‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 9 Julai 2009

Kenangan Lalu Bersama 'Budak Itu'!


Cerita Tentang Bulan arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth telah menggamit kenangan lalu. Sedikit sebanyak ia telah berjaya mengentuk kimpalan padu lubuk kerinduan maza di zaman kanak-kanak. Menyebabkan maza terjengah-jengah sambil berdingkit-dingkit ke kotak minda lama.

Sedang ketika itu maza baharu menjejakkan kaki ke darjah lima, di Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28, Kluang, Johor.

Pada pagi yang berbahagia tersebut, kelas kami telah dikejutkan. Cikgu kelas memperkenalkan kami dengan seorang murid baru. Mata masing-masing terus tertumpu kaku. Memaku pejap ke arah teman baru itu.

Seolah-olah pagi yang agak dingin itu dilimpahi dengan sinar suria. Merubah penumpuan di papan hitam kepada silauan simbahan ceria. Menghasilkan pantulan cahaya yang gemilang dari kejernihan, kepulusan dan keayuan gadis tersebut.

Kelas 5A dihadiahkan dengan kehadiran seorang gadis sunti. Dia tertunduk kemalu-maluan.

"Murid-murid. Ini pelajar baru. Nama dia Rohaiza binti Minhat. Jadi, cikgu nak murid-murid sekalian bantu dia untuk menyesuaikan diri di sini, ya?!.", demikianlah pesan guru kelas kami.

maza tidak tahu hinggalah ke hari ini, Rohaiza itu datangnya dari sekolah mana. Atau mungkin maza sudah terlupa. Tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah dia sudah ada di dalam kelas kami. Dia juga telah membawa banyak perubahan dalam kehidupan kami.

Kenangan Bersama Budak Itu: Rohaiza Minhat

Antara para pelajar golongan cemerlang dan berwajah bersih ketika itu ialah Suriani Rahim, Norazlin Nasir, Massuzah Zakaria, Nor Hazalinda, Anita, Rini Asom, Siti Aishah Abu Bakar dan beberapa orang lagi telah menjadi kawan Rohaiza.

Lantaran itu menambahkan lagi ikatan gadis tersebut digolongkan dalam kelompok gadis-gadis elit di sekolah kami.

Dalam kalangan murid lelaki pula barangkali maza boleh namakan Brad Harris (arwah), Mokhzani bin Roni, Norazhar Abdul Aziz, Mohd Zaki Mohamed (ustaz @ ketua/ penolong ketua geng), Suhaimi Mustafa (ketua geng), Zambri Mohamad, Yazid Yahya dan beberapa orang lain.

Oleh kerana Rohaiza menjadi perhatian yang cukup istimewa, ada dalam kalangan murid darjah kami (termasuklah kelas 5A dan 5B) masing-masing membuat gosip tentangnya (tak pandan dengan masih budak lagi tu.. wakakaka).

Segala gerak-geri dan perbuatan menjadi perbualan harian. Rohaiza sentiasa dalam perhatian. Dia sentiasa diburu oleh mata-mata para pelajar. Di awasi gerak langkahnya, yang entah apa di benak sang pemerhati sedang fikirkan.

Kemudian segala butiran akan dilaporkan, lalu menjadi buah mulut kami.

Bagi mereka yang rasa dirinya tidak layak atau dikira macam kelas kedua di antara jejaka-jejaka sebaya, awal-awal lagi mereka mengaku kalah. Mengecil dan mengerdilkan diri. Mengasingkan diri dari pelajar tersebut.

Manakala golongan yang berkeyakinan tinggi, seperti golongan elit (terutama Mokhzani Roni, Brad Haris, Min - Hishamuddin Md Isa, Selamat Abu, Bakhtiar Md. Shah, dan lain-lain) yang punyai keberanian akan cuba menegur, berkawan dan berkenalan dengan Rohaiza.

Begitu juga dengan beberapa abang-abang senior, membundarkan mata dan cuba mengurat Rohaiza.

Namun golongan pertengahan pula tersepit di tengah-tengah. "Nak kata nak, tapi tak nak. Nak kata tak nak, alahai..." kiranya golongan ini malu-malu gitew...

Oleh kerana golongan pertengahan ini terlalu ramai dan kuat, makanya golongan tegar dan berani menjadi terikut-ikut dengan rentak golongan pertengahan.

Perasaan cemburu dan menyimpan perasaan mulai menyelinap hampir di setiap jiwa kanak-kanak.

Jadinya golongan 'malu-malu meow' ini akan cuba menggosip atau mengejek mana-mana lelaki bujangan yang cuba mendekati, mengenali, berkawan dan merapati Rohaiza.

Bahkan tindakan mereka ini seolah-olah mendapat restu pula dari sesetengah pihak kaum hawa sendiri. Lagaknya seperti persekongkolan antara geng-geng bawah tanah.

Untuk tidak menambahkan parah dan agar Rohaiza tidak perasan yang kami mengatakan perihalnya, lalu kami berikan kod rahsia. Panggilan kod rahsia untuk Rohaiza binti Minhad ini ialah "budak itu."

Contoh ayat yang dirujuk kepadanya ialah seperti berikut:-
"Woo ... semalam kau berjalan kat belakang budak tu yea?"
"Tak ada lah, mana ada. Aku tak perasan pun budak tu ada kat situ!"
"Semalam aku lalu depan rumah budak tu!"

Akhirnya tidak ramai lelaki berani untuk bercakap, berkawan atau rapat dengan 'budak itu' di sekolah kami. kesian... Antaranya termasuklah maza sendiri. Takut dan segan kena gossip beb.. wakakaka.

Jadinya, kalau di dalam kelas ada kerja kumpulan, pelajar lelaki akan takut-takut untuk duduk satu kumpulan dengannya. Atau membuat kerja dengannya.

Pernah maza ditempatkan bersebelahan dengannya di dalam kelas. Menggigil juga kepala lutut ini. Di muka pula cuba mengawal keadaan sebaik mungkin. Kawal macho katanya. Tersengeh-sengeh macam kerang busuk.

Adakalanya hal ini memberikan keuntungan besar kepada pelajar yang berani mendekati beliau. Kiranya, pelajar lelaki tersebut tahap manusia "tidak tahu malu". Bolehlah disamakan seperti watak Roy di dalam filem 'Gila-gila Remaja' lakonan Faizal Hussein.

Hingga kini maza tidak pasti, sama ada Rohaiza tahu bahawa dia itu dulunya digelarkan 'budak itu' dan menjadi buah mulut kami malahan budak-budak kampung, atau tidak!

Pernah terjadi Rohaiza berjalan-jalan bersama teman sepermainannya mengambil angin petang. Dia pergi ke sungai Temigol. Jalan hendak ke sana harus melalui depan rumah maza. Kebetulan pula maza sedang membantu emak menyapu sampah atau paling tidak tengah lepak di beranda rumah (sudah lupa seh..).

Segera maza terjun dan lari menyorok. Takut-takut beliau terlihatkan maza dan tahu bahawa itu pula rumah maza. Ini semua gara-gara takutkan gossip dan dituduh 'ada hati dengannya' oleh teman-teman seperjuangan. Aduhai ... kadang-kala bila terkenangkan peristiwa ini malu sendiri dan tergelak sendirian. Tapi masalahnya bukan maza sahaja yang berkelakuan aneh seperti itu, ada antara teman lain juga berkelakuan seperti maza, malahan lagi teruk. wakakakaka.

Kebetulan pula emak hendak membelikan basikal baru untuk maza agar memudahkan maza ke sekolah. Mulanya maza membayangkan dan mengidamkan basikal BMX yang cukup popular ketika itu. Lagipun basikal itu menampakkan kejantanan dan lasak.

Namun apa yang diharapkan tidak menjadi. Emak membelikan sebuah basikal yang berhandle tinggi seperti basikal kanak-kanak perempuan punyai selalu. Dan ianya berwarna biru sama seperti basikal Rohaiza.

Aduhai, sebaik kawan-kawan maza tahu basikal itu menyerupai basikal 'budak itu', tidak henti-henti mereka mengutuk maza.

Mereka mengejek maza dengan berkata, "woo, ko ada hati dengan budak tu yea! woo... baru aku tau! Yea! Yea! Maza ada hati dengan budak itu! Yea yea!" (memek muka mengejek dan dikenyit-kenyitkan mata). Perkh! Tertekan jiwa dan perasaan.

Kadang kala maza pun pelik. Kalau mereka itu rasa segan hendak berkawan, atau tidak mahu berkawan dengan Rohaiza, tetapi apabila pulang dari sekolah petang atau pagi, mereka sanggup mengekori atau menunggu budak itu pulang. Kalau mengekori pun agak jauh jugalah. Janji konon-konon dapat berjalan bersama.

Pernah, sebenarnya selalu, tiap-tiap kali balik dari sekolah agama. Jika Rohaiza menyusur jalan di sebelah kanan, maka kami semua akan menyusur pula di sebelah kiri.

Pada suatu hari Bakhtiar bin Md. Shah secara tidak sengaja mengekori Rohaiza di jalan yang sama. Lalu Azham bin Abdul Aziz mulakan gerakan mengejek Bakhtiar. "Woo... Ko jalan dengan budak tu yea?! Haaaaa...."

Adakalanya maza terpaksa menjadi seperti lembu dicucuk hidung. Mengikut sahaja. Aderkkk.. (kira macam mangsa keadaan gak ler.. karang tak ikut karang, tak ada geng lah pulak)

Secara peribadi maza mulai rapat dengan beliau; boleh bercakap, berani berbual, berkomunikasi seperti teman-teman biasa walaupun ada perasaan takut, segan dan malu, setelah kami berada di tingkatan satu. huhuuuhu

Keberanian itu mungkin disebabkan ketika itu ramai pelajar elit kami telah berpindah sekolah yang jauh lebih bagus. Lantas meninggalkan kami yang kurang 'elit' di sini. (Ini tidak bermakna Rohaiza terkeluar dari golongan elit atau pelajar pintar. Cuma keadaan dan sesuatu keperluan yang dia terus tinggal bersama-sama kami)

Tambahan pula, masing-masing mula meningkat remaja. Sudah mulai terdedah dengan persekitaran lalu mampu membuka minda masing-masing.

Namun 'taboo' itu masih tetap ada, tetapi tidak bertiup begitu kencang seperti mula-mula di sekolah rendah.

Mungkin satu hal lagi ialah kekerapan kami terserempak di dalam sekolah yang sama. Baik di sekolah pagi mahupun sekolah agama. Di kantin dan padang permainan yang sama. Kami satu darjah dan satu arah balik ke rumah masing-masing. Barangkali hal itulah juga yang telah merungkaikan 'barrier' yang begitu tebal.

Rohaiza sempat membesar bersama-sama kami sehinggalah ke tingkatan tiga. Setelah itu dia menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Perdagangan di Johor dengan keputusan peperiksaan SRP yang memberangsangkan.

Maza?! Seperti biasalah, masih setia di sekolah kampung itu. huhuhu.. (belum ada rezeki kaedahnya.. hehehehe).

Semenjak itu juga hubungan kami semakin rengang dan hari ini ia telah terurai.

Hmm ... dimanakah Rohaiza sekarang ya? Berapa orangkah anaknya? Siapalah lelaki yang bertuah itu? atau maza seorang aje yang tertinggal kapal tidak mengetahui keadaannya hari ini?! Harap-harap hari raya tahun ini mampu menemukan kami semula. Hmm?...


Maza yakin anda juga mempunyai kenangan terindah di waktu sekolah rendah dahulu. Apa kata, jika anda kongsikan pengalaman menarik anda itu di kotak komen di bawah ini ... hehehhe


Pingan ayan: kalau ekau tau lah tentang budak ini, bawalah ke mari dio tu. Dah lamo bonar den tak dongar an berito si Milah tu ha!... huhuhu..

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails