Halaman

Selasa, 16 Ogos 2011

Satu Hari Di Hari Raya

Esok hari raya, namun di gubuk kecil ini seperti tidak mahu menyambutnya. Tiada suatu pun hiasan rumah berganti. Langsir tetap sama. Baju melayu kami adik beradik masih boleh dipakai lagi walaupun sudah lusuh. Baju melayu itu baru 3 tahun usianya. Sememangnya orang tua kami membelikan baju melayu yang lebih besar saiznya daripada kami. Jimat katanya, boleh pakai sampai bertahun-tahun.

Gambar 1: Kampung

Bukanlah kami tidak mahu menghias teratak buruk ini. Tingkap pun antara wujud dan tidak. Rebeh sana-sini. Tinggal tiga atau empat paku yang masih terletak di dedaun tingkap untuk terus tersangkut di jenang.

Enselnya pula berbaki satu daripada sepasang. Tingkap di teratak ini rata-ratanya menantikan lerah ke bumi. Kalau rebah pun elok juga, senang angin malam memuput tubuh kami di malam hari seperti adanya pendingin hawa macam di rumah agam sana.

Malam tujuh likur lalu aku sempat merayau serata kampung. Itu pun kebetulan kami adik beradik pulang dari surau. Ada jemputan berbuka puasa bersama tok ketua. Kami telah menyaksikan betapa indahnya kampung ini. Rumah dihias begitu cantik sekali. Di malam hari dilimpahi oleh cahaya pelita yang dipasang berkeliling laman rumah. Langsir mereka melambai-lambai dari tingkap yang terdedah. Sesekali kami terdengar hilaian tawa penghuni rumah menandakan betapa mereka itu gembira. Aku turut terasa tempias kegembiraan mereka. Seronok melihatkan fenomena sebegini. Aman, riang, suka, gembira.

Di laman rumah sana ramai anak-anak berkumpul. Barangkali sanak-saudara mereka yang jauh sudah bertandang. Atau anak-anak pakcik Majid kesemuanya pulang untuk menyambut raya tidak lama lagi. Anak-anak kecil itu berlari ke sana ke mari berkejaran sesama mereka selepas puas bermain bunga api dan mercun. Mereka sungguh girang! 

"Abang. Abang. Adik nak bunga api," pinta Yusni yang masih mentah. Anak kecil ini baru berusia tiga tahun.

"Kita tak mampu adik. Abang tak ada duit. Nanti bila abang dah besar, abang dah kerja, abang belikan adik bunga api yang adik suka," aku cuba memujuknya. 

"Alahhh ... abang. Yus nak bunga api. Biar Yus minta duit dengan mak balik nanti, ya?"

"Jangan! Jangan minta duit dengan mak! Jangan serabutkan kepala emak. Kalau ada duit di tangan emak sekali pun kita kena berjimat. Paling tidak untuk makan esok hari atau untuk ke sekolah nanti"

Gambar 2: Mencongak nasib

Yusni hanya terdiam setelah suara aku tertinggi sedikit. Dia terkebil-kebil berdiri di sebelahku sambil matanya terus berkerdip memerhatikan dari jauh rumah Pak Majid sana. 

Kami ini jangan katakan hendak bermain bunga api, sisa duit yang berbaki itu lagi elok disimpan untuk berbuka atau makanan esok hari. Itu lebih penting.

"Lagipun kalau kita bermain bunga api kita tidak dapat melihat betapa indahnya bunga api itu. Sebabnya kita sibuk lari sana, lari sini, pusing sana, pusing sini. Yang untung orang yang melihat kecantikan bunga api yang kita main tadi. Kita juga yang rugi. Sekarang ini, cuba tengok, kan kita beruntung dapat menyaksikan keindahan alam?" aku memujuk Yusni. Entah sama ada dia faham atau tidak aku tidak pasti. Sejelasnya dia mengangguk-anggukan kepala sahaja.

Takbir raya berkumandang di pagi hari. Sayup-sayup dari corong masjid sana. Kami bersemangat bangun tidur di awal pagi. 

Masing-masing sudah pun mengadap di tepi kali. Air yang dingin itu dicurahkan ke tubuh pepes. Sebaik titisan air menyentuh umbun-umbun kepala kami terus berniat mandi sunat Aidilfitri. 

Sejuknya menyengat hingga ke tulang sumsum namun membuatkan kami segar-bugar. Kami sudah biasa begitu. Menggigil-gigil mengertap gigi. 

Di gubuk kecil ini tidak ada langsung istilah mahu memanaskan air untuk mandi. Kami perlu menjimatkan  kayu api atau perlu bersusah-payah meredah belukar dan kebun-kebun orang kampung meminta izin mahu mendapatkan kayu api. 

Lepas memandikan adik-adik, giliran aku pula untuk mandi. Kejebusss, air yang disiram sejuknya segera meresap sampai ke sepelusuk sendi. Menggigit-gigit kedinginan di situ.

Usai mandi kami berebut-rebut untuk solat subuh berjamaah. Kemudian bersiap untuk pergi ke masjid hendak menunaikan solat sunat aidilfitri. Kami mengenakan baju lusuh itu. Ada yang sudah koyak dan berjahit. Bukan berjahit sahaja, tetapi bertampal di sana-sini. Bercumpang-camping. Janji berbaju, elok, bersih, suci dan boleh dipakai, sudah.

Aku duduk sisi emak seraya memandang gembira telatah ketiga-tiga adik-adikku itu. Walaupun kami serba kekurangan namun tetap keriangan. Meriah dengan riuh rendah di waktu pagi raya. Sungguh bahagia.

Selesai mengenakan songkok yang renyuk atau kupiah yang sudah bertukar warna; dari putih ke kuning-kuningan, kami pun berbaris. Kami menghulurkan tangan memohon restu, ampun dan maaf kepada emak. 

Tibalah giliran Suaib, berumur enam tahun, menyalami emak. Emak sedang bersimpuh menantikan anak kecil ini datang mengadapnya. "Emak, Suaib minta ampun segala dosa dan kesalahan Suaib. (Suaib terdiam seketika kemudian bersuara dalam nada tersekat-sekat) Emak ... emak, Suaib rindukan ayah!"

Mendengarkan kata-kata Suaib itu, kami yang tadi dalam keriangan menjadi terdiam. Masing-masing terpaku. Suasana berubah sepenuhnya. Sayu segera menampar lubuk hati kami. Degupan jantung bertukar rentak menjadi melankolia. Tersekat-sekat menahan sebak yang menerjah mendayu-dayu. Kerongkong terasa begitu sempit. Anak tekak menjadi pahit.

Sekejap itu juga berderailah air mata kami semua. Rindu dan pilu itu bertandang lagi, menerpa di pagi satu Syawal. Lalu merubah hati yang tadinya girang, damai, bahagia, utuh, kuat; dan kini menjadi rapuh. Segala sendi menjadi luluh. Semuanya gara-gara teringatkan tragedi arwah ayah di awal 17 Ramadan tahun lalu. Ayah dijemput Ilahi tatkala kami amat memerlukannya. Kami sayang ayah!

Arwah ayah pergi meninggalkan kami tatkala mencari rezeki. Ayah mengambil upah menyabit kelapa sawit milik Haji Kadir di hujung kampung sana. Entah dari mana tiba-tiba ular tedung mematuk buku lali ayah.

Kebetulan pula hari itu ayah bersendirian, menjadikan detik kemalangan bertambah getir. Sementelah luka dan bisa ular semakin parah, menusuk-nusuk setiap urat saraf. Ayah bergelut dengan kesakitan yang amat dahsyat. Ayah menanggung bisa ular tedung sendirian tanpa ada sebarang teman di sisi. Tanpa ada sebarang bantuan, itu sudah pasti!

Saat itu ayah hanya menyerahkan dirinya kepada takdir, kepada Tuhan Rabul Alamin.

Benar, takdir menentukan segalanya. Hanya keesokan pagi orang kampung menemui ayah tersandar di batang kelapa sawit. Dia sudah tidak bernyawa lagi. 

Kami berpelukan sesama sendiri. Sendu-sendan memenuhi segenap ruang gubuk kecil ini. Air mata emak bercucuran laju. Yusni yang tidak faham apa-apa pun turut sama menangis. Teresak-esak kerinduan ayah. Rindu bukannya sedikit. Rindu bukannya main-main. Rindu yang bukan kepalang.

Kalaulah ayah ada, tentulah nasib kami pada hari raya ini sangat berbeza. Biasanya di pagi hari kebesaran seperti ini ayah akan mengusap-gusap kepala kami sambil melemparkan senyuman paling manis. Tetapi hari ini ayah sudah tidak ada. Ayah sudah pergi jauh. Jauh sekali.

Kami kerinduan dengan suasana itu semua. Rindu dengan tangan ayah, suara ayah, raut wajah ayah!

"Sudah nak, sudah nak. Ayah dah tak ada. Allah lebih sayangkan ayah dan Allah berkehendakan ayah. Kita perlu tabah, ya. Kita perlu kuat. Kalau ayah ada pun ayah tak mau kita jadi lemah semacam ni. Kalau kita terus-terusan bersedih, nanti ayah pun sama sedih. Kita tak mahu ayah sedih sendirian di kubur sana, kan? Kitakan sayang ayah. Kita perlu kuat untuk teruskan hidup. Bila kita berjaya dalam hidup barulah kita boleh berjumpa dengan ayah dengan wajah yang paling manis. Paling bahagia. Dan tentulah ayah bangga dengan kita. Kita kena berjaya di dunia dan akhirat ini, ya nak ..." pujuk emak sambil cuba menyengka air mata kami yang terlepas dari iris mata. Dilap-lapnya muka kami dengan tangan kasar emak itu. Tangannya sudah berubah dari lembut kepada kasar semenjak emak terpaksa memikul tugas-tugas ayah untuk membesarkan kami.

"Lepas balik dari masjid karang kita sama-sama berjalan pergi ziarah kubur ayah ya. Kita lawat dia. Lagi pun hari ini hari raya, mana boleh menangis. Kita kena gembira, kan, kan, kan?" Zaki berusia lapan tahun cuba menenangkan keadaan.

Kami betah mengawal emosi masing-masing. Emak mendepakan tangannya. Kami pun menyerbu emak.

Emak mendakap kami erat-erat, "Emak sayang semua anak-anak emak. Selamat hari raya sayang."

"Kami juga emak. Kami sayangkan emak. Selamat hari raya emak."


**************

*Cerita ini dikarang khusus untuk menyahut cabaran Ismail N. Sila klik sini (Cabaran Blogger | Satu Hari Di Hari Raya).

*Maza juga suka menyarankan agar kengkawan turut menulis dan menyahut cabaran Ismail N ini. hehehhehe...

*Moral cerita: Ingatlah pada orang yang kurang berada. Juga jangan lupa sedekahkan al-fatihah pada yang tiada!

*Selamat Hari Raya kengkawan yang tidak lama lagi muncul itu....





40 ulasan:

  1. :) Cerita yang menarik.. buleh bikin drama ni..

    BalasPadam
  2. Sy dapat rasakan betapa peritnya bila org yg disayangi pergi meninggalkan kita.
    terutama ayah atau ibu,
    Apa2 pun yg pergi tetap pergi, yg hidup mesti meneruskan hidup.
    Gmbar2 dlm artikel mmg superb clear dan cantek ;) terutama gmbr kmpung tu. NICE!

    BalasPadam
  3. hehehe.. drama swasta ke telemovie? hahahah

    terima kasih anif..
    karangan entah apa-apa entah tu.. 
    lantun-lantun aje maza.. ahaks.

    BalasPadam
  4. mmg sedihkan zaman kanak2..kita x dpt merasa apa yg org lain dpt...apa pun syukur kpd mak 'aku' krn brjaya mendidik dan menjaga anak2 dgn ketiadaan suami...

    syabas..Maza..klu mcm ni ko dah boleh buat novel...kasi bykkn lantun2 nya agar plot citernya brkembang lagi...

    BalasPadam
  5. wah maza dah advance..... balik mersing nanti bole jeragang singgah ker maza

    BalasPadam
  6. errmm...terbayang zaman kanak2, aku pun pernah merasa duk rumah bocor sana sini,baju raya dapat sepasang pun dah syukur sangat ...mmg susah... apapun citer ni besst.....syahdu....

    BalasPadam
  7. Thanks sebab luangkan masa dan menyahut cabaran kawe Maza.. he he.. Nukilan yang menarik dan sedih skali. No joking.. serius ni. Buat kawe teringat pada mereka2 yg kawe kasihi dan telah pergi terutama arwah ibu yang baru meninggalkan kami awal tahun ini. Simpati juga buat fakir miskin dan anak-anak yatim di seluruh dunia. Semoga mereka semua dapat menyambut Hari Raya dengan gembira dan aman tenteram hendaknya.. amin.. Great post.. mcm yang kawe harapkan. Thanks again bro!

    BalasPadam
  8. Kawe tak balik muor tahun nie.. Kalu tak mahu gak melancong dan raya rumah blogger hencem nie.. biarpun usia kita jauh berbeza :wink:

    BalasPadam
  9. huwaaaaaa sy tak raya taun ni
    bkn psl puasa tak cukup ye hihihihihi

    raya kat skype je la nampaknya sy tahun ni :(

    BalasPadam
  10. Banyak yang sama dengan pengalaman kawe. Skema raya 70 / 80 an.... tapi kalau ditulis banyak tak sama sebab kawe tak semelankolik Maza....  

    BalasPadam
  11. Sudah siap cerpen Maza. Kak Long belum mula menyahut cabaran Encik Ismalil lagi.
    Nak mengarang, tengah beku sebab banyak sangat mengarang report kat Balai Polis.

    BalasPadam
  12. Tak sanggup nak baca habis bro
    Sayu du hjg tangkai hati ku ini :cry:

    BalasPadam
  13. Uiikk
    Cerpen bro maza superb kak long :-)

    BalasPadam
  14. Sedihlah cerita dari bro Maza. Saya dapat menyelami jalan cerita yang ditulis

    BalasPadam
  15. owh..bro Ismail pny cabaran..hmm..xde idea ttg kisah sy satu hari di hari raya.. :(

    em,sedih jgk bca kisah ni..kak bee pun cite sedih jgk..isk2

    BalasPadam
  16. adui maza..patutpun siap pesan kena bawak kain sekali...

    mmg sedih

    maza mmg punya bakat seni yg cukup terbaik!

    moga arwah ayah dalam rahmat Allah jua...ameen

    BalasPadam
  17. setuju 100%

    mmg superb duperb!

    BalasPadam
  18. mana entah2 ape2 maza...lau ni baru lantun2...kalau lantun keluar jurus sebenar...mmg macam anif cakap, boleh karang utk satu drama 300 episod gitu :D

    best baca...serius best!

    BalasPadam
  19. maza baru belajar penulisan dan masih terkial-kial lagi kengkawan. huhuhu

    terima kasih di atas galakan.. maza amat menghargainya..uhuk!.. 

    BalasPadam
  20. maza..hantar kat pts la..mana tahu leh terbit ;)

    BalasPadam
  21. ..psst: PTS tu apa?

    heheheh... maza budak baru belajar.. uhuk!.. hehehehe

    BalasPadam
  22. alaaaaaaaaaaaaa..... ngape ade drama radio sedih2 mcm gini...air mata dah menitis atas kuih tak bangkit2 dah kuih ni...bantat jadinya.

    BalasPadam
  23. ..hahaha.. perkataan bentat tu dah lama giler tak dengar.. hahahahaha... 

    BalasPadam
  24. menarik.ada potensi utk mng lalala....

    BalasPadam
  25. ..terima kasih bro.. huhuhuhu...

    BalasPadam
  26. Boleh tok.. no hal..
    ada rezeki kita boleh bertemu dan beramah mesra.. hehehehe

    BalasPadam
  27. ,,,,aderk.. usia jauh berbeza tulah yg tak tahan tu.. ahaks..

    abg mail, balik negeri call-call ler.. mau juga merasa kopi tangkak itew... hehehe

    BalasPadam
  28. mak ayah kita kan peneroka kampung itu.. gitewlah...
    tapi kenangan itu skrg ini amat berharga dan semanis usia kita juga.. kan kan kan..

    BalasPadam
  29. terima kasih abg mail.. huhuhuhu...

    BalasPadam
  30. ... insyallah, lepas ni balik kampung boleh raya sakan.. hehehe

    BalasPadam
  31. ..aderkkk.. maza pun merangkak-rangkak menyusun kata dan masih belajar lagi bro.. uhuk!

    BalasPadam
  32. ..ooppsss.. minta maaf.. bukan niat maza mahu mengalirkan air mata jernih itu..

    BalasPadam
  33. terima kasih abg akuboimed.. huhuhu

    BalasPadam
  34. ... meh ler join sekali adele.. heheehe

    BalasPadam
  35. oppss... lantun-lantun aje lebih tu abg hafis.. hehehe

    BalasPadam
  36. Ooppp.. oopp... syhhh.. heheheheh

    ameennn gitew..

    BalasPadam
  37. orang yang paling rapat kadang kala akan pergi meninggalkan kita..
    tanpa kehadiran mereka hari raya berkurangan kegembiraan...
    aku dpt rasakan kesedihan itu.. 

    raya tahun nih kita heppy2 yer.. sedih2 tuh kita pendamkan jerlah utk
    org2 yg kita syg... i like ur post..

    BalasPadam
  38. ..gitewlah.. kenalah sabar dan happy gitew.. uhuk!

    BalasPadam
  39. uuiiissshhhhh!!!! sedihhh!!! :( :(

    BalasPadam
  40. ..ooppss..

    sob! sob! sob!.. sorry wahai anak perantauan.. uhuk!

    BalasPadam

Mengomellah Ekau Semuo Kek Sini