β€˜Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 25 Julai 2025

π——π—”π—Ÿπ—”π—  π—žπ—˜π—šπ—˜π—Ÿπ—”π—£π—”π—‘ π—›π—œπ—§π—”π—  π—Ÿπ—˜π—šπ—”π—  π— π—˜π—‘π—–π—”π—₯π—œ π—žπ—˜π—œπ—žπ—›π—Ÿπ—”π—¦π—”π—‘

"Kau boleh tolong bawa Ujang, anak Acik ke klinik swasta di bandar sana?" Makcik Senah dalam suara tua berusia 80 tahun meminta bantuan.

"Kakinya bengkak. Tak boleh bangun. Sudah dekat seminggu. Aku ni dah cari kereta lain, tapi semua tak boleh hantar." Adu Makcik Senah.

Saya menjadi serba salah. Hati ini bercampur baur antara mahu dan tidak mahu. Sejak awal lagi hati ini berasa berat yang bertindih-tindih.

"Hmm . . . Esok hari Khamis, saya berniaga di pasar malam. Kalau pergi sebelah pagi sekali pun, saya takut terkejar-kejar. Nak ke bandar makan masa satu jam perjalanan. Mahu tunggu di klinik lagi. Balik lagi." Saya memberikan alasan dan keberatan itu ada merit juga.

"Maaf Makcik Senah, ya. Kenapa tak nak hantar anak ke klinik kerajaan di pekan tu? Di situ lebih dekat. Kos rawatan cuma RM1, berbanding klinik swasta?" Saya menduga dan inginkan kepastian.

Makcik Senah ini bukanlah orang senang. Tinggal pun menumpang di tanah kerajaan. Tanah reserve. Malah tergolong dalam kalangan asnaf dan penama e-Kasih. Sudah beberapa tahun dia adalah penama awal penerima zakat fitrah di kampung ini.

"Huh! Aku malas ke sana. Leceh. Peristiwa hitam tu masih membelenggu."

Ya, beberapa belas atau puluh tahun lalu, keluarganya ada kisah suram di sebalik klinik kerajaan di pekan itu. Anehnya, ketika dia mendapatkan perkhidmatan endocrine untuk rawatan penyakit kecing manis dan darah tinggi, klinik kerajaan di pekan itulah dipanjat tangganya. Di situlah dia menyerengai, termenung bersama buku hijau menanti giliran. 

Namun, jauh di sudut hati, saya akui dia berhak untuk mendapatkan pilihan dan perkhidmatan yang terbaik untuknya. Mungkin dengan ke klinik swasta itulah yang terbaik untuk keluarganya dan mampu dilakukan. Lagipun, siapa lagi nak bantu bisness klinik swasta, kan?

"Macam nilah Makcik Senah, saya tak boleh janji esok pagi saya dapat bantu. Saya akan cuba minta tolong dengan orang kampung yang lain terlebih dahulu untuk bawa si Ujang."

"Aku dah call banyak orang dah. Semuanya ada urusan. Cuma engkau ajelah aku harapkan."

Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Hati masih jauh merestui. Kendatipun, saya gagahkan diri juga untuk membantu keluarga kecil ini.

"Err . . . Bukan ke Makcik Senah ada anak saudara yang berkereta? Si Sohot dan Meskam."

"Dia orang dah lama tak lalu depan pintu rumah makcik ni. Bertahun rasanya. Kalau kau jumpa dia orang tu, bolehlah sampaikan hajat makcik ni, ya."

Malam itu saya ke surau seperti biasa. Terserempak dengan Sohot. Saya pun sampaikan hasrat emak saudara Sohot, si Makcik Senah.

"Bukan kau tak tahu. Esok sebelum subuh aku sudah berangkat ke tempat kerja di bandar tu. Jadinya, aku tak dapatlah nak bantu dia.

"Kalau ikutkan hati ini, aku memang malas nak layan orang tua tu. Masa muda-muda, dia selalu manjakan si Ujang. Apa kata si Ujang, semua diturutinya. Sanggup bermusuh dengan anak beranak dan jiran tetangga.

"Sampaikan Udin Labuh, abang si Ujang tu sendiri terabai. Ujang buat salah, orang tua tu juga yang belanya di balai polis. 

"Sudah terang-terangan ditangkap polis sebab mencuri dan berdadah, orang tua tu juga tak percaya dan dituduhnya orang kampung khianat pada anak dia. Tu hari, baru lepas dari penjara. Entah berapa kali orang tua tu nak jamin si Ujang. Habis duit ke situ aje. Tak serik-serik si Ujang ini."

Usai solat Isyak, saya cuba dapatkan perkhidmatan kereta prebet sapu. Asalnya dia bersetuju dan gembira dapat bisnes seawal pagi. Setelah tahu penyewa sebenar, 10 minit kemudian dia telefon kembali. Dayang si prebet sapu cakap dia tak dapat nak bantu. Keretanya bermasalah. Rosak itu dan ini secara tiba-tiba. Saya tidak berani nak menuduh bukan-bukan tentang penolakan itu, namun naluri saya keras berkata sesuatu yang tidak murni.

Walau bagaimanapun, Dayang ada tinggalkan nombor telefon Pak Janggut. Duda tua yang tinggal sendirian dalam gubuk di tengah-tengah kebun sawit. Pak Janggut kerap kali kelihatan sedia mengambil charter kereta kancilnya yang sudah berusia lebih 25 tahun itu. Asal beroleh laba dan muat ke dalam kereta comel itu, dia sudi berkhidmat.

Saya pun serahkan nombor telefon Pak Janggut kepada Makcik Senah. Dalam hati kecil, mudah-mudahan urusan Makcik Senah anak beranak dipermudahkan Tuhan.

Terjaga ketika subuh menjelang, perasaan kembali mempersoalkan tindakan saya yang semalam. Kenapa begitu berat hati untuk membantu kali ini? Jauh betul mahu ikhlas menolong. Apakah?

Ahh . . . saya tidak henti-henti menyalahkan diri dan beristighfar. Sombongkah diri ini? 

Astaghfirullahalazim... Perlahan-lahan saya melafazakan kalimat itu.

Peristiwa ini memberikan satu peringatan kepada saya; 1) jangan terlalu manjakan anak-anak sehingga buta tentang baik dan buruknya sehingga menjejaskan orang kampung, 2) jangan buat masyarakat, jiran dan saudara sebagai musuh atau sentiasa tidak selesa dengan kita, 3) sentiasa membuat kebaikan walaupun kepada musuh (yang ini sukar, tetapi itulah lubuk untuk masuk syurga).

Isnin, 5 Jun 2023

SEJARAH ASAL USUL TEMIGGOL

 SUNGAI TEMIGGOL

Sungai Temiggol
Sungai Temiggol

Tiada rekod untuk menunjukkan asal muasal nama Sungai Temiggol ditemui. Sungguhpun demikian, penyelidikan lanjut mendapati ejaan Temiggol telah dieja dengan pelbagai ragam dan bentuk. Antaranya ialah Temiggol, Teminggol, Temigol dan Tumigol. Kajian mendapati, pada geran tanah mukim Kahang yang dikeluarkan sebelum merdeka 1957, kata nama Temiggol telah dieja dengan perkataan Tumigol (ΨͺΩˆΩ…Ϊ έ’Ω„).

Carian seterusnya menampilkan frasa Tumigol ini wujud di dalam bahasa Bobongko.

Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg Sri Lukut, Kahang

Bahasa Bobonko dituturkan oleh sebahagian kecil kaum yang berasal dari perkampungan Lembanato dan Tumbulawa, Kepulauan Togian, Tengah Sulawesi, Indonesia.

Maksud perkataan Tumigol ialah berdiri (stand).

Sungai Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, lokasi liburan dan pelancongan

Teori

Pada awal pembukaan kampung ini, terdapat beberapa buah keluarga berketurunan Bugis yang berasal dari Sulawesi. Secara umumnya, Sungai Temiggol yang muranya bertembung dengan Sungai Madek telah menjadi jalan pengangkutan, sumber rezeki dan kawasan penempatan awal di Kampung Sri Lukut. Lantaran itu, sungai ini telah diberikan nama Tumigol bagi menyatakan tempat berdiri atau berdiamnya selain menerangkan kewujudan (melalui penggunaan bahasa Bobonko itu) tentang keluarga berketurunan dari Sulaweisi atau Bugis di sini.

Sungai Temiggol
Sg Temiggol, Kg. Sri Lukut, tempat 'healing' gaya Kampung People

Hasil daripada proses asimilasi, perubahan budaya dan keadaan setempat terutamanya dengan kehadiran ramai keluarga berketurunan Banjar dari pulau Kalimantan, perkataan Tumigol mula berubah. Demikian juga apabila tulisan rumi mula mengambil tempat tulisan jawi, maka ejaan untuk menyesuaikan perkataan Tumigol (ΨͺΩˆΩ…Ϊ έ’Ω„) turut berubah menjadi Temigol, Temiggol atau Teminggol.

Dapatan ini bukanlah sesuatu sejarah dan bukti yang konkrit, namun sekadar teori bagi menggambarkan perkaitan kewujudan nama Temiggol.

 

Rabu, 25 Januari 2023

FENOMENA INDAH SEPERTI TAMAN SYURGA: TAMAN REKREASI SUNGAI TEMIGGOL

 Januari 25, 2023 (Rabu), Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor - musim tengkujuh kini bersambung dengan Tahun Baharu Cina. Sejak dua hari lalu hujan lebat menimpa bumi Kg. Sri Lukut. Kejap-kejap lebat, ada masanya menjadi reda. 

Bah di Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Air jernih melimpahi Taman Rekreasi Sg. Temiggol

Keadaan cuaca sebegini menyebabkan sesetengah kawasan rendah dinaiki air. Sehingga catatan ini dilakukan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Becana Banjir tidak lagi dibuka di sini. 

Air sungai mula penuh dan ada beberapa kawasan sudahpun melimpah. Tidak terkecuali di Taman Rekreasi Sg Temiggol yang dikelilingi oleh tiga sumber air iaitu Sungai Temiggol, tali air pengairan sawah Kahang dan Sungai Mengkarung. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Fenomena Alam Musim Tengkujuh

Limpahan air dari hutan dan bukit sekitar telah mengakibatkan fenomena indah ini. Kawasan sekitar Taman Rekreasi Sungai Temiggol digenangi air jernih sehingga boleh menampakkan anak-anak ikan berkeliaran. Sesekali terlihat kelibat ikan-ikan sungai yang bersaiz sederhana dan besar.

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Antara Lokasi Penemuan Ikan Tapah

Seputar tahun 1988, di kawasan ini berlaku tragedi ikan tapah. Ketika itu musim tengkujuh. Ikan-ikan tapah yang pelbagai saiz dan besar-besar belaka telah berenang dan memasuki kawasan hutan simpan kekal ini. Zaman itu Taman Rekreasi Sungai Temiggol belum dinaiktaraf sebagai taman rekreasi atau pusat rekreasi. Kawasannya masih dalam keadaan semulajadi yang dikelilingi oleh hutan belantara.

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Pondok atau Wakaf

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Antara Anak Sungai yang Mengelilingi Taman Ini

Penduduk kampung berpesta ikan tapah. Ikan tapah ditombak, dipukat dan dijaring. Rekod mencatatkan ikan tapah seberat 40 kilo berjaya dibawa naik. Limpahan rahmat ini telah membawa rezeki besar sehingga ada penduduk kampung mampu membeli sebuah motorsikal RXZ 133cc hasil tangkapan tersebut.

Bah di Sg Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Kini fenomena itu tinggal sejarah. Setakat ini kejadian tersebut tidak berulang lagi. 

Sungguhpun demikian, Taman Rekreasi Sg. Temiggol kembali dirahmati dengan fenomena alam yang satu ini. Air jernih melingkari kawasan menciptakan keindahan alam yang begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Semoga Kg. Sri Lukut dilimpahi rahmat dan di dalam pelindungan ALLAH SWT.


Nukilan lantun-lantun


Rabu, 14 September 2022

I LOVE SG TEMIGGOL

 


Taman Rekreasi Sungai Temiggol menawarkan pelbagai dan banyak aktiviti riadah untuk ahli keluarga.

Selain berkelah, terdapat kemudahan berkhemah, inap desa dan tempat-tempat menarik seperti bendang dan hutan simpan hidupan liar kekal.

Taman Rekreasi Sg Temiggol terletak di tengah-tengah perkampungan tradisional Kg. Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor.

Jom ke sini. Kita santai dan beriadah bersama-sama.


Hik hik
Ammak satu kali

Ahad, 24 Julai 2022

ANAK SAYA SEORANG ATLET JUGA: SEKOLAH KEBANGSAAN KAHANG BATU 28

Sekolah Kebangsaan Paloh, Kluang, Johor - Pada hari ini saya terpaksa melepaskan anak saya, Aqlan Sholehin, untuk menyertai kejohanan ragbi peringkat MSSD Daerah Kluang. 

Awalnya saya macam tidak percaya dengan tenaga, skill dan bakat Aqlan dalam dunia kesukanan. Badannya sekeping; kepeng. Banyak tulang selangka berbanding isi, lemak dan otot sado.

Cikgu Samsuri Nasir pernah menyakinkan saya, terutama keupayaan Sekolah Kebangsaan Kahang dalam kejuaraan yang satu ini.  Bukan kaleng-kaleng katanya. Pernah menjadi juara di perinkat MSSD dan terpilih ke peringkat negeri. Anak saya terpilih berikutan bentuk fizikal yang tinggi dan kepercayaan bakat serta skill yang terpendam di dalam dirinya. 

"Paling tidak pun, dapatlah dia mencatat namanya dalam sijil. Buat bekal untuk dia pada masa akan datang." Cikgu Samsuri menyakinkan saya di Warung Ina Jeman yang menghadap bendang terbentang saujana mata memandang itu. 

Hari ini telah menjadi saksi besar!

Pasukan Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28 yang diwakili oleh barisan atlet cilik dan anak saya itu telah mencetak kejayaan sebagai Naib Johan di Kejohanan Ragbi MSSD Daerah Kluang. 

Sekarang bukan setakat mencetak nama di sijil tamat sekolah atau sijil yang khusus, Aqlan Sholehin memperoleh sebuah pengalaman berharga. Setidak-tidaknya dia mempelajari erti perjuangan. Sebagai seorang lelaki, dia adalah seorang pejuang, pewira, pendekar, pemimpin, pahlawan dan pelindung kepada kehidpan mendatang. 

'I proud of you, my son.'

Tiba-tiba nak 'claim; Like Father like son.'

Dahulu ayahnya ini atlet juga. Pernah menyertai beberapa kejohanan seperti bola sepak, hoki, badminton, catur, pidato, debat, forum, lumba basikal gerek mencelah pokok (acara kampung), tiup belon peringkat hari keluarga.

Namun seingat-ingat ayah paling dalam ialah menjadi juara melontar sabut di tengah padang peringkat rumah pasukan. 

Juga acara balapan berenang di tengah laman ketika hujan peringkat rumah sewa. Masa ini ayah naib johan sahaja. Johannya ialah Ustaz Idris bin Saleh. 

Selain itu ayah pernah menduduki tempat ketiga di belakang Ustaz Zulkifli bin Zainal dan Rozlan Mohamed Noor dalam hafalan kitab peringkat rumah sewa Setingarden, Jalan Kubur, Pantai Dalam, KL. Jangan ditanya nama kitab kuning "Permata Yang Itu". Ayah lupa nama kitabnya. Ni semua pasal tertelan 40 ekor semut, dek kerana ibu kau salah bancuh air teh o beng. Azab! Huhuhu.

Jadinya, ayah bukanlah sembarangan juga dalam arena dunia kesukanan. Boleh diiktiraf sebagai mantan atlet! (wakaka - ketawa gatal)

Tahniah Aqlan Sholehin, Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28, para jurulatih dan guru-guru yang terlibat. 

Hik hik.
Ammak satu kali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails