Halaman

Selasa, 10 Disember 2013

Menjelajah Masa Mengharungi Zaman



Aqlan (3 tahun) & Aqilah (5 bulan)
1995 – Hati terus kekal berbunga-bunga walaupun sudah dua bulan selesai menghadapi Haluan Siswa di Universiti Malaya. Bermula bulan Julai itu, maka termaktub sudah maza bergelar mahasiswa.

Pulang dari dewan kuliah sejauh 2 km, terus ke dewan makan di Kolej Kediaman Kinabalu. Demikianlah hari-hari berjalan kaki demi menuntut ilmu. Jiwa begitu membara. Dalam masa sama, hati remaja begitu bergelora. Orang mudalah katakan.

Hari-hari yang berlalu disambut penuh keceriaan dan keriangan. Cabaran hidup seorang siswa dirempuh dengan semangat tegar!

Sampai di kolej kediaman, maza beratur panjang untuk mengambil ‘tray’ sebelum menyenduk nasi dan menceduk lauk. Dua lauk sahaja dibenarkan, sekali sekala terlajak juga menjadi tiga atau empat.

Punggung dihempuk di atas kerusi. Sisa makanan dilahap. Sambil itu mendengar halwa telinga yang bergema dari setereo terpasang. Ajaibnya bukan lagu-lagu biasa, tetapi lagu-lagu nasyid. Lebih tepat lagi lagu kumpulan Raihan album Puji-pujian.

Demikianlah kaset itu berulang-ulang dimainkan. Berbulan-bulan lamanya begitu. Cuma sekali sekala diselang selikan dengan lagu-lagu rancak berbentuk kepahlawanan seperti Mentera Semerah Padi (M. Nasir).

Setelah maza sendiri dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Siaraya & Teknikal di bawah JKP Kebajikan dan Kemasyarakatan, semakin rancak pula lagu Puji-pujian dikumandangkan.

“Ash hadu anla ilaha Illallah,
Wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah
Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semuanya dari Allah . . .

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah”
 (sebahagian lirik lagu Puji-Pujian, Raihan)

Pernah sewaktu makan dan pada malam jam perdana, kedengaran beberapa rakan Tionghua kecoh bernyanyi-nyanyi. Adakalanya riuhnya suara mereka itu bertingkah-tingkah. Lagu yang mereka nyanyikan itu ialah lagu Puji-pujian. Mereka berselawat, bertasbih dan bertahmid sama. Walhal, kaum bukan Muslim ini haram tidak mengerti maksud di sebalik lagu nasyid Raihan itu.

Begitu juga yang berlaku dengan beberapa rakan seperjuangan maza dari kaum India dan bumiputera. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil inisiatif untuk menyalin dan menghafal. Kata mereka, lagu-lagu tersebut sangat menarik. Melodinya terasa begitu hampir dengan jiwa. Apatah lagi saban hari dihidangkan lagu-lagu nasyid seperti itu. Sehari tidak kedengaran terasa hidup ini janggal.

Apabila diterangkan maksud lagu-lagu tersebut, mereka sekadar melemparkan senyuman. Sedikit pun tidak mengurangi rasa untuk terus menggemarinya. Mereka tidak menolak, malah berkata bahawa bait-bait lagu itu amat baik. Menyentuh hati kecil sanubari.

Jangan tidak percaya, ada dalam kalangan mahasiswa bukan Muslim begitu tertarik daripda lagu tersebut lalu mempelajari Islam. Malah, maza sendiri dihadapkan dengan beberapa kes siswa bukan Islam mahu memeluk Islam!

Lamunan maza terhenti, dikejutkan dengan deringan telefon di kocek. Panggilan itu datangnya dari isteri. Terkedek-kedek tiga orang anak maza mendapatkan ayahnya ini sambil membawa telefon ibunya itu. Darling mengelek anak kami yang baru berusia lima bulan berjalan di belakang. Sekali sekala riuh suaranya mengawal anak-anak kami. Maza duduk di atas sebuah bangku di gedung pasar raya. Di tangan tergenggam akhbar. Melihatkan mereka berteriak-teriak, maza melemparkan senyuman lalu melambai-lambaikan tangan.

Di dalam gedung ini terhias indah pokok ru. Tinggi pokoknya itu hampir mencecah empat tingkat bangunan. Di pangkal pokok berserakan hadiah melambak. Pokok itu juga menjadi pengganti pokok krismas. Sebuah kereta rusa bersama patung manusia tua berpakaian merah menyala, bertopi ahli sihir menyerlahkan lagi hiasan tersebut.

Gedung yang sarat dengan umat itu dilantunkan dengan lagu “Jinggle bell”, “Marry Chirstmas” dan banyak lain-lain lagi. Pita lagu itu seolah-olah tidak jemu dan penat berlari dari terus berkumandangan bertalu-talu tanpa berhenti.

Anak-anak maza berkeliling sambil memeluk ayahnya. Maza pun bangkit meninggalkan bangku itu kembali sendirian. Dalam perjalanan menuruni tangga bergerak Daniel (7 tahun) dan Nasrul (9 tahun) berkata, “cantiknya Santa Klaus. Tu ada rusa besar tu ayah. Besarnya . .  . ada banyak hadiah. Bestkan kalau dapat hadiah Hari Krismas nanti!?”

“We wish you a Merry Chirstmas. We wish you a Merry Chirsmas. We wish you a Merry Chirtmas and happy new year” tiba-tiba Aqlan Sholehin (3 tahun) memecahkan suasana kecoh kami. Aqlan Sholehin mengajuk lagu yang sedang berkumandang itu sedari kami sampai di sini.

“Pandainyaaa . . . Happy Chirtsmas Day, my dear,” sampuk seorang wanita China yang di lehernya melekat lambang salib kebetulan berada di sisi.

Isteri maza menggangguk-angguk sambil melemparkan senyuman riang. Entah apalah maksud di sebalik senyuman itu, maza kurang pasti.

Maza sekadar menggarukan kepala yang tidak gatal. Di hati tertanya-tanya, gedung ini diamnya di tanah mana?


Lantun-lantun sayup
 


10 ulasan:

  1. Patutlah sudah lama tidak dengar berita. Rupanya back to school. :-)

    BalasPadam
  2. Inilah nasibnya bila pasaraya besar dan tempat2 yg selalu dikunjungi bukan milik org kita. Malah jarang juga andai tmpat itu milik org kita, org kita tetap memilih utk menyedapkan halwa telinga pelanggan yg bukan org kita. Itu realiti yg terpksa kita tempuh.



    Sama juga, anak2 tnya...menantang apa yg bertanduk dan pakcik tua yg bawak beg besar tu.

    BalasPadam
  3. oh! lupa nak komen bab lagu tu...tu lagu feveret tu...


    mereka yg bukan islam pun merasa ada getaran halus di sebalik jiwa mereka...moga2 kita berdoa, mereka diberi hidayah dan kita juga kekal dalam petunjuk Allah...


    p/s-eh, bang maza kat Pahang ke sekarang ni?

    BalasPadam
  4. Hehehe,...
    Dah tua-tua baru nak belajo.. ahaks..
    Endless possibilities kata PM kita.. hehehe

    BalasPadam
  5. Hehehe.

    Sekarang ini lagu favorite maza ialah Ya Hanana..



    Maza berada di KL.. semua keturunan berada di sini. Mengelak banjir kaedahnya.. hehehe

    BalasPadam
  6. hahaha...


    anak-anak maza hanya mengira hadiah aje di kaki patung manusia berperut gendut itu....

    BalasPadam
  7. Abg Zaid...saya pun missed dewan makan kolej kinabalu... missed warung makan kat belakang tuu... missed the monkeys..hehe

    BalasPadam
  8. lagu yg baik mampu menjadi cabang dakwah
    raihan antara yg mengeluarkan nasyid terbaik :)

    BalasPadam
  9. Yeap.. maza bersetuju dan maza rindukan lagu-lagu sejenis begitu...



    huhuhu

    BalasPadam
  10. lagu2 raihan memang terbaik
    bila2 pun seronok didengar


    dulu2 selalu gak diberi tugas jaga siaraya
    berpeluh gak bila mic buat hal masa yb sedang berucap

    BalasPadam

Mengomellah Ekau Semuo Kek Sini