‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 30 November 2010

Sepi Seorang Perindu..


Sepi seorang perindu...
Mencari sinar di celah rimbun syahdu

Senjakala, kau tiba
Membawa resah dambaan jiwa
Kau jadikan aku perindu
Bertukarlah aku seorang perindu sepi...


Ah! Persetan!

Pergi resah itu...

Pergi bersama sendu
Yang dulu, usah dirindu,
Hilangkanlah di hatimu
Doaku buatmu kekasih....


by maza....
Location: Teluk Kemang, Port Dickson
Date: November 27, 2010
Wardrobe: Nature

Isnin, 29 November 2010

Di Tepi Pantai ... lalala


Sabtu sudah (27 November 2010) maza sempat menghiburkan hati di Batu 4, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bukannya maza kenal pun anak-anak muda yang berkugiran di bawah sepohon pokok. Tetapi kami berinteraksi dan bermain mata seperti sudah kenal bertahun-tahun lamanya.

Sambil berlibur-lara kemudian merendamkan diri ke dalam laut, kami pun bernyanyi-nanyi. Sedap atau sumbang yang penting ... layannn..,

"Di Tepi Pantai Yang Indah.
Aku duduk seorang diri,
Suasana,
Sepi.... lalala"

Yeaaa haaa! Asyik.. gelek lagi bang, gelek... hahaha

Pak Mustar: "Ini pakcik tau. Anak pakcik selalu mainkannya. Ini biola."

Sudin: "Ini bukan biola pakcik. Ini piano..."

Pak Mustar: "Oooo, selama ini pakcik salah lah ya."

Bujang lapok: "Ishk, Ishk, Ishk .... kesiannn."




Ahad, 28 November 2010

Koboi Tropika


(Gambar: Koboi tempatan bersahaja dengan sandal lapoknya*hahaha)

Minggu sudah maza sempat singgah di Zoo Melaka. Sampai sahaja di lapangan pakir kereta terus menonong ke gerai di situ. Apa lagi, maza mencari topi untuk melindungi kepala dari terik matahari sambil dibuat cenderahati.

Panas terik di tengah hari itu tidak membataskan pergerakan kami sekeluarga untuk menjelajah Zoo Melaka yang entah kali ke berapa kami melawat ke situ.



(Gambar: Sedang menanti giliran)

Selain melayani kerenah anak-anak yang semakin membesar dan mahu kenal lebih dekat tentang alam sekitar, sempat jugalah maza dan anak-anak bersenda gurau.

Sambil-sambil itu maza mahu membuktikan kepada Pn. Azma (Yang Teristimewa) yang tidak percaya maza telah melakukan Hippotherapy dengan berkuda. Huh! Tak percayalah sangat tukan... *huhuhu

Maka saksikanlah kengkawan kehebatan maza berkuda di cuaca hangat tropika. *hahaha

(Gambar: Kuda padi yang katek)

Maza menunggang kuda yang besar bapak itu dengan tiket RM4.00 untuk dua beranak sekali pusingan kadang kuda sebesar duopolohlima kali kangkang beruk chimpanzee itu.

Kata worang di kampung maza, berkuda dan memiliki kuda ibarat memiliki sebuah kereta mewah. Paling tidak berjenama Mercedes bermata belalang atau bermata hantu itew.. *huhuhu

Meh ler kengkawan kita berkuda!... Yeee haaaa!!!!



(Gambar: Menunggang dengan sopan sebelum memecut *hahaha -ketawa jahat)



(Gambar: "Hello, kami pergi dulu ya." (sila baca berintonasi mat salleh *hehehe-ketawa eksyen))



Gambar di atas membayangkan kepuasan maza setelah bergedik santai dengan kuda. Dua beranak ini beraksi macam koboi baru lepas mengembala lembu di padang ragut *hahaha

Jumaat, 26 November 2010

Siri Rumah Tangga Pak Mat: KENALAN

Terpekik terlolong Che Kembang Lenggang isteri Pak Mat memanggil Pak Mat. Che Kembang Lenggang mengarahkan Pak Mat seperti komanden tentera untuk mengangkat kain di ampaian.

“Abang oiii!.. Bangkit kain tu cepat. Hari hendak hujan ni. Langit dah mendung. Dah gelap pun. Cepat!”

Che Kembang Lenggang masih bergam bontotnya. Tidak berganjak langsung dari tempat duduk di hadapan TV di ruang tamu itu. TV yang masih terpasang sedang menyalurkan rancangan kegemaran Che Kembang Lenggang, sinetron Indonesia.

(Gambar: Bersila punggung tanda bersenang-senang hati)

Memang Che Kembang Lenggang sedang membantu suaminya itu.

Membantu dengan memekik dan membebel agar suaminya bergegas mengangkat kain di ampaian di luar sana. Che Kembang Lenggang masih tetap kekal berlingkar di hadapan TV. Tidak perlu menggunakan kudrat yang ada untuk membantu suaminya yang sedang terkial-kial sendirian. Cuma tonton dan gunakan pembesar suara ber’volume’ tinggi dari peti suaranya.

Pak Mat yang tadi sedang mencuci pingan mangkuk terus terjun ke tanah. Berebut-rebut mengangkat kain yang lima baris itu. Setiap satu barisan ampaian sepanjang sepuluh meter.

Begitulah rutin setiap hujung minggu. Memang banyak Pak Mat kena basuh kain untuk mereka seisi rumah.

Manakala Che Kembang Lenggang pula merasakan di setiap hujung minggu biarlah dia berehat sahaja. Kerana Che Kembang Lenggang sudah penat mengurus rumah sehari-harian. Kini giliran suaminya menguruskan segala-galanya.

Sebenarnya Che Kembang Lenggang bukanlah menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga bekerja sebagai kerani di sekolah. Tidak pula bekerja sepanjang hari penuh. Cuma selepas waktu sekolah dalam jam 2.00 petang sudah berada di rumah.

Berbeza dengan Pak Mat yang berkerja bertelungkus lumus baik di pejabat mahupun di tapak projek syarikatnya. Dia jugalah ketua kerani dan dia jugalah penyelia di tapak.

Kemudian setiap hari pula Pak Mat selepas balik jam 6.00 petang diwajibkan menanak nasi dan menjerang air.

Di pagi hari Pak Mat dimestikan menjerang air panas sebanyak dua cerek. Satu cerek dibuat kopi atau teh untuk sarapan. Dan satu lagi untuk mandian panas Che Kembang Lenggang.

Pak Mat pernah terfikir hendak membelikan ‘pemanas air’ (water heater), tetapi buat masa ini belum mampu lagi.

Sedih dan Luluh hati Pak Mat melihatkan kekasaran isterinya itu.

Tetapi Pak Mat bukan tidak biasa mengadap kekasaran isterinya. Itu sedikit. Lagi ganas pun ada.

Biasanya apabila Pak Mat kelewatan seminit dua menanak nasi di dapur, Che Kembang Lenggang akan bercekak pingang dengan seranahan dan bebelan yang membingitkan telinga di hadapan pintu. Penuh pintu dapur dengan tubuh kembang Che Kembang Lenggang.

Dulu Che Kembang Lenggang tidak seperti itu. Che Kembang Lenggang manis, sopan santun. Tubuhnya solid. Pejap. Mengiurkan. Kalau Che Kembang Lenggang berjalan, lenggangannya memang boleh membuat orang memandangnya berahi. Bontot besarnya akan beralun-alun, berayun-ayun atas bawah, kanan kiri. Lalu dipanggillah orang Che Lenggang.

Itu juga menjadi faktor penyebab hati Pak Mat terpikat.

Tetapi hari ini Che Kembang Lenggang masih juga solid. Pejap. Tetapi sudah tidak mengiurkan, sudah berlebihan lemak! Sekarang ini hendak mencari dagu di sebalik muka Che Kembang Lenggang semakin sukar. Kadang-kadang keliru, sama ada itu dagu ataupun pelipat tengkolok.

Apa tah lagi budi bahasa Che Kembang Lenggang. Seolah sudah diragut, hilang serentak segalanya!

Tetapi kalau di hadapan tetamu atau orang-orang lain, Che Kembang Lengganglah paling mulia, berbudi bahasa, baik pekerti. Sopan santun lagaknya. Kalau di hadapan Pak Mat pula, aduh, bagai harimau kehilangan anak!

Oleh kerana badan Che Kembang Lenggang tumbuh dengan subur, segar dan segera, lalu orang menggelarkannya pula Che Kembang Lenggang! Seperti prebet dinaikan pangkat dari Che Lenggang kepada Che Kembang Lenggang.

Usia Pak Mat dan Che Kembang Lenggang tidak jauh. Cuma Pak Mat tua setahun. Usia masing-masing hampir mencecah separuh abad.

Sudah berbelas tahun mereka berumah tanggan. Keluarga ini telah dikurniakan sepasang anak. Yang sulung lelaki dan yang bungsu perempuan.

Pak Mat memang sayang dan cinta habis terhadap Che Kembang Lenggang. Di hatinya kalau boleh biarlah Che Kembang Lenggang sahaja menjadi isterinya.

Pak Mat selalu memanjai isterinya itu. Anak-anak pun adakala mencemburui kemanjaan yang dicurahkan oleh Pak Mat terhadap isterinya.

Pernah di suatu pagi raya Pak Mat memanjakan isterinya dengan menghadiahkan seutas rantai, dan sebentuk cincin emas. Rantai tersebut bersaiz rantai mesin ‘chain-saw’ (mesin penebang pokok). Ia tergantung-gantung di sebalik leher berlipat-lipat Che Kembang Lenggang. Tetapi hadiah untuk anak-anaknya pula hanya diberikan coklat ‘Ferror Roche” dan kain pelikat atau batik seorang sehelai!



***Cerita ringan-ringan sahaja ... salam Jumaat kengkawan..hehehe
Cik Za Nans, welcome to my blog.. hehehe... terima kasih kerana sudi jadi pengikut blog ini. Tanpa kengkawan yang cun-cun itew...

Selasa, 23 November 2010

Berkebun di pusara ayah



(Gambar: Menyangkol juga aktiviti senaman yang amat elok untuk badan.
Bilakah kali terakhir anda menyangkol)


"Nasrun, ayah buat apa tu?" soal Daniel (4 tahun).

Nasrun dan Daniel termengah-mengah setelah mengangkat beberapa ketul batu bata. Mereka beriya benar mahu mengangkatnya. Mahu tolong ayah katanya.

Sambil memegang pinggang dengan gaya bersahaja maza menjawab, "Ayah tengah cangkul. Buang rumput."

"Ayah nak tanam sayur ke?" tegur Nasrun ingin tahu (6 tahun).

"Haaa ... Nasrun tahu. Ayah nak buat batas macam cikgu buat kat sekolah. Nak tanam kacang soya ke ayah?" telahan Nasrun lagi yang belum pun sempat maza menjawab soalan yang pertama tadi. Serentak itu juga maza teringat akan projek di sekolah Tadika Nasrun. Cikgunya mengajar beliau tentang bercucuk tanam dan bertani. Alahai bercucuk tanam di dalam pasu bunga sahaja.

Hampir tergelak pula maza mendengarkan tekaan Nasrun itu.

"Bukan ayah nak tanam sayur. Ayah nak bersihkan dan betulkan kubur atuk ni. Dah berumput sana sini. Ayah nak elokkan tanahnya," jelas maza pada anak kecil itu.


Melopong mulut Nasrun dan Daniel. Mereka tetap tercegat di tepi kubur arwah ayah. Dan maza kurang pasti sama ada mereka faham atau tidak tentang kubur ini.

Semenjak umur maza sepuluh tahun lagi maza sudah tidak berayah. Kalau dihitung-hitungkan, maza masih bertuah kerana dapat bersama dengan arwah ayah dan menatap wajahnya. Berbanding dengan adik bongsu maza, Ali, yang ketika itu baru belajar merangkak. Kalau tidak silap maza dia baru berumur 18 bulan. Apalah yang dapat dikongsikan si anak kecil itu dengan ayahnya yang telah arwah. Ali langsung tidak merasa jauh sekali mengenal ikatan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.

Hari ini maza membawa Nasrun, Daniel, Darling dan emak pergi melawat ke kubur. Jam baru menunjukkan 11.00 pagi, tapi terik matahari cukup untuk mengeluarkan keringat di badan.

(Gambar: Emak bersama Aqlan memantau dari jauh.
Papan tanda: Tanah perkuburan Islam, Kampung Sri Lukut)

Sudah agak lama juga maza tidak menyangkul. Kalau dulu-dulu tatkala zaman remaja, cangkul adalah teman biasa untuk maza. Maza akan usung cangkul, parang panjang dan tajak ke sana ke mari untuk mengusahakan kebun demi sesuap nasi kami sekeluarga.

(Gambar: Batu tanda bertulisan jawi,
"Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sri Lukut, Mukim Kahang, Kluang)


Setelah berhijrah ke bandar dan melanjutkan pelajaran ke IPT, sejak itu jugalah cangkul sudah di luar kesebatian rutin harian maza. Termengah-mengah maza mengerjakan tanah yang tidak seberapa itu.

Usai menajak rumput, tanah di sekeliling makam itu dinaikkan. Ditimbun ke atas menjadikannya seolah-olah kuburan yang baru. Walhal sudah hampir dua puluh lima tahun kuburan itu berpenghuni.

Maza mengajak anak-anak untuk sertai dan melihat apa yang ayahnya buat adalah untuk mengajar anak-anak dan menasihati diri sendiri bahawa hidup ini adalah sementara. Dalam kecepatan itu jugalah kita harus berbakti kepada manusia dan alam. Kita harus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar.

Maza juga ingin membuktikan bahawa maza mengingati arwah ayah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa maza.

(Gambar: Batu nisan ayah yang tulisan jawinya semakin pudar, kusam dimamah usia)

Diharapkan dengan pembersihan makam arwah ayah ini menjadi satu peringatan dan pengajaran buat anak-anak maza agar mereka akan sentiasa ingat, sayang dan kasih kepada ibubapanya waema tatkala kami tua sehinggalah kami di alam barzakh.

Beginilah salah satu tanda ingatan dan kasih sayang kita kepada kedua ibubapa yang telah tiada. Makamnya dipelihara dan doa kesejahteraan sentiasa dititipkan kepada mereka.

Dan besar harapan ayah agar anak-anak ayah kesemuanya menjadi anak-anak yang soleh. Ayah tak perlukan kamu menjadi seorang kaya-raya dan banyak harta. Tapi ayah mahukan anak-anak ayah menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ya, menjadi orang-orang yang alim dan soleh!

Peluh masih berjurai. Rumput tadi telah dihumbankan ke tepi. Kemudian batu-bata disusun rapi.

Batu-bata yang disusun rapi itu bukanlah sebagai tanda bermegah-megah atau 'memperhebatkan' kubur tersebut. Lain tidak tidak bukan ianya bertujuan agar tanah di atas kuburan tersebut tidak mudah menggelangsar; menggelongsor pergi hingga sukar membezakan antara tanah yang rata atau kuburan manusia. Biar ia kelihatan sedikit kemas, terurus dan menandakan di kuburan itu masih ada waris yang ingat dan sayang kepada si mati.

Keringat yang mengalir dilap. Guni plastik buat mengangkat batu-bata tadi dibentangkan. Nasrun dan Daniel sudah mendapatkan ibunya di hujung tanah kubur sana. Lagipun hari semakin terik, takut nanti anak-anak maza pula yang mendapat demam.

Senaskah Yassin diselak satu persatu. Maza membacanya. Tenggelam dengan suasana hening di kuburan itu. Hanya suara maza memecah kesunyian. Sesekali terdengar kenderaan menderu berlalu di tepian jalan sana. Maza masih tekun membaca Yassin. Di hadapan maza di atas pusara itu maza letakkan sebekas jag air.

Di bawah panahan matahari terik yang memeritkan kulit, airmata maza tiba-tiba mengalir. Tahlil dan doa berbalam-balam dengan sendu yang tidak disengajakan. Di saat itu jugalah terimbau wajah ayah, senyumannya, kelembutannya dan batuk-batuk kecilnya di tengah malam dan pagi subuh sebelum kami pergi ke sekolah.

Ayahku inilah yang bersusah payah. Bergelut dengan keringat bersama perih jerih hidupnya membesarkan kami. Ayah inilah yang pernah berjuang untuk sesuap nasi tatkala sukar di zaman perang dahulu. Dan ayah inilah yang pernah membela tanah air bertuah ini. Dialah pembela kedua ibubapanya dari anasir jahat sang penjajah.

"Ya Allah, rahmatilah penghuni kubur ini. Ampunilah dosa ayahku, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihani aku semenjak kecil lagi. Tempatkanlah ayahku dalam kalangan orang-orang soleh dan orang-orang yang Kau redhai." Setelah mengumpul kekuatan dan mengesat air mata, maza bangkit perlahan-lahan. Air dari jag itu maza curahkan. Bermula dari hujung kepala hinggalah ke kaki. Tujuh kali maza ulang-ulanginya sehingga air di dalam jag itu habis kesemuanya.

"Tinggallah ayah dan ahli kubur semua. Mudah-mudahan kita semua berbahagia di dunia dan akhirat. Damailah di alam sana. Sesungguhnya ayah di kuburan ini telah pergi dahulu mengadap Illahi dan tidak lama lagi giliran anakanda pula menyusul ayahanda," maza pun bergerak meninggalkan pusara ayah. Kini ayah kembali sendirian.

Alfatihah...

(Gambar: Beginilah keadaan pusara ayah setelah diselenggarakan ringkas. Selamat tinggal ayah.
Selamat bersemadi di tempat abadi. Moga ayah damai dan ditempatkan bersama-sama
dengan orang-orang yang soleh)



Mengendap kakak tua, Scarlet Macaw

Setelah keluar masuk hutan dan belukar, entah macam mana maza terserempak dengan burung kakak tua yang ini. Comel-comel sungguh burung-burung tersebut. Melihatkan telatah burung-burung itu sudah cukup menghiburkan.

Mereka berpasang-pasangan bertenggek di atas dahan. Rasanya mahu sahaja menangkap dan mengusap-gusapnya. huhuhu... Tetapi awas, burung jenis ini tidak boleh ditangkap dan disimpan. Ia spesis dilindungi.

Sekiranya Jabatan Perhilitan dan Perhutanan dapat tahu kita menyimpannya, ada harapan ke penjara dan di saman. huhuhu

Menurut kata adik maza (Bibiq), kalau spesis yang sedikit kecil dari yang ini dan keseluruhan bulu pelepah berwarna hijau, ia dipanggil burung bayan, sama spesis dengan burung kakak tua.

Maza menjadi begitu asyik dan seronok melihatkan warna-warni burung kakak tua ini yang begitu cerah dan ceria. Patutlah ada orang yang begitu teruja dan menjadikan membela burung sebagai hobi. Ada tu sanggup mengembara ke seluruh dunia semata-mata untuk 'birds sighting' (mencerap burung).

Jadi di sini maza ingin kongsikan beberapa keping gambar perihal burung kakak tua dengan kengkawan. Lagipun siapalah maza tanpa kengkawan yang best-best itew, kan?... huhuhu.

Scarlet Macaw

(Gambar: Bergotong royong menyisir bulu pelepah.)

Seorang anggota Margas Tua telah memberitahu maza bahawa gambar burung kakak tua di atas adalah dari spesis Scarlet Macaw. Kata nama Scarlet diberikan kepada burung ini sempena warna merah menyala yang terdapat pada pelepah, tengkok dan kepala burung tersebut.


(Gambar: Cinta, buah hati pengarang jantung)


(Gambar: Benci tapi rindu. Adat rumah tangga, ada pasang surutnya)

(Gambar: Siapa intai siapa ni?)

Sabtu, 20 November 2010

Di Luar Kawasan liputan: Temigol

Salam kengkawan. Nampaknya hujung minggu ni maza di luar kawasan. Jadinya, jagalah diri baik-baik dan hiasilah peribadi dengan amalan mulia. heheheh

Sambil-sambil itu, maza mahu berenang dahululah ya. hahaha



Location : Taman Rekreasi Hutan Kampung Sungai Temigol,
Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor
Captured by Ana
Setting by maza
ISO: 200
TV: 1/400
AV: 5.6
Ex Comp : -1

Selasa, 16 November 2010

Masjid KLIA, Masjid Abdul Samad, Raya Korban

November 14, 2010 - maza dan keluarga menerima jemputan dari orang kampung (Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan) untuk majlis pernikahan anak Pakcik Awie di Sepang. Kali ini Encik Saiful telah bertemu jodohnya dengan orang Sepang berketurunan Jawa.

Sebanyak tujuh buah kereta dari Palong dan sebuah dari KL (maza lah tu) menjadi rombongan pengantin.


(Gambar: Masjid KLIA atau Masjid Sultan Abdul Samad KLIA) iso: 400, f :3.5, s : 1/35, f l :200mm

Pada awal perancangan, majlis pernikahan tersebut akan diadakan di Masjid KLIA pada jam 10.00 pagi. Jadinya pada awal-awal pagi, kami telah bertolak ke Masjid KLIA ini.

(Gambar: Pemandangan kubah dari dalam masjid)
 

Masjid KLIA juga dikenali juga sebagai Masjid Sultan Abdul Samad KLIA yang beralamat seperti berikut:-
Masjid Sultan Abdul Samad KLIA,
Jalan Masjid, 64000 KLIA
Pada pengamatan maza, Masjid KLIA ini punyai kawasan yang luas. Seni reka bentuknya cukup indah.

Oleh kerana kami sampai awal iaitu jam 9.00 pagi, jadi sempatlah maza meronda-ronda sambil menangkap gambar secara senyap-senyap di sini. Terhendap-hendap macam kucing Tom hendak memerangkap si tikus Jerry. hehehe


(Gambar: Sedang solat dan berzikir di dalam dewan solat. Dinding kiri dan kanan masjid berkerawang dan dihiasi dengan kaca manikam pelbagai warna. Selain memberikan keindahan, ia menyetuhkan suasana damai dan tenang sekali)
iso : 400, f : 5.0, s : 1/20, fl : 90mm

Sudahhnya tiba-tiba maza dimaklumkan majlis itu dibatalkan dan berpindah ke masjid lainlah pulak. Dengan bergegasnya maza berlari keluar mendapatkan kereta takut ditinggalkan oleh kaum kerabat yang itu.

(Gambar: Sebahagian interior masjid. Kelihatan mamar-mamarnya bagaikan air. 
Memantulkan bayangan objek seperti cermin)
iso : 400, f : 22, s : 1/25, fl : 50mm


Dalam tergesa-gesa itu sambil tonggang langgang, berguling-guling maza mengetip kamera. Lensa di hala ikut sesadap rasa dan sesuka hati. Mujur juga tidak dihambat oleh penjaga masjid. Kalau tidak tentulah lagi haru.
(Gambar: Dewan solat yang di atasnya dinaungi kubah. Tetiba teringat pula alkisah Kubah Al-Syakrah)

Jadinya inilah sahaja hasil yang dapat maza pertontonkan kepada kengkawan. Sambil-sambil itu mahulah maza berpantun sedikit.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang menarik itu seni
Yang indah itu bahasa...

(Gambar: Kapal Terbang MAS (tak tahulah jenis Boeing 737 atau Airbus A380 atau Sesna) sedang melewati Masjid KLIA)

Kalau kengkawan mahu terbang bersama si "tambang murah" atau dengan si "MAS" berperagawati cantik melecun, janganlah lupa singgah dan beriktikaf di masjid berpuluh jhutah-jhutah hinggit ini, ya..

Sambil mengunyah-gunyah rendang dan nasi himpit ini, mahulah maza mengucapkan "Selamat Hari Raya Qurban" kepada semua kengkawan yang best-best itu. Tanpa kengkawan siapalah maza ini, kan? huhuhu

(Gambar: Kiri; antara salah satu dari dua menara masjid. Kanan; kubah kecil yang merupakan tempat pintu masuk para jamaah) iso : 400, f : 25, s : 1/250, fl : 28mm

(Gambar: Pintu gerbang penghadapan masjid diukir begitu indah sekali. Kalau dilihat dari atas lantai mamar, pantulan cahaya dari ukiran tersebut terlihat begitu indah sekali)


p/s: terima kasih kepada ABU SIRR kerana sudi mengikuti blog maza dari kejauhan itu.


Ahad, 14 November 2010

Majlis Konvokesyen Nasrun


November 13, 2010 (Sabtu) - Jam dua petang bermulalah majlis konvokesyen Tadika Ummi. Di tadika inilah Nasrun (6 tahun) menamatkan pengajiannya. Selepas ini beliau akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pula di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9.

Nasrun telah diberi anugerah khas di atas usahanya melewati puasa Ramadhan. Nasrun berjaya berpuasa 26 hari. Ini jugalah kali pertama anak tersebut berpuasa.


Kepada cikgu-cikgu Tadika Ummi, maza mengalungkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas didikan yang dicurahkan. Didikasi tuan-tuan hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalasnya.


Bagi ayah dan ibu, kami amat bersyukur kerana anakanda telah berjaya menamatkan pengajian. Dan di waktu-waktu akan datang moga-moga anakanda lebih cemerlang. Kami doakan yang terbaik untuk anakanda sekalian.

Harapan kami semoga anak-anak ayah menjadi anak-anak yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara walaupun tercampak ke mana pun jua berada.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails