‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 10 Jun 2016

USTAZ ZAKI KETUA GENG KAHANG


Ustaz Mohd Zaki bin Mohammad

Terdapat dua geng utama di kampung dan sekolah sewaktu saya bersekolah tadika (1981) dan Sekolah Rendah Kebangsaan Kahang Bt. 28 (1982-1988).

Geng-geng ini amat berpengaruh. Mereka amat disegani dan boleh mengancam keharmonian pemuda-pemuda kecil.

Sesiapa yang tak masuk geng, hidupnya merana. Meracau tak tentu hala. Hidup bersendirian bagaikan orang terbuang, terpinggir dan dipulau (outcast, isolated, freak).

Ketua-ketua geng ini biasanya diketuai oleh dua orang yang bertalian sepupu iaitu cucunya atuk Saidin. Mereka juga merupakan dua pupu saya. Geng ini diketuai oleh Ustaz Suhami bin Mustafa dan Mohd Zaki bin Mohammad (Atan Bilal).

Adakalanya geng-geng ini bertembungan dan kebanyakan masa mereka bersekutu bagi menentang geng ketiga yang lebih kecil pengaruhnya. Keadaan ini berlaku bukan setakat merebut 'territori' dan persempadan semula tetapi hampir meliputi segala-galanya seperti pertandingan permainan dan perlawanan rumah sukan.

Sebagai anak desa, banyak aktiviti geng ini tertumpu kepada alam sekitar, bermain ceper, ram-ram reap, lompat getah, tikam-tikam, main gasak, belon acah, dam haji, bola tangkis, lompat galah, rebut tiang, baling tin, sorok ibu, berkubang tali air, memanjat pokok sena dan kemunting, mencari buah susu, gajus dan jambu batu selain aktiviti mentelaah pelajaran bersama.

Ketua geng ini 'mencengkam kuasa' sehingga kami berusia 13 tahun. Geng menjadi tidak karuan akibat Ustaz dan Zaki berpindah sekolah di Sekolah Maahad Rompin, Pahang. Pengaruh pimpinan ketua geng ini terhakis dan diambil alih oleh dua pupu saya juga iaitu Abd Wahid bin Othman.
Di bawah pimpinan Wahid (a.k.a Boy), semua geng disatukan.

Hari ini (24.04.2016), saya dan Ustaz Zaki ditemukan jodoh untuk bersemuka kembali setelah bertahun tidak bertemu. Ustaz Zaki semakin mengukir nama dan amat dikenali sebagai penceramah, pendakwah dan pengetua sekolah agama di Johor.

Beliau adik kepada Ketua Kampung Sri Lukut. Ustaz Zaki berkelulusan dari Universiti Al Azhar menjadi permata berharga dari Kg Sri Lukut, Kahang. Namanya harum ke sepelusuk negeri Johor telah mengangkat nama anak jati Kg Sri Lukut sebagai ilmuan, insan soleh dari Kahang.

Tiada siapa yang menduga kenakalannya sewaktu kecil sebagai ketua geng dibalas pada hari ini menjadi insan terpilih. Beruntunglah ibu bapa dan rakyat Kahang.

~maza tumpang bangga~
Lokasi bersidang Kedai Bawah Pokok Durian, Pekan Kahang.
Alhamdulillah

Rabu, 1 Jun 2016

Mengejar Sibu-sibu

 
 
Ini ialah pepatung atau sibu-sibu ya kengkawan. Lokasi rakaman serangga ialah di parit tali air sawah Kahang.

Sewaktu kecil, maza pernah mengejar dan menangkap sibu-sibu ini. Kerja menghambat dan menjerat pepatung bukannya mudah. Perlu berhati-hati. Peluh jantan boleh meleleh, hasilnya belum tahu dapat.


Setelah tahu teknik menghendap terbaik dan sibu-sibu terperangkap, maza bertindak nakal. Maza mencari rumput kemuncup atau bunga lalang. Kemudian batang rumput yang halus itu dicucukan ke dalam bontot sibu-sibu. Selepas itu sibu-sibu dilepaskan sambil menyergahnya supaya pepatung itu terbang tinggi. (amaran: jangan tiru aksi ini...huhuhu).

Sekarang ini maza taubat tidak mahu buat perkara itu lagi (huhuhu)


Kisah fotografi alam -- sayangilah alam sekitar!

hik hik
~ammak satu kali~
 

Selasa, 24 Mei 2016

NASI KANDAR BERATUR


Nasi Kandar Beratur, Pulau Pinang.

Pulau Pinang - demi kepuasan ke atas setiap suapan ramai yang sanggup beratur panjang walaupun hujan menitis laju.

Beratur Panjang Untuk Makan



Maza sampai warung ini pada jam lebih kurang 11.00 malam. Pelanggan mula berbaris tanpa mengenal bangsa, semuanya hanya mahu menikmati hidangan dan memenuhkan perut.

Uniknya restoran ini hanya bermula perniagaan jam 10.00 malam hingga ke dinihari. Modus operandi sebegini telah bermula semenjak tahun 1943.

Sebaik membuka pintunya, orang ramai mula menyerbu. Hidangan nasi kandar menjadi pilihan; nasi putih, ayam masak merah/goreng dan kubis goreng.

Maka bertepatanlah restoran ini diberi nama Restoran Nasi Kandar Beratur.

Lokasi: Pulau Pinang, Lebuh Buckingham, sebelah Masjid Kapitan Keling.


kata kunci: nasi kandar beratur, makanan istimewa di Pulau Pinang, nasi kandar sedap, makanan sedap Pulau Pinang, Jalan-jalan cari makan

Menyudu kuah menjilat jejari~
ammak satu kali



Khamis, 19 Mei 2016

PETUA HALAU TIKUS MENGGUNAKAN SERBUK KOPI

Bicara dari sessi mengeteh di warung
Kg Orang Asli, Batu 26 Kahang

Kajian saintifik terkini mendapati serbuk kopi amat mujarab untuk menghalau dan membasmi tikus rumah.

Caranya ialah

1) sediakan enam camca serbuk kopi Arabica yang telah dicampurkan dengan dua camca gula.

2) gaulkan serbuk kopi Arabica dan gula tadi dengan sebati di dalam bekas. Seeloknya dalam kole atau cawan.

3) sediakan sebatang rotan atau kayu panjang.

4) cari lubang yang menjadi jalan keluar masuk tikus.

5) tuang serbuk kopi dengan air panas dalam cawan tadi.

6) nantikan tikus keluar. Sambil-sambil itu hiruplah air kopi panas tadi.

7) jika ternampak tikus menjenguk, segera hayunkan rotan atau kayu ke lubang itu.

8) ulang hayunan padu tadi sampai kena tikus. Lakukan berulang kali sehingga tikus tadi taubat nasuha mahu mengganggu kehidupan sentosa anda.

9) jika tikus masih tidak muncul, hirup lagi air kopi tadi. Tunggu di lubang itu dan jangan tidur. Kalau mengantuk, hirup lagi air kopi tersebut.

Selamat mencuba dan berjaya.

Hik hik

Idea lantun-lantun
MAZA

Isnin, 16 Mei 2016

LENGIT KALAH MAIN KOMBAT


Bermain kombat dengan anak-anak dalam hujan

Antara permainan maza ketika kecil di kampung (Johor) ialah main kombat (combat) akibat terpengaruh cerita “Ba Ba Black Sheep”(drama siri televisyen tahun 80-an). Sambil berlenggeng berbekalkan pistol ranting dan senapang kayu kami bersembunyi di balik pokok. Kerja-kerja askar menyerang musuh pun bermula. Kami berkejaran sana-sini dan menyorok mencari tempat perlindungan. Bunyi senjata memecah kedamaian kampung.

Kombat tidak habis di situ. Medan perang bertukar di sawah dan ban (taliair). Selalunya perang lebih asyik di Sungai Temiggol yang airnya separas buku lali.

Batas, parit atau perdu pokok di tebing sungai dijadikan benteng pertahanan. Tanah liat dikumpul, dicekut, diseluk dan dikaut kemudian dikepal-kepal. Pecah perang apabila peluru-peluru tanah liat yang dikepal tadi melayang ke udara, bertukar-tukar menghentam dan menyerbu kubu lawan. Bom sana, berdesir sini, bertalu-talu membaham benteng perlindungan dan tubuh kerdil kami. Akibatnya air sungai menjadi keruh. Badan penuh dengan lumpur. Habis perang kami berkubang. Menyelam dan bermain ‘ram-ram reap’ air. Bahagia.

Tidak lama selepas itu Pak Andak atau Pak Ude (bapa saudara merangkap jiran sebelah rumah) menjengguk ban sambil menggaru kepala. Dari jauh kedengaran dia melaung, “Hoi, aku nak mandilah! Air keruh macam mana orang lain nak mandi! Siap korang, siap korang! Aku cakap kat mak bapa korang!”. 

Marah betul Pak Andak (kihkihkih, ketawa nakal)

Apa lagi, kami pun bangkit dari ban dan cabut lari. Setengah jam jugalah Pak Andak dan Pak Ude yang berada di hilir ban itu menanti air kembali jernih.

Tewas perang, ada yang balik awal sambil mengheret selipar pulang ke rumah dengan tanah liat bertepek di belakang badan dan kepala. Perlahan-lahan terdengar suara tangisan. (hahaha, sila ketawa orang jahat).

Ada masanya emak melarang kami bermain di luar rumah. Semangat jihad tidak dapat dihalang dengan tegahan itu. Bantal, tilam dan kusyen kerusi akan disusun begitu strategik. Pertahanan kubu  mesti kukuh. Sebentar lagi akan berlaku pertempuran dan mengempur musuh. Bunyi ‘machin gun’, senapang, pistol, bom, motar, kereta kebal mula kedengaran. Bingit dan sibuk sana-sini. Tidak cukup hebat lagi, kusyen itu pula melayang membadai kubu lawan. Berterbanganlah kusyen tersebut silih berganti. 

Kebingitan kombat itu hanya akan terhenti apabila salah seorang daripada kami atau kesemuanya kena jinjit cuping. Emak memiat telinga sambil berkata, “Biasa ni, biasa ni. Susun balik!”

Selain bermain kombat, kami juga bermain baling selipar, baling tin dengan bola, belon acah, polis sentary dan macam-macam lagi. Dalam permainan ini jika kalah akan diejek “lengit”. Perit telinga kena ejek. Siap ada lagu khas berpantun irama.

nget nget,
buku benang,
sape lengit,
nak bertunang,

nget nget,
perut gendut,
budak lengit,
kuat berendut...

Yang memedihkan telinga, seharian itu jugalah terpaksa menghadap lagu-lagu lengit ini. Tahan sabar sahajalah.

Selepas puas mengejek atau senja sudah menjelma, kami bersurai. Keesokan hari kami bersatu kembali untuk bermain.

~nostalgia anak-anak kampung generasi lalu~
ammak satu kali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails