‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 5 Januari 2011

Gosip Rumah Bertingkat



(Gambar 1: Kondominium mewah di persimpangan Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur)

Tahun 2003, Ahad, sekitar jam 8.30 pagi, isteri maza yakni Darling sedang mencuci koridor di Kondo Rakyat, Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Rumah kami di tingkat 19. Oleh kerana rumah kami terletak agak privasi dan teratas sekali, maza menggelarkannya Pent House *(berangan aje...hehehe).

Usai membasuh koridor tersebut tiba-tiba makcik tingkat bawah marah-marah. Menjerit-jerit bagaikan guruh dan petir berdentum hebat di langit.

Rupa-rupanya isteri maza sudah membuat satu kesilapan. Darling tidak perasan yang makcik tingkat bawah itu sudah menyidai kain bajunya di ampaian yang berbetulan pula di bawah lubang saluran air kami. Habis kain bajunya yang sudah siap berbilas dibasahi oleh air kotoran.

Kondominium Jalan Duta

(Gambar 2: Sebuah kondominium dan ruangan pejabat sedang dalam pembinaan.
Lokasi Jalan Duta, Kuala Lumpur)


Mendengarkan kehebatan tikaman lidah dan amukan makcik tingkat bawah itu, isteri maza menjadi ketakutan. Apatah lagi suara makcik bawah itu terjerit-jerit seperti wanita histeria. Dia memanggil-manggil orang tingkat atas. Katanya kami kurang ajar! Kami tak sekolah! Tak berhati perut, pengotor, dengki dengan kebahagian orang lain dan bermacam-macam lagi.

Makcik-makcik setingkat dengannya keluar semuanya berdondon-dondon menjengah dan meninjau makcik yang menjadi mangsa itu. Makcik-makcik yang tingkat bawah dan bawah dan bawah pun sama-sama berlari-lari naik ke atas mahu memeriksa perkara hal yang berlaku. Ada antara mereka itu yang menjadi batu api, memarakkan lagi amarah makcik tingkat bawah.

Isteri maza menjadi seram sejuk, malu dan tidak berani untuk bersemuka dengan makcik tingkat bawah untuk meminta ampun merafak sembah.

Melihatkan keadaan getir sedemikian rupa, maza mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga lalu turun untuk meminta maaf. Maza juga bersedia dihukum untuk mencuci semua pakaian yang terkena kotaran itu beserta dengan mencuci koridornya sekali.

Sebaliknya makcik tu cakap: "Tak payah! Aku boleh cuci sendiri. Aku takut kau tak reti cuci. Tak bersih. Pengotor!"

maza fikir makcik tingkat bawah tersebut ikhlas menerima kemaafan maza sekeluarga. Dan maza menerima segala kutukan tersebut dengan penuh kesedaran rasa tanggungjawab dan sabar menelannya bulat-bulat. Apatah lagi sebaik mengenangkan kami ini baru pindah hanya beberapa bulan lalu ke situ. Lagi pun kami ini pengantin baru. Inai masih pekat lagi di jari *(alahai tetiba terkenanglah fulaks pelaminnya.. eihik, eihik, eihik..gedik).

Di benak maza dipenuhi rasa kesyukuran yang perkara itu sudah pun menemui jalan penyelesaian. Tidak perlu lagi gaduh-gaduh. Tak perlu diperbesar-besarkan. Lagi pun kami ini jiran tetangga. Selepas bersemuka ini keamanan, kedamaian dan harmoni akan pulih kembali. Tidak perlu mengungkit-ungit. Kata orang putih, 'settle in once for all.'

(Gambar 3: Sebuah lagi kondominium mewah dalam pembinaan
di Jalan Duta, Kuala Lumpur)

Elok sahaja maza menapak naik ke anak tangga akhir untuk pulang ke rumah, makcik tingkat bawah kembali menikam belakang maza. Dia terus-terusan dengan bebelan dan hamunan ketidak puasan hatinya. Menghina kami sekeluarga. Suaranya dilontarkan kuat-kuat hingga boleh didengari seluruh kondo rakyat itu. Makcik-makcik lain yang berkumpul sama tadi turut menambah perisa. Kalau ada yang menyabarkannya cuma seorang dua. Mereka yang lain pakat menghembus nafas dengan kata-kata untuk memarakkan lagi amarah.

"Pengotor! Habis kain baju aku. Penat aku cuci. Tak ada hati perut punya budak. Suka-suka mak bapak dia jirus air dari atas... bla bla bla.."

Semakin maza diamkan, semakin menjadi-jadi pula. Makcik tingkat bawah mengadu domba dan mencaci cerca kami meleret-leret. Semakin bingit telinga maza, berdengung-dengung bagaikan lalat dari tempat pelupusan sampah terbang mengelilingi gegendang telinga ini.

Maza menjengah dari koridor melihat kelibat makcik tingkat bawah bersama gengnya yang masih berkumpul di situ. Mereka perasan maza sedang menjengah dan meninjau mereka itu. Mereka menjeling sinis. Mereka sengaja membuat provokasi!

jalan duta
(Gambar 4: Bangunan tinggi di tebing bukit bersebelahan Jalan Duta, Kuala Lumpur)

Telinga maza bertukar menjadi merah. Panas mendengarkannya. Maza merasakan makcik itu sudah melampau dan tidak sepatutnya berbuat demikian rupa. Perkara ini tidak harus dibiarkan, getus hati maza. Perkara ini perlu diperbetulkan.

Geram dengan tindakan mereka, maza pun pekik sama, "Woi! Orang sudah offer minta maaf. Sudah sedia basuhkan balik pakaian tu dia tak mau lah pulak ... dia tolak. Jual mahal. Berlagak zuhud. Tu taik kucing yang bertepek kat rumah aku ni kucing dia yang punya. Ingat dia sahaja yang tahu pembersih!? Dan biarkan kami bergelumbang dengan taik kucing yang busuk piang dia tu. Dia ingat dia seorang sahaja mahu hidup selesa tanpa bertemankan busuk?..

Woi! Timbang rasalah sikit. Kucing dia yang berak kat kaki lima ni, taik kucing belaan dia jugak. Kucing kesayangan dia. Sepatutnya dia kena basuh dan minta maaf pada kami sebab kucing dia tu berak depan rumah kami. Apa ingat rumah kami ni tempat berak kucing ke? Bukan hari ini aje kucing tu berak kat sini, tapi tiap-tiap hari! Sekarang macam mana cerita?! Makcik mahu settle macam mana? Saya tunggu!!"

Maza nantikan balasan dari makcik tingkat bawah untuk menyahut bagi menyelesaikan masalah yang kecil tapi diperbesar-besarkannya. Suara makcik tingkat bawah yang terpekik-pekik tadi sudah menyusut dengan drastik.

Hampir setengah jam maza menantikan jawaban balas di tepi koridor tingkat 19 itu. Tiada suatu pun bunyian lagi kedengaran. Keadaan kembali aman. Sunyi sepi.

Nota tambahan:
Wardrobe - landscape & nature
Iso: 200, F: 11, Speed: 1/200
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails