Halaman

Ahad, 19 Mei 2013

Kantoi: Mak Ayam dan Bapa Ayam Kahang ditangkap!



Seputar maza anak-anak kecil dahulu (1970-1990) di kampung terlalu lazim melihatkan telatah ayam. Malah rata-rata penghuni kampung membela ayam sendiri untuk keperluan keluarga. Jarang benar mereka menjual ayam.

Soal ayam juga boleh membuatkan sesama jiran dan penduduk kampung bermasam muka, bermusuhan, tidak bertegur sapa dan dalam kes parah, berparang-parangan, berkeris-kerisan! Bagi mereka, membela ayam bukan sekadar dibuat lauk atau hobi sahaja, tetapi ia berkenaan periuk nasi dan maruah!

Jika kemalangan melibatkan ayam, sama ada mereka itu sengaja melanggar atau tidak, perlu bertanggungjawab. Mereka perlu membayar ganti rugi berupa ayam, wang atau melutut meminta ampun kepada empunya ayam tersebut. 

Hari ini, perihal itu tidak berlaku lagi. Kalau berlaku, amat jarang sekali dan diperkira kes terpencil. Tok ketua kampung tidak lagi dirujuk untuk menuntut bela di atas kehilangan ayam atau pun ayam mereka dilanggar lari. Tok ketua boleh menarik nafas lega, bebanan tugas menjaga keharmonian anak kariah sudah berkurangan. 

Di kampung, emak maza sudah tidak memelihara ayam. Sudah tidak ada istilah mahu merasa ayam sendiri. Jika, teringin makan ayam, Kedai Kak Normah atau abang Man sedia berkhidmat. 

Mutakhir ini, maza terasa kerinduan pula terhadap 'bau-bauan ayam'. Kenangan yang satu ini benar-benar mengusik hati. Telatah ayam adakalanya melucukan dan boleh juga membuak-buakan kemarahan yang mendalam. Akhirnya ayam itu akan dihambat dan berakhir kepak serta pahanya diratah; bikin ayam goreng!

Segar diingatan maza, betapa setiap tengahari dan petang akan menabur jagung ayam di halaman rumah. Adakalanya jamuan berupa hampas kelapa dan sisa-sisa makanan basi dihidangkan untuk ayam-ayam kami; lazat! Untuk memanggil ayam berhimpun dan makan berjemaah itu, kami akan melaungkan sebuah bunyi istimewa, "kurrrr, kurrrr, kurrr" terbelit-belit lidah di dalam rongga mulut menggayakan getaran itu yang menyentuh lelangit geli. Lantunan ragam suara berkumandang sepelusuk kampung. Berebut-rebut ayam peliharaan kami mengerumuni makanan yang berselerak bertaburan.

Emak dan ayah cukup teliti. Mereka boleh mengenali dan membezakan ayam peliharaanya dengan ayam-ayam jiran sebelah-menyebelah. Sekilas pandang emak dan ayah boleh cam. Sekiranya ditemukan 'ayam asing', ayam itu akan dihambat pergi dengan melontarkan kayu atau batu supaya ia menjauhi gerombolan ayam kami. Biar ia bersenang lenang santap. Biar cepat gemuk dan sihat-sihat belaka. Memang ayah dan emak memanjai ayam-ayam kami. Bersungguh!

Setiap kali memberi ayam makan, emak akan mengira jumlah ayam. Emak takut-takut ada ayam peliharaan ketinggalan lalu kebuluran. Walhal ayam itu memang sejak azali lagi ditakdirkan pandai mencari makanan sendiri dengan mengais cacing, ulat dan tumbuh-tumbuhan renek. 

"Ok, cukup 20," senyum lebar mulut emak setelah puas menghitung dengan memuncungkan bibir mengira ayam-ayamnya.

Sekirangnya bilangan berkurangan, hati emak berasa gundah. Emak akan memekik-memekik dan melantunkan suara "kurrr, kurrr, kurrr," sekuat-kuatnya. Emak risau kalau-kalau ayam itu tidak kedengaran panggilan makan disebabkan leka bermain, deria pendengaran terjejas, atau peristiwa paling ngeri ayam itu sudah hilang atau mati di baham manusia atau binatang buas atau dibawa lari oleh helang dan 'beruk berkepala hitam'!

Sudahnya, kami juga dipaksa berpusing keliling rumah bikin misi 'mencari dan menyelamat'.

"Maza, pergi cari seekor lagi ayam betina. Bulu kuning. Pergi cari!" pekik emak dalam kaget.

Bila senja menjelma, sekali lagi misi mengira dan mencari ayam. Mana-mana ayam yang sesat atau leka bermain akan ditangkap dan dihumban ke dalam reban. Reban dikunci rapat, jika perlu pelita 'ayam' akan dinyalakan untuk memberi bahang haba dan menghalau musang serta ular sawa daripada 'menculik' ayam-ayam kami.

Jika kami pergi melawat rumah sanak-saudara atau kenduri kendara di luar kampung, acapkali juga terpaksa pulang awal. Kadang-kala menggerutu juga hati maza yang belum puas 'beramah-mesra' dengan sanak-saudara. Alasan mudah emak dan ayah ialah tiada siapa yang hendak menjengguk ayam di kampung! Aderkkk...

Sering kali juga ayam menjadi mangsa setelah meninggalkan sisa taik ayam 'lencung' dan menceroboh rumah sama ada mengintai di tingkap atau merempuh masuk dari pintu yang terkangkang. Biasanya ayam itu akan dikenakan hukuman rejam. Dibaling dengan selipar, disumpah seranah dan hukuman paling tegas ialah ayam itu terkulai tanpa seurat bulu di dalam belanga. Menggelegak air dalam belanga merendami ayam tersebut setelah dipotong 12 bersama bawang, halia, kunyit, santan dan adakalanya dicampur dengan kari atau cili padi. (Slurrrpp satu kali.. amakk!)

Namun, hari ini fenomena itu sudah janggal. Terutama bagi anak-anak yang membesar di bandaraya dan rumah-rumah taman. Maza sendiri pun sudah kangan (kerinduan) menghambat ayam ketika musim menuai dan menjemur padi di halaman rumah.

Sembunyi-sembunyi Maza melontarkan senyuman sambil menelan segala rencah kehidupan yang sudah berlalu itu. Maza menguis-guis ayam kampung yang sudah tertonggok; menunggeng di dalam pinggan untuk dijamah. 

Ah! sesuatu yang unik, retro dan nostalgik.


Lantun-lantun


17 ulasan:

  1. mak dgn abah kita dulu pun macam ni jugaklah. boleh kenal tu ayam
    sendiri camana rupanya, kalau hilang jenuh nak carik. kadang2 sampai
    gaduh dgn jiran pasal ayam. ayam org confirm kena hambat kalau makan kat
    rumah kitaorang.. he he he... tak mahu ulang dah, serik carik ayam
    hilang.

    BalasPadam
  2. masa kecik2 dulu cuma mampu makan ayam pd hari Jumaat aje. Maka pd mlm jumaat tu operasi menangkap ayam dilakukan di mana lampu n pelita hendaklah dipadamkan...selepas ditangkap ia dikurung dgn kaki terikat sehinggalah disembelih keesokan paginya...

    BalasPadam
  3. Sejak bila Maza jadi penguatkuasa sumbang mahram untuk haiwan nih?

    BalasPadam
  4. hehee lebih kurang sama la pengalaman kita ye dak..
    seronok bila ayam berderu bila di panggil makan, dan malam pandai masuk reban sendiri ekekeee

    BalasPadam
  5. Teringat zaman kecil2 dulu bela ayam..

    BalasPadam
  6. aku memang sakit hati bila ada ayam yang bertelur
    memang bising satu dunia
    hahaha hahaha

    BalasPadam
  7. Pasal ayam pun orang boleh gaduh besar.. Ayam ayam

    BalasPadam
  8. Kalau jiran sebelah menyebelah membela ayam.. berkemungkinan akan ada ayam-ayam yang akan ditanda dengan cat dikakinya! Supaya senang di "trace" pemiliknya...

    BalasPadam
  9. penat juga mengejar ayam ni..
    indahnya zaman kanak-kanak saya!

    BalasPadam
  10. hehe.. best kan?
    ayam semput, kita pun lelah.. hahaha

    BalasPadam
  11. kita anak kampung... biasa-biasa sahaja.. hehehe

    BalasPadam
  12. Hahaha...

    dah lama dah..

    kan pemerhati sosial haiwan.. hahahaa

    BalasPadam
  13. itu memang kenyataan.. apa tah lagi mengganggu ketika hendak menonton jam 5.00 petang. Kartu Toriton, dan Voltron!
    hahahha

    BalasPadam
  14. Ayam.. ada macam2 ayam.. hahaha

    BalasPadam
  15. Hebat Maza ehh.. Cerita zaman talepon berpusing ni pun masih boleh ingat lagi. Memori power! Cuma betul lah org2 zaman dulu ayam dan binatang ternakan lain hidup bermasyarakat dgn ternakan jiran2 punya. Yet kita msh boleh kenal which one si Jalak, si Katik, Si Maza oopsss... dsb :D

    BalasPadam

Mengomellah Ekau Semuo Kek Sini