 |
| Lokman sebelah kanan sekali, memakai baju kuning |
"Lokman pindah malam ini ke Terengganu. Balik kampung katanya." Isteri maza mula buka mulut.
"Kenapa pula dengan budak tu?" maza hairan.
Lokman merupakan kawan baik kepada anak-anak maza. Berkawan dan
membesar bersama-sama di rumah tingkat tinggi-tinggi ini. Mereka pernah
bersekolah tadika bersama. Bermain bersama. Ke masjid pun bersama.
Malah, Lokman antara anak-anak yang sering mengajak anak-anak maza ke
masjid dan ke surau berdekatan. Terutama apabila ada sesuatu majlis di
sana, tangan anak-anak maza akan diheret bersama.
Ibu Lokman
seorang graduan, tetapi memilih menjadi guru tadika berikutan desakan
hidup. Ayahnya, Helmi, sebagai juruteknik di syarikat hypermarket.
Istimewanya, maza juga berkawan dengan nenek Lokman, Puan Fatimah (Mak Kiah).
"Budak-budak ni tanya kenapa Lokman nak pindah. Jawab Lokman, mak aku cakap kos sara hidup kat sini tinggi."
Ya, maza terpaksa akur dengan kata-kata ibu Lokman, Cikgu Milah, yang pernah mengajar anak-anak maza.
Lokman dan adiknya, Balqis, memang cerdik budaknya. Sering bertandang untuk mentelaah pelajaran.
Hati menjadi sayu. Hiba itu menendang pintu hati. Kotak memori
terkangkang luas. Betapa tidaknya, maza pernah berada dalam situasi
sebegini. Kawan-kawan baik merangkap kawan sekampung pindah keluar dari
kampung. Bukanlah disebabkan kos hidup yang menekan seperti sekarang
dengan cukai GST, inflasi, penghapusan subsidi, kenaikan petrol,
pengembangan kerjaya terhalang, ekonomi menguncup dan pelbagai lagi
cabaran di ibu kota. Mereka berpindah disebabkan ayah berpindah kerja
kerana dinaikkan pangkat atau memperoleh peluang memperbaiki pendapatan
keluarga.
Selain itu, kawan-kawan maza sendiri meneroka potensi
diri dengan berpindah sekolah di bandar atau sekolah berasrama.
Orang-orang tua kata, masa depan mereka di sana lebih terjamin. Apalah
yang dapat sekolah kampung tawarkan untuk kecemerlangan dan kemajuan
anak-anak hebat ini? Jadi, eloklah mereka meneruskan langkah maju ke
hadapan.
Antara rakan-rakan kecil maza yang terpisah ialah Azham
bin Abdul Aziz, Supian Sabtu, Sufian Mohammad, Rohaiza Minhat, Norazlin
Aziz, Nazariah, Hazalinda, Massuzah, Rosli bin Jeffry, Hamidah Salim,
Mohd Zaki Mohammad (anak Atan Bilal), Ustaz (Suhaimi bin Mustapa bin
Sidin), Zamri Mohammad, Suriani Rahim, Diana Hatley, Norlelawati dan
ramai lagi.
Tiada siapa tahu sendu menerpa tampa dipinta.
Saat-saat di darjah enam ke tingkatan satu, malam-malam berlalu itu
dirasakan sepi. Air mata ini mengalir kerinduan dengan teman-teman.
Apabila di varsiti, perasaan hiba itu datang kembali. Berpisah dengan
pensyarah, kawan-kawan fakulti dan kolej yang dicintai.
Maza pesan pada isteri agar benarkan Lokman dan anak-anak maza bersama-sama.
Biarkan mereka meluangkan masa selama mana mereka mahu. Malam ini mereka
berpisah. Entahkan bila akan bertemu. Maza tidak mahu, atau setidaknya
mereka dapat meminimumkan rasa pilu seperti yang pernah ayahnya lalui.
Selamat jalan Lokman, selamat sukses Helmi dan Cikgu Milah. Kami sedaya
upaya untuk bertahan di sini. Selagi ada hayat. Selagi kami mampu, kami
akan setia di sini. Mudah-mudahan kita dianugerahkan rezeki untuk
bertemu kembali. Selamat pulang kawan ke kampung halaman.
~
nukilan alam~
ammak satu kali