‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 26 November 2010

Siri Rumah Tangga Pak Mat: KENALAN

Terpekik terlolong Che Kembang Lenggang isteri Pak Mat memanggil Pak Mat. Che Kembang Lenggang mengarahkan Pak Mat seperti komanden tentera untuk mengangkat kain di ampaian.

“Abang oiii!.. Bangkit kain tu cepat. Hari hendak hujan ni. Langit dah mendung. Dah gelap pun. Cepat!”

Che Kembang Lenggang masih bergam bontotnya. Tidak berganjak langsung dari tempat duduk di hadapan TV di ruang tamu itu. TV yang masih terpasang sedang menyalurkan rancangan kegemaran Che Kembang Lenggang, sinetron Indonesia.

(Gambar: Bersila punggung tanda bersenang-senang hati)

Memang Che Kembang Lenggang sedang membantu suaminya itu.

Membantu dengan memekik dan membebel agar suaminya bergegas mengangkat kain di ampaian di luar sana. Che Kembang Lenggang masih tetap kekal berlingkar di hadapan TV. Tidak perlu menggunakan kudrat yang ada untuk membantu suaminya yang sedang terkial-kial sendirian. Cuma tonton dan gunakan pembesar suara ber’volume’ tinggi dari peti suaranya.

Pak Mat yang tadi sedang mencuci pingan mangkuk terus terjun ke tanah. Berebut-rebut mengangkat kain yang lima baris itu. Setiap satu barisan ampaian sepanjang sepuluh meter.

Begitulah rutin setiap hujung minggu. Memang banyak Pak Mat kena basuh kain untuk mereka seisi rumah.

Manakala Che Kembang Lenggang pula merasakan di setiap hujung minggu biarlah dia berehat sahaja. Kerana Che Kembang Lenggang sudah penat mengurus rumah sehari-harian. Kini giliran suaminya menguruskan segala-galanya.

Sebenarnya Che Kembang Lenggang bukanlah menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga bekerja sebagai kerani di sekolah. Tidak pula bekerja sepanjang hari penuh. Cuma selepas waktu sekolah dalam jam 2.00 petang sudah berada di rumah.

Berbeza dengan Pak Mat yang berkerja bertelungkus lumus baik di pejabat mahupun di tapak projek syarikatnya. Dia jugalah ketua kerani dan dia jugalah penyelia di tapak.

Kemudian setiap hari pula Pak Mat selepas balik jam 6.00 petang diwajibkan menanak nasi dan menjerang air.

Di pagi hari Pak Mat dimestikan menjerang air panas sebanyak dua cerek. Satu cerek dibuat kopi atau teh untuk sarapan. Dan satu lagi untuk mandian panas Che Kembang Lenggang.

Pak Mat pernah terfikir hendak membelikan ‘pemanas air’ (water heater), tetapi buat masa ini belum mampu lagi.

Sedih dan Luluh hati Pak Mat melihatkan kekasaran isterinya itu.

Tetapi Pak Mat bukan tidak biasa mengadap kekasaran isterinya. Itu sedikit. Lagi ganas pun ada.

Biasanya apabila Pak Mat kelewatan seminit dua menanak nasi di dapur, Che Kembang Lenggang akan bercekak pingang dengan seranahan dan bebelan yang membingitkan telinga di hadapan pintu. Penuh pintu dapur dengan tubuh kembang Che Kembang Lenggang.

Dulu Che Kembang Lenggang tidak seperti itu. Che Kembang Lenggang manis, sopan santun. Tubuhnya solid. Pejap. Mengiurkan. Kalau Che Kembang Lenggang berjalan, lenggangannya memang boleh membuat orang memandangnya berahi. Bontot besarnya akan beralun-alun, berayun-ayun atas bawah, kanan kiri. Lalu dipanggillah orang Che Lenggang.

Itu juga menjadi faktor penyebab hati Pak Mat terpikat.

Tetapi hari ini Che Kembang Lenggang masih juga solid. Pejap. Tetapi sudah tidak mengiurkan, sudah berlebihan lemak! Sekarang ini hendak mencari dagu di sebalik muka Che Kembang Lenggang semakin sukar. Kadang-kadang keliru, sama ada itu dagu ataupun pelipat tengkolok.

Apa tah lagi budi bahasa Che Kembang Lenggang. Seolah sudah diragut, hilang serentak segalanya!

Tetapi kalau di hadapan tetamu atau orang-orang lain, Che Kembang Lengganglah paling mulia, berbudi bahasa, baik pekerti. Sopan santun lagaknya. Kalau di hadapan Pak Mat pula, aduh, bagai harimau kehilangan anak!

Oleh kerana badan Che Kembang Lenggang tumbuh dengan subur, segar dan segera, lalu orang menggelarkannya pula Che Kembang Lenggang! Seperti prebet dinaikan pangkat dari Che Lenggang kepada Che Kembang Lenggang.

Usia Pak Mat dan Che Kembang Lenggang tidak jauh. Cuma Pak Mat tua setahun. Usia masing-masing hampir mencecah separuh abad.

Sudah berbelas tahun mereka berumah tanggan. Keluarga ini telah dikurniakan sepasang anak. Yang sulung lelaki dan yang bungsu perempuan.

Pak Mat memang sayang dan cinta habis terhadap Che Kembang Lenggang. Di hatinya kalau boleh biarlah Che Kembang Lenggang sahaja menjadi isterinya.

Pak Mat selalu memanjai isterinya itu. Anak-anak pun adakala mencemburui kemanjaan yang dicurahkan oleh Pak Mat terhadap isterinya.

Pernah di suatu pagi raya Pak Mat memanjakan isterinya dengan menghadiahkan seutas rantai, dan sebentuk cincin emas. Rantai tersebut bersaiz rantai mesin ‘chain-saw’ (mesin penebang pokok). Ia tergantung-gantung di sebalik leher berlipat-lipat Che Kembang Lenggang. Tetapi hadiah untuk anak-anaknya pula hanya diberikan coklat ‘Ferror Roche” dan kain pelikat atau batik seorang sehelai!



***Cerita ringan-ringan sahaja ... salam Jumaat kengkawan..hehehe
Cik Za Nans, welcome to my blog.. hehehe... terima kasih kerana sudi jadi pengikut blog ini. Tanpa kengkawan yang cun-cun itew...

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails