Halaman

Khamis, 29 Mei 2014

Al-Quran Buruk dan Atuk Dara


Rotan jadi lidi 'penunjuk'. Kak Syidah sedang mengajar mengaji di Masjid Kg. Sri Lukut, Kahang


Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor (1980-an) – Lewat waktu itu pastinya ramai di antara kita mengalami situasi seperti di dalam gambar di atas. Mengaji secara talaqi dengan guru al-Quran.

Demikian juga dengan maza. Pada awal mengenal alif, ba, ta dan saat membaca muqaddam, emaklah yang menjadi gurunya. Adakalanya ayah yang mengajar kami adik beradik. Sungguhpun begitu, kami lebih senang apabila emak yang mengadap dan mengajar kami berbanding ayah.

Ayah cukup istimewa. Tidak perlu pun mengajar kami secara mengadap di hadapan muqaddam. Sambil meluruskan badan di tiang seri ataupun duduk di atas kerusi malas dan menonton tv hitam putih, dia mampu mengajar kami. Mengaji dengan ayah kena berhati-hati. Fokus kena tinggi. Tekun itu wajib. Kalau salah membaca, suaranya akan lantang bergema. Berulang lagi salah, lagi kuat suaranya memecah alam. Kali ketiga salah, bingit telinga kena herdik. Masuk kali keempat salah juga, rotan melibas di atas lantai atau "zappp!" sekeh atas kepala.

Berbeza dengan emak. Dengan emak, masih boleh bertoleransi. Boleh berdolak dalih. Paling tidak pun dia sekadar meninggikan suara. Pernah juga kami protes dengan emak, seperti merajuk. Hanya mengadap muqaddam tetapi tiada bunyi terkeluar, satu makhraj pun tidak terpacul dari peti suara. Semuanya gara-gara radang dipaksa mengaji Maghrib itu.

Sepertimana latar belakang biasa di desa-desa zaman itu, waktu perdana kami mengaji ialah selepas solat Maghrib. Lewat petang sebelum matahari terbenam dan mega-mega merah muncul, pelita-pelita mula diisikan minyak tanah. Selepas itu kami pergi ke pelantar bilik air untuk mandi. Usai mandi, salin pakaian dan memasang api pelita. Kemudian letakkan pelita di tempat-tempat lazim yang telah disediakan. Segala jendela yang terkangkang ditutup kesemuanya. Setelah mendengar kentung sayup-sayup dari surau Jalan Temigol, pintu rumah disendal rapat dan solat Maghrib mula ditunaikan.

Kalau emak terlalu sibuk dan lewat menanak nasi, selesai memberi salam terus sahaja emak beredar ke dapur. Mulalah irama bunyi-bunyian periuk dan belanga kedengaran. Kosekan beras mula bertingkah dengan suara katak, ungas dan cengkerik. Emak mula menenggekkan periuk untuk menjerang air dan memasak lauk di atas dapur kayu. Asap dari kayu api adakalanya menjulang tinggi, berkepul-kepul menghasilkan sawang.

Kami adik-beradik mula mendakap rehal dan muqaddam. Duduk bersila di balik bedul pintu dapur. Di situ kami mula melantunkan suara lunak masing-masing untuk mengaji. Sepelusuk kampung sayup-sayup diselubungi suara anak-anak kecil mengalunkan bacaan al-Quran.

Ketika maza berusia 12 tahun, emak menyerahkan maza kepada Atuk Dara untuk belajar mengaji al-Quran. Rumah Atuk Dara berjiranan dengan rumah kami. Jaraknya sepelaung, kalau mengesot sejam boleh sampai. Kalau belari  tiga minit boleh tiba. Nama sahaja Atuk Dara, tetapi dia sudah lama menjanda. Mula saat itu, rutin maza sudah berubah. Tambahan pula ketika itu kampung sudah dilimpahi nikmat cahaya lampu elektrik kalimantang. Petik sahaja suis di dinding, cerah sepenuh ruang. Tidak ada lagi istilah perlu mengorek lubang hidung sebelum pergi ke sekolah untuk membersihkannya dari jelaga pelita.

Cara Atuk Dara mengajar mengaji juga tidak kurang hebatnya. Selalunya kami saling duduk mengadap depan al-Quran. Adakalanya Mak Busu Maimoon mengambil alih tempat Atuk Dara untuk mengajar maza. Mak Busu Maimoon pernah menyertai musabaqah peringkat Daerah Kluang dan mendapat tempat nombor tiga ke atas. Semuanya hasil asuhan Atuk Dara dan ustaz di sekolah agama.

Kadang-kadang terasa aneh juga. Di bawah tangga dapur sana sambil membetulkan kemban yang hampir terlondeh, Atuk Dara masih mampu menegur kesalahan bacaan maza. Suaranya lantang sambil membersihkan dapur pada suatu Maghrib. Entah bilalah orang tua ini menyemak al-Quran yang seolah-olah berada di hadapan matanya? Bila pulalah dia menghafal setiap ayat-ayat itu, hmm?

Kekallah maza mengaji dengan Atuk Dara selama beberapa tahun (maza terlupa).

Ketika maza menyewa di Jalan Orked, Kampung Melayu, Kluang seputar tahun 1992-94 kerana menyambung pelajaran, suasana kedesaan itu masih segar. Rumah tok mengaji kali ini ialah rumah Abang Din. Di anjung luar rumahnya kanak-kanak berkumpul. Ada dua sessi mengaji iaitu selepas Asar dan Maghrib. Pada setiap lewat petang maka akan kedengaranlah anak-anak kecil mengaji. Saat maza meninggalkan Kluang dan melangkah ke Kuala Lumpur (disebabkan menyambung pengajian) suara-suara cilik itu adakalanya terniang-niang di telinga.

Sekarang zaman ICT dan millennium sudah mengambil tempat. Serba serbi canggih. Rumah juga rumah batu dan tinggi-tinggi, bukan lagi rumah bertiang seri atau gubuk papan. Malangnya suasana seperti di kampung itu tidak bisa kedengaran lagi. Payah kalaupun ada. Di masjid-masjid, ceramah dan tazkirah mengambil acara, ini bagus. Malangnya, kalau hendak mendengar lantunan suara anak-anak petah mengaji harus pergi ke madrasah, kelas dan sekolah. Suara yang menerobos dari celah-celah liang rumah dan kemeriahan suara bocah kecil mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu amat sukar kedengaran mengisi alam buana sang kota metropolitan hari ini.


nukilan nostalgia

13 ulasan:

  1. Zaman dulu sonang ehhh cari guru ngaji. Jiran2 ramai yg buat kelas ngaji di kampung. Bila zaman moden ni, ibubapa kena lah tolong2 ajar sbb nak cari guru ngaji payah ehh. Lebih2 lagi di bando mcm KK ni.. adehh. Dah la tu, pusat ngaji pun kdg2 tahan beberapa bulan je. Lepas tu tutup. Kena cari tempat lain lak... dulu lain sekarang lain...

    BalasPadam
  2. Errr... Kalau bapanya pun sama sudah lupa mengaji payah juga kan?
    Hehehehe

    BalasPadam
  3. kawe biasa kena rotan mengaji dengan mak dulu2
    mak kawe kata, dia bukan nak rotan kawe
    dia rotan syaitan yang buat kawe ngantuk je
    huhu

    BalasPadam
  4. Hmm.. hantar lah dulu bapa ke pusat ngaji cam tu :D

    BalasPadam
  5. Masa kecil dahulu ibu saya menghantar mengaji yang berupa jiran. Gerun melihat rotan dijadikan penunjuk bacaan. :-)

    BalasPadam
  6. Rasanya, amalan belajar mengaji dengan guru secara bertalaqi ini masih wujud, di ceruk-ceruk kampung. Cantik sungguh nostalgia ini.

    BalasPadam
  7. Dulu suami yg ajar anak mengaji daripada iqra 1 hingga 6 kemudian muqaddam sampai habis. Apabila ajar alquran, anak semakin banyak cekadak. Terpaksa hantar rumah ustaz berdekatan. Masalahnya ramai sangat pelajarnya lepas tu cuma 1 jam je untuk semua pelajar. Seminggu cuma 3 kali. Kalau ayahnya ajar pulak, hari2 kena jerit

    BalasPadam
  8. Jangankan ustazah ngaji, ustazah sekolah pun garang jugak! Gerun betul bila time kelas agama... :D

    BalasPadam
  9. mujurlah, sekarang pandai mengaji, kan?
    hehehhe

    BalasPadam
  10. wakaka...
    maza pula memanjang tak larat mengajar anak2 mengaji. mujur ada bini..
    ahaks..

    BalasPadam
  11. Yeap..masih diamalkan. Tapi di kampung maza kedengaran anak2 kecil mengaji itu sudah semakin 'fade' away.
    huhuhu

    (sbb ramai org tua tinggal di kampung berbanding baby, ahaks)

    BalasPadam
  12. Hahaha.. memang kreatif omak itu eh.. wakakaka

    BalasPadam

Mengomellah Ekau Semuo Kek Sini