pada padangan maza, diari ini amat berguna dan begitu istimewa. Masakan tidak, setiap helaiannya ada peringatan untuk menunaikan solat. Jadi, kita boleh memantau kesempurnaan solat seharian kita secara sedar dan sengaja.

Diari Islamiah 2014 terbitan Sterling Crown Sdn Bhd

Diari ini juga dilengkapi dengan bahan bacaan yang berinformatif berkenaan amalan syariat Islam. Terdapat beberapa artikel berkaitan dengan tauhid dan peringatan amalan sunnah yang acapkali kita ketinggalan.

Lantaran itu, maza menggalakkan kengkawan untuk mendapatkan diari ini untuk kegunaan harian sebagai pengaturan urusan selain merakamkan peristiwa-peristiwa penting di dalam hidup.


Diari Islamiah 2014
Terbitan: Sterling Crown Sdn. Bhd.


Kandungan
*********
1) Gambar seputar dunia Islam.
2) Bahan bacaan Islamiah.
3) Sirah nabawi pada setiap helaian hari Jumaat.
4) Tafsir dan terjemahan al-Quran dan Hadis pada setiap helaian haribulan.
5) Peringatan waktu solat pada setiap hellaian (sudah anda solat?)
6) Jadual waktu solat seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
7) Perancangan Tahunan (Year Planner)

Pilihan Tajuk artikel
*****************
1) Solat Ghaib
2) Penyebab Isteri ke Neraka
3) Jangan Mengangkat Tangan Ketika Khatib Membaca DOA
4) Realiti Kehidupan
5) Solat Wanita yang Mengalami Keputihan

. . . banyak lagi artikel yang menarik dan berilmiah.

Harga pasaran RM16.00 sebuah.

Antara gedung buku yang mengambil bahagian edaran ialah MPH, Popular, Borders, Times, Muda Osman dan banyak lagi.



Nota

Isnin, 7 Oktober 2013

SEPUTIH RASA, SEJERNIH HATI

Sesak di persimpangan lampu isyarat Jalan Maarof, Bangsar. Semuanya gara-gara waktu solat Jumaat akan tiba sebentar lagi. Aku tersangkut di atas motor di celah-celah himpitan motokar yang turut menantikan lampu isyarat untuk bertukar berwarna hijau.

Matahari terpacak tegak. Teriknya membahang setiap inci kulit dan urat. Di sisi pejalan kaki sana aku terpandang sekujur tubuh pemuda berpakaian jubah lusuh, berkupiah kusam dan berselipar buruk. Lengan kiri dan kanannya terkelek dua buah tong derma. Pemandangan itu aku biarkan berlalu begitu sahaja.

Setelah berwuduk di Masjid Syaidina Abu Bakar aku mendaki anak tangga untuk ke ruang solat. Sekali lagi aku terpandangkan pemuda yang sama. Dia duduk bersimpuh di kaki tangga masjid sambil tercungap-cungap melepaskan lelah. Dua buah tabung tadi di sebelahnya menantikan mana-mana jemaah yang sudi menghulurkan derma.

Hanyut dihempas ombak

Usai solat Jumaat, aku pergi ke Restoran Mahbub tidak jauh dari masjid. Tempat itu padat dengan urusan makan tengahari. Dalam bersesak-sesak itu, aku memperoleh tempat duduk yang dikongsi dengan pelanggan lain.

Sedang enak menjamu selera, aku terpandangkan sekali lagi pemuda tadi. Dari kaki lima bangunan Restoran Mahbub, dia semakin menghampiri. Sekali sekala menghulurkan tabung derma kepada orang yang lalu lalang di situ. Setelah mengelap keringat, dia memasuki Restoran Mahbub. Perlahan-lahan dari satu meja ke satu meja menghulurkan tabung derma yang dikepitnya sambil melontarkan senyuman manis.

Pada tabung derma itu tertera “Tabung Pembaikan Sekolah . . .” manakala sebuah lagi “Tabung derma rawatan kanser ibu . . .”

Kedua-dua tabung berisi wang derma, tetapi tidaklah sebanyak mana. Wang kertas seringgit dan kepingan syiling melatari pemandangan di dalam telab itu.

Dari satu kerusi ke satu kerusi, tabung-tabung itu dihulurkan. Walaupun rata-rata pelanggan di situ tidak melayaninya, dia tetap tekun dan murah senyuman. Sesekali aku lihat halkumnya bergerak dan bibirnya menelan liur.

Dari satu meja ke satu meja, dia menyorong tabung itu. Para pelanggan tetap tidak mengendahkannya. Ada antara mereka yang memandang sinis, terherot bibir, terkenyit pula sebelah mata. Tiada siapa yang peduli. Tiada siapa yang sudi menyantuni. Tiada siapa yang menghulurkan derma.

Setelah puas berkeliling, dia berhenti di hadapan kaunter.

“Karipap dan ais kosong satu,” pesan pemuda itu sambil mengelap peluh dan memegang perutnya yang kelaparan. Bibirnya tetap terukir senyuman.

“Berapa ya harganya?” tanya pemuda itu setelah pesanannya tadi diserahkan.

“Dua ringgit. Awak tak mahu nasi bukhara, nasi byrani, roti ada, mee ada, nasi campur ada, udang, sotong” kata pelayan yang cuba melariskan perniagaannya. Sekali sekala pelayan mengerling ke tabung pemuda itu yang diletakkan di atas meja kaunter.

“Tak mengapalah. Saya tiada duit lebih. Mungkin lain kali. Yang ini pun cukup untuk saya hari ini. Alhamdulilah,” pemuda itu sekadar melemparkan senyuman tawar sambil menelan air liur. Di dahinya jelas kelihatan titis-titis peluh. Loghat yang dilontarkan itu loghat utara. Di luar restoran ini panasnya sangat membahang.

“Ini ada (sambil menepuk-nepuk tabung di atas meja kaunter). Boleh pinjam dulu. Lepas kenyang, makan sedap-sedap boleh senang kerja,” lurus jari telunjuk pelayan tadi ke arah kedua-dua tabung lut sinar.

“Tak boleh. Ini amanah. Tak mengapalah tuan, saya makan hat ni saja,” jawab pemuda ringkas. Barangkali mahu menyimpan tenaga yang bersisa sebelum hilang dengan sia-sia begitu sahaja.

Pemuda itu terkial-kial menyeluk sakunya. Dia mengeluarkan dompet lusuh. Kemudian menyelak dompet itu sembunyi-sembunyi. Malu agaknya.

Entah bagaimana dompet itu terjatuh. Wang di dalam dompet tersembur keluar. Cepat-cepat dia merangkak dan mengutip kesemuanya sambil menyebut, “Ya Allah! Ya Allah! Subahanallah! Rezekiku, rezekiku, rezekiku!”

Sepantas kilat dia menyambar tiga helai not seringgit dan sekeping syiling dua puluh sen yang bergolek di atas lantai. Digenggamnya wang itu, malu. Sambil tundukan kepala dia menghulur wang bayaran kepada pelayan tadi.

Bundar mata pelayan itu, “Tidak mengapalah adik. Ini barang saya kasi free.”

Pemuda itu tercengang tanda tidak mengerti.

Pelayan memanggil pula temannya dengan suara lantang, “Abdul Raham, kasi ini orang makan nasi bukhara kambing, air tanya sama dia. Apa sahaja dia mahu makan, bagi sama dia.”

“Tapi tuan saya tiada duit. Ini saja yang saya ada!” pemuda itu panik. Risau jelas terpamer. Dalam rasa ketakutan itu dia menunjukkan dompet dan keseluruhan wang yang ada. Dia berkata benar!

“Tak apa adik, tak apa. Ini kali saya mahu sedekah. Saya bagi free. Saya banyak kagum sama adik. Saya banyak kasihan. Adik jujur orangnya. Itu tabung derma adik tak kacau. Adik amanah. Sekarang, susah mahu jumpa orang yang jujur. Menteri pun ada tak amanah, pegawai kerajaan pun lagi ada tak amanah! Tapi semua orang itu 'lepas' juga. Adik jangan risau. Adik pergi makan. Jangan takut. Ini saya bagi duit belanja untuk adik. Dan ini duit saya masuk tabung. Emak adik sakit apa?”

Pemuda itu masih tergamam, tidak percaya apa yang sedang dialaminya, “Emak saya kena barah tulang tahap tiga. Tabung sekolah ini pula tempat saya belajar tahfiz. Sekarang sekolah kami sudah mahu runtuh.”

Serentak dengan itu orang ramai pun berdiri, datang berkerumun. Masing-masing menghampiri pemuda itu. Kemudian bergilir-gilir memasukkan wang ke dalam kedua-dua buah tabung tadi.

Ada beberapa orang pelanggan menghulurkan wang ke tangan pemuda itu. Aku pun turut sama, menghulurkan apa yang terdaya. Beberapa helai wang biru bernombor satu dan sebilangan kepingan duit besi jatuh ke dalam tabung-tabung derma yang aku korek dari dompet usang ini.

Pemuda itu masih terpinga-pinga sendirian.

Lantas dia mengangkat tinggi kedua belah tangan lalu berdoa, “Alhamdulilah, Ya Allah . . . alhamdulilah . . . berkatilah kami, berkatilah usia kami, berkatilah rezeki kami. Sesungguhnya Kau Maha Benar, Engkau Maha Berkuasa”

Sekejap itu juga dia terus longlai ke lantai, bersujud syukur kepada Allah azzawajalla.

Karya:

Selasa, 1 Oktober 2013

Skodeng Anak Dara Tidur

Negara digemparkan lagi dengan peristiwa baru-baru ini sekumpulan lelaki baru bersunat (remaja) sudah reti merogol secara berjamaah (Utusan Malaysia: 27 Sept. 2013).

Dalam hemat kes lain, anehnya mangsa rogol itu turut gembira dengan perlakuan perogol jemaah. Malah mangsa redha. Mereka berhujah dengan berdalilkan bahawa kesemua itu sudah ketentuan Tuhan!


Skodeng Aqilah Shafiyah tidur: 2 bulan

Manakala dalam isu yang lain pula, kenduri kahwin yang dimeriahi dengan majlis rewang dan gotong-royong sekampung menjadi tercemar. Majlis walimatul urus itu dicemari pula dengan keracunan makanan (Utusan Malaysia: 1 Oktober 2013). Setakat hari ini (1 Oktober 2013) telah mengorbankan tiga orang tetamu. Mereka yang sakit perut dan cirit-birit melebihi bilangan sepuluh jari pula (180 orang: Utusan Malaysia). Menurut laporan akhbar harian, mangsa terdiri dalam kalangan tetamu yang menghadiri kenduri di sessi petang. 

Pada Zaman Dahulu

Rumah tradisional Melayu rata-ratanya dilengkapi loteng. Loteng ini dibina khas untuk menyimpan barang berharga termasuklah anak-anak dara. 

Loteng berupa lelangit di dalam rumah. Rumah kosong ini amat berguna ketika kenduri-kendara yang melibatkan ramai sanak saudara datang memeriahkan keraian. 

Kaum wanita, terutama anak-anak dara akan ditempatkan di atas loteng. Loteng dijadikan tempat tidur dan persalinan. 

Manakala kaum lelaki rata-ratanya akan ditempatkan di balai khas yang didirikan di luar rumah. 

Langkah seperti ini dapat menyelamatkan maruah anak-anak dara daripada di skodeng ketika tidur. Oleh itu ibu bapa boleh menarik nafas lega bahawa anaknya terselamat daripada mata-mata liar dan keranjang. 



Lantun-lantun daripada
 


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails